05 August 2008

Erti Kemerdekaan Semakin Hilang ?


31 Ogos , tarikh kemerdekaan Negara semakin hampir, lebih kurang tiga minggu dari sekarang. Tahun – tahun sebelum ini bila tiba bulan Ogos malah bermula bulan Julai lagi kemeriahan bulan kemerdekaan begitu dirasai. Bendera Kebangsaan berkibar di mana –mana, bangunan kerajaan atau premis pensendirian juga di kenderaan di jalan – jalan raya.

Pelbagai program diatur sama ada organisasi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan tadika turut tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Namun, hari ini suasana sambutan kemerdekaan nampak lesu dan muram. Cuma di bangunan milik kerajaan suasana kemerdekaan sedikit dirasai tetapi pada pandangan saya lebih kepada 'menurut perintah' atau 'ambil syarat' sahaja.

Kenderaan yang mengibarkan bendera kebangsaan di jalan raya ? Adalah sebuah dua, jarang – jarang sekali jumpalah sebuah yang memasang bendera.

Media massa pula lebih sibuk mengulas dan memaparkan berita – berita yang memualkan seperti kes liwat pemimpin politik, isu muzakarah dan Muqabalah, rasuah menjelang pemilihan UMNO dan keretakan Jambatan MRR2. Rencana atau berita tentang sambutan kemerdekaan tidak begitu mendapat tempat. Malah, Kementerian Kesenian dan Pelancongan yang bertanggungjawab kepada sambutan kemerdekaan seperti lepas tangan dan membuatnya seperti ala kadar sahaja.

Adakah rakyat Malaysia sudah hilang patriotisme mereka ?

Menurut rakan – rakan, kegawatan politik dan ekonomi kesan kenaikan harga minyak menyebabkan berlaku suasana lesu sambutan kemerdekaan kali ini. Mereka membuat protes secara senyap sebagai bantahan dan manifestasi rasa kurang senang terhadap apa yang berlaku dalam senario politik Negara dan tekanan ekonomi yang mereka alami.

Walaupun ada beberapa insentif seperti bayaran rebat kepada pemilik kenderaan dan bantuan RM 200 kepada nelayan semua ini tidak mampu untuk mengubat luka rasa tidak puas hati mereka.

Semua ini menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah tahun ini ada sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ? Atau ada kejutan akan berlaku menjelang 31 Ogos atau sebelum 16 September nanti. Sama – samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku…