19 December 2009

CARI PERSAMAAN KETEPIKAN PERBEZAAN


Gambar yang pastinya menggusarkan pihak lawan

Konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini berlansung dalam suasana semangat setiakawan di antara tiga parti gabungannya terdiri daripada PAS, DAP dan PKR. Kira-kira 1500 perwakilan yang hadir membuktikan keazaman dan iltizam untuk menjadi wadah alternatif kepada rakyat di negara ini.

Konvensyen ini menjadi detik bersejarah buat julung kalinya gabungan pembangkang bersatu atas nama Pakatan Rakyat mengenepikan segala perbezaan ke arah titik persamaan untuk meroboh penguasaan BN yang sebelum ini cukup mendabik dada dengan gabungan komponen mereka lebih setengah abad.

Ketika gabungan BN semakin parah dan rapuh dibayangi pelbagai konflik dan perselisihan dalaman, konvensyen Pakatan Rakyat ini sudah pasti sesuatu yang membimbangkan dan menggerunkan BN dalam menghadapi kemaraan Pakatan rakyat khususnya dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya mengharapkan konvensyen ini akan terus meningkatkan kesepaduan dan kesefahaman yang telah wujud dalam Pakatan Rakyat agar rakyat untuk menumbangkan BN sehingga kini diselubungi dengan pelbagai masalah dan skandal yang boleh membawa mudarat kepada negara ini.

Apa yang saya harapkan segala masalah dan isu yang berlaku terutama perkara yang sensisif diselesaikan secara baik dengan semangat setiakawan di meja rundingan. Jangan biarkan keharmonian dan ikatan yang wujud terlerai kerana hal-hal remeh temeh atau salah faham dengan menggunakan media dan pihak musuh yang sentiasa mencari ruang dan kesempatan untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Perpaduan yang berjaya diwujudkan hari ini menjadi isyarat yang cukup jelas bahawa Pakatan Rakyat sudah cukup bersedia untuk menguasai dan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas pilihanraya umum ke 13.

ENJIN PESAWAT PEJUANG PUN BOLEH HILANG?


Saya seringkali melahirkan kebimbangan tentang keselamatan negara dari ancaman luar terutama pintu keluar masuk sempadan negara. Masih ingat lagi kehilangan dua kontena cip komputer dari terminal kargo di Bayan Lepas tidak lama dulu? Begitu juga dengan rampasan dadah yang beratnya hampir 1 tan di Rompin Pahang. Ini belum termasuk dengan betapa mudahnya pendatang haram membolosi sempadan negara dan begitu bergaya ' mengeksport' motorsikal milik rakyat negara ini untuk digunakan di negara jiran.

Berita terkini enjin jet pejuang F5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hilang dari sistem kawalan dan keselamatan yang ketat. Kehilangan ini berlaku pada hujung tahun lalu dan dikatakan telah dijual di sebuah negara di Eropah.

Dalam kes ini siasatan menunjukkan ia melibatkan penglibatan orang dalam iaitu pegawai atasan TUDM sendiri. Saya tidak mahu bangkitkan penyelewengan dan pecah amanah yang berlaku. Tetapi apa yang saya ingin utarakan bagaimana enjin jet yang sebegitu besar boleh 'dieksport'' ke Eropah? Adakah pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan tak dapat mengesan enjin yang begitu besar merentasi sempadan negara? Sejak bila pula Malaysia jadi pengeksport enjin pesawat pejuang?

Jika enjin pesawat pejuang yang begini besar boleh diseludup keluar tidak mustahil banyak lagi aset keselamatan milik negara ini telah dibawa keluar dan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu satu siasatan rapi perlu dilakukan dan rakyat perlu diberitahu tentang kejadian yang berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berkaitan soal keselamatan tetapi juga berkaitan dengan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai terhadap segala harta dan aset milik kerajaan.