27 November 2008

MELAKA MAJU 2010:MASIH ADA RAKYAT TAK DAPAT BEKALAN AIR DAN ELEKTRIK-Malaysiakini


Melaka maju 2010, slogan kepimpinan kerajaan negeri Melaka di bawah YAB Datuk Seri Ali Rustam. Kira-kira 2 tahun lagi jika tidak ada aral melintang Melaka akan mencapai status negeri maju.

Namun, dalam keghairahan Ali Rustam membangunkan sektor pembangunan dan pelancongan di negeri Melaka dengan peruntukan kos bernilai bilion ringgit masih ada rakyat di negeri Melaka yang hidup menderita dan merempat.

Begitulah yang berlaku pada lapan keluarga India di Jalan Dalong 1, Kampung Ganun di Alor Gajah Melaka. Mereka tidak merasa nikmat dan erti pembangunan walaupun telah 51 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.

Apa yang lebih mendukacitakan, mereka umpama bola yang disepak ke sana ke mari apabila mengajukan permohonan kepada pihak kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Syarikat Air Melaka Berhad(SAMB).

Menurut seorang penduduk di situ, Kalaiariche Nagaratnam(gambar), pelbagai alasan diberikan oleh pihak berkenaan setiap kali permohonan diajukan oleh ibunya sejak 30 tahun lalu.Keadaan ini banyak menimbulkan kesulitan kepada mereka dan penduduk kampung lain untuk mendapatkan bekalan air bersih dengan mengali perigi. Keadaan itu bertambah menyeksakan setiap kali musim kemarau apabila air perigi kering kontang.

Masalah penduduk yang tidak merasai kemudahan air dan elektrik bukan cerita baru malah seorang jiran saya yang merupakan penghulu di sebuah mukim di Jasin menceritakan banyak lagi penduduk di kawasan beliau yang tidak mendapat bekalan elektrik dan air sejak kampung berkenaan wujud lagi.

Inilah yang menimbulkan kemusykilan dan tanda tanya adakah pihak kerajaan negeri tahu akan masalah ini atau hanya tutup sebelah mata dengan apa yang berlaku?

Justeru itu kepada Ali Rustam, dalam kesibukan berkempen untuk jawatan Timbalan Presiden Umno jenguk-jenguklah penduduk di kawasan pedalaman di Melaka yang masih lagi daif dan ketinggalan di sudut pembangunan.

Peruntukan berbilion ringgit untuk sektor pelancongan di Melaka gunakanlah juga untuk rakyat sendiri. Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan di Melaka umpama kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.

YOGA HARAM, GELEK GERUDI MACAM MANA?-Malaysiakini


Amalan Yoga secara sistematik yang mempunyai unsur mantera dan pemujaan telah pun diputuskan haram kepada umat Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Isu ini mudah sahaja sebenarnya, cuma ada pihak tertentu yang cuba memutar belitkan fakta dan isu sebenar.

Syabas diucapakan kepada Majlis Fatwa, sekurang-kurangnya dapat menjelaskan kekeliruan dan menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.

Dalam kehangatan membahaskan isu yoga, umat Islam seolah-olah terlupa akan satu lagi bahaya atau 'Tsunami' yang bakal merosak dan meruntuhkan akhlak umat Islam di negara ini.

Pada 29 November ini bakal berlansung satu persembahan artis sensasi dan kontroversi yang menjadi 'simbol seks' Indonesia Inul Daratista artis dangdut yang terkenal dengan 'goyang gerudi'nya bertempat di Stadium Bukit Jalil.

Jika konsert ini diteruskan ramai khususnya golongan anak muda akan 'hanyut'. Kehadiran mereka sudah pasti ingin 'menjamu mata' kelembutan goyang gerudi dan kelunakan suara yang bakal dipersembahkan oleh Inul.

Telah acap kali kita dengar tentang kehadiran Inul membuat persembahan di Malaysia. setiap kali kehadiran dia ke sini sudah pasti ada pihak yang meluahkan bantahan dan mengadakan protes kerana persembahan Inul yang boleh menjejaskan akhlak dan boleh meruntuhkan iman umat Islam di negara ini.



Di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah lama mengeluarkan fatwa mengharamkan persembahan goyang gerudi yang dilakukan oleh Inul berdasarkan bahawa ia mengandungi unsur lucah dan bertentangan dengan undang-undang ponografi di negara itu yang diluluskan pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, di negara ini masih tidak ada sebarang kenyataan dan pandangan dari Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan dengan isu ini. Dalam hal ini, jika tidak ada sebarang fatwa sekalipun, Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menyatakan pandangan dan pendirian tentang isu gelek gerudi ini sebagai satu institusi yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara akidah umat Islam.

Sikap membisu Majlis Fatwa mengundang seribu satu persoalan kerana, isu ini turut melibatkan masalah umat Islam di negara ini memandangkan sambutan hebat yang diberikan setiap kali Inul mengadakan persembahan di negara ini.

Majlis Fatwa mesti menunjukkan peranan dan fungsinya sebagai tempat rujukan sebarang permasalahan umat Islam di negara ini seperti yang ditunjukkan dalam isu Yoga. Mereka yang berada di dalam majlis fatwa perlu lebih proaktif dengan keluar dari kepompong dan label 'ulama terompah kayu' yang pernah diberikan kepada golongan ini satu ketika dahulu dengan memberi perhatian dan mengambil berat setiap isu yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini.