
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam urusan pembelian helicopter Eurocopter yang telah digantung, kata Pengerusinya, Datuk Azmi Khalid hari ini.
Beliau memberitahu pemberita di Parlimen bahawa mesyuarat PAC mendapati tidak berlaku sebarang penyelewengan prosedur dalam proses tender pembelian Eurocopter.
Bagaimanapun, PAC memandang berat pemeriksaan fizikal tidak dilakukan ke atas 12 helikopter Eurocopter yang hendak dibeli oleh kerajaan itu.
Kalau bukan penyelewengan, apa istilah yang lebih sesuai? Tersilap kira ? Tak sengaja atau tersasul ?
Siasatan yang diumumkan oleh PAC menyebabkan keadaan bertambah keliru dan memeningkan. Rakyat ingin tahu bagaimana yang dikatakan tidak wujud sebarang penyelewengan jika helikopter yang ingin dibeli oleh Malaysia berharga dua kali ganda lebih mahal berbanding model yang sama dibeli oleh negara Brazil?
Brazil membeli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga yang lebih murah RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta.Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter Cougar yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion. Manakala Malaysia pula telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter Cougar.
Dua negara ini bagi sebuah helikopter dengan model yang sama sebanyak RM111 juta atau RM1.2 bilion bagi kontrak membeli 12 buah unit. Perbezaan kira-kira RM1.2 bilion. Adakah helikopter yang dibeli ingin dibeli oleh Malaysia disadur dengan emas tulen sehingga harganya berlipat kali ganda?
Dalam hal ini satu Suruhanjaya Diraja wajib diwujudkan bagi menyiasat tentang kemungkinan wujudnya unsur khianat dan cubaan menggelapkan wang milik negara. Saya sebagai rakyat Malaysia sudah tidak lagi yakin kepada Badan Pencegah Rasuah ( BPR ) untuk menyelesaikan isu yang berlaku.
Sekiranya rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak membangkitkan isu ini, saya yakin pembelian Eurocopter ini akan diteruskan. Alasan kegawatan ekonomi hanyalah bertujuan untuk menutup agar isu ini tidak terus diperdebat dan dihebahkan kepada orang ramai lebih-lebih lagi ia melibatkan Najib yang disebut-sebut bakal perdana menteri.
Satu siasatan segera perlu dijalankan kerana dalam masa yang sama kita tidak mahu lagi menyaksikan lebih ramai nyawa anggota tentera yang terkorban kerana menggunakan pesawat Nuri yang telah layak dikategorikan sebagai pesawat antik yang sepatutnya telah lama disimpan di muzium.