31 January 2009

JOM SERTAI PAS: PAS KETINGGALAN


Program Jom Sertai Pas sedang rancak berlangsung di seluruh negara. Satu kempen yang saya anggap sangat tepat dalam keadaan orang ramai khususnya golongan muda semakin menunjukkan minat dan lebih positif kepada perjuangan Pas. Sebelum ini Pas dilabel untuk golongan lebai dan orang kampung. Tetapi hari ini dari pencuci lantai sehingga jurutera nuklear semua ada di dalam Pas.

Walaupun penguasaan ICT dan perang siber di negara ini jelas didominasi oleh Pakatan Rakyat termasuk Pas. Perkara ini turut diakui oleh bloggers Umno bahawa blog yang pro Pakatan Rakyat begitu meluas dan melebar berbanding blog yang pro BN dan Umno. Setiap hari dan setiap minggu muncul blog-blog baru pro PR yang mendapat sambutan hebat berbanding blog pro BN dan Umno.

Tetapi dalam memanafaatkan dunia ICT ini untuk menarik dan mendaftar ahli baru menyertai Pas, Pas kena mengakui bahawa mereka ketinggalan berbanding dengan Umno. Umno semalam melancarkan sistem pendaftaran online untuk ahli baru yang dirasmikan oleh Pak Lah.Hari pertama dilancarkan semalam 809 telah menjadi ahli Umno. Dalam masa yang sama Pas masih lagi menggunakan sistem pendaftaran secara manual yang agak ketinggalan dalam dunia yang serba canggih sekarang.

Pas perlu melihat perkara ini dari aspek positif sebagai satu cabaran untuk mengekalkan momentum dan sokongan rakyat kepada Pas . Tidak salah rasanya bagi saya Pas mengambil pendekatan serupa atau yang lebih baik lagi walaupun mungkin ada suara-suara yang akan mendakwa bahawa Pas meniru idea Umno.

MIMPI NGERI!!!!

Dalam seminggu dua ni ramai yang mengalami mimpi ngeri. Bukan disebabkan kerana mimpi hantu atau terbawa-bawa dengan perasaan takut kerana banyak menonton cerita hantu yang sekarang ni mula jadi trend di stesen-stesen TV.

Apa tidaknya setiap hari ada je berita Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)membuat tangkapan dan siasatan tentang kes rasuah. Rasuah yang melibatkan sebuah parti politik di negara ini. PAS,PKR dan DAP? Semua dah tahu parti mana yang sedang bergelumang dengan rasuah sekarang ni terutama menjelang pemilihan tak lama lagi.

Lebih menggerunkan mereka bila mendengar berita ada yang didera dan diaibkan dalam sesi siasatan. SPRM ni pun satu kalau ye pun nak banteras rasuah bertindaklah mengikut lunas undang-undang dan batas kemanusiaan. Tak pasal-pasal ada pihak cuba menonjolkan isu penderaan SPRM untuk mengalihkan isu pokok iaitu membanteras rasuah. Namun saya yakin ini tidak akan menghalang SPRM untuk meneruskan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat.

Isu rasuah sudah sebati dengan parti berkenaan. Lihatlah sekeliling kita, buka mata dan fikir-fikirkanlah. Bagaimana baru sepenggal jadi YB dah bertaraf jutawan. Malah ada yang hanya menjadi JKKK tetapi pendapatannya mengalahkan Menteri Besar Pakatan Rakyat. Atas meja dan bawah meja semua sapu. Pantang ada peluang, projek buat longkang tepi balairaya pun semua kebas. Malah projek buat surau pun ambil komisyen beribu-ribu. Ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri bukan dengar-dengar cerita orang.Terpulanglah nak percaya atau tidak.

Hari ini mulalah hidup dalam ketakutan, bayang-bayang sendiri dikatakan hantu. Apabila van putih berhenti depan rumah mula fikir bukan-bukan, lutut mula mengeletar ketakutan. Semua ini sebab salah sendiri kerana berpolitik bukan untuk rakyat dan masyarakat. Tetapi untuk kepentingan sendiri mengumpul kekayaan dan mendapat nama dan kuasa serta membina pengaruh.

Kepada semua ingatlah, rezeki itu datangnya dari Allah. Keberkatan hidup adalah sangat penting. Orang tua-tua selalu pesan biar dapat sikit tetapi halal dan ada keberkatan. Daripada dapat banyak tetapi tak berkat,hidup tak aman, rumah tangga porak peranda dan hidup tak sunyi dari musibah.Tetapi ramai yang tak fikir itu semua...apabila kereta rosak, ditimpa penyakit, anak sakit atau ditimpa kemalangan, rumah dimasuki pencuri semua itu bagi mereka yang berfikir dan mengingati Allah menyedari bahawa itu adalah peringatan dari Allah SWT. Apa yang kita dakwa hak kita bukan hak mutlak kita....Allah nak tarik sekejap sangat...