04 August 2010

KM MENTERI MELAKA SEMAKIN 'KREATIF' DAN 'CANGGIH'


Akhir-akhir ini saya mendapati Ketua Menteri Melaka semakin canggih dan kreatif dengan idea-ideanya menjelang tarikh pengistiharan Melaka Negeri Maju menjelang 2010.

Antara sumbangan yang paling tidak dilupakan ialah menganugerahkan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan. Walaupun teruk dikiritk dan dikutuk beliau hanya memekakkan telinga kerana alasannya untuk memajukan industri hiburan Bollywood di Melaka. Kalau tak silap lokasi kampung filem yang dibina oleh Ali Rustam di kawasan Melaka Pindah kini setaraf dengan Bollywood dan kurang sedikit dari Hollywood hasil sumbangan Shah Rukh Khan yang mendapat gelaran Datuk. Filem lakonan Shah Rukh Khan di Melaka kerjasama dengan kerajaan negeri khabarnya telah mencapai Box office dan masuk senarai pecah panggung.

Roda Eye On Malaysia yang dibawa oleh Ali Rustam ke Melaka kini menjadi antara besi buruk yang termahal di dunia hasil kebijaksanaan beliau mentadbir dan mengurus Melaka.

Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang dinaik taraf di Batu Berendam yang menelan kos lebih RM 120 juta kini pula menjadi antara lapangan terbang yang paling sibuk di dunia sebagai tempat persinggahan burung-burung dan unggas.

Sekolah Murid Mengandung pula hampir menjadi kenyataan di daerah Jasin Melaka. Antara nama yang disenarai pendek untuk menjadi pengetua khabarnya adalah bekas ketua Menteri Melaka juga.

Manakala budak-budak perempuan bawah umur di Melaka sehari dua ini melompat gembira kerana Ketua Menteri nak kahwinkan mereka secara percuma. Maka selepas ini mengeluh lah cikgu di sekolah kerana ramai anak murid ambil cuti dua bulan! Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Melaka. Melaka di sini segalanya bermula, apa yang tak ada di Malaysia semua ada di Melaka!