31 May 2009

DR MANSOR MENANG ! DALAM PILIHANRAYA TERAMAN DI MALAYSIA

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Dr. Mansor Othman calon dari PKR memenangi kerusi DUN Penanti. Manakala 3 lagi calon bebas mungkin terpaksa mencari sponsor untuk menggantikan semula duit deposit calon mereka yang hilang.

Esok saya jangkakan akhbar pro Umno@BN akan kata pengundi Penanti boikot PRK Penanti. Mungkin tajuk lain Peratus keluar mengundi rendah dalam sejarah. Mereka lupa nak siarkan tajuk berita seperti :

Pilihanraya Penanti Bebas Pengundi Hantu.....

Pilihanraya Penanti Teraman Dalam Sejarah Malaysia.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Unsur Sabotaj.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Poster Calon dikoyakkan...

Pilihanraya Penanti Bebas Gejala Rasuah.......

Pilihanraya Penanti Bebas Projek Mee Segera....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Agensi Kerajaan Disalahgunakan....

PENANTI AMAN DARI PENGUNDI HANTU

Pilihanraya Kecil Penanti yang sedang berlangsung hari ini mencatat dua sejarah tersendiri dalam proses pilihanraya di negara ini. Pertama, Umno@BN tidak bertanding dan kedua saya rasa satu-satunya pilihanraya yang aman dari pengundi hantu.

Jika dalam pilihanraya yang lain sama ada umum atau kecil, isu pengundi hantu sering diperkatakan. Sama ada yang menjelma sebelum hari pengundian atau muncul secara tiba-tiba pada hari mengundi. Mereka boleh datang secara rombongan atau datang secara bersendirian.


Dalam pilihanraya kecil kali ini tidak langsung kedengaran tentang pengundi hantu. Apa maknanya tu? Bermakna pengundi hantu hanya wujud bila adanya Umno@BN! Di mana ada Umno@BN bertanding di situ ada pengundi hantu...Lebih banyak tempat yang Umno@BN bertanding lebih banyak pengundi hantu yang berkeliaran. Jadi kesimpulannya, hanya satu cara untuk memastikan tidak muncul pengundi hantu pada setiap kali pilihanraya, Umno@BN tak payah bertanding! Jika tak percaya, tengoklah nanti pilihanraya kecil di Manek Urai bulan Julai nanti isu pengundi hantu pasti akan kedengaran sekali lagi. Ini menunjukkan Umno@BN dan pengundi hantu memang tak dapat dipisahkan...

30 May 2009

PASTI KAWASAN BUKIT KATIL JOHAN KESELURUHAN SUKAN PASTI NEGERI MELAKA

Pengurus, juruletih pasukan Kawasan Bukit Katil dan Kota bergambar sebelum aksi final bola sepak

Penjaga gol Pasti Kawasan Jasin terkedu melihat rakan sepasukan membuat 'senamrobik' di depan pintu gol sendiri...

Pasti Kawasan Bukit Katil sekali lagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu apabila muncul johan keseluruhan Sukan Pasti Peringkat Negeri Melaka yang diadakan hari ini. Kejohanan kali ini berlangsung di Kompleks Sukan Rakan Muda Lendu Alor Gajah.

Walaupun gagal mengekalkan kejuaraan bola sepak dengan muncul naib johan setelah tewas kepada pasti kawasan Kota 0-2 dan tempat ketiga bola jaring itu sudah memadai bagi Pasti Kawasan Bukit Katil untuk mengekalkan kejuaraan.

Kejayaan ini juga bertambah manis apabila pasukan bola sepak Kawasan Bukit Katil berjaya menewaskan Pasti Kawasan Jasin dalam pertandingan separuh akhir iaitu 1-0 yang memaksa penjaga gol pasukan lawan terpaksa memungut bola dalam gol sendiri...

Beberapa orang pemain bola sepak dan bola jaring dari kawasan Bukit Katil turut terpilih untuk mewakili Pasti Negeri Melaka ke kejohanan Sukan Pasti Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung di UNISEL Selangor.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat terutama semua guru, murid dan ibu bapa dari Pasti Ar Rahmah, Seri Jati dan Al Ikhwan yang mewakili Kawasan Bukit Katil pada sukan pasti negeri tahun ini.

PRK PENANTI DAN MANEK URAI : SATU LAGI REFERENDUM RAKYAT


Pilihanraya Penanti dan Manek Urai, dua pilihanraya kecil yang begitu dibimbangi oleh Umno@BN. Rakyat dijangka akan keluar beramai-ramai mengundi calon Pakatan Rakyat untuk menyatakan protes dan menghantar isyarat kepada kepimpinan 1Malaysia yang diterajui oleh Dato Seri Najib bahawa mereka bukan bodoh yang boleh diperkotak-katikkan.

Rakyat semakin meluat dengan permainan politik kotor di Perak yang masih buntu dan tidak stabil. Rakyat juga semakin merana dengan krisis ekonomi yang makin dirasai negara yang gagal ditangani dengan sewajarnya. Rakyat merasakan diri mereka dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin 1 Malaysia terus hidup bermewah-mewah ketika rakyat marhaen terus hidup menderita.

Isu pembunuhan Atantuya, skandal berbilion ringgit melibatkan Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan pemimpin Umno@BN, lesap entah kemana puluhan billion duit rakyat dalam pakej ransangan ekonomi ( sebenarnya meransang pemimpin Umno@BN ) semuanya membuktikan bahawa sandiwara dan lakonan pemimpin 1Malaysia sudah sampai tahap yang melampau dan keterlaluan.
Pemimpin Umno@BN tidak perlu buat-buat terkejut dan terkedu dengan peningkatan kadar jenayah seperti kebiadapan ahlong kerana pemimpin 1Malaysialah yang menjadi pendorong kepada semua ini berlaku. Ada kuasa disalahgunakan. Ada kuasa lebih ditumpukan mengumpul harta dan kekayaaan. Harta rakyat umpama harta sendiran berhad. Rakyat terus hidup dalam ketakutan dan kemiskinan.

Justeru itu, pilihanraya Penanti dan Manek Urai akan menjadi medan terbaik bagi rakyat untuk mengajar dan menghantar referendum bahawa rakyat menolak Umno@BN untuk dulu kini dan selamanya....

29 May 2009

ALTANTUYA MASIH MENGHANTUI PEMIMPIN 1 MALAYSIA DI PENANTI

Jika dalam pilihanraya kecil lalu di Bukit Gantang wajah 'Altantuya' boleh dilihat di mana-mana. Sehingga keluar arahan agar isu itu tidak disentuh dalam pilihanraya kecil berkenaan. Puncanya ada orang yang terasa, seperti kata pepatah siapa makan cili dia yang terasa pedasnya.

Isu Altantuya ini begitu sensitif dan dikatakan menjadi punca mengapa Umno@BN enggan bertanding di Penanti kerana bimbangkan isu ini akan muncul semula. Maka PKR dan calon bebas diberi ingatan oleh pihak polis di Penanti agar tidak memainkan isu ini.

Hari ini Ahli Majlis Tertinggi Keadilan Badrul Hisham Shaharin disiasat polis dibawah akta hasutan kerana membangkitkan isu ini dalam ceramah beliau malam tadi di Penanti.Beliau disiasat selama tiga jam di balai polis Seberang Perai Utara.

Agaknya sampai bila 'roh' Altantuya akan aman dari terus berkeliaran dalam negara ini? Mampukah mereka menutup semua mulut di negara ini daripada terus memperkatakan tentang Altantuya? Mereka boleh menangkap dan memenjarakan sesiapa yang membangkitkan isu ini tetapi ingat mereka tidak mampu memadam kepercayaan dan keyakinan rakyat siapa yang terlibat di sebalik pembunuhan ini. Malah sehingga hari ini tidak ada satupun tindakan menjawab atau menyaman media-media antarabangsa yang terus mengaitkan isu ini dengan pemimpin 1 Malaysia. Jadi kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan rakyat apabila terus memperkatakan isu ini.....

KOMUNISME DAN NASIONALISME : DUA-DUA BAHAYA

Saya merasa pelik kenapa isu kepulangan Chin Peng ke negara ini diperbesarkan oleh media dan pemimpin-pemimpin 1 Malaysia. Seolah-olah ada agenda tersirat di sebalik isu ini. Sebagai rakyat Malaysia yang lahir selepas merdeka yang belajar sejarah negara dari bangku sekolah hingga ke universiti, fahaman komunis adalah ditolak sama sekali. Generasi hari ini walaupun tidak melalui zaman darurat, mereka dapat merasai dan menyelami tentang bahaya komunisme.

Komunis tidak mempercayai agama, bagi mereka agama seperti mitos yang tidak menjanjikan apa-apa. Oleh itu tidak pelik semua tindakan komunis adalah bertentangan sama sekali dengan agama.

Kadang-kadang ada di kalangan kita terlupa, selain komunis fahaman lain seperti nasionalis juga merbahaya kepada agama. Malah ia boleh meracuni dan merosakkan akidah umat Islam tanpa disedari. Nasionalis bertopengkan agama untuk mencapai cita-citanya. Bagi pengikut ajaran nasionalis ini, agama seperti kosmetik atau akesesori. Misalnya bagi mereka politik dan agama adalah terpisah. Politik tidak boleh dikaitkan dengan pentadbiran dan perundangan. Hukum Islam seperti Hudud dan Qisas adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.
Nasionalis juga meletakkan pemimpin negara seperti dewa yang kadang-kadang ditaati dan ditakuti melebihi ketaatan dan kepatuhan kepada Maha Pencipta.

Islam hanya dilihat melalui acara kebesaran seperti sambutan Maulidur Rasul, Israq Mikraj dan Maal Hijrah. Al Quran hanya dijadikan bacaan dan pertandingan sama ada di peringkat negeri kebangsaan dan antarabangsa. Isu dan kandungan Al Quran bukan untuk dijadikan ikutan dan amalan. Mereka hanya menerima Al Quran yang sesuai dalam hidup mereka. Misalnya contoh mudah dalam bab menutup aurat. Aurat isteri pemimpin negara hanya ditutup dengan sehelai selendang ketika hadir ke sambutan Maulidur Rasul dengan jambul terjojol...Walhal dalam Al Quran dah beritahu bahawa aurat itu wajib sama ada rakyat biasa atau pemimpin negara tanpa kompromi.

Fahaman nasionalis juga membenarkan lesen judi dan arak dikeluarkan secara berluasa. Maka wujudlah pusat perjudian dan hiburan yang menghidangkan arak yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di negara nasionalis.Malah fahaman nasionalis menerima cukai judi dan arak sebagai salah satu sumber pendapatan negara!

Ini merupakan hanya sekelumit tentang bahaya fahaman nasionalis...Jadi sebagai rakyat yang beragama Islam kita wajib bukan sahaja menolak dan menentang fahaman komunis tetapi berjuang untuk menolak segala bentuk fahaman nasionalis untuk menyelamatkan anak cucu dan generasi kita pada masa akan datang.

28 May 2009

KHAIRY HASUT PENGUNDI TIDAK KELUAR MENGUNDI DI PENANTI


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin yang tersisih daripada kabinet 1Malaysia menghasut pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi di Penanti pada 31 Mei ini. Kenyataan berbau hasutan ini disiarkan dalam sebuah akhbar hari ini.

Kenyataan ini membuktikan sikap samseng dan menghina sistem demokrasi dalam negara. Walaupun kenyataan ini berunsur hasutan dan menghina sistem demokrasi saya yakin pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak akan berbuat apa-apa. Sebaliknya jika kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat saya yakin polis akan bertindak 'mesra,cepat betul' untuk menyiasat dan membuat pendakwaan.

Semua ini membuktikan bahawa Umno@BN tidak layak bercakap tentang demokrasi kerana sudah terbukti selama ini ramai pemimpin Umno@BN sering mengkhinati demokrasi dalam negara. Ini juga melambangkan 'fobia' yang terlampau apabila Umno@BN bersikap bacul dan dayus untuk menarik diri dari bertanding di Penanti secara demokratik.

Mereka cukup gentar terhadap sokongan rakyat dan pengundi di Penanti yang akan memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat. Saya yakin pelbagai taktik kotor lagi bakal digunakan oleh Umno@BN untuk menghalang pengundi dari menunaikan kewajipan di Penanti.

PILIHANRAYA KECIL MANEK URAI : 14 JULAI MENGUNDI, 6 JULAI PENAMAAN CALON

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai.

Demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.

Pilihanraya dipanggil susulan kekosongan kerusi itu yang ditinggalkan penyandangnya Ismail Yaakub apabila pulang ke rahmatullah 22 Mei lalu.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi dalam kerusi kawasan pedalaman itu di kawasan parlimen Kuala Krai.

SPR akan menggunakan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga Jumaat lalu.

SIAPA MANGSA SETERUSNYA?




Ramai yang marah-marah, mengetap bibir tanda geram apabila membaca berita dan melihat gambar mangsa kekejaman ah long yang dilayan lebih teruk daripada binatang dalam tajuk-tajuk berita hari ini.

Tiga orang mangsa ahlong yang diselamatkan oleh polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Serdang telah dikurung di antara 10 hari hingga dua bulan. Ketika diselamatkan ketiga-tiga mangsa diikat di leher dan kaki dengan menggunakan rantai serta hanya disediakan sebuku roti seminggu dan bergantung kepada air paip untuk terus hidup.

Sampai bila isu ini terus berlaku? Adakah kita hendak menunggu mangsa seterusnya? Sebelum ini sering disiarkan beberapa tragedi pembunuhan dan tindakan ganas yang dipercayai berkaitan dengan ah long.Isu ah long atau ceti haram ini bukan isu baru. Ia telah lama didedah dan dibincangkan. Ahlong ini semakin bermaharajalela dan bertindak sesuka hati gaya samseng seolah-olah mencabar serta tidak gentar dengan pihak keselamatan.

Ini semua menunjukkan pihak kerajaan dan keselamatan seperti bersikap sambil lewa dalam isu ini. Lihatlah di banyak tempat di bandar dan kawasan perumahan, ah long ini begitu terbuka menampal dan mengiklankan skim pinjaman yang mereka tawarkan. Iklan dan poster yang dilekatkan begitu meriah seolah-olah suasana perang poster waktu pilihanraya.

Dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Kerajaan Majlis Tempatan yang kerajaan negerinya Umno@BN jika ada poster ceramah atau bendera parti milik Pakatan Rakyat ditampal dan dinaikkan begitu cepat poster dan bendera berkenaan dibuang. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Tempatan berkenaan kerana begitu cepat dan proaktif dalam melaksanakan arahan! Tetapi bagaimana dengan poster dan iklan ceti haram ini? Apa tindakan pihak berkuasa tempatan?

Begitu juga dengan pihak bank negara yang begitu cepat bertindak dan mendakwa jika ada individu dan syarikat mengambil deposit dari pelabur tanpa izin dari bank negara. Tetapi bagaimana dengan ceti haram ini? Adakah mereka diberi layan dan keistimewaan untuk menjalankan urusan perniagaan mereka? Begitu juga dengan pihak polis, adakah mereka tidak menyedari kegawatan dan masalah yang berlaku akibat ceti haram yang menjalankan operasi secara terbuka ini?

Kepada pihak polis, jangan hanya sibuk menjaga ceramah-ceramah Pakatan Rakyat tetapi masalah yang lebih besar yang membawa kegawatan sosial dan ketakutan di kalangan masyarakat seperti ceti haram seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya.

27 May 2009

SISTEM KESELAMATAN DI TERMINAL TAMBANG MURAH LONGGAR.


Tidak lama dulu sebuah akhbar dalam muka depannya pernah menyiarkan betapa rapuh dan longgarnya sistem keselamatan dan keluar masuk dalam terminal tambang murah dalam negara. Pengalaman terbaru saya menggunakan terminal ini dari LCCT -Tawau-Kota Kinabalu-Tawau-LCCT mengesahkan bahawa pihak berkenaan masih mengambil mudah perkara ini tanpa langkah penambahbaikan yang perlu.

Misalnya, walaupun beg yang hendak dibawa masuk ke bagasi pesawat telah melalui mesin pengimbas untuk mengelakkan penumpang membawa masuk barang terlarang, beg yang sudah diimbas masih boleh dibawa ke merata-rata di dalam kawasan terminal tanpa perlu didaftar masuk ke pesawat. Saya yakin ramai di kalangan kita melalui pengalaman ini

Saya terfikir jika ada perancangan untuk memasukkan senjata, bahan peledak atau bom jangka ke dalam beg bagasi ia boleh dilakukan dengan mudah. Cuba bayangkan apa yang berlaku? Memanglah negara kita aman dari ancaman pengganas dan sebagainya, tetapi mana kita tahu kalau ada yang berniat demikian?

Oleh itu sesuatu yang konkrit wajar dilakukan oleh pihak keselamatan dan pengurusan terminal agar sesuatu yang buruk tidak berlaku pada masa hadapan. Pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau....

26 May 2009

ZAMBRY IKTIRAF NIZAR MENTERI BESAR PERAK?


Buat pertama kali akhirnya Datuk Zambry Abdul Kadir mengiktiraf bahawa Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Kenyataan beliau itu sebagai menafikan kenyataan Tuan Guru Datuk Hj. Nik Aziz Nik Mat yang menggelar Zambry sebagai Menteri Besar Mahkamah. Marah bebenar Zamry dengan kenyataan Tok Guru ni..

Jika Zambry tidak mahu gelaran Menteri Besar Mahkamah, saya rasa ada gelaran lain yang mungkin boleh dipertimbangkan.

1. Menteri Besar 1Malaysia
2.Menteri Besar Rampasan Kuasa
3.Menteri Besar Perak jajahan Pulau Pangkor
4.Menteri Besar LANUN!

25 May 2009

APA CERITA EKSPERIMEN US30 JUTA?


Dalam perjalanan dari Airport Kota Kinabalu ke hotel penginapan, pemandu teksi yang membawa saya bertanya apa cerita projek eksperimen US30 juta angkawasan negara, senyap saja bahhh....Duit rakyat sudah habis...Betul juga bahhh...sudah lama.... tak kan senyap macam tu je? Nilai US30 juta bukan sedikit, apa hasil dan manafaat kajian yang dilakukan di ISS, berjaya atau tidak? Mungkin Perdana Menteri 1Malaysia boleh menjawabnya. Masa pilihanraya kecil di Permatang Pauh dulu,Perdana Menteri 1Malaysia mengheret Sheikh Muzzafar ke hulu hilir membantu kempen Umno di sana. Bagaimana tak nak panggil berkempen di Manek Urai pulak?

MUSIM SEMUANYA DUA?

Di Perak, ada dua menteri Besar satu Menteri Besar dipilih oleh rakyat dan satu lagi Menteri Besar dipilih oleh mahkamah. Selain itu di Perak juga ada dua Speaker satu speaker yang dilantik oleh rakyat dan undang-undang Tubuh Negeri dan satu lagi speaker baru yang dilantik dengan cara mengheret speaker lama keluar. Di samping itu ada dua juga setiausaha DUN satu yang telah dipecat yang masih merasakan dirinya Setiausaha DUN dan seorang lagi yang dilantik baru oleh speaker.

Kalau di negeri Pakatan Rakyat sudah menjadi perkara biasa Umno@BN yang menunjukkan keangkuhan apabila ada dua Jawantankuasa di peringkat kampung . Umno@BN melantik pengerusi Jawatankuasa Kecil Kemajuan Kampung Persekutuan(JKKP) sedangkan sudah ada Jawatankuasa Kecil Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Semalam semalam tercipta, apabila presiden PPP dari Perak memecat timbalannya dan timbalannya semalam mengadakan kongres dengan dipilih sebagai presiden baru.

Pening kepala juga dibuatnya. Mungkinkah selepas ini akan ada juga dua perdana menteri dan ada dua presiden Umno ( satu yang tersurat dan satu lagi tersirat) ?

24 May 2009

PROJEK MEE SEGERA MUNCUL LAGI...

Umno@BN umum tak bertanding di Penanti. Kesian orang Penanti tak dapat jalan tar sampai depan rumah, tak dapat duit 'zakat', kain batik, kain pelekat, basikal percuma atau tidak dapat melihat pemimpin 1 Malaysia yang 'berjiwa rakyat' memasuki ceruk kampung dan memanjat tangga rumah mereka dengan hanya berselipar jepun.Semua ini gara-gara Umno@BN kehilangan taring dan sengat mencipta sejarah era 1Malaysia apabila mengaku kalah awal-awal lagi untuk tidak bertanding di Penanti.

Maka untuk menebus aib arang yang terconteng maka secara sekoyong-koyong Umno@BN begitu ghairah untuk bertanding di Manek Urai yang kehilangan wakil rakyat yang kembali ke rahmatullah. Maka seperti biasa projek 'mee segera' datang mencurah-curah yang kononnya 'projek mee segera' ini menjadi pantang larang Perdana Menteri 1Malaysia dari zaman berzaman.

Antaranya hari ini dirasmikan laluan ulang-alik KTMB Tumpat-Dabong. Bagus saya amat setuju..Tetapi yang saya tak setuju kenapa ketika waktu pilihanraya kecil Manek Urai baru terhegeh-hegeh buat projek itu ini? Begitu juga dengan cadangan Perdana Menteri 1Malaysia untuk memenuhi 4 lagi tuntutan pesara. Bagus saya amat setuju...Lebih-lebih lagi ayah saya dan ramai ahli keluarga saya bakal mendapat habuan jika menjadi kenyataan. Tetapi kenapa baru sekarang sedangkan tuntutan itu telah diajukan sekian lama? Adakah Umno@BN merasakan mereka perlu mengekalkan sokongan golongan veteran setelah majoriti besar golongan muda sudah mula menjauhi Umno@BN?

Kepada pemimpin 1Malaysia Umno@BN jika mereka benar-benar ikhlas buatlah pembangunan tanpa menunggu tarikh pilihanraya. Lihatlah betapa daifnya rumah rakyat di negara ini setelah hampir 52 tahun merdeka. Adakah nak menunggu seorang lagi pemimpin meninggal dunia baru nasib mereka akan dibela? Dalam hal ini saya berkata dalam hati untungnya rakyat di Manek Urai bila Umno@BN ingin bertanding....Bilalah nak pilihanraya kecil di Melaka...

Rumah seorang penyokong setia Umno di Sempurna Sabah...

Sebuah lagi rumah penyokong Umno di kawasan Shapei Afdal
Satu lagi projek Umno setelah sekian lama merdeka....

23 May 2009

MAHKAMAH PERSEKUTUAN AKAN BERI KEADILAN KEPADA NIZAR?

Keputusan semalam semua dah tahu, Datuk Zambry Abdul Kadir mencipta sejarah kerana menjadi Menteri Besar dengan keputusan mahkamah bukan melalui prosedur biasa iaitu pilihan rakyat dalam proses dan lunas demokrasi. Manakala Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dinafikan sebagai Menteri Besar melalui keputusan Mahkamah yang mengenepikan proses Dewan Undangan Negeri.

Ini mendedahkan sistem demokrasi dan keadilan dalam negara mempunyai kepincangan apabila kuasa eksekutif dan legalisatif tidak terpisah di antara satu sama lain. Malah setiap satunya dilihat boleh terpengaruh dan dipengaruhi.

Peluang Nizar melalui proses perundangan yang tinggal setapak lagi iaitu melalui rayuan ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi dalam negara. Jika tewas di situ, peluang Nizar untuk menjadi Menteri Besar melalui proses perundangan dikira sudah tertutup rapat.

Saya menggesa agar tidak terlalu mengharap kepada Mahkamah Persekutuan akan memberi keadilan kepada Nizar. Mengapa? Siapa hakim tertinggi di Mahkamah Persekutuan? Ketua Hakim Negara. Siapa ketua Hakim Negara? Tun Zaki Tun Azmi. Seorang bekas peguam yang selama ini yang banyak mewakili Umno dalam kes mahkamah. Malah terlibat sebagai panel dalam Lembaga Rayuan dan Disiplin Umno! Pelantikannya beliau sebagai Ketua Hakim Negara sendiri mengundang kontroversi kerana mengepikan hakim-hakim yang lebih senior.

Jadi kepada siapa lagi kita nak mengharap. Sudah pasti hanya kepada Allah SWT serta kepada rakyat untuk menghukum kerakusan Umno@BN dalam pilihanraya umum ke 13. Masa tiga tahun setengah bukanlah lama. Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum sokongan rakyat dengan meningkatkan gerak kerja untuk memberi pengajaran kepada Umno@BN untuk ditalkinkan dalam kamus politik negara.

22 May 2009

MB MAHKAMAH VS MB RAKYAT

1. MB Mahkamah bermaksud MB yang dipilih atau diputuskan oleh mahkamah sama ada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Manakala MB Rakyat dipilih oleh rakyat menerusi proses pilihanraya.

2. MB Mahkamah oleh dipilih dari seorang hingga lima orang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Manakala MB Rakyat dipilih oleh rakyat yang layak berumur 21 tahun keatas yang ada dalam buku daftar pemilih berdasarkan jutaan pengundi.

3. MB Mahkamah dipilih berdasarkan hujah dari peguam yang mewakili sesorang MB berdasarkan hujah perundangan yang memiliki tafsiran berbeza. Manakala MB rakyat diplih oleh rakyat berdasarkan isu dan perkembangan yang berlaku dalam aspek sosial, politik dan ekonomi.

4. MB Mahkamah hanya wujud apabila wujudnya rampasan kuasa setelah gagal menenangi hati rakyat melalui proses pilihanraya. MB Rakyat adalah MB yang dipilih berdasarkan keyakinan dan berjaya memenangi hati majoriti rakyat.

5. MB mahkamah dipilih berdasarkan keputusan hakim yang boleh berubah mengikut masa dan kepentingan ....MB Rakyat ialah MB dipilih dari lubuk dan suara hati rakyat yang akan menjadi HAKIM SEBENAR..HAKIM RAKYAT DI MAHKAMAH RAKYAT...

MAHKAMAH RAKYAT IKTIRAF NIZAR SEBAGAI MB


Mahkamah Rakyat memutuskan bahawa Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Rakyat walaupun Mahkamah Rayuan hari ini yang bertindak sebaliknya apabila mengistiharkan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.

Segala keraguan dan kemunsykilan wujud konspirasi terancang teserlah berdasarkan keputusan Mahkamah yang seolah-olah berada di bawah telunjuk Umno@BN.

Apa pun keputusan yang dibuat pada hari ini tidak mampu memadam dan menghakis tuntutan pilihanraya semula di Perak oleh majoriti rakyatnya. Saya yakin keputusan mahkamah hari ini akan meningkatkan simpati dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat di Perak dan seluruh Malaysia untuk menumbangkan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang.

UMNO HIPOKRIT JIKA BERTANDING DI MANEK URAI

Adakah Umno tidak bertanding di Dun Manek Urai? Pilihanraya kecil bakal diadakan berikutan kepulangan ke rahmatullah Adun Pas bagi kawasan itu Allaharyam Ismail Yaacob yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Jika di Penanti Umno mengambil pendirian tidak bertanding kerana ingin menjimatkan duit rakyat, langkah yang sama wajar diambil oleh Umno jika mereka benar-benar ikhlas dan ingin mendahulukan rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri 1 Malaysia.

Tetapi saya yakin Umno akan bertanding ini kerana tak sampai 24 jam, seorang demi seorang pemimpin Umno menyuarakan agar Umno bertanding di Manek Urai. Jika Umno bertanding di sana, Umno jelas parti yang hipokrit ibarat meludah ke langit yang jatuh ke muka sendiri.

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN PETANG INI MENYELESAIKAN KRISIS DI PERAK?

Saya yakin ramai yang menunggu dengan debaran Keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang dijangka akan dibacakan keputusannya pada 3.30 petang ini. Apakah implikasi keputusan ini kepada Pakatan Rakyat dan Umno@BN? Mampukah keputusannya yang diumumkan menjadi penamat krisis politik di Perak. Kepada Pakatan Rakyat, sekiranya keputusan ini memihak kepada Dato Seri Ir Nizar Jamaludin ia akan membuka laluan untuk memohon mandat serta perkenan Istana untuk membubarkan Dun Perak. Ini dilihat penting untuk menyerahkan hak dan pilihan kepada rakyat Perak untuk menyelesaikan krisis yang berlaku sejak Febuari lalu. Sekaligus keputusan yang mengekalkan Nizar sebagai Menteri Besar akan meningkatkan momentum sokongan serta simpati rakyat bukan sahaja di Perak tetapi juga seluruh Malaysia kepada Pakatan Rakyat. Ia sekali gus member petanda dan membuka laluan pembentukan kerajaan baru selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sebaliknya jika Umno@BN memenangi kes ini mereka hanya ibarat menang sorak tetapi rakyat bakal menolak mereka dalam pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Rakyat akan tambah meluat dan bakal memberi pengajaran untuk 'membalas jasa' Umno@BN merampas kerajaan Perak secara kudeta. Sistem perundangan Negara akan terus menjadi perdebatan.Rakyat tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana apa yang berlaku dalam sistem kehakiman Negara bermula daripada Isu Pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbbas dan hakim –hakim kanan sehinggalah isu tape Linggam kepercayaan rakyat kepada ketelusan dan keadilan sistem kehakiman dan perundangan Negara semakin terhakis.

Sudah pasti mereka tidak akan membubarkan Dun Perak. Bermakna kerajaan Perak kekal tidak stabil memandangkan pertikaian dan pelbagai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah termasuk yang melibatkan Speaker S. Sivakumar.Ini bermaksud walaupun Umno@BN menang atau kalah dalam keputusan Mahkamah Rayuan akan tetap membawa kepada kejatuhan Umno dalam penguasaan senario politik dan pentadbiran dalam kerajaan.

Justeru itu, saya mendoakan agar Allah SWT memberi kemenangan kepada Nizar kerana ia boleh menyelesaikan krisis politik di Perak serta bakal membawa era baru kepada politik baru Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berkebajikan.

P/S: Saya mungkin tidak dapat mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini kerana sekarang ini berada di Semporna Sabah sehingga 26 Mei ini. Rangkaian broadband di sini agak kurang memuaskan. Mungkin saya akan ulas sebelah malam nanti dengan menggunakan kemudahan wifi di hotel penginapan.

21 May 2009

KEMBALIKAN KEADILAN DAN DEMOKRASI DI PERAK


Hari ini Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan untuk menentukan sama ada membenarkan atau tidak rayuan Datuk Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas yang telah mengiktiraf dan mengesahkan Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak. Mahkamah juga akan membuat keputusan sama ada menangguh atau tidak keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkmah Tinggi sebelum ini.,

Keputusan yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja penentu siapa Menteri Besar tetapi rakyat dan seluruh dunia juga sedang 'membicarakan' sistem kehakiman negara sama ada memiliki integriti dan ketelusan atau sebaliknya. Di samping itu keputusan Mahkamah Rayuan hari ini juga penting dalam sejarah demokrasi dalam negara. Apa juga keputusan pada hari ini akan dikenang dalam kamus perundangan dan sistem demokrasi negara.

Sebagai rakyat Malaysia saya merayu dan memohon agar kembalikan dan suburkan demokrasi dalam negara tanpa penglibatan di balik tabir atau 'tangan ghaib' yang mencemari sistem perundangan dan demokrasi dalam negara. Apa juga keputusan mahkamah hari ini, pembubaran Dun dan pilihanraya semula di Perak adalah opsyen dan keputusan terbaik.

20 May 2009

BUBAR DUN PERAK: UMNO@BN DIJANGKA TARIK DIRI DARI BERTANDING

Perkembangan muktahir di Perak memberi bayangan jelas bahawa Dun Perak bakal dibubarkan dalam tempoh terdekat. Keputusan Mahkamah Rayuan yang dijangka memihak Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin menguatkan spekulasi bahawa Dun Perak akan dibubarkan. Keberangkalian ini ditambah dengan perkenan Raja Muda DYMM Tuanku Nazrin menerima mengadap Nizar di Istana Iskandariah semalam.

Sekiranya Dun Perak dibubarkan Umno@BN dijangka tidak akan bertanding untuk menjimatkan duit rakyat sama seperti alasan yang diberikan di Penanti. Jika di Penanti Umno@BN boleh menjimatkan beberapa juta duit rakyat bayangkan berapa banyak yang Umno@BN dapat jimatkan jika tidak bertanding di Perak?

Sudah pasti jauh berkali ganda wang rakyat dapat dijimatkan. Keputusan Umno@BN tidak bertanding di Perak nanti adalah selari dengan dasar 1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Sudah pasti tindakan tidak bertanding benar-benar mencerminkan bahawa Umno mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian kerana jika bertanding juga seperti kata mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, Umno akan tewas jadi pencapaian tidak akan dapat dihasilkan.

19 May 2009

KHIR TOYO BOLEH GUNA KAEDAH DI DUN PERAK


Seolah-olah ingin mencabar kuasa kerajaan Pakatan Rakyat di Dun Selangor, Ketua Pembangkang Dun Selangor Dato Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang enggan menghadiri siasatan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akhirnya digantung daripada menghadiri sidang dun selama setahun.

Walau bagaimanapun Khir Toyo masih berpeluang menghadiri sidang Dun jika membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk mencabar keputusan yang dibuat seperti yang dilakukan oleh Gobind Singh Deo yang mencabar kes penggantungannya selama setahun oleh Speaker Dewan Rakyat.

Khir Toyo boleh juga mengambil tindakan berdegil dengan tetap menghadiri sidang Dun Selangor akan datang seperti yang dilakukan oleh Datuk Zambry Abdul Kadir yang melanggar arahan speaker S. Sivakumar yang menggantung beliau untuk menunggu sehingga diheret keluar dari sidang Dun. Mungkin Khir Toyo juga boleh memanggil sidang tergempar Dun dengan menjemput G. Ganesan sebagai speaker untuk mengheret speaker Selangor sekarang Teng Chang Kim untuk melakukan rampasan kuasa di Selangor pula.

BLOGGERS MENGUASAI PEMILIHAN PAS?

Perkembangan yang menarik berlaku dalam pemilihan Pas kali ini apabila pencalonan yang melibatkan tunjang dan sayap parti dikuasai oleh golongan bloggers.

Daripada 107 nama yang dicalonkan mengisi jawatan kanan parti - presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa - 40 peratus daripadanya mengendalikan blog.Ini juga termasuk calon daripada sayap pemuda dan muslimat yang ramai di kalangan mereka yang mempunyai blog masing-masing.

Ini membuktikan Pas lebih kehadapan dalam menyahut seruan kerajaan dan menguasai pentas global gerbang maklumat berbanding pemimpin Umno@BN yang masih terkebelakang dalam menggunakan teknologi ICT ini.Ini juga menggambarkan bahawa jurang di antara ulama dan profesional semakin menipis seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak yang berada di luar Pas.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa Presiden Pas Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang adalah pengguna tegar dalam bidang ICT.Cuma sehingga kini Tuan Guru masih belum melancarkan blog sendiri. Beliau mempunyai koleksi ribuan kitab yang tersimpan rapi dalam 'external hard disk' dan laptop yang menjadi teman beliau di mana sahaja beliau berada. Malah dalam pilihanraya kecil Kuala Terangganu dahulu Tuan Guru berkata beliau juga akan melihat pandangan bloggers sebelum membuat keputusan calon Pas ketika itu.

Cuma harapan saya agar semua pimpinan yang terpilih atau tidak dalam Muktamar nanti rajin-rajin le jengah blog sendiri...

18 May 2009

CONFIRM! UMNO PENAKUT SAH TAK BERTANDING DI PENANTI


Sah Umno tak bertanding di Penanti! Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia Dato Seri Najib Tun Razak sebentar tadi. Maka terbuktilah sudah Umno memang fobia dan takut dengan pilihanraya. Kalau di Penanti Umno@BN takut bertanding adakah Umno@BN berani berhadapan dengan pembubaran Dun Perak?

Sebab apa Umno@BN tak bertanding? Jimat duit rakyat....Sebab duit rakyat dah habis lebur bayar komisyen kapal selam, duit rakyat dah digunakan bayar kontraktor buat Jambatan Bengkok yang tak jadi, duit rakyat dah lebur beli jet peribadi pemimpin negara...Jadi sebab itulah Umno@BN kena jimatkan duit rakyat sekarang!

PEMIMPIN HINDRAF P UTHAYAKUMAR AKAN KEMBALI DITAHAN ISA?


Pemimpin Hidraf yang kini hidup dalam buangan P Waythamoorthy memberi amaran kepada kerajaan 1Malaysia yang diterajui oleh Dato Seri Najib Tun Razak agar membatalkan arahan supaya abangnya yang juga seorang pemimpin kanan pemimpin Hindraf, P Uthayakumar dihadapkan kepada Lembaga Penasihat ISA atau bersedia berhadapan dengan 'perang' protes jalanan dari penyokong Hindraf.

Arahan ini dikatakan berkait rapat dengan cadangan P Uthayakumar untuk mengadakan himpunan keamanan di ibu negara yang dijadualkan pada tahun ini. Selain itu juga kerajaan Umno@BN melihat P Uthayakumar kembali memberi ancaman dengan kenyataan dan sokongan yang semakin menggalakan daripada penyokong Hindraf sebaik dibebaskan daripada ISA.

Sebelum ini P Uthayakumar telah menolak pembebasan bersyarat yang dikenakan oleh kerajaan Umno@BN. Perkembangan terbaru ini kemungkinan akan membawa semula kepada penahanan P Uthayakumar di bawah ISA.

UMNO@BN BAKAL ADAKAN SIDANG TERGEMPAR DUN HARAM

Berdasarkan daripada maklumat yang diperolehi dari blog Exco Perak YB Idham Lim Abdullah Umno@BN sedang rancak dalam usaha mengadakan sidang tergempar Dun dalam tempoh terdekat.

Eloklah tu...Sidang Dun Haram dipengerusikan oleh speaker haram dan diketuai oleh Menteri Besar Haram....Masalah tak akan selesai...Saya cadangkan agar Umno@BN buatlah lagi perkara-perkara pelik macam ni lebih banyak supaya rakyat tambah meluat dan benci dengan Umno@BN. Sekali gus akan memudahkan Pakatan Rakyat untuk menawan hati dan meraih sokongan rakyat untuk mengakhiri hayat Umno@BN dalam politik negara. Lagi banyak perkara pelik yang Umno@BN buat lagi bagus..Mudah dan cepat sedikit Umno@BN akan dikuburkan....Sampai bila mereka mampu menipu rakyat dan tidak mahu adakan pilihanraya? Paling lama pun 3 tahun...sebelum pilihanraya umum ke 13...Masa berlalu begitu pantas....Ingat Umno@BN, Rakyat tak mudah lupa...

17 May 2009

POLITIK WANG MEMANG BENAR-BENAR BERLAKU DALAM PAS

Sepanjang hampir 16 tahun berada di dalam Pas saya mengakui bahawa politik wang memang wujud dalam Pas. Serba serbinya memerlukan wang. Wang bukan segala-galanya...tetapi segala-galanya memerlukan wang. Nak pergi mesyuarat kena keluar wang poket sendiri...Buat program seperti tamrin dan rehlah...Biasanya wang poket keluar lagi...Bila hadir program seperti usrah, ceramah, mesyuarat agong atau hadir ke sesuatu program Pas...baik jauh atau dekat semua guna wang sendiri dari minyak kereta sehinggalah makan minum. Bila hadir pula pasti ada sahaja tabung derma yang diedarkan. Maka wang lagi akan disogok ke dalam tabung atau uncang derma mengikut kemampuan.

Bila minta tolong kawan-kawan sebagai ahli jawatankuasa atau membantu dalam sesuatu program mereka biasanya sedia membantu secara sukarela mengorbankan masa dan tenaga serta tak lupa mereka akan menyogok wang ringgit sendiri untuk menjayakan program tersebut...Kadang-kadang tak sampai hati melihat sahabat-sahabat sanggup hadir tolong buat kerja atau mesyuarat sehingga lewat malam maka saya akan menyogok mereka untuk belanja mereka makan-makan sambil sembang tentang jemaah dan pelbagai isu semasa.

Saya yakin wang yang saya sogokan ini terlalu kecil berbanding sogokan yang dilakukan oleh pelbagai lapisan dan peringkat yang berada di dalam Pas. Ada yang sanggup menyogok wang simpanan yang dikumpulkan sekian lama,tak kurang juga yang menyogok tanah dan bangunan yang dimiliki untuk perjuangan dalam Pas. Semua ini menyebabkan Pas terus utuh dan tegak berdiri serta melangkah gagah pada hari ini.

Tanyalah kepada mana-mana pimpinan tentang bangunan, markas dan premis yang dimiliki oleh Pas pada hari ini semua hasil daripada sogokan wang ahli dan penyokong serta mereka yang simpati di dalam Pas. Begitu juga dengan Ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut yang tersergam indah semuanya hasil sogokan yang berlaku dalam Pas. Jika tidak ada sogokan dari ahli dan penyokong Pas, Pas tak akan mampu memiliki bangunan tersebut yang nilainya mencecah jutaan ringgit.

Inilah sebahagian daripada politik wang yang berlaku dalam Pas. Harap-harap media milik Umno@BN tolong siarkan....Bahawa politik wang memang wujud dalam Pas...

20 MURID DI BUKIT KATIL AKAN DIKURANTIN

Wabak H1N1 atau demam selesema babi dan Meningitis yang melanda menyebabkan seluruh dunia merasa cemas lalu pelbagai langkah diambil bagi mengelakkan penyakit ini merebak. Di Melaka lebih lebih 20 pelatih Akademi JPJ di Tiang Dua dalam kawasan Parlimen Bukit Katil masih dikurantin untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Besar Melaka.

Dalam perkembangan yang tidak berkaitan, Pasti Kawasan Bukit Katil juga bakal mengambil tindakan yang sama untuk mengkurantin pasukan bola sepak dan bola jaring yang muncul johan dalam kejohanan Sukan Pasti Kawasan semalam sebagai persediaan menghadapi Sukan Pasti Negeri Melaka yang akan berlangsung 30 Mei di kawasan Alor Gajah.

Langkah kurantin ini dijangka akan melibatkan 10 murid Pasti Seri Jati selaku juara bola sepak dan 10 murid dari Pasti Ar Rahmah yang muncul juara bola jaring. Dijangkakan mereka akan dikurantin bermula dari 23 dan 24 Mei depan sebagai persiapan dan mengatur strategi bagi menjamin persefahaman dan menyusun strategi untuk mempertahankan gelaran juara bertahan dalam sukan Pasti Negeri pada tahun lepas.
Antara murid-murid yang akan dikurantin....

16 May 2009

UMNO SEMAKIN FOBIA DENGAN PERKATAAN PILIHANRAYA


Menjelang sisa-sisa hayat Umno yang masih tinggal, perkataan pilihanraya adalah sesuatu menjadi fobia kepada mereka. Umpama orang yang pernah melihat hantu, yang takut bila mendengar perkataan hantu. Umno sudah melihat bagaimana mereka ditewas dan diaibkan dalam pilihanraya. Bermula dari Pilihanraya Umum ke 12 sehinggalah pilihanraya raya kecil pasca PRU ke 12 Umno sudah melihat bagaimana mereka semakin ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini walaupun di kawasan yang selama ini menjadi kubu, sarang dan kandang mereka sendiri. Siapa yang pernah menjangkakan Pas boleh menang di Johor? Umno juga tidak pernah terfikir yang mereka tewas di lima negeri kepada Pakatan Rakyat. Serba serbi tidak menjadi kali ini penyertaan Umno dalam pilihanraya.

Oleh itu pilihanraya di Perak dan Penanti menjadi igauan ngeri kepada Umno. Dari hari ke hari, zikir dan ucapan mereka hari ini ialah pilihanraya tidak perlu, membazirkan duit rakyat dan membuang masa rakyat. Sebenarnya itu cuma alasan bagi Umno yang fobia. Pernah tak Umno mengelak untuk menyertai pilihanraya seperti sekarang? Kalau dulu mereka cukup angkuh dan mendabik dada sehingga ada di kalangan mereka yang menyebut 'kalau Umno letak tunggul kayu atau batang pisang sekalipun sebagai calon pilihanraya mereka boleh menang'.

Hari ini mereka terpaksa menjilat dan menelan kembali kebongkakan dan kesombongan mereka. Kalau Umno merasakan buat pilihanraya di Perak membazir duit kerajaan (duit rakyat) saya cabar Umno jika mereka berani sama-sama bersetuju dengan Pakatan Rakyat untuk adakan pilihanraya semula di Perak, kos pilihanraya itu ditanggung melalui kutipan derma di kalangan rakyat. Saya yakin ramai rakyat yang akan tampil untuk menderma kepada kerajaan atau SPR yang penting pilihanraya dapat diadakan sebagai penyelesaian konflik politik di Perak.

LAGI KES DEMAM SELSEMA BABI DI MALAYSIA

Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat mengumumkan mengenainya di sini hari ini.

SUKAN PASTI KAWASAN BUKIT KATIL SEDANG BERLANGSUNG


Kontigen Pasukan Yang Bertanding....Misi Mempertahankan Kejuaraan
Sepakan Percuma Gaya Christiano Ronaldo....Awas Pasti Kawasan Jasin!

Kehebatan Pasukan Bola Jaring yang bertanding
Sepakan penalti gaya silat terbang
Pasti Seri Jati dan Pasti Al Ikhwan yang menjadi johan dan naib johan bolasepak
Ketua pasukan al Ikhwan menerima piala pusingan dari YDP Kawasan Bukit Katil Saudara Sofi Wahab

BUMI MELAKA MENJADI SAKSI

Mungkinkah hari ini akan tercatat lagi satu sejarah dalam kejohanan Sukan Pasti Kawasan Bukit Katil yang bakal berlangsung di padang Maahad Ar Rahmah. Pasukan dari Pasti Al Kautsar dan Pasti Ar Rahmah dalam misi untuk mencipta hatrik sebagai juara tiga kali berturut-turut dalam permainan bola sepak dan bola baling. Sekiranya kedua-dua pasukan berkenaan muncul juara lagi tahun ini, piala pusingan akan jadi milik mereka. Mungkinkah Dewan pemuda Pas Kawasan Bukit Katil terpaksa pecah tabung untuk membeli piala pusingan baru tahun hadapan?

Pasti Kawasan Bukit Katil juga dalam misi mengekalkan status juara Sukan Pasti Negeri yang dimenangi pada tahun lepas. Maklumat sahih diperolehi mengatakan pasti-pasti kawasan lain telah membuat persedian intensif untuk menyingkirkan Pasti Kawasan Bukit Katil pada tahun ini. Khususnya Pasti Kawasan Jasin yang telah membina 'stadium' baru di hadapan Pasti Al Amin sebagai tuan rumah kejohanan Pasti Kawasan Jasin.

Hari ini juga julung-julung kali akan diadakan serentak Sambutan Hari Guru Pasti Kawasan Bukit Katil Jom...Beramai-ramai ke Sukan Pasti Kawasan Bukit Katil...

15 May 2009

KES RAYUAN NIZAR DIPINDA DARI 18 KE 21 MEI PULAK....


Mahkamah Rayuan hari ini meminda tarikh awal yang ditetapkan sebelum ini dari 18 Mei ke 21 Mei 2009. Tidak ada sebarang alasan diberikan pelanjutan tarikh baru ini. Harap-harapnya tidak lagi ditunda atau ada lagi sebarang aral yang melintang atau aral yang sengaja yang dilintang pukangkan.

Ada dua rayuan yang akan didengar sekali gus oleh Mahkamah Rayuan iaitu rayuan Datuk Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak mengiktirafnya sebagai Menteri Besar dan rayuan Menteri Besar Dato Seri Nizar untuk menolak penangguhan yang diterima oleh Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya.

Peguam Nizar, Amer Hamzah berkata beliau berharap mahkamah akan mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dahulu supaya mengekalkan pelaksaan keputusan yang memutuskan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.

Bermakna tarikh Nizar memasuki pejabatnya sendiri terpaksa juga ditunda lagi. Ini juga bermaksud lama lagi Zambry menduduki pejabat Menteri Besar. Bayangkanlah berapa banyak elaun dan gaji dari duit haram yang diambil oleh Zambry daripada pendapatan sebagai menteri besar yang tak layakpun diperolehinya kerana terbukti Mahkamah Tinggi telah mengesahkan hanya seorang sahaja Menteri Besar di Perak iaitu Nizar.

SATU LAGI PENDEDAHAN MENGEJUTKAN TENTANG HAKIM MAHKAMAH RAYUAN MEMBENARKAN RAYUAN ZAMBRY

Jika semalam ini kita dikejutkan dengan tidak ada alasan penghakiman bertulis dalam membenarkan rayuan penangguhan kes Datuk Zambry Abdul Kadir oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato Ramly Mohd. Ali, hari ini Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham membuat pendedahan yang lebih mengejutkan.

Menurut beliau Hakim Mahkamah Rayuan itu yang dilantik 15 April lalu iaitu 27 hari sebelum Zambry merayu kes itu di mahkamah.Lebih mengejutkan Dato Ramly turut disebut dalam pita rakaman VK Linggam yang telah mencalar sistem kehakiman negara.

Mengikut perbualan itu kata Badrul, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim. "Mereka adalah Dato' Heliliah Mohd Yusof, Dato' Ramly Ali dan Dato Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002,".

Apa yang sepatutnya dilakukan ialah siasatan susulan terhadap hakim-hakim yang didakwa terlibat. Saya juga ternanti-nanti apakah tindakan susulan ekoran hasil siasatan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan tidak lama dulu berkaitan kes berkenaan. Senyap je....

AKHIRNYA MALAYSIA MENCATAT KES DEMAM SELSEMA BABI PERTAMA

Akhirnya apa yang dirisaukan menjadi kenyataan apabila Malaysia mencatat kes Demam Selsema Babi atau dikenali H1N1. Ini bermakna Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang kedua yang dikesan terdapat wabak ini selepas Thailand.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican yang mengesahkan seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi.

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkanpositif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan
pada 15 Mei 2009," "Ini merupakan kes yang pertama influenza A (H1N1) dikesan di
Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalamdan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

Saya berharap kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan lebih proaktif dan mengetatkan kawalan di pintu masuk utama negara bagi mengelakkan wabak ini merebak kepada penduduk di negara ini.

BUAT INSAN YANG CUKUP ISTIMEWA....

Tersentuh hati ini apabila khatib sebentar tadi menyampaikan khutbah tentang tarikh keramat 16 Mei...sambutan Hari Guru yang disambut setiap tahun oleh warga guru...Apabila sampai sahaja tarikh ini pasti tergiang-giang di telinga bait-bait sajak yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Dr Usman Awang Sasterawan Negara...Antaranya....


Jika hari ini seorang Perdana Menteri Berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa....

Kesempatan ini saya yang ingin merakamkan jutaaan penghargaan tidak terhingga buat semua guru-guru saya sejak dari mengenal abc, 123 hinggalah hari ini sebagai blogger biasa...Terutama buat guru di SK Pantai Kundur, SMK Seri Tanjung, SMK Tanah Putih Kuantan, SMK Tinggi Melaka,SMK Abdul Rahman Talib Kuantan, USM,UTM...semua tok-tok guru di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perlis tak lupa buat guru sekolah memandu.......SELAMAT HARI GURU....
ahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

USAHA MEMBURUKKAN PAS MENJELANG MUKTAMAR

Sehari hari dua ini terdapat usaha media yang terkenal dengan sikap pengampu dan penipu untuk mengheret Pas yang kononnya terlibat dengan isu sogokan, belanja makan dan pemberian sagu hati menjelang muktamar. Terdapat juga beberapa blog bebas yang mendakwa mempunyai bukti bahawa isu berkenaaan benar-benar berlaku di dalam Pas menjelang muktamar.

Mereka memetik kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Ustaz Muhammad Daud Iraqi dalam satu kenyataan sekiranya berlaku sogokan di kalangan perwakilan dan kawasan meminta perkara itu dihentikan kerana beliau dimaklumkan oleh pihak tertentu tentang perkara berkenaan. Bermakna Ustaz Muhammad Daud tidak mengatakan perkara itu berlaku...Tetapi katanya jika berlaku....

Dalam hal ini saya mengesa agar semua ahli dan penyokong termasuk pimpinan di semua peringkat tidak terperangkap dengan agenda pihak lawan,media 'senget sebelah' dan sumber 'bebas' yang bertujuan untuk memburuk-burukkan Pas pada pandangan umum. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup isu sebenar yang hangat sedang berlaku dalam negara.

Kita perlu berhati-hati dengan sebarang maklumat lebih-lebih lagi yang datang bukan daripada pimpinan dan lidah rasmi parti atau jemaah. Keutuhan dan adab berjemaah perlu dijaga agar tidak wujud ruang kosong untuk musuh atau mereka yang mencemburi Pas untuk menabur fitnah.

Misalnya saya mempunyai maklumat tentang isu pimpinan kawasan yang 'belanja makan' untuk mendapat undi dan sokongan daripada perwakilan adalah sesuatu tohmahan yang tidak berasas. Menurut sumber daripada Pas Perhubungan Negeri isu yang berlaku ialah Yang Dipertua Kawasan yang baru dipilih membuat jamuan yang tak ada kena mengena dengan Mesyuarat Kawasan atau pemilihan Pas di peringkat pusat.

Begitu juga isu kepimpinan ulama dan profesional yang sengaja diperbesarkan seolah-olah golongan yang memainkan isu ini sudah ketandusan idea dan modal untuk mengugat sokongan dan keutuhan Pas yang semakin mendapat sokongan masyarakat akhir-akhir ini.

14 May 2009

MAHKAMAH RAYUAN TIDAK BUAT PENGHAKIMAN BERTULIS KES RAYUAN ZAMBRY


Peguam Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin berhadapan kesukaran apabila Hakim Mahkamah Rayuan Dato Ramly Ali yang membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas yang mengesahkan Nizar sebagai Menteri Besar tidak menyediakan penghakiman secara bertulis.

Ini menyebabkan peguam Nizar berhadapan masalah untuk mengkaji alasan penghakiman yang di buat Hakim Mahkamah Rayuan Dato Ramly Ali yang membenarkan rayuan Datuk Zambry Abdul Kadir untuk mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan 18 Mei ini.

Pendedahan ini membuktikan ada sesuatu yang tidak kena berkaitan kes rayuan Zambry yang sebelum ini begitu efisen, cekap dan pantas dalam membuat keputusan hanya 2-3 jam sahaja. Berbeza dengan prosedur yang diambil oleh Mahkamah Rayuan dalam langkah Nizar mencabar keputusan menangguhkan keputusan mahkamah Tinggi yang hanya akan didengar pada minggu hadapan.

Patutlah keputusan tempohari dapat dilakukan oleh begitu pantas, rupa-rupanya hakim tak perlu buat alasan bertulis penghakiman. Semua ini menambah kemusykilan dan menjadikan keadaan di Perak semakin bersimpul-simpul.

MENTOR NAJIB KATA JANGAN BUBAR DUN PERAK


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menolak diadakan pilihanraya semula di Perak kerana ia akan memberi kemenangan kepada Paktan Rakyat. Ohhh...Itu puncanya...Patut le payah sangat nak bubar Dun...Kata habis duit rakyatlah...Buang masalah...rupa-rupanya takut kalah!

Ini semua membuktikan bahawa Umno@Bn tidak mampu berhadapan dengan rakyat melalui pilihanraya yang adil dan telus mengikut lunas demokrasi sebenar. Umno@BN sanggup mendera rakyat Perak dan membiarkan keadaan di Perak berada dalam suasana tidak stabil asalkan pilihanraya semula tidak diadakan.

KALAU BENAR BAGAI DIKATA....


Perdana Menteri 1 Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak memberitahu media hari ini bahawa Umno@BN tidak takut berhadapan dengan pilihanraya.

Jadi ini berita baik untuk semua khususnya di Perak yang keadaannya semakin bersimpul-simpul. Jika begitu bagai dikata, apa lagi nak ditunggu dan dinanti marilah bersama Umno@BN dan Pakatan Rakyat memohon perkenan Sultan untuk membubarkan Dun Perak. Selama ini Umno@BN yang menjadi batu penghalang, berdolak dalih dan cuba mencari 1001 alasan agar pilihanraya semula tidak diadakan.

Ramai pihak dari pakar undang-undang, ahli politik, penganalisis politik, pakar ekonomi malah pimpinan dari dalam lubuk Umno dan komponen BN sendiri menjurus kepada gesaan agar pilihanraya diadakan semula di Perak. Saya cukup yakin majoriti rakyat Perak inginkan penyelesaian segera krisis politik dengan mengadakan pilihanraya semula.

Jadi apa tunggu lagi...

CERITA PELIK DARI DUN SARAWAK PULA


Kebiasaanya dalam mana-mana sidang Dewan Rakyat dan DUN di negara ini pihak pembangkang yang akan keluar dewan apabila merasakan keadilan dan hak mereka dinafikan di dalam persidangan.

Tetapi yang berlaku di Sarawak adalah terbalik, Barisan Nasional yang mempunyai 60 Adun bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan hujah pembangkang yang hanya mempunyai 7 orang wakil!

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kemudiannya memberitahu pemberita bahawa tindakan keluar Dewan itu bagi memberitahu pembangkang "siapa sebenarnya bos" di dalam Dewan. "Jika kami mahu bertindak nakal, setiap kali pembangkang mahu membangkitkan isu, kami akan keluar dan mereka tidak boleh bercakap. Tetapi kami tidak pernah melakukannya.

"Ini pertama kali Adun BN bertindak keluar Dewan. Hari ini kami mahu menunjukkan kepada mereka, siapa bos," katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata usul yang cuba dibentangkan Chong mempunyai kepentingan politik.

Tindakan BN di DUN Sarawak mendedahkan betapa goyah dan rapuhnya BN yang tidak mampu lawan berhujah dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Apa peranan 60 wakil rakyat BN dalam dewan? Adakah mereka hanya sebagai 'tunggul kayu mati' yang hanya mampu berdiam diri apabila sesuatu isu yang berkaitan kepentingan rakyat dibangkitkan oleh pembangkang?
Maka sia-sialah pengundi BN mengundi mereka dalam pilihanraya lalu kerana bukan sahaja menampakkan sifat kebudak-budakkan tetapi juga hanya membazirkan duit rakyat untuk membayar elaun mereka.

Kalau dengan tujuh orang wakil pun mereka dah kecut dan gentar tak peliklah UMNO@BN seluruh negara berada dalam keadaan goyah dalam DUN sama ada yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat atau Pakatan Rakyat menjadi pembangkang dalam Dun berkenaan.

Agaknya sebab itulah Perdana Menteri 1 Malaysia cukup fobia dengan pilihanraya kerana menyedari Umno@BN dalam keadaan yang begitu nazak pada hari ini yang hanya menunggu masa untuk menerima hukuman daripada rakyat yang semakin meluat dengan gaya dan cara pemerintahan Umno@BN yang ketinggalan zaman serta mengenepikan aspirasi rakyat yang menuntut perubahan menyeluruh bukan bersifat retorik atau kosmetik.

13 May 2009

18 MEI INI NIZAR KEMBALI KE PEJABAT MENTERI BESAR


Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dengan izin Allah SWT dijangka akan memasuki semula pejabatnya pada 18 Mei ini. Ini berikutan Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan akan mendengar permohonan Nizar bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi pada tarikh berkenaan.

Buat masa ini pejabat berkenaan dihuni sementara oleh Datuk Zambry Abdul Kadir perampas kuasa Menteri Besar yang menganggap tindakannya 'melanun' kerajaan Pakatan Rakyat di Perak menyamai perjuangan Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi!

Marilah kita sama-sama berdoa agar keadilan dan kebenaran akan kembali ditegakkan serta kita turut sama mendoakan agar sidang Dun Perak dibubarkan bagi memberi laluan pilihanraya negeri yang cukup ditakuti dan digeruni oleh Umno untuk diadakan.

1 MALAYSIA: HARGA MINYAK DINAIKKAN, RAKYAT DIKETEPIKAN, PEMIMPIN DIDAHULUKAN


Bermula 1 September ini harga minyak minyak RON 97 yang berharga RM 1.80 seliter akan dinaikkan sebanyak 20 sen menjadi RM 2.00. Langkah itu berikutan pengenalan minyak RON 95 yang dikatakan lebih berkualiti yang akan dijual pada harga RM 1.75 seliter. Manakala minyak RON 97 yang digunakan oleh kebanyakan kenderaan hari ini akan dijadikan minyak premium.

Atas alasan apa minyak kegunaan majoriti rakyat itu dijadikan produk premium tidak pula dinyatakan dengan munasabah dan meyakinkan. Apa yang menimbulkan kemusykilan pak cik mak cik di kampung ialah kenapa kerajaan memperkenalkan minyak baru yang dikatakan lebih berkualiti dari minyak RON 97 tetapi dijual dengan harga lebih murah. Lebih menghairankan pak cik dan mak cik ini ialah minyak RON 97 akan terus berada di pasaran walaupun minyak RON 95 diperkenalkan. Secara logiknya menurut pak cik dan mak cik tersebut kerajaan sepatutnya menarik semula penjualan minyak RON 97 apabila minyak RON 95 diperkenalkan.

Kata pak cik dan mak cik itu lagi ini semua membuktikan bahawa sebenarnya minyak RON 97 yang ada di pasaran sekarang adalah lebih baik daripada minyak RON 95 sebab itulah minyak RON 97 dilabel sebagai minyak premium. Nampaknya mak cik dan pak cik berkenaan bertambah pening kepala yang tak hilang lagi kesan daripada keadaan haru biru politik di Perak.

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN MENGELIRUKAN

Saya merasa dengan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali yang membenarkan permohonan Datuk Zambry Kadir untuk menggantung perlaksanaan penghakiman YA Hakim Datuk Abdul Aziz semalam yang mengisytiharan Dato Seri Mohamad Nizar sebagai MB negeri Perak yang sah.

Saya tidak nafikan mana-mana pihak yang terkilan dengan mana-mana keputusan seseorang Hakim berhak untuk membuat rayuan.

Namun undang-undang memperuntukkan dibawah
Aturan 13 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "sesuatu rayuan tidak boleh menggantung penguatkuasaan sesuatu penghakiman".

Ini bermakna dari segi prinsip perundangan, sesuatu penghakiman itu tidak boleh digantung atau ditahan penguatkuasaannya kecuali pihak yang merayu tersebut boleh membuktikan ujud satu keadaan istimewa dimana jika penghakiman itu dilaksanakan akan menyebabkan rayuan mana-mana pihak akan menjadi hampa (jika rayuannya dibenarkan).

Didalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi sekadar mengesahkan kedudukan YAB Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar, dan itulah kedudukan beliau sebelum daripada ini.

Jadi tidak timbul keadaan istimewa. Ianya akan jadi keadaan istimewa sekiranya keputusan itu menyebabkan negeri Perak tidak ada MB sehingga rayuan itu didengar dan diputuskan.

Keputusan itu sekadar menyatakan Zambry Kadir bukan Menteri Besar. Menguatkuasakan penghakiman tersebut bermakna beliau perlu mengosongkan pejabat dan rumah Menteri Besar.

Sekiranya rayuan beliau dibenarkan pun ianya tidak membawa apa-apa kerugian kepada beliau. Pejabat dan rumah Menteri Besar tetap ada disitu. Jawatan Menteri Besar tetap ujud dalam negeri Pera. Gajinya pun boleh dibayar semula menggantikan bulan-bulan yang beliau tidak mendapat gaji beliau sebagai MB.

Apa yang saya nampak keadaan istimewa itu hanyalah bagi BN kerana mereka kehilangan kerusi MB. Dan kehilangan kerusi MB bagi BN bukanlah keadaan istimewa saperti yang disyaratkan oleh undang-undang untuk memberikan perintah penggantungan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Apatah lagi Hakim Datuk Ramly dalam perintahnya menyatakan bahawa Zambry Kadir masih lagi MB. Ini adalah merit kes itu sendiri yang mana telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai sebaliknya.

Bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly yang tidak membicarakan kes tersebut dan tidak mendengar saksi dan keterangan boleh menyatakan Zambry Kadir sebagai MB sedangkan Hakim yang membicarakan kes itu iaitu YA Dato Aziz telah memutuskan sebaliknya.

Selanjutnya saya hairan bagaimana Hakim Datuk Ramly boleh membicarakan permohonan Zambry tersebut dengan bersidang seorang diri sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan undang-undang menyatakan dibawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "melainkan dinyatakan sebaliknya, apabila sesuatu permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, ianya HENDAKLAH dibuat di Mahkamah Tinggi dahulu" (sila rujuk juga buku Civil Procedure tulisan Jefrey Pinsler m/s 860).

Bermakna permohonan Zambry sepatutnya difail dan didengar oleh Hakim yang membuat keputusan itu dahulu iaitu YA Dato Aziz. Malahan YA Dato Aziz telah pun mengarahkan peguam Zambry supaya memfailkan permohonan secara bertulis.

Dan inilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v. Dato Seri Anwar Ibrahim apabila membincangkan isu permohonan penggantungan hukuman penjara terhadap DSAI dahulu sementara menanti rayuan.

Jadi bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly sebagai Hakim Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan membicarakan permohonan penggantungan penghakiman oleh Zambry sebelum YA Dato Aziz mendengar dan membicarakannya!

Saya khuatir keputusan Haim Datuk Ramly akan mengujudkan satu "precedent" baru yang bercanggah dengan semua prinsip dan keputusan Mahkamah-mahkamah sebelum daripada ini.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen
Kulim Bandar Bharu
17 Jamadil Awal 1430

KONFLIK DI PERAK SENGAJA DIRANCANG?

Melihat senario yang berlaku di Perak, saya merasakan bahawa apa yang berlaku di Perak adalah sesuatu yang sengaja dirancang untuk mewujudkan suasana tidak stabil agar rakyat melupakan isu lain yang berlaku di dalam negara.

Hari ini rakyat seolah-olah lupa dengan isu Altantuya, rakyat 'selesa' dengan krisis ekonomi yang berlaku dalam negara serta rakyat tidak lagi membicarakn konflik hebat yang sedang berlaku dalam Umno sebelum ini.

Saya berharap pihak Pakatan Rakyat tidak terperangkap dengan strategi dan provakasi yang cuba dilakukan oleh Umno@BN dalam kemelut yang berlaku. Sehingga hari ini saya melihat ada kematangan cara dan gaya pemimpin Pakatan Rakyat menangani isu ini cuma ada seorang dua pimpinan yang kadangkala mengeluarkan kenyataan yang merugikan Pakatan Rakyat seolah-olah Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang.

Pernah tak kita terfikir apabila keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas yang mengiktiraf Dato seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Datuk Zambry Abdul Kadir hanya menunjukkan reaksi selamba seolah-olah seperti dapat jaminan dan menduga apa yang berlaku pada hari yang berikutnya?

Saya juga yakin selagi DUN tidak dibubarkan lebih banyak adegan dan drama yang memualkan akan berlaku di Perak. Pakatan Rakyat mungkin boleh memikirkan formula lain bagaimana untuk terus meraih sokongan rakyat Perak dan ' membuka hati' Istana Perak untuk membubarkan DUN Perak. Selain siri ceramah dan penerangan serta usaha untuk mengadap DYMM Sultan Perak secara berterusan dan proses perundangan di mahkamah, kempen tanda tangan mungkin boleh digunakan sebagai satu usaha untuk membuktikan sokongan rakyat Perak terhadap pembubaran DUN.

12 May 2009

1 MALAYSIA: NEGARA JADI BAHAN LAWAK JENAKA

Isu di Perak menyerlahkan bahawa idea IMalaysia hanya retorik yang tidak membawa apa-apa makna. Walaupun pelbagai pihak mengesa dan mendesak agar mengutamakan rakyat dengan memberi kembali mandat kepada rakyat Perak untuk membuat pilihan melalui pembubaran DUN, Umno@BN seperti buta dan tuli daripada rayuan majoriti rakyat Perak.

Hari ini Suhakam, MCA dan Gerakan turut mengulangi gesaan agar Dun Perak dibubarkan untuk menghormati hak rakyat dan menjunjung prinsip demokrasi. Apa kata perdana menteri 1 Malaysia? Tidak ada sebarang pilihanraya kecil di Perak. Semua ini menyerlahkan bahawa Umno@BN terus dengan tradisi menganiaya dan mendera rakyat.

Semua ini menyerlahkan bahawa Umno@BN takut berhadapan dengan rakyat. Apa sebenarnya yang ditakuti oleh Umno@BN jika pilihanraya diadakan di Perak? Bukankah mereka mendabik dada mengatakan mereka adalah kuat dan berpengaruh? Mengapa Umno@BN gentar walhal polis, SPRM dan semua agensi kerajaan memihak kepada mereka? Apakah yang Umno@BN bimbangkan kerana mereka mempunyai limpahan wang dan projek yang boleh ditabur dan dicurahkan kepada rakyat dalam pilihanraya ? Apa lagi yang UmnO@BN risaukan kerana semua media dari surat khabar dan rangkaian telivesyen dikawal oleh mereka?

Adakah Umno@BN hendak membiarkan negara ini terus menjadi lawak jenaka masyarakat dunia? Adakah Umno@BN gembira dengan situasi di mana pelabur tidak mahu lagi mencurah projek di negeri Perak? Mungkin ini lah agaknya yang dimaksudkan 1Malaysia: Rakyat didahulukan prestasi diutamakan.

ZAMRY VS MANDELA DAN GANDHI : IBARAT LANGIT DENGAN BUMI

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir hari ini menyifatkan 'perjuangannya 'seperti Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.

Maaflah Zambry, perjuangan Mandela dan Mahatma Gandhi adalah perjuangan untuk rakyat. Membela dan mempertahankan tanah air dengan jiwa raga dan nyawa. Mereka dianggap pejuang hak kebebasan dan demokrasi tulen.Mereka juga sanggup dipenjara dan menderita untuk kehidupan rakyat.

Tetapi Zambry, tindakan beliau di Perak bukan sahaja memalukan rakyat Perak dan Malaysia tetapi tindakan merampas kuasa kerajaan pilihan rakyat adalah perbuatan mengkhianati dan menghina demokrasi di negara ini. Hanya satu je yang saya nampak persamaan di antara Zambry Vs Mandela dan Gandhi iaitu warna kulit! Tak lebih dari itu....

KEADAAN TAMBAH BERCELARU DAN HARU BIRU DI PERAK

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Kudeta Datuk Zamry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas semalam yang mengistiharkan Dato Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah.

Seperti yang saya catatkan semalam, apa juga keputusan Mahkamah sama ada di peringkat Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan sama ada memihak kepada Nizar atau Zamry tidak akan menyelesaikan konflik di Perak selagi DUN tidak dibubarkan.

Keputusan Mahkamah Rayuan sekali lagi meletak rakyat Perak berada dalam dilema dan menjadi mangsa gara-gara kegelojohan Umno merampas kuasa di Perak. Justeru itu Umno@BN cukup takut dan gentar berhadapan dengan pilihanraya semula di Perak kerana menyedari nasib yang bakal menimpa mereka. Oleh itu mereka akan mencari seribu satu helah dan dalih untuk mengelakkan berlaku pilihanraya semula di Perak.

Keputusan Mahkamah Rayuan sebentar tadi sama sekali tidak mengubah keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Hanya orang yang tak ada maruah dan perasaan sahaja seperti Zamry yang sanggup mengaku bahawa dia masih menjadi Menteri Besar.

UMNO@BN AKAN BUAT SIDANG DUN BAWAH POKOK?

Melayari blog-blog Umno kebanyakannya sukar menerima hakikat bahawa mahkamah telah membuat keputusan Dato Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mereka masih meletak harapan untuk memanggil sidang Dun tergempar kerana mempercayai bahawa walaupun MB dimiliki oleh Pakatan Rakyat, 'Speaker' masih bersama mereka. Siapa dia speaker tu? G. Ganesan? Bila pulak dia jadi speaker kalau sidang dun 7 Mei lalu adalah haram dan perjalanannya tunggang langgang bertentangan dengan undang-undang? Bila pulak ada speaker baru mengangkat sumpah? V. Sivakumar masih sihat segar bugar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, tidak ada sebab dan sebarang ayat pun yang keluar daripada mulutnya bahawa beliau meletak jawatan.

Kalau Umno nak panggil sidang Dun macam mana? Boleh, tak ada masalah tetapi bukan di Bangunan Darul Ridzuan tetapi mungkin di bawah pokok....

NIZAR DAN 8 EXCO PAKATAN RAKYAT KEMBALI BERTUGAS HARI INI



Setelah 96 hari dinafikan hak sebagai Menteri Besar, Menteri Besar Perak Dato seri Ir Nizar Jamaludin dan lapan orang Exco yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat memasuki bangunan Darul Ridzuan sebentar tadi dengan kawalan ketat pihak polis.

Semua wartawan dan media tidak dibenarkan masuk oleh polis untuk membuat liputan.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mesyuarat Exco Kerajaan Perak yang berlangsung malam tadi turut membuat keputusan menggantung Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Setiausaha Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang selama ini menjadi dalang utama kekacauan politik di Perak. Tindakan ini adalah wajar kerana pegawai-pegawai kanan kerajaan berkenaan telah bertindak melampaui tugas serta menjadi tali barut kepada Umno@BN di Perak.

Kepada pemimpin Umno@BN dinasihatkan agar mengkaji kembali kitab undang-undang yang menjadi sanjungan dan rujukan mereka selama ini serta mencari peguam yang lebih cerdik tentang pelembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak sebelum melakukan tindakan bodoh yang akhirnya memalukan mereka sendiri seperti sekarang.

11 May 2009

UMNO BERKABUNG SEMPENA ULANGTAHUN KE 63


Hari ini merupakan ulang tahun Umno ke 63. Biasanya bila sebut pasal menyambut ulang tahun, setiap orang pasti gembira. Lebih-lebih lagi dapat pelbagai hadiah dan ucapan tahniah sambil potong kek. Majlis ulang tahun lebih bermakna jika ahli keluarga sahabat taulan jauh dan dekat turut datang meraikannya.

Tetapi ulang tahun ke 63 yang disambut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini yang turut dihadiri oleh Presiden dan Perdana Menteri 1 Malaysia disambut dalam noktah duka. Semua ini dapat diduga apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang ibarat halilintar yang menusuk jiwa terutama pemimpin-pemimpin Umno. Majlis sambutan Ulang Tahun ke 63 kali ini tidak ceria umpama majlis perkabungan dan umpama mengahadiri majlis kematian.

Itulah padahnya apabila setiap tindakan tidak berfikir panjang, dibuat secara tergesa-gesa, gopoh gapah serta menzalimi rakyat. Ingatlah doa orang yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Di dunia lagi Allah SWT sudah tunjukkan...Di akhirat nanti azabnya tidak terperi...Insaflah wahai Umno...Rakyat menolak kepimpinan yang menipu dan menganiaya serta menindas rakyat...Insyallah kebenaran akan datang dan kebatilan akan lenyap binasa.

NIZAR DIPERKENAN MENGADAP RAJA MUDA PAGI ESOK


Raja Muda Perak DYMM Raja Nazrin Shah telah memperkenankan Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin mengadap jam 8.30 pagi esok. Nizar akan disertai beberapa orang Adun dari Pakatan Rakyat.

Sultan Perak DYMM Sultan Azlan Shah ketika ini berada di Amerika Syarikat. Marilah kita semua rakyat Malaysia berdoa agar krisis politik di Perak dapat diselesaikan secara baik dengan perkenan daripada Raja Nazrin untuk membubarkan Dun Perak untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik.

BUKAN SAHAJA ZAMRY, NAJIB JUGA WAJAR UNDUR


Dato Seri Ir Nizar Jamaludin meminta agar Datuk Zamry Abdul Kadir agar mengosongkan jawatan dan pejabatnya secara terhormat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas hari ini.

Difahamkan Zamry dan 'barisan Exconya' bersedia mengosongkan dan meninggalkan pejabat masing-masing esok. Keputusan mahkamah hari ini bukan sahaja menjawab segala tuduhan liar dan tohmahan yang dikemukakan kepada Nizar dan Pakatan Rakyat.

Dalam hal ini, bukan sahaja Zamry yang perlu mengundur diri tetapi Dato Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri 1 Malaysia juga wajar meletak jawatan. Ini kerana umum berpendapat bahawa Najib merupakan teraju utama yang membawa kepada rampasan kuasa dan keadaan huru-hara di Perak sebelum ini.

Namun adalah sesuatu yang tak masuk akal dan mustahil Najib akan melepaskan jawatannya berdasarkan kes ini melainkan keputusan mahkamah hari ini akan mempercepatkan tali hayat Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang akan berhadapan dengan suara rakyat yang menolak cara dan gaya beliau mentadbir negara ini dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

BANGUNAN SUK PERAK DI KEPUNG POLIS.

Apakah ada drama lain yang akan berlaku di Bangunan Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar dan DUN Perak? Maklumat yang diperolehi melaporkan bahawa FRU mula mengawal ketat bangunan berkenaan.

Saya berharap kehadiran polis adalah untuk mengawal keamanan dan menguatkuasakan undang-undang berdasarkan keputusan Mahkamah tinggi hari ini. Seluruh dunia akan menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam politik negara. Semoga polis tidak mengikut arahan dan melaksanakan sebarang taktik kotor Umno@BN seperti dalam sidang DUN Perak baru-baru ini.

MAHKAMAH TINGGI ARAH ZAMRY DAN EXCO KOSONGKAN JAWATAN

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahimim yang membuat keputusan Dato Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah turut mengarahkan agar Datuk Zamry Abdul Kadir dan 'barisan Exco' supaya mengosongkan pejabatnya di Bangunan Darul Ridzuan dengan kadar segera.

Kita tunggu adakah Zamry dan 'barisan Exconya' akan menuruti perintah Mahkamah Tinggi? Ini kerana sebelum ini mereka sering menuduh Pakatan Rakyat di Perak tidak mematuhi undang-undang dan mencabuli pelembagaan. Rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya serta seluruh penduduk dunia sedang memerhati dan mengikuti perkembangan yang terkini yang sedang berlaku di Perak. Semoga tidak ada lagi episod dan sejarah hitam yang akan dipalit oleh Umno@BN dalam demokrasi negara.

Saya juga berharap tidak ada adegan hakim diheret keluar seperti yang berlaku kepada Speaker Perak dalam sidang Dun 7 Mei yang lalu kerana tidak tunduk dan menyebelahi arahan Umno@BN.

MAHKAMAH PUTUSKAN NIZAR MB PERAK, ZAMRY MB HARAM!


Akhirnya segala perjuangan untuk mempertahankan hak sebagai Menteri Besar Perak terbukti hari ini apabila mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi memutuskan bahawa Dato Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Sekaligus pelantikan Datuk Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebelum ini adalah tidak sah dan terbatal. Bermakna Zamry adalah Menteri Besar haram!

Bermakna segala keputusan dan arahan Zamry semasa menjadi 'Menteri besar' sebelum ini adalah terbatal dengan sendirinya. Zamry sebelum ini dengan muka tak malu telah menduduki pejabat Menteri besar, melalui SUK mengarahkan Nizar mengosongkan kediaman rasmi MB, melelong Toyota Camry, melantik barisan 'Exco",melaksanakan pelbagai upacara rasmi sebagai 'Menteri Besar' termasuk sidang Dun haram pada 7 Mei lalu dengan melantik speaker haram dan membenarkan pihak polis mencemari sidang Dun Perak.

Saya menjangkakan Dun Perak akan dibubarkan bila-bila masa dari sekarang. Keputusan mahkamah ini merupakan satu kemenangan rakyat dan tamparan yang paling hebat kepada Dato Seri Najib yang mendalangi dan merestui rampasan kuasa di Perak. Semua jentera Pakatan Rakyat mesti bersiap sedia di setiap peringkat bagi menghadapi pilihanraya kecil di Dun Perak dalam tempoh terdekat.