30 August 2010

IBRAHIM ALI KATA TUAN GURU NIK ABD. AZIZ KURANG BERTAQWA

Hebat betul Ibrahim Ali ni, selepas muncul juara lompat melompat kini cuba untuk mengambil alih tugas Majlis Fatwa. Semalam dalam majlis Berbuka Puasa di Kelab Sultan Sulaiman beliau berkata Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai seorang yang beriman tetapi kurang bertakwa apabila bertindak mempertahankan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada Ahad lalu.

Kehebatan Presiden Perkasa ini begitu terserlah kerana dapat menilai tahap taqwa dalam diri seseorang. Cuma saya nak bertanya pada Ibrahim Ali siapa pemimpin Umno yang paling tinggi nilai taqwanya ? Rahim Tamby Chick, Ali Rustam atau Jamaludin Jarjis? Manakala di antara Dr. Mahathir dan Dato Seri Najib siapa yang paling tinggi taqwanya?

Saya juga mencadangkan agar Ibrahim Ali dilantik sebagai Pengerusi Majlis Fatwa Melayu jika tewas selepas pilihanraya umum nanti supaya fatwa-fatwanya dapat digunakan oleh generasi akan datang khususnya dalam bab lompat melompat! Saya yakin Khairy Jamaludin turut bersetuju dengan pandangan saya.

29 August 2010

PEMIMPIN UMNO TAK LAYAK BERCAKAP PASAL ISLAM

Pastinya orang Umno dan yang sewaktu dengannya melenting dan marah-marah dengan tajuk ini. Tetapi itulah hakikatnya. Setelah gagal menjadi juara Melayu dengan membangkitkan isu perkauman sempit, isu agama cuba dijadikan modal terbaru strategi politik yang memualkan. Malah setiap isu agama Islam yang dibangkitkan menyebabkan mereka 'kantoi' ( meminjam kata-kata Ust. Nashrudin Tantawi).

Mana tidaknya, semua isu agama Islam yang bertujuan membangkitkan sentimen negatif akhirnya terkena atas batang hidung sendiri. Ibarat meludah ke langit, bukan sekadar air ludah segala kahak dan nanah serta segala kebusukan masuk ke dalam mulut mereka sendiri.

Malah, tak perlu susah-susah buat program realiti TV Raja Lawak kerana pemimpin Umno kini menjadi pelawak yang menyebabkan mereka di ketawakan setiap hari. Bukan oleh Umat Islam sahaja tetapi bangsa dan agama lain yang lebih faham tentang Islam berbanding dengan pemimpin Umno yang sewaktu dengannya yang mungkin faham atau buat tak faham atau memang tak faham-faham!

Isu doa khutbah dan terkini orang bukan Islam masuk masjid mendedahkan kejahilan mereka sendiri. Isu orang bukan Islam masuk masjid telah lama dibahaskan. Tindakan sengaja membesarkan isu bukan Islam masuk masjid dan surau sebenarnya satu penghinaan kepada Jawatankuasa Majlis Fatwa yang mereka sendiri lantik dengan perkenan DYMM Agong yang telah mengharuskan orang bukan Islam masuk ke surau dan masjid dengan syarat dan adab-adab yang ditetapkan.

Pergilah ke Masjid Negara, Masjid Putrajaya, Masjid Kristal, Masjid Terapung, Masjid Selat, Masjid Tengkera dan lain-lainnya lihat orang bukan Islam yang terdiri daripada pelancong asing berduyun-duyun masuk. Kenapa tak jadikan isu?

Kalau nak bercakap tentang Islam pemimpin Umno kena cermin dan teropong diri sendiri. Berapa kerat isteri pemimpin Umno yang menutup aurat dengan sempurna? apakah hukum menutup aurat tu tak wajib!

Pemimpin Umno juga kena tanya siapa yang meluluskan lesen judi dan arak serta membenarkan pusat perjudian dan kilang arak di bina di negara ini. Siapakah pemimpin atau wakil rakyat di parlimen yang menyokong semua ini?

Pada bulan ramadhan yang mulia ini eloklah pemimpin Umno pergi dengar tazkirah di masjid dan surau. Rebutlah peluang 10 terakhir ramadhan untuk membuat lebih banyak amalan dan kebajikan. Sia-sia sahaja puasa dengan berlapar dan dahaga kalau asyik sibuk menabur fitnah dan berterusan melakukan pembohongan. Rajin-rajinlah iqtikaf dan Qiamulail moga diberi hidayah oleh Allah. Paling kurang pun diberi kekuatan untuk menyuruh isteri tercinta untuk menutup rambut yang terjuntai dan terjulur keluar! Selamat Menyambut Ramadhan!

22 August 2010

ULAMA TUA DAN ULAMA MUDA UMNO KENA AJAR PEMIMPIN MEREKA BAB DOA


Riuh rendah dan gegak gempita betul canang pemimpin Umno isu doa di Pulau Pinang. Al kisahnya ada beberapa khatib yang membaca khutbah mendoakan Lim Guan Eng agar diberi hidayah memeluk Islam. Isunya telah dipusingkan 360 darjah, bukan lagi isu mendoakan bukan Islam agar diberi hidayah tetapi puak-puak Umno main isu seolah-olah ada arahan dari kerajaan negeri yang diterajui DAP agar buang nama DYMM Agonng digantikan dengan nama pemimpin DAP.

PM dan TPM juga tumpang semangkuk meminta satu siasatan dijalankan kerana katanya perbuatan tersebut serius, melampau dan tidak boleh diterima. Kata suruh siasat tapi awal-awal lagi dah jatuh hukuman...

Tak payah nak sembunyi 1Malaysia tahu isu ini sengaja diperbesarkan dan dimanipulasi Umno dengan menambah perisa dan perencah dengan tujuan mewujudkan sentimen kaum dan agama di negara ini. Perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana rakyat Malaysia yang sihat dan waras.

Walhal menurut salah seorang khatib yang mendoakan Lim Guan Eng iaitu Ustaz Zakaria Ahmad dari masjid Jelutong tujuannya ialah supaya Allah memberi hidayah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya memeluk Islam. Malah perkara itu sudah dua tahun dilakukannya. Mengapa sekarang baru jadi isu? Itu pun salah ke? Ulama tua dan ulama muda dalam Umno tolong ajar dan nasihat sikit pemimpin mereka supaya tidak menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka tentang Islam.

Ulama tua dan ulama muda dalam Umno kena juga beri nasihat kepada pemimpin mereka bahawa buat solat hajat, baca surah Yassin untuk P Kalamathan di Hulu Selangor dulu mereka guna ayat Quran dan hadis mana untuk menghalalkan tindakan dan fatwa mereka?

21 August 2010

PARTI PERKAUMAN : UMNO KEMBALI KE ZAMAN BATU!

Kebelakangan ini kita dapat melihat Umno begitu bersungguh-sungguh memainkan isu perkauman di kalangan rakyat di negara ini. Adakah ini hasil nasihat Apco Worlwide perunding Yahudi yang dibayar oleh Umno-BN?

Apa yang berlaku menunjukkan Umno cukup sesak dan terdesak dengan kemerosotan sokongan rakyat di negara ini khususnya daripada masyarakat Cina yang kini semakin menjauhkan diri dari Umno. Pemimpin Umno kini dilihat tidak berupaya untuk menerajui BN yang dikatakan menjadi punca penolakan majoriti rakyat dalam pilihanraya umum lalu. Malah berdasarkan beberapa analisis dan andaian sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat semakin melonjak dan begitu memberansangkan.

Dalam setiap aktiviti dan program sokongan masyarakat Cina khususnya kepada Pas dan PKR begitu meyakinkan. Semua ini menyebabkan pemimpin Umno kini tidak tidur lena kerana dibuai mimpi ngeri nasib mereka menjelang pilihanraya umum ke 13.

Umno tidak ada cara lain selain terpaksa berpaut dan bergantung kepada orang Melayu agar terus kekal berkuasa. Butang kecemasan semangat perkauman terpaksa ditekan agar wujud kebencian kaum di negara ini.

Taktik keji dan jijik ini menjadikan Umno parti yang kini kembali ke zaman batu. Ketika Pas terbuka kepada semua kaum, PKR dikenali parti berbilang kaum serta DAP yang lebih menghormati sensitiviti kaum, Umno terkebelakang dengan cuba menunjukkan lagak sebagai jaguh membela orang Melayu.

Mungkin era zaman batu atau 1960-an hingga 1980-an taktik ini akan berjaya. Tetapi sekarang zaman ICT, dunia tanpa sempadan dan dasar langit terbuka rakyat mendapat maklumat di hujung jari. Taktik Umno bakal menikam diri. Mungkin mereka berjaya di kawasan pengundi tradisonal di hulu, solok dan kampung tetapi tidak kepada masyarakat bandar dan kota yang semakin matang dan cerdik untuk menilai segala muslihat dan tipu daya Umno. Cukuplah lebih setengah dekad Umno menipu dan membodohkan rakyat di negara ini.

Saya begitu kagum dengan kematangan pimpinan Pakatan Rakyat yang tidak melenting dan melatah serta begitu tenang dan bijak menangani situasi ini. Saya berharap ketenangan dan kebijaksanaan menangani isu ini turut dicontohi oleh semua pimpinan bawahan dan penyokong agar tidak terperangkap dengan segala propaganda dan provokasi melampau yang dilakukan oleh pimpinan Umno yang bermain wayang dengan pemimpin MCA.

16 August 2010

UMNO BERGADUH SESAMA SENDIRI ADA HATI NAK AJAK PAS BERSATU

Pertelingkahan dan pergolakan dalam Umno semakin membarah ketika pemimpin-pemimpin mereka cuba memainkan lagu perpaduan. Di Terangganu Dato Hishamudin selaku pengerusi perhubungannya pening kepala dengan karenah kumpulan Mat Said dan Idris Jusoh. Walaupun telah dilantik menjadi kapten kapal, Hishamudin berkecamuk kerana di Terangganu Umno mempunyai dua tekong yang tak sehaluan.

Dalam masa yang sama Hishamudin berperang mulut dengan direktor filem yang kini menerajui MCA berhubung isu semangat BN yang masing-masing berperang mulut menunding jari di antara satu sama lain.

Di Alor Star Kedah, 11 AJK pemuda bahagian berkenaan meletak jawatan serentak kerana tidak berpuasa hati dengan pucuk pimpinan bahagian. Manakala akar umbi Umno di Bukit Bendera hari ini mengugut untuk menyertai persatuan lompat melompat yang dipelopori Dato Ibrahim Ali kerana tidak berpuas hati perjalanan mesyuarat bahagian Umno baru-baru ini. Jumlahnya bukan sedikit dikhabarkan kira-kira 360 orang.

Tak payah nak sembunyi 1Malaysia tahu di mana-mana Umno dan BN sedang bergolak. Pastinya presiden mereka yang baru balik bercuti untuk mencari ilham di Peranchis dan Itali pening lebih-lebih lagi tarikh pilihanraya negeri Sarawak semakin hampir dan ketika sedang berkira-kira untuk mencari masa sesuai untuk membubarkan parlimen.

Maka dalam keadaan Umno sedang berkecamuk dan bergaduh sesama sendiri masih lagi dengan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong hendak mengajak Pas bekerjasama kononnya atas nama Melayu? Selesaikanlah masalah rumah tangga sendiri dulu...

15 August 2010

TRAGEDI BAZAR RAMADHAN: APAKAH MASIH INGIN MEMPERSENDAKAN ISLAM?

Tragedi ribut di Bazar Ramadhan berhampiran Mini Stadium Jasin benar-benar mengejutkan semua. Bagi yang berfikir dan beriman akan menerima berita ini sabagai satu peringatan dari Allah SWT.

Sudah pasti ada sesuatu yang Allah hendak sampai di sebalik tragedi tersebut. Berlaku dalam sekelip mata. Khemah-khemah besar diterbangkan umpama kertas-kertas berterbangan. Itu cuma sedikit berbanding hari Kiamat nanti apabila gunung ganang dan bukit bukau bergoncang. Manusia bertempiaran, lupa keluarga, suami dan anak tercinta kerana gawatnya kiamat yang melanda.

Apakah ini semua secara kebetulan? Ketua Menteri masih berkeras menubuhkan Sekolah Murid Mengandung di daerah Jasin tempat malapetaka berlaku kelmarin. Kadar jenayah, zina dan anak haram makin berluasa di negeri Melaka.

Program-program mungkar dan maksiat dibiar berluasa seolah-olah mencabar hukum Allah SWT. Masih ingatkah lagi Malam Pesta Muda Mudi dengan restu kerajaan negeri sebelum Ramadhan lalu.

Lihat dan saksikanlah klip video ini dengan rasa keimanan dan keinsafan. Bagaimana ribut melanda hanya berlaku di Bazar Ramadhan itu sahaja. Kenapa dan mengapa? Fikir-fikirkanlah wahai mereka yang beriman.....


11 August 2010

RUPA-RUPANYA UMNO PUNYA ANGKARA


Apabila kain rentang ini heboh diperkatakan, saya kata kepada seorang rakan mustahil ini dilakukan oleh PKR. Kata saya lagi kain rentang seperti ini sama seperti provokasi yang dilakukan oleh Umno dalam pilihanraya kecil atau umum untuk menunding bahawa kononnya ini kerja-kerja gila Pakatan Rakyat.

Tujuannya mudah supaya rakyat marah. Kali ini bukan sahaja nak suruh rakyat tetapi DYMM Sultan Johor juga murka. Manakan baginda tidak murka kain rentang itu sengaja dinaikkan di sepanjang laluan Kembara Mahkota Johor.

Bagi saya Dr. Chua Jui Meng bodoh kalau dia mengarahkan kain rentang bersama dengan sultan Johor yang menyokong beliau sebagai Menteri Besar Johor. Maka rakyat Johor yang kuat dengan semangat Umno dan Melayu akan marah apabila seorang cina disebut sebagai Menteri Besar. Lebih-lebih lagi melibatkan sultan Johor dalam hal ini.

Hari ini semua tembelang dan taktik kotor itu terdedah apabila Dr Chua Jui Meng mendedahkan bahawa bekas Menteri Besar Johor merupakan dalang di sebalik kain rentang yang menimbulkan kontroversi itu.

Menurut beliau, Mereka berniat membuat sultan dan orang Melayu marah dengan PKR, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diri saya.'."Nama bekas menteri besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan. "Suatu ketika dulu, dia pernah tidak dialu-alukan untuk hadir ke istana sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup. Chua Jui Meng masih tidak lupa, dan masih mempunyai memori yang kuat. Jadi, tak masuk akal kalau dia meminta saya untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliaulah orang yang paling lantang mengkritik Sultan," katanya kepada Suara Keadilan.com.

Nampak sangat Umno semakin terdesak dan tersepit untuk memulihkan sokongan rakyat yang semakin menolak dan meluat kepada Umno. Saya yakin selepas ini banyak lagi provokasi dan taktik kotor akan digunakan untuk memburuk-burukkkan Pakatan Rakyat dan pimpinannya. Walau bagaimanapun saya yakin rakyat hari ini semakin matang untuk menilai senario politik yang berlaku dalam negara.

Kepada mereka yang melakukannya insaf-insaflah, bahawa mereka semakin ditolak oleh rakyat. Maka di bulan Ramadhan yang mulia ini banyakkanlah buat amalan dan bertaubat kepada Allah SWT. Tak guna berpuasa kalau perbuatan bergelumang dengan noda dan dosa. Wallahualam.

10 August 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN


Kepada semua diucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak. Moga-moga Ramadhan ini akan menjana taqwa membentuk peribadi unggul menjadikan kita semakin tunduk dan tawadhuk kepada keagungan dan kebesaranNya. Eid Mubarak...

08 August 2010

PAS LABUR BERPULUH JUTA REKRUT PELAJAR MESIR?

Menteri yang juga ahli parlimen Kemaman yang kini Pengerusi Kelab Umno Luar Negara berkata Pas membelanjakan berpuluh juta ringgit untuk menubuhkan 'kilang' pembangkang di kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Induksi dan Makan Malam Pelajar Baru United Kingdom dan Ireland 2010 di PWTC semalam.

Menurutnya kos berkenaan untuk menampung kehadiran pemimpin Pas di Mesir. Katanya lagi langkah Pas adalah untuk memastikan Mesir kekal sebagai tempat paling subur untuk menghasilkan pemimpin dan penyokong mereka.

Tak tahulah daripada Shabery Cheek dapat maklumat atau bukti. Kalau bab ramai pelajar Mesir menjadi pimpinan dan penyokong Pas itu saya setuju. Mereka di sana belajar bab syariah, usuludin, tafsir,hadis dan pelbagai cabang ilmu Islam.Tak kan mereka nak sokong Umno yang menolak Islam yang syumul dan bersekongkol dengan syarikat Yahudi Apco Worlwide.

Kalau ada pun pelajar Malaysia yang belajar di Mesir yang menyokong Umno, mereka sebenarnya tak berapa 'empuk' dan mengaji kitab tak habis ataupun mereka yang tergoda dan terpesona dengan habuan berada dalam Umno.

Nampaknya Pas kini menjadi sebuah parti kaya raya yang mempunyai dana berjuta-juta. Kalau di Mesir Pas habis berpuluh juta, maknanya di tempat lain Pas habis beratus juta dan mungkin mencecah bilion.

Maka Polis dan SPRM kena siasat mana Pas dapat duit banyak tu. Boleh jadi Pas dapat dana dari Osama Ben Laden! Mungkin juga pemimpin Pas jumpa harta karun dalam tanah dan gua.

Semua ini menunjukkan pemimpin Umno kini sudah kering dan tak ada modal untuk menyerang dan memfitnah Pas. Kalau Pas mempunyai duit berjuta-juta tak perlulah Pas menagih sokongan dari ahli dan penyokongnya untuk memberi derma atau infaq. Tak payah Pas susah-susah edar uncang dan tin kosong setiap kali majlis ceramah.

Tetapi saya juga tak nafikan Pas memang mempunyai duit berbilion ringgit tetapi bukan dalam mana-mana akuan milik Pas atau pemimpinnya tetapi berada di dalam poket dan akaun ahli dan penyokongnya yang kini berjumlah ratusan ribu orang di seluruh negara. Maka polis dan SPRM kena siasat semua akaun milik ahli dan penyokong Pas itu.

04 August 2010

KM MENTERI MELAKA SEMAKIN 'KREATIF' DAN 'CANGGIH'


Akhir-akhir ini saya mendapati Ketua Menteri Melaka semakin canggih dan kreatif dengan idea-ideanya menjelang tarikh pengistiharan Melaka Negeri Maju menjelang 2010.

Antara sumbangan yang paling tidak dilupakan ialah menganugerahkan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan. Walaupun teruk dikiritk dan dikutuk beliau hanya memekakkan telinga kerana alasannya untuk memajukan industri hiburan Bollywood di Melaka. Kalau tak silap lokasi kampung filem yang dibina oleh Ali Rustam di kawasan Melaka Pindah kini setaraf dengan Bollywood dan kurang sedikit dari Hollywood hasil sumbangan Shah Rukh Khan yang mendapat gelaran Datuk. Filem lakonan Shah Rukh Khan di Melaka kerjasama dengan kerajaan negeri khabarnya telah mencapai Box office dan masuk senarai pecah panggung.

Roda Eye On Malaysia yang dibawa oleh Ali Rustam ke Melaka kini menjadi antara besi buruk yang termahal di dunia hasil kebijaksanaan beliau mentadbir dan mengurus Melaka.

Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang dinaik taraf di Batu Berendam yang menelan kos lebih RM 120 juta kini pula menjadi antara lapangan terbang yang paling sibuk di dunia sebagai tempat persinggahan burung-burung dan unggas.

Sekolah Murid Mengandung pula hampir menjadi kenyataan di daerah Jasin Melaka. Antara nama yang disenarai pendek untuk menjadi pengetua khabarnya adalah bekas ketua Menteri Melaka juga.

Manakala budak-budak perempuan bawah umur di Melaka sehari dua ini melompat gembira kerana Ketua Menteri nak kahwinkan mereka secara percuma. Maka selepas ini mengeluh lah cikgu di sekolah kerana ramai anak murid ambil cuti dua bulan! Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Melaka. Melaka di sini segalanya bermula, apa yang tak ada di Malaysia semua ada di Melaka!

01 August 2010

SEKAT DAN PROVOKASI CERAMAH PR BUKTI UMNO SANGAT TERDESAK

Umno semakin cemas dan lemas dengan pelbagai pendedahan skandal, rasuah dan penyelewengan yang berlaku melibatkan pemimpin mereka serta yang sewaktu dengannya. Maka pelbagai taktik keji dan kotor dilakukan untuk menyekat segala maklumat sampai kepada rakyat.

Sekatan dan amaran kepada media milik Pakatan Rakyat seperti Harakah, Suara Keadilan dan Rocket membuktikan Umno cukup gelabah dengan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka selama berkuasa dengan menipu dan membodohkan rakyat.

Maka bagi menghalalkan tindakan yang tidak bertamadun dengan membelakangkan prinsip demokrasi dengan cuba menyekat sebarang bentuk penyampaian maklumat kepada rakyat maka pihak berkuasa dan agensi kerajaan diperalatkan .

Malah pemimpin Umno sendiri juga menjadi juara dalam melakukan provokasi terhadap ceramah anjuran Pakatan Rakyat.Paling ketara seperti gangguan ceramah yang didalangi dan diketuai oleh Ketua Menteri Melaka yang bergelumang dengan rasuah sebelum ini.

Jika sebelum ini beliau cukup terkenal apabila berkokok seperti ayam jantan hendak kena sembelih dalam satu majlis ceramah untuk mempersendakan presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang. Kebelakangan ini beliau membodohkan diri sendiri apabila beberapa kali menjadi penceramah bidan terjun berhampiran tempat ceramah yang diadakan oleh Pakatan Rakyat terutama di Dun Bukit Baru yang diwakilinya sekarang.

Apa yang berlaku di Rengit Batu Pahat malam tadi menjadi satu lagi bukti bahawa Umno cukup fobia dan gerun dengan kebangkitan serta sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Jika mereka kuat mengapa perlu ada gangguan terhadap segala bentuk aktiviti dan program pakatan Rakyat.

Bagi saya apa yang dilakukan hanya mukadimah dan memberi gambaran bahawa banyak lagi provokasi dan sekatan bakal dilakukan. Maka sekali lagi rakyat di negara ini bakal dihidangkan bahawa kononnya pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat bertindak bertentangan dengan undang-undang Umno!