04 June 2009

FESTIVAL HIJAU AHAD INI

Mungkin secara kebetulan dengan gelombang hijau yang mewarnai bandaraya Shah Alam di Selangor sempena Muktamar Pas ke 55, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini akan menganjurkan Festival Hijau untuk mempromosi dan mewujudkan kesedaran mengenai gaya hidup mesra alam sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia Ahad ini.

Pelbagai aktiviti diadakan untuk kanak-kanak, belia dan ibu bapa bermula jam 8 pagi sehingga 3 petang mengenai gaya hidup mesra alam sekitar.

Aktiviti itu antara lain ialah kitar semula sebagai satu cara hidup, mempelajari dengan lebih dekat mengenai kerja-kerja penyelidikan saintis FRIM serta kerja-kerja pemuliharaan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.
Selain itu, terdapat juga jualan dalam but kereta, demonstrasi panjat pokok serta lawatan berpandu ke pelbagai tempat di FRIM.

Harap-harap FRIM tidak fobia dengan warna hijau seperti sesetengah pihak dalam Umno@BN yang takut pada bayang-bayang bukan sahaja kepada warna hijau yang dikaitkan dengan Pas tetapi juga kepada warna biru muda (Keadilan), Kuning (Bersih), Merah(Protes),Putih (PPSMI) dan hitam(pejuang demokrasi).

JIKA SAYA MENJADI PERWAKILAN SAYA AKAN PILIH SIAPA?


Hari ini rancak diperkatakan tentang pemilihan dalam Muktamar Pas ke 55 yang akan dirasmikan esok di Stadium Malawati Shah Alam. Muktamar Pemuda telah membuka tirainya malam tadi dengan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Ustaz Nashrudin Mat Isa.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai pertembungan kononnya di antara dua kumpulan di dalam Pas iaitu golongan Erdogan dan ulama. Isu pertembungan ini dimulakan oleh pihak di luar Pas dan saya melihat ahli dan penyokong Pas mula terperangkap dengan mainan yang dilakukan.

Mungkin ahli dan penyokong Pas terlupa dalam pemilihan Pas dua tahun lalu, pemilihan di dalam Pas ketika itu dicanang sebagai pertembungan ulama modenis dan konsovertif. Siapa yang memberikan label itu? Pastinya mereka yang berada di luar Pas, penulis dan penganalisis politik serta mereka yang mempunyai agenda tersembunyi dan tertentu di dalam Pas. Mengapa pimpinan dan ahli Pas terperangkap dan mengikut rentak mereka?

Insyallah saya akan hadir di Muktamar Pas kali ini. Bukan sebagai perwakilan tetapi cuma menjadi pemerhati. Inilah saya dari dulu sehingga hari ini. Saya rasa inilah peranan saya yang lebih sesuai berdasarkan faktor kesihatan, keluarga dan tugas. Hotel telah ditempah awal-awal lagi kerana bimbang kehabisan. Bukan tak biasa bermalam di masjid atau markas tetapi untuk keselesaan keluarga yang dibawa bersama.Lebih-lebih lagi mukatamar kali ini dikatakan panas dengan pemilihan dan pelbagai isu berkaitan survival Pas.

Berbalik kepada isu dan tajuk, jika saya menjadi perwakilan siapa yang saya akan pilih terutama di kalangan tiga calon yang bertanding jawatan timbalan presiden? Kalau boleh dan diizinkan oleh pelembagaan parti saya akan pilih ketiga-tiga calon yang bertanding. Ini kerana ketiga-tiganya telah membuktikan komitmen dan iltizam kepada parti. Ketiga-tiganya mempunyai gaya kepimpinan serta misi dan visi yang tersendiri untuk kepentingan jemaah.

Memandangkan saya hanya boleh pilih seorang sahaja dan pilihan saya menentukan masa depan jemaah dan Islam maka saya akan menggunakan adab dan kaedah yang diajar dalam Islam. Saya akan bersolat sunat hajat dan Istikharah untuk diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk menentukan siapa pilihan saya.

Memilih pemimpin lebih besar tanggungjawab daripada memilih isteri. Silap memilih isteri kesannya mungkin hanya kepada keluarga yang ingin dibina.Tetapi silap memilih pemimpin kesannya akan ditanggung oleh jemaah,rakyat dan negara. Lupakan segala kenyataan dan ulasan media. Usah terpedaya dengan pelbagai strategi pihak luar dan di dalam jemaah sendiri untuk berkempen.Kembalilah kepada kaedah yang diajar dalam Islam semoga pilihan yang dibuat tidak memudaratkan jemaah dan parti serta menyebabkan menyesal di kemudian hari. Selamat Bermuktamar....