01 October 2008

BINGKISAN BUAT TEMAN SEPERJUANGAN DI MTD TIOMAN

Hari ini seperti dua belas tahun yang lalu setiap kali Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya AidilAdha jika balik ke kampung isteri saya akan menunaikan solat raya di Markas Pas di Kampung Sepakat , Rompin Pahang yang juga merupakan markas utama MTD Tioman.

Sebelum ini setiap kali solat sunat raya, suasana di markas ini cukup meriah dengan kehadiran pimpinan, ahli dan penyokong PAS di sini. Jemaah kadang-kadang melimpah sehingga ke luar markas. Namun kali ini suasana cukup berbeza berbanding tahun –tahun sebelumnya. Suasana kali ini nampak lesu dan tidak bermaya. Bilangan yang datang jauh merosot berbanding tahun sebelumnya.

Suasana di luar dan di dalam markas kelihatan tidak terurus, seperti telah lama ditinggalkan. Tambah memburukkan keadaan dengan dinding bangunan markas yang sudah kelihatan pudar dan kusam.Khutbah raya juga sudah kurang ‘umphh’ berbanding sebelumnya. Jemaah yang datang hnya terdiri dari golongan ‘hard core’ atau ‘otai’ dalam PAS di sini. Adalah seorang dua muka-muka yang tidak dikenali. SB kot ? Mana pergi yang lain ? Di Mana silapnya ?

Seolah –olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku di sini yang perlu setiap pimpinan dan ahli bermuhasabah untuk membetulkan keadaan supaya situasi ini tidak berlarutan. Dari sembang –sembang dengan rakan seperjuangan di sini, wujud perpecahan yang agak membimbangkan. Ada golongan yang merajuk dan cuba ‘tunjuk pandai’ hingga wujud suasana tidak sihat dalam jemaah.

Apa-apa pun yang berlaku satu formula dan penyelesaian perlu dicari dengan segera agar kekalahan dengan majoriti yang agak besar dalam PRU lalu tidak berlarutan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Ketepikan segala agenda dan kepentingan peribadi dengan mengutamakan jemaah mengatasi segala-galanya. Sayangilah perjuangan dan jemaah yang sama-sama kita gerakkan. Kepada teman –teman seperjuangan di sini ingatlah setiap amalan dan tindakan kita akan ditanya di Hari Pengadilan kelak. Ambillah semangat ukhuwah dalam Aidilfitri ini untuk memantapkan perjuangan dengan menghayati konsep amal jamai’e.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI…MAAF ZAHIR DAN BATIN.