01 September 2009

TIADA PILIHANRAYA DI KOTA SIPUTEH....

Saya memang dah menjangka bahawa tidak akan berlaku pilihanraya kecil di Kota Siputeh ( baca posting saya sebelumnya). Cuma saya menunggu apakah alasan SPR untuk menidakkan pilihanraya kecil di Kota Siputeh.

Apa pun hujah yang diberi oleh SPR, rakyat terus memerhati dan menghakimi sebarang keputusan yang dibuat oleh SPR akhir-akhir ini hanya mengikut telunjuk pihak tertentu yang bimbang dan gerun dengan kebangkitan rakyat.

Apa yang berlaku di Perak sebelum ini, pengenalan peraturan baru yang dibuat tergesa-gesa seperti dalam piliahanraya kecil lalu menunjukkan SPR terus diperalatkan oleh mereka yang bimbang hilang kuasa dan pengaruh.

Undang-undang dan peraturan pilihanraya yang digubal sebelum ini boleh kekal dan berubah mengikut kemahuan dan citarasa pihak tertentu dengan memperalatkan SPR untuk mentafsir undang-undang yang mereka gubal sendiri.

KOTA SIPUTEH: SIAPA BAKAL BERPUTIH MATA?


Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akan membuat keputusan hari ini sama ada 'memperkenan' atau sebaliknya permintaan Speaker DUN Kedah untuk melucutkan status Adun Kota Siputeh yang gagal hadir tanpa izin ke sidang Dun dua kali berturut-turut.

Bagi Pakatan Rakyat pilihanraya kecil ini penting untung meneruskan kesinambungan kemenangan Pasca Pilihanraya Umum dan juga memberi isyarat kepada Umno@BN bahawa Pakatan Rakyat tidak tergugat dengan melompatnya Adun Lunas Mohamad Radzi Salleh sebagai calon 'bebas'.

Bagi Umno@BN pilihanraya kecil ini adalah sesuatu yang ingin dielakkan setelah baru menerima aib ketujuh setelah tewas dengan majoriti besar di Permatang Pasir.Jika pilihanraya kecil diadakan Umno hampir pasti akan berputih mata sekali lagi dengan kebangkitan rakyat yang semakin menolak Umno@BN. Mungkinkah Umno@BN akan boikot pilihanraya kecil Kota Siputeh seperti di Penanti jika diumumkan kosong oleh SPR untuk mengelakkan aib yang seterusnya?

Jika pilihanraya kecil Kota Siputeh tidak diadakan kita tunggu apakah alasan SPR yang akan diguna pakai untuk menidakkan sebarang pilihanraya kecil. Apa yang pasti jika pilihanraya kecil diadakan ada pihak yang bakal berputih mata. Paling tidak pun Adun Kota Siputeh sekarang Datuk Abu Hassan Sarif yang bakal kehilangan taraf Yang Berhormat dan pelbagai elaun yang bukan sedikit akan hilang begitu sahaja.