13 November 2009

TOK GURU BATAL TUNAI HAJI: MEREKA YANG BERNIAT JAHAT TANGGUNGLAH...


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasrat menunaikan fardhu Haji ke Mekah bersama dengan anggota keluarganya pada tahun ini. Perkara itu diumumkan dalam kuliah Jumaat di Bangunan Pas Kelantan hari ini.

Kepada yang sengaja bersangka buruk dan berniat jahat dengan berita-berita yang disiarkan sehingga menyebabkan Tuan Guru membatalkan hasrat menunaikan fardhu haji tahun ini maka anda tanggunglah sendiri. Maksiat dan dosa di sekeliling buat tak nampak dan tak kisah tetapi apabila ada orang nak buat ibadah dan kebajikan dipandang serong.

langkah Tuan Guru saya kira tepat dan wajar untuk mengelakkan pihak musuh terus membawa cerita dan menabur fitnah setelah isu pemergian haji beliau pada tahun ini telah disensasikan. Ternyata kepentingan jemaah lebih didahulukan dalam isu yang berlaku.Saya yakin persiapan telah dilakukan oleh Tuan Guru untuk mengerjakan ibadah Haji. Saya mendoakan agar Tuan Guru dipanjangkan umur untuk menjadi tetamu Allah pada masa akan datang.

PETANDA UMNO@BN PERAK BAKAL TUMBANG?

Tembok bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dikenali sebagai bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Ipoh runtuh selepas hujan lebat malam tadi menyebabkan sebahagian Jalan Istana ditutup kepada lalu lintas.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira 9 malam itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim berkata sebahagian tembok sepanjang kira-kira 24 meter dan setinggi 2 meter itu dipercayai runtuh akibat tekanan air.

Bercakap kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau berkata siasatan awal mendapati longkang di sebelah tembok berkenaan tersumbat dan air yang bertakung telah menolak tembok itu.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000, katanya.

Mungkinkah ini sebagai petanda kepada tumbangnya Kerajaan kudeta Umno@BN di Perak setelah merampas kuasa pilihanrayat kira-kira 10 bulan lalu. Mahkamah Persekutuan bakal membuat keputusan dalam tempoh terdekat siapa Menteri Besar Perak yang sah. Kepada Datuk Zambry Bin Abd. Kadir mungkin boleh cari kotak dan sewa lori untuk pindah barang dari pejabat. Wallahualam

JAMBATAN BENGKOK MELAKA KE DUMAI ?


Apabila bercerita tentang jambatan di antara negara teringatlah cerita tentang jambatan bengkok di Tambak Johor menghubungkan Malaysia dan Singapura. Cadangan itu senyap seketika tetapi tidak bermakna tidak akan dilaksanakan. Dalam erti kata lain ditangguhkan kerana wujudnya bantahan dan beberapa persoalan berkaitan dengan undang-undang.

Kini muncul pula cerita jambatan Melaka - Dumai yang mungkin dulu hanya mitos dan ilusi. Pembinaannya semakin hampir untuk dilaksanakan apabila bank dari China, Exxim Bank bersetuju membiayai ( bukan bagi percuma pastinya dalam bentuk pinjaman yang ada kadar bunga dan faedahnya) 85% dari kos RM 44 bilion projek berkenaan. Jika dengan kos itu ia mampu untuk bina jambatan bengkok dari pelbagai arah menghala ke tengah Tambak Johor di perairan atau sempadan milik Singapura.

Cita-cita Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Muhd. Ali Rustam ini jika terlaksana pastinya nama beliau akan dikenang sepanjang zaman seperti zaman Tun Dr. Mahathir dengan pelbagai projek meganya.

Beliau juga akan dikenang kerana lebih mengutamakan dan tergila-gilakan Jambatan Melaka-Dumai dari menyelesaikan masalah berkaitan rakyat. Di Ayer Molek sebuah jambatan dan bertahun-tahun terbengkalai yang mengakibatkan saluran air tersumbat dan banjir kilat. Kalau jambatan yang tak sampai sejuta pun tak boleh nak siap kini bermimpi pula dengan jambatan seperti mitos jambatan dalam cerita permintaan Puteri Gunung Ledang bina jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.

Saya tidak menafikan jambatan Melaka Dumai boleh memangkin ekonomi dan merancakkan pembangunan di Melaka. Tetapi jika betul rakyat didahulu dan diutamakan selesaikan dahulu isu banjir kilat yang gagal diselesaikan hingga hari ini. Begitu juga masalah kekurangan wad dan parking di Hospital Melaka yang kini berhadapan masalah yang sangat kritikal. Selesaikan juga masalah kesesakan yang semakin teruk melanda Melaka terutama pada waktu hujung minggu seperti di sekitar Bandar Hilir dan Bandaraya Melaka. Bayangkan dengan duit RM 44 bilion saya cukup yakin ia lebih daripada cukup untuk menyelesaikan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Melaka. Jika semua isu dan masalah rakyat sudah diselesaikan nak bina Jambatan ke Jakarta pun saya setuju!