22 October 2008

RM 12 UNTUK BANDUAN : RM 8 UNTUK MANGSA BANJIR

Itulah nilai dan perbezaan serta layanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap OKT ( Orang Kena Tahan ) di lokap-lokap polis yang setaraf banduan dan mangsa banjir di negara ini.Setiap OKT diberi peruntukan RM 12 sehari untuk kemudahan makan minum sepanjang ditahan di lokap. Berbeza mangsa banjir hanya mendapat peruntukan RM 8 sehari kemudahan makan minum sekiranya ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Golongan OKT yang terlibat dengan pelbagai tuduhan, jenayah dan kesalahan mendapat layanan lebih istimewa berbanding mangsa banjir yang mengalami musibah serta kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat banjir.

Dalam hal ini, kerajaan wajar mengkaji semula peruntukan yang disediakan untuk mangsa banjir. Mereka yang menjadi mangsa banjir bukan minta disediakan makanan yang enak dan lazat tetapi sekurang-kurangnya mereka disediakan makanan yang berkhasiat dan sesuai.

Berdasarkan pengalaman sebagai mangsa banjir besar di Melaka pada 26 Disember 2006 lalu menu yang disediakan di pusat pemindahan banjir memang ala kadar sahaja serta makanan yang disediakan adalah agak terhad.

Kerajaan sepatutnya lebih serius dalam menjaga kebajikan dan menyediakan kemudahan dan peruntukan yang mencukupi untuk mangsa banjir daripada membazirkan wang kepada projek kroni dan pembangunan yang tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat. Apa yang lebih membimbangkan terutama di Melaka akhir-akhir ini banjir berlaku tanpa mengira musim.

BALING KERUSI DALAM MESYUARAT UMNO ! BIASALAH TU...

Sabtu lalu, Persidangan Wanita Umno Bahagian Kuala Selangor kecoh dengan insiden baling kerusi dan tindakan keluar dewan oleh beberapa perwakilan cawangan berpunca daripada bantahan mereka terhadap tindakan Pengerusi Tetap bahagian itu, Zaini Khalid yang tidak memberi peluang kepada perwakilan terbabit untuk mencadangkan 10 nama perwakilan cawangan bagi menghadiri mesyuarat bahagian.


Sehari sebelum itu, persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang turut menyaksikan tindakan agresif sekumpulan individu dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati mereka membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah hingga menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.

Biasalah tu, kalau tidak ada adegan baling-baling kerusi maka hilanglah seri dan tidak sempurna agenda dalam mesyuarat-mesyuarat Umno. Mungkin selepas ini akan menyusul adegan yang lebih dasyat dalam mesyuarat Umno akan datang.

Inilah akibatnya apabila perjuangan asal membela nasib Melayu telah menyimpang. Apa yang diperjuangkan hari ini adalah kerana kuasa dan nama. Sudahlah Islam semakin terpinggir dalam Umno, perjuangan membela nasib Melayu pun sudah semakin terpesong. Sebab itulah agaknya Datuk Rais Yatim mencadangkan agar semua jawatan dalam Umno dibuat secara tender. Semuanya kerana wang dan harta, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu yang terus tertipu dengan sandiwara dan lakonan Umno membela nasib orang Melayu.

APA NAK JADI JADILAH...MELAKA TETAP BERI DATUK PADA SHAH RUKH KHAN


Walaupun menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, Ali Rustam tetap dengan pendirian bahawa kerajaan Melaka akan tetap memberi gelaran Darjah Mulia Seri Melaka ( DMSM ) yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Katanya, kerajaan Melaka serius dengan penganugerahan itu sebagai satu pengiktirafan kepada Shah Rukh Khan yang telah mempromosikan Melaka secara percuma melalui filem lakonannya bertajuk One 2 Ka 4 yang difilemkan di A'Famosa, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Beliau (Shah Rukh Khan) pun dah setuju, satu dunia pun sudah tahu, jadi kalau ditarik balik tak elok bagi kerajaan negeri dan bagi Shah Rukh Khan, macam kita tak fikir dulu sebelum beri, dah beri kemudian tarik balik, tak elok, buruk siku.


Shah Rukh Khan dikatakan telah bersetuju untuk datang ke Melaka pada bulan depan untuk menerima gelaran tersebut walaupun sebelum ini artis yang banyak berjasa kepada Melaka ini dikatakan turut terkejut dengan anugerah yang bakal diterima.Hal ini kerana walaupun lebih banyak menjadikan negara sendiri dan negara lain terutamanya di Eropah sebagai lokasi penggambaran filem beliau namun jasa dan sumbangan beliau mempromosi dan mengharumkan negara sendiri dan negara lain tidak mendapat pengiktirafan seperti yang diberi oleh kerajaan Melaka.

Maka selepas in pasti Shah Rukh Khan dan pengeluar filem Bollywood yang lain akan berpusu-pusu datang ke Melaka untuk membuat penggambaran filem untuk mendapat lebih banyak anugerah dan darjah dari kerajaan Melaka.

Selepas ini kita akan dapat menyaksikan dominasi filem dan drama Indonesia yang selama ini menguasai stesen TV tempatan akan dikuasai dan diambil alih oleh filem dan drama Bollywood pula kerana banyaknya penggambaran filem Bollywood di negara ini khususnya di Melaka.

Tak sabar rasanya nak menonton Shah Rukh Khan dan pelakon Bollywood lain selepas ini akan menari terkinja-kinja di Pulau Melaka atau di dalam Melaka Digital Mall, berguling-guling menyanyi di atas Bukit Cina dan berpusing-pusing di dalam 'Eye On Malaysia'di Bandar Hilir. Secara tak langsung seluruh dunia tahu betapa banyaknya projek gajah putih di Melaka.