
Sering kali sebelum ini Pas dikenali sebagai parti pak lebai dan hanya sesuai untuk golongan bertudung labuh. Ini kerana imej negatif yang sering diberikan oleh media arus perdana kepada Pas.
Program memasyarakatkan Pas yang dipelopori almarhum Ustaz Fadzil Nor telah menjadi perintis dan membuka mata tentang keterbukaan dan kebersamaan Pas bersama masyarakat.Imej Pas yang terbuka semakin terserlah dengan slogan 'Pas For All' yang telah membuka minda masyarakat sehingga dalam PRU lalu golongan bukan Islam tidak lagi ragu-ragu memberi undi kepada calon Pas.
Jika dulu orang cukup 'fobia' dengan nama Pas. Kali ini tidak lagi, malah suasana positif ini dapat dilihat di kalangan kakitangan awam.
Hari ini satu lagi sejarah tercipta membuktikan Pas boleh duduk semeja walaupun dari pihak lawan untuk kebaikan bersama bersama demi keharmonian negara.
Kerjasama antara Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dengan Dewan Muslimat PAS yang dimeterai hari ini merupakan satu perkembangan menarik dalam senario politik negara yang membuktikan keterbukaan Pas. Kerjasama ini bertujuan menumpukan kepada usaha untuk memperkasa golongan wanita Islam negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerjasama itu yang merentasi sempadan kaum, ideologi politik dan bangsa adalah platform dalam menentukan kecemerlangan wanita Islam ke tahap yang lebih optimum.
Beliau berkata, penyertaan Dewan Muslimat PAS adalah detik bersejarah yang membuktikan bahawa Islam merupakan titik penyatuan kepada semua aspek kehidupan walaupun dengan latar belakang yang berbeza.
“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan-badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog Senada bersama Dewan Muslimat PAS di sini.
Saya turut mengalukan sebarang kerjasama dan muafakat seumpama ini pada masa-masa akan datang selagi Pas tidak mengadai prinsip dan asas perjuangan untuk membawa kebajikan, keharmonian dan menjamin hak setiap individu seperti yang dituntut dalam Islam.