03 March 2010

UMNO -BN SEBENARNYA YANG TERDESAK!

Sehari dua ini mungkin pemimpin Umno bersorak dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya biarkanlah mereka bertepuk tangan, berkeroncong dan berdondang sayang.

Biarkan mereka bergembira seketika supaya mereka terlupa porak peranda dan tsunami yang bakal melanda mereka. Mereka fikir dengan cara itu rakyat akan memaafkan 'dosa-dosa' mereka selama memerintah negara.

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa kegawatan politik ciptaan mereka di Perak? Apakah mereka fikir pengundi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor akan kembali untuk mengundi Umno-BN kembali? Apakah mereka fikir rakyat akan lupa apa yang berlaku pada Altantuya? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang misteri kehilangan enjin pesawat? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang tragedi kapal selam yang tak boleh tenggelam?Apakah mereka fikir rakyat terhibur dengan berita propaganda media ketika rakyat sedang mengikat perut? Adakah mereka fikir rakyat akan percaya bulat-bulat Dato Seri Anwar meliwat si Saiful yang lebih gagah daripadanya?

Jika itu yang mereka percayakan silalah buat pilihanraya sekarang. Berdasarkan perkembangan sekarang saya cukup yakin rakyat semakin tidak sabar untuk menumbangkan Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Saya melihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat terutama daripada pengundi cina di seluruh negara. Saya yakin Umno-BN menyedarinya, sokongan pengundi cina kepada Umno-BN semakin merudum. Hakikat itu cukup digeruni oleh Umno-BN.

Maka terdapat teori mengatakan Umno-BN amat terdesak untuk mendapat undi 2/3 di parlimen. Hanya undi 2/3 di parlimen sahaja yang membolehkan Umno-BN membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika persempadanan semula dibuat sudah pasti ada pertambahan kawasan parlimen yang majoriti Melayu kerana mereka tidak yakin di parlimen yang mempunyai ramai pengundi cina. Andaiannya, pengundi Melayu umpama tunggul kayu yang mudah ditipu yang diangggap secara tradisi menyokong parti penipu dan pengampu.

Maka berdasarkan perkembangan yang berlaku, Umno-BN yang sebenarnya yang terdesak dan bukannya PAS,PKR dan DAP atau Pakatan Rakyat. Kepada Pakatan Rakyat buatlah yang terbaik untuk memastikan cita-cita Umno-BN mendapat undi 2/3 di parlimen tidak kesampaian. Terjemahkan perpaduan dan kekuatan supaya kemaraan ke Putrajaya selepas PRU ke 12 akan menjadi kenyataan.

AHLI PKR YANG MELOMPAT UMPAMA ANAI-ANAI

Hari ini seorang lagi ahli parlimen PKR melompat menjadi ahli parlimen bebas ( Umno le tu ). Kali ini ahli parlimen dari Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri. Kemungkinan selepas ini ada lagi ahli parlimen PKR yang 'gelap mata' bakal melompat untuk melaksanakan teori BN 2/3 di parlimen sebelum PRU umum menjadi kenyataan. Apa yang pasti ada 'projek khas' yang bakal dilaksanakan jika BN dapat sokongan 2/3 di parlimen.

Mohd. Fairuz Khairudin bekas adun Penanti yang melompat memberi amaran agar menghentikan segala serangan peribadi kepada beliau. Menurutnya sarang tebuan jangan dijolok. Bagi saya Fairus dan mereka yang sewaktu dengannya yang telah melompat dari Pakatan Rakyat bukannya sarang tebuan tetapi sarang anai-anai yang wajib dibinasa dan dimusnahkan. Jika anai-anai ini dibiarkan membuat dan membesarkan sarangnya lambat laun ia boleh menyebabkan bangunan pencakar langit pun boleh menyembah bumi.

Maka tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat dan PKR perlu dibiarkan dan dilihat secara positif sebagai langkah pembersihan anasir-anasir yang boleh merosakkan Pakatan Rakyat pada masa kini dan akan datang. Tindakan mereka keluar sama ada ke dalam Umno atau 'bebas' sebenarnya akan lebih memantapkan Pakatan rakyat pada masa depan apa yang penting rakyat akan menterjemahkan sokongan mereka kepada Pakatan rakyat melalui kertas undi pada pilihanraya umum akan datang. Jika Umno-BN merasa mereka cukup kuat dan mendabik dada dapat 'membeli' atau 'memujuk' Adun atau ahli parlimen menyertai mereka beranikah mereka untuk membubarkan DUN atau parlimen?

BATAL LALUAN LTDL DI NEGERI PAKATAN RAKYAT ATAU...

Pelumbaan Le Tour D Langkawi yang dikatakan berprestij di rantau Asia mengundang kontroversi baru-baru ini. Ini berpunca tindakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr.Awang Adek Hussin melanggar protokol dan bertindak di luar kebiasaan apabila melepaskan pelumba walaupun pihak penganjur sebelum ini telah bersetuju dan dimaklumkan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melepaskan pelumba.

Ada pihak seperti pihak penganjur meminta agar isu ini tidak diperbesarkan dan diterima dengan semangat kesukanan. Hujah dan alasan dangkal yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan soal semangat kesukanan tetapi soal maruah dan tindakan serta cubaaan untuk mengaibkan seorang ketua kerajaan negeri di khalayak umum.

Umpama kita bertandang ke rumah orang, kena jaga adab-adabnya. Tuan rumah perlu dihormati dan tetamu perlu diraikan. Tetapi dalam isu pelepasan pelumba LTDL di Kota Bharu, tetamu cuba belagak menjadi tuan rumah!

Siapa yang sebenarnya mempolitikkan isu ini? Jika begitu sikap biadab penganjur dan pemimpin politik kerajaan 1Malaysia dalam isu ini apa kata saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat membatalkan semua laluan dan sama ada tempat pelepasan dan penamatan pelumbaan LTDL ini? Biarkanlah LTDL berlegar-legar di negeri yang dikuasai Umno-BN.

Oleh itu saya menggesa Awang Adek dan penganjur perlu memohon maaaf secara terbuka ataupun bersedia menerima kesan penganjuran pertandingan ini pada masa ini atau akan datang. Ini bukan tindakan kebudak-budakan tetapi ia pendekatan terbaik untuk mereka yang kurang ajar dan biadab serta tidak tahu mengormati orang lain.