15 September 2008

SAMA -SAMA LEKEH !


Kedua -duanya sama -sama lekeh. Berita TV 9 malam ini terpaksa memetik dari laman Web Malaysiakini berhubung berita peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi saya sesuatu yang memalukan TV 9 yang merupakan 'suka sakat' TV 3 dan NTV 7 terpaksa 'memetik' dan 'meminjam' berita dari laman web Malaysiakini untuk melaporkan berita peletakan jawatan Zaid Ibrahim. Walhal berita peletakan jawatan ini sudah 'heboh' satu negara.

Sementara itu kenyataan timbalan ketua polis negara hari ini juga lekeh. Beliau berkata, Polis tidak pilihan selain menggunakan ISA bertindak kepada mereka yang menjejaskan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Apakah negara ini sudah tandus dari segi akta dan peraturan untuk menjaga ketenteraman awam ? Kalau macam tu, saya mencadangkan jika polis sudah tidak ada pilihan gunakanlah juga ISA kepada pesalah trafik di jalan raya seperti memandu melebihi had laju, tidak pakai tali pinggang kaledar atau meletakkan kereta sehingga menghalang laluan. Saya yakin masalah kemalangan di musim perayaan ini akan dapat diatasi. Itu pun jika polis sudah tak ada pilihan lain !

MUNGKINKAH ZAID IBRAHIM AKAN MENYERTAI PAKATAN RAKYAT ?


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri ke pejabat Perdana Menteri kira -kira jam 2 petang tadi. Langkah ini diambil sebagai tanda protes penggunaan ISA baru-baru ini oleh kerajaan.Kepada Datuk Zaid, syabas diucapkan atas prinsip kebebasan dan kedaulatan undang-undang yang dipertahankan.

Ada kemungkinan, ISA akan digunakan secara lebih meluas untuk membendung berlakunya peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Perletakan jawatan ini dibuat kerana dipercayai beliau tidak mahu bersekongkol dengan tindak -tanduk kerajaan di bawah Menteri Dalam Negeri.

Keadaan ini menimbulkan teka -teki tentang keputusan Zaid Ibrahim seterusnya. Wujud desas-desus bahawa beliau akan membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat. sejauh mana kesahihan berita ini, sama-samalah kita nantikan.

TAKTIK KOTOR TELAH BERMULA


Poster yang mendakwa kononnya berlaku perarakan oleh Datuk seri Anwar Ibrahim ke Istana Negara telah ditampal di tempat -tempat strategik di ibu kota. Tindakan ini merupakan satu provakasi dan tindakan terdesak mereka yang tidak bertanggungjawab. Setiausaha Agung PKR Datuk Salehudin Saidin menafikan PKR terlibat dengan perarakan tersebut. Beliau meminta supaya orang ramai berhati-hati.

BERUNDUR SECARA TERHORMAT


Sehingga semalam, pelan peralihan kuasa masih berada di landasan. Mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menunjukkan keyakinan berlaku peralihan kuasa seperti yang dijadualkan. DSAI dalam kenyataan akhbarnya semalam mengulangi kenyataan bahawa beliau mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Satu pengumuman penting dijangka akan dibuat oleh DSAI sekiranya pertemuan DSAI dan Pak Lah menjadi kenyataan. Mungkin juga ada sesuatu berita penting akan diumumkan pada Himpunan Membantah ISA malam ini di Stadium MPPJ. Sesuatu yang menarik, polis telah meluluskan permit himpunan tersebut.

Dalam keaadaan sekarang, Pak Lah yang diserang dari pelbagai penjuru sama ada dari Pakatan Rakyat atau dalam BN dan UMNO sendiri seolah –olah tidak mempunyai pilihan. Walaupun dijangkakan beliau belum menggunakan ‘senjata rahsia’ berhadapan dengan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Kebangkitan kuasa rakyat yang berlaku menunjukkan bahawa hayat BN sudah sampai ke penghujung. Sama ada esok, lusa, minggu depan dan hari –hari yang seterusnya petanda –pentanda yang ada menunjukkan lambat laun BN akan diturunkan.

BN yang diterajui oleh Pak Lah hanya mempunyai dua cara sahaja sama ada dipaksa turun atau berundur secara terhormat. Dalam keadaan ini lebih baik berundur secara terhormat tanpa mewujudkan sebarang ketidaktentuan dan kegelisahan sama ada sosial, politik dan ekonomi.

Sekiranya menggunakan cara yang pertama, saya menjangkakan apa juga yang berlaku akan menjadi satu lagi peristiwa hitam dalam sejarah negara yang mungkin akan dikenang sehingga tujuh keturunan.