20 March 2010

POLIS DAPAT DURIAN RUNTUH LAGI....

Pada Khamis depan kerajaan 1Malaysia dijangka akan mengumumkan skim gaji baru polis bagi golongan pangkat rendah. Pengumuman yang bakal dibuat ini merupakan ganjaran kedua pada anggota polis setelah menikmati kenaikan elaun baru-baru ini. Tahniah dan syabas kepada pasukan polis yang kini menikmati pelbagai ganjaran daripada kerajaan 1Malaysia. Bagi anggota keselamatan lain seperti imigresen, kastam, penjara,SPRM dan yang sewaktu dengannya janganlah bersedih hati lakukanlah kerja dengan penuh ikhlas selaras dengan slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Pengumuman kenaikan gaji polis ini agak luar biasa ketika kerajaan 1Malaysia menyuruh seluruh rakyat berjimat cermat ketika kegawatan ekonomi. Perbelanjaan mengurus pelbagai sektor kerajaan dipotong dalam jumlah yang agak drastik. Lebih malang lagi institusi pendidikan yang menjadi teras dan tunjang kepada negara ini turut mengalami nasib yang sama. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak di asrama turut mengeluh dengan kenaikan yuran makan bulanan asrama sehingga dua kali ganda. Lebih malang lagi anak mereka dipaksa pulang ketika cuti hujung minggu sebagai langkah penjimatan kerajaan 1Malaysia.

Bagi saya daripada kerajaan 1Malaysia membayar sehingga RM 60 juta kepada konsultan Israel iaitu APCO Worldwide untuk mempopularkan jenama 1Malaysia ada baiknya duit itu digunakan untuk keperluan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Kalau betul kerajaan 1Malaysia dah banyak duit sehingga boleh menaikkan gaji dan elaun polis, mansuhkan terus cadangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal membebankan golongan berpendapatan rendah. Dalam masa yang sama kembalikan peruntukan kepada sektor kerajaan yang kini cukup terjejas dengan dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia.

Apa yang menimbulkan kemusykilan di hati saya, kenapa hanya anggota polis sahaja yang dapat pembelaan akhir-akhir ini? Adakah kerajaan 1Malaysia mempunyai agenda tertentu atau strategi serampang dua mata? Semuanya menimbulkan pelbagai kemungkinan dan persoalan.