30 March 2010

HULU SELANGOR: PAKAR NEUOROLOGI VS PAKAR PIKUL DUIT?

Bahang pilihanraya kecil Hulu Selangor makin kuat dirasai. Ketika muafakat jelas terbentuk dalam Pakatan Rakyat bahawa kerusi parlimen berkenaan milik PKR sebaliknya berlaku dalam BN yang masih bermain tarik tali calon parti mana yang bakal bertanding.

Bagi MIC itu adalah kuota atau kerusi mereka dulu kini dan selamanya. Ini ditegaskan oleh oleh Datuk Seri Samy Vellu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Bahagian MIC Hulu Selangor kelmarin. Tanpa berahsia, Samy Vellu menyebut kerusi itu akan ditandingi oleh G.Palanivel yang juga timbalan presiden MIC. Kenyataan Samy Vellu juga disokong oleh Dato Seri Muhd. Khir Toyo.

Walau bagaimanapun wujud desakan kuat agar kerusi itu ditandingi oleh calon Umno. Pengaruh MIC yang makin terhakis dan semangat Melayu yang sedang meluap-luap sekarang dalam Umno menjadi hujah agar Umno diberikan kerusi berkenaan.

Parti mana pun yang bertanding mewakili BN dijangka akan mencetuskan konflik terbaru di dalam BN setelah pergolakan hebat dalam MCA.

PKR kelihatan tidak ketandusan tokoh untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Antara nama yang menjadi pilihan ialah Datuk Dr Halili Rahmat pakar neurologi/bedah saraf anak tempatan yang juga Bendahari PKR bahagian.

Jika Umno bertanding maka calon pilihan mereka pula ialah Tan Sri Muhd. Taib. Siapa yang tak kenal Md. Taib? Beliau merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan tidak dilupakan jasanya melarikan anakanda Almarhum Sultan Selangor satu ketika dulu. Tak kurang masyurnya, kehebatan Md. Taib memikul duit bernilai jutaan ringgit yang dianggarkan berat melebihi 10 kilogram sewaktu cuba meninggalkan Australia. Sehingga hari ini belum ada mana-mana individu dalam negara yang berjaya memecahkan rekod berkenaan.

Jika spekulasi ini menjadi kenyataan maka pertarungan di Hulu Selangor bakal menyaksikan pertarungan di antara pakar Neurologi dan pakar pikul duit. Sudah tentu banyak yang menarik jika telahan ini menjadi kenyataan.

29 March 2010

CHUA SOI LEK AKAN JADI MENTERI?

Datuk Chua soi Lek telah membuat kejutan dengan menewaskan dua calon pilihan presiden MCA. Pastinya Datuk Ong Ka Ting dan Datuk Ong Tee Kiat termenung dan tidak lena tidur memikirkan kekalahan mereka semalam.

Secara tradisi, presiden MCA akan dilantik sebagai menteri bagi mewakili kuota komponen BN dalam kabinet 1Malaysia. Mungkinkah Ong Tee Keat akan digugurkan dan digantikan dengan Chua Soi Lek? Kemungkinan itu hampir pasti sekarang. Adalah sesuatu yang janggal jika Ong Tee Keat kekal menjadi menteri kerana perlantikan beliau atas kapisiti sebelum ini sebagai presiden MCA. Adalah lebih bermoral dan akan mengangkat imejnya jika beliau meletak jawatan sebagai menteri secara terhormat sebelum beliau terpaksa digugurkan dari kabinet.

Jika Chua soi Lek dilantik sebagai menteri, apakah jawatan yang paling sesuai untuk beliau? Saya mencadangkan beliau dilantik ke kementerian baru yang boleh diwujudkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia. Perlantikan beliau sebagai menteri wajar memandangkan rekod cemerlang sebelum ini sewaktu menjadi menteri. Beliau bukan sahaja sanggup turun padang menguji ubat-ubatan yang ada di Kementerian Kesihatan yang disandang sebelum ini. Cuma beliau sebelum ini terpaksa meletak jawatan kerana dirakamkan kerana menguji ubat-ubatan di luar waktu pejabat!

28 March 2010

INIKAH BAKAL PRESIDEN MCA? MCA KINI BERPECAH TIGA


Keputusan siapa yang memenangi kerusi presiden MCA akan diketahui bila-bila masa dari sekarang. Pelbagai spekulasi mula tersebar siapa yang menang dan siapa yang bakal tersungkur. Spekulasi tetap spekulasi boleh jadi betul dan mungkin salah.

Apa yang pasti yang bukan lagi spekulasi yang kini menjadi realiti MCA sekarang berpecah tiga. Sudah ada tiga kem dalam MCA iaitu kumpulan Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting. Jika sebelum ini MCA hanya berpecah dua di antara pertarungan Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting. Pastinya selepas pemilihan MCA hari ini MCA makin bergolak dan berkecamuk. Bila berlaku pergolakan dan MCA pastinya BN juga bakal menerima nasib yang sama. Adalah sukar dalam keadaan sekarang untuk menyatukan MCA. BN boleh berlakon bahawa wujud perpaduan di kalangan mereka tetapi mereka perlu ingat pengundi dan rakyat di luar bukannya tunggul yang tetap memilih calon BN seperti 20-30 tahun dulu.

Siapa pun yang menang dalam pemilihan MCA ini nanti sudah tidak membawa apa-apa makna lagi, rakyat sudah cukup muak dan bosan dengan apa yang berlaku. Pastinya mereka akan beralih angin kali ini maka senario yang berlaku memberi isyarat cukup jelas tentang kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam piliahnraya akan datang.

Tetapi selalu diingatkan, Pakatan Rakyat mesti kuat dan jitu disebabkan oleh kekuatan dan muafakat sesama sendiri dan bukan semata-mata akibat kehancuran dari pihak lawan.

MUKTAMAR PEMUDA PAS BUKIT KATIL


Antara kepimpinan DPP Bukit katil


YB Khoo dari DAPSY dan Farhan Ketua AMK Bukit Katil

Hari ini 28 Mac 2010 bersamaan 19 Rabiul akhir 1431H bertempat di sebuah resort di Melaka sedang berlangsung Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil. Muktamar kali ke 6 ini bertemakan 'Memperteguhkan Ukhuwah, Merintis Kemenangan' sebagai iltizam Pemuda Bukit Katil untuk merintis kemenangan di bumi Melaka.

Muktamar kali ini dirasmikan oleh Hj. Shaharudin, Bendahari Pas Melaka. Turut hadir menyerikan muktamar ialah saudara Sofi Wahab, YDP Pas Kawasan Bukit Katil, YB Khoo Adun Ayer Keroh wakil Pemuda DAPSY Melaka dan saudara Farhan Ketua AMK Bukit Katil Melaka.Muktamar kali ini turut dihadiri oleh beberapa mantan ketua pemuda dan mantan ahli DPP Bukit Katil

Siru ala barakatillah....

27 March 2010

MEMANG BETUL UMNO-BN BANYAK 'BAHAN' DI PRK HULU SELANGOR

Akhirnya Umno-BN 'terpaksa' berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya dari PKR sebelum ini Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Sebelum ini Umno-BN dilihat cukup fobia dan gentar untuk berhadapan rakyat dalam pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil ini menjadi kayu ukur kepada Pakatan Rakyat dan BN sejauh mana perkembangan isu terkini mempengaruhi sokongan rakyat kepada kedua-dua parti berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin awal-awal lagi meluahkan keyakinannya untuk menawan kembali parlimen Hulu Selangor kerana mendakwa bahawa Umno-BN kini mempunyai banyak 'bahan' untuk berhadapan dengan PKR-PAS-DAP.

Dalam hal ini saya amat bersetuju dengan Muhyiddin bahawa Umno-BN mempunyai banyak bahan dalam pilihanraya kecil ini.

Secara tradisi, 'bahan-bahan' yang dijangka membantu Umno-BN ialah polis yang kini mendapat pelbagai intensif dari kerajaan 1Malaysia. Selain itu juga SPRM dijangka kekal akan turut sama menjadi 'bahan' penting kepada Umno-BN.

Dalam hal ini saya tak menafikan peranan media pengampu dan penipu seperti Utusan, Berita Harian, RTM, TV3 dan yang sewaktu dengannya yang pastinya akan melipat gandakan usaha agar dilihat sebagai 'bahan' yang paling berguna kepada Umno-BN.Cerita-cerita tentang lembu, rampasan tanah YBK dan pembinaan kuil dijangka akan terus.menjadi 'bahan' kempen Umno-BN kali ini.

Namun dalam banyak-banyak bahan, saya yakin bahan yang paling penting pastinya beberapa spesis yang mendakwa kini menjadi wakil rakyat bebas. Pastinya mereka akan menjadi kuda tunggangan yang akan diseret ke serata ceruk agar menjadi 'bahan' kempen yang paling lawak Umno-BN dalam pilihanraya kecil kali ini.

Memandangkan Umno-BN mempunyai pelbagai 'bahan' dalam pilihanraya kecil ini maka seluruh jentera Pakatan Rakyat di seluruh peringkat perlu melipat gandakan usaha dalam memenangi hati rakyat khususnya pengundi di parlimen Hulu Selangor. Ini penting untuk memastikan 'bahan-bahan' yang dimiliki oleh Umno-BN akan menjadi bahan buangan tak terpakai!


25 March 2010

TITI TINGGI BUKTI UMNO-BN FOBIA DENGAN PILIHANRAYA

Ramalan ramai pihak bahawa tidak akan berlaku pilihanraya kecil di Dun Titi Tinggi ternyata kebenarannya. Setelah dipujuk rayu akhirnya ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn telah menarik balik surat peletakan jawatannya. Lebih menarik lagi beliau hanya mengirim SMS kepada Speaker DUN Perlis, Datuk Yazid Mat tentang pembatalan meletak jawatan yang diumumkan kelmarin

Pasca pilihanraya Umum ke 12 menunjukkan Umno-BN cukup gentar berhadapan rakyat dalam pilihanraya. Lihat sahajalah apa berlaku di Perak, mereka bermati-matian mengelakkan pilihanraya kecil. Begitu jugalah di tempat lain. Walaupun speaker sudah memaklumkan kekosongan kerusi yang wujud belum tentu pilihanraya akan diadakan. Kota Seputeh turut menjadi contoh Umno cukup takut dengan pilihanraya untuk berhadapan dengan rakyat. Walaupun ia melibatkan Dun atau parlimen yang didakwa kubu kuat umno-BN.

Usaha Umno untuk mengelak menghadapi pilihanraya kecil ternyata mendapat sokongan padu dari SPR dulu kini dan selamanya. Malah langkah kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang untuk mengembalikan demokrasi dan mewujudkan ketelusan dengan mengadakan pilihanraya pihak Berkuasa tempatan juga turut dihalang.

Semua ini menjadi bukti nyata Umno-BN yang mendakwa diri selama ini mereka kuat sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup lemah. Walaupun cuba memainkan isu dan sentimen perkauman, memanipulasi media itu tidak mencukupi untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno-BN. Justeru itu dalam suasana Umno-BN dalam keadaan lemah dengan mood penolakan rakyat,pelbagai helah dan taktik kotor dilakukan untuk memastikan tidak berlaku sebarang pilihanraya dalam masa terdekat.

23 March 2010

ADUN TITI TINGGI LEBIH BERMARUAH DARIPADA MANA-MANA WAKIL RAKYAT LOMPAT/BEBAS


BN menerima tamparan hebat hari ini ketika kemelut MCA sedang memuncak dan ketika mereka sedang gembira dengan bertambah wakil rakyat bebas di parlimen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Yip Sun Onn hari ini menghantar surat perletakan jawatan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam dan disahkan oleh Menteri Besar Perlis hari ini.

Ternyata cubaan menutup krisis yang sedang melanda BN gagal dengan perletakan jawatan Adun berkenaan.

Saya mengucapkan syabas kepada Yip Sun Onn kerana membuat keputusan yang berani dan mengumumkan perletakan jawatan kerana memiliki prinsip dan maruah apabila tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan MCA.

Berbeza dengan wakil rakyat Bayan Baru, Kulim Bandar Bharu, Nibong Tebal, Bagan Serai dan Pasir Mas yang bukan sahaja tidak memiliki maruah dan harga diri dengan kekal sebagai wakil rakyat apabila parti yang mencalonkan mereka menuntut perletakan jawatan. Malah lebih memualkan mereka bukan sahaja enggan meletak jawatan tetapi turut menyerang pimpinan dan parti yang berjasa menaikkan mereka sebagai wakil rakyat. Lebih meloyakan mereka sanggup menjilat semula ludah dan nanah serta sumpah seranah yang mereka pernah hamburkan kepada Umno-BN yang kini menangguk di air berlumpur.

Bukan itu sahaja malah mereka dengan perasaan dan muka tak malu menggeluarkan kenyataan demi kenyataan kepada media yang mereka anggap sebagai pengampu dan penipu satu masa dulu.

22 March 2010

NAK MINTA FATWA HUKUM BAYAR RM 60 JUTA KEPADA SYARIKAT YAHUDI

Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat akan menentukan tindakan terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim berikutan kenyataan di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa 1Malaysia sama dengan 1Israel yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada tahun 1999.

Dakwaan ini kerana kerajaan 1Malaysia dikatakan membayar kira-kira RM 60 juta untuk menjual jenama 1Malaysia kepada APCO Worlwide konsultan milik Yahudi yang sama digunakan oleh Ehud Barak.

Sehingga hari pemimpin Umno-BN hanya melenting dan marah-marah apabila 1Malaysia disamakan dengan 1Israel. Tetapi sehingga hari ini belum ada satupun kenyataan penafian bahawa kerajaan 1Malaysia ada membayar kepada APCO Worldwide.

Dr. Yusof Al Qardhawi pernah mengeluarkan fatwa adalah haram melawat negara haram yahudi itu kerana akan membantu ekonomi mereka. Justeru itu saya teringin mendengar fatwa terutama dari Menteri di JPM Datuk Jamil Khir dan Mufti Perak Tan Sri Harussani apa hukumnya membayar Rm 60 juta kepada syarikat milik yahudi. Maklumlah saya ni belajar agama tak tinggi....

20 March 2010

POLIS DAPAT DURIAN RUNTUH LAGI....

Pada Khamis depan kerajaan 1Malaysia dijangka akan mengumumkan skim gaji baru polis bagi golongan pangkat rendah. Pengumuman yang bakal dibuat ini merupakan ganjaran kedua pada anggota polis setelah menikmati kenaikan elaun baru-baru ini. Tahniah dan syabas kepada pasukan polis yang kini menikmati pelbagai ganjaran daripada kerajaan 1Malaysia. Bagi anggota keselamatan lain seperti imigresen, kastam, penjara,SPRM dan yang sewaktu dengannya janganlah bersedih hati lakukanlah kerja dengan penuh ikhlas selaras dengan slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Pengumuman kenaikan gaji polis ini agak luar biasa ketika kerajaan 1Malaysia menyuruh seluruh rakyat berjimat cermat ketika kegawatan ekonomi. Perbelanjaan mengurus pelbagai sektor kerajaan dipotong dalam jumlah yang agak drastik. Lebih malang lagi institusi pendidikan yang menjadi teras dan tunjang kepada negara ini turut mengalami nasib yang sama. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak di asrama turut mengeluh dengan kenaikan yuran makan bulanan asrama sehingga dua kali ganda. Lebih malang lagi anak mereka dipaksa pulang ketika cuti hujung minggu sebagai langkah penjimatan kerajaan 1Malaysia.

Bagi saya daripada kerajaan 1Malaysia membayar sehingga RM 60 juta kepada konsultan Israel iaitu APCO Worldwide untuk mempopularkan jenama 1Malaysia ada baiknya duit itu digunakan untuk keperluan pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Kalau betul kerajaan 1Malaysia dah banyak duit sehingga boleh menaikkan gaji dan elaun polis, mansuhkan terus cadangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal membebankan golongan berpendapatan rendah. Dalam masa yang sama kembalikan peruntukan kepada sektor kerajaan yang kini cukup terjejas dengan dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia.

Apa yang menimbulkan kemusykilan di hati saya, kenapa hanya anggota polis sahaja yang dapat pembelaan akhir-akhir ini? Adakah kerajaan 1Malaysia mempunyai agenda tertentu atau strategi serampang dua mata? Semuanya menimbulkan pelbagai kemungkinan dan persoalan.

19 March 2010

UMNO PERLU LEBIH RAMAI LAGI ORANG MACAM ZAHRAIN

Sehari dua ini ahli parlimen 'bebas' Bayan Baru Zaharain Mohamed Hashim mendapat publisiti meluas dalam media pro Umno-BN. Bagi Umno-BN kini adalah masa untuk bertepuk tangan bersorak gembira apabila Zahrain menyerang peribadi Dato Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Bagi saya makin banyak ucapan yang keluar dari mulut Zahrain makin banyak kisah dongeng yang diceritakan. Biasanya hanya budak-budak yang belum akil baligh yang suka cerita-cerita macam ini. Kalau cerita ini keluar dari mulut ahli politik maka bermakna ahli politik berkenaan belum aqil baligh dari segi politiknya.

Satu persatu pekung, tembelang dan temberang Zahrain terdedah. Dari syarikat RM 2 memohon projek bernilai ratusan juta sehinggalah dari surat kepada kepada YAB Lim Guang Eng yang dituduhnya anti Melayu yang menampakkan betapa kemaruk dan rakusnya inginkan gelaran Datuk.

Terkini dalam usahanya untuk mendapat publisiti murahan mendedahkan nama ahli parlimen Umno-BN yang dikatakan akan melompat pada 16 September lalu turut menikam diri apabila dinafikan oleh Tengku Razeligh salah seorang nama yang dikaitkannya.

Bagi saya Umno memerlukan lebih ramai ahli politik yang kaki temberang seperti Zahrain supaya lebih cepat riwayat Umno ditamatkan dalam pilihanraya umum akan datang.Biarlah Umno dipenuhi dengan tokoh kitar semula yang diselubungi dengan pelbagai skandal dan tingkah laku tidak bermoral.

18 March 2010

POLITIK SARKAS?


Sarkas merujuk satu tempat kurungan untuk meletakkan haiwan sama ada yang jinak atau liar untuk menjadi tontonan orang ramai. Maka haiwan itu akan menjerit dan melompat dengan gembiranya sambil mengeluarkan bunyi-bunyian yang tidak difahami.

Dalam riuh rendah haiwan di dalam sangkar atau kurungan maka pengunjung akan bertepuk tangan dan bersorak melihat telatah haiwan yang tak berakal itu. Melihat tingkah laku haiwan yang menjerit dan melompat akan menimbulkan rasa puas orang ramai yang datang melihatnya. Jadi pengunjung merasa berbaloi untuk membayar kerana dapat menyaksikan tingkah laku haiwan dalam sarkas yang menjerit dan melalak tak henti-henti.

Dalam senario yang lain adakah itu perkara yang sama yang diinginkan oleh pengundi apabila memilih wakil rakyat mereka? Cuba menutup kelemahan sendiri dengan menyerang dan mengaibkan orang lain dengan cara tak bermoral dan beretika? Dalam ilmu psikologi ini digelar 'helah belah diri' atau self mechanism.Lebih teruk lagi tingkah laku tak bermoral ini disokong pula oleh orang lain dengan cara menjerit-jerit dan melolong-lolong tak tentu pasal.

Lebih parah lagi media seperti telivesyen dan akhbar memberi sokongan penuh kepada tingkah laku ala sarkas ini. Malah lebih memalukan lagi media berkenaan iaitu yang selama ini bersekongkol dengan memberi liputan utama pada cerita-cerita seperti dalam sarkas.

Walau bagaimanapun kita wajar berterima kasih kerana dapat menonton aksi seperti dalam sarkas. Ini kerana bagi rakyat dan golongan inteletek serta cerdik pandai dapat menilai dan memudahkan mereka untuk menolak pemimpin seperti itu pada masa akan datang.

17 March 2010

ORANG ASLI TETAP BERDEMONTRASI DI PUTRAJAYA HARI INI WALAUPUN DIUMPAN KE AMERIKA


Hari ini kerajaan 1Malaysia di Putrajaya dijangka 'bergegar' apabila kira-kira 1000 orang asli dari seluruh Malaysia dijangka berhimpun untuk menyuarakan protes tentang dasar pemilikan tanah.

Menurut koordinator POASM, Jenita Engi,perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjug Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak kerana kegagalan rundingan dengan JHEOA awal bulan ini menemui kegagalan. Langkah ini diambil kerana mereka merasa ditipu dan dipermainkan dalam isu berkenaan.

Dalam isu yang berlainan Menteri Penerangan, Komunikasi dan KebudayaanDatuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan semalam akan mempromosi seorang pengukir orang asli ke Amerika awal bulan depan untuk mempromosikan seni kraf tangan tempatan serta kebudayaan etnik minoriti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Moyang anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey semalam.

Walau bagaimanapun saya yakin orang asli yang bercadang melakukan demontrasi di Putrajaya hari ini tidak akan gelap mata atau termakan 'umpan' berkenaan.

Sebelum ini orang asli di seluruh negara dianggap sebagai pengundi tradisi BN setiap kali pilihanraya. Undi mereka dianggap boleh dibeli dengan beras sekampit dan rokok sekotak. Malah ada pemimpin Umno yang menaja rombongan orang asli ke Kuala Lumpur sebagai 'ganjaran' memenangkan calon Umno-BN dalam pilihanraya.

Maka orang asli yang duduk di pondok beratapkan nipah dan berlantaikan buluh akan dipersonakan dengan kehebatan kerajaan 1Malaysia bila dibawa melawat ke tempat seperti KLCC, PWTC dan Menara Kuala Lumpur. Sehingga ada yang di antaranya apabila balik mengalami sakit tengkuk kerana terlalu banyak mendongak melihat bangunan pencakar langit sebagai propaganda hasil pembangunan dan kemakmuran negara. Malah ada di kalangan mereka apabila pulang terpaksa berputih mata kerana 'mahligai' mereka telah hanyut dalam banjir!

Maka selepas itu mereka terus dituntut agar terus memberi undi Umno-BN dalam pilihanraya .Tindakan orang asli yang bakal menyuarakan protes di Putrajaya pada hari ini memberi isyarat yang cukup jelas kepada kerajaan 1Malaysia bahawa orang asli kini semakin cerdik dan lebih berani menyuarakan hak dan keadilan yang dinafikan walaupun lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan. Mereka juga cukup bersedia untuk mengubah kerajaan yang ada yang selama ini meminggirkan mereka dan sering menabur janji-janji palsu.

Tahniah dan syabas kepada orang asli yang kini lebih cerdik dari pengundi tradisi Umno-BN yang maruah dan undi mereka boleh dibeli dengan kain batik atau kain pelikat sehelai.

16 March 2010

MCA PUN TIRU UMNO GUNA CALON KITAR SEMULA


Kalau dah dikatakan sekapal tu maka serba-serbinya kelihatan sama. Jika Umno menerima dan melantik di kalangan mereka yang bermasalah yang diselubungi skandal dan rasuah untuk menjadi pemimpin maka MCA juga tidak mahu ketinggalan.

MCA yang semakin buntu menyelesaikan kemelut yang berlaku terpaksa mengimport bekas pemimpin mereka untuk kembali aktif dalam MCA. Tindakan yang dianggap tidak mampu menyelamatkan MCA yang hampir karam dalam konflik Ong Tee Keat - Chua Soi Lek. Penyertaan Ong Ka Ting bekas presiden MCA yang mengundur diri sebelum ini sebenarnya akan mempercepatkan lagi MCA terus karam dan tenggelam. Sekaligus akan menyumbang penghujung hayat BN dalam pilihanraya akan datang.

Penyertaan pemimpin kitar semula ke dalam MCA, UMNO dan yang sewaktu dengannya jelas menunjukkan bahawa UMNO-BN kini ketandusan pemimpin untuk terus menerajui negara. Berbanding dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa memiliki barisan pelapis serta muka-muka baru yang berkterampilan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik dan profesional untuk menjadi alternatif pilihan rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Malah tindakan beberapa ahli parlimen PKR menjadi wakil 'bebas' sebenarnya membuka ruang untuk muka-muka baru menggegarkan persada politik negara.


Memandangkan ramai tokoh kitar semula kini berada dalam BN ada baiknya logo dacing senget sebelah itu ditukar kepada logo kitar semula. Fikir dulu sebelum buang!

14 March 2010

TAK PAYAH TUNGGU KHABAR ANGIN , HARGA BARANG MEMANG DAH MELAMBUNG!

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai tidak mendengar khabar angin tentang kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan selagi tidak ada pengumuman dari kerajaan 1Malaysia. Menurut beliau lagi selagi tak ada pengumuman rasmi itu spekulasi namanya.

Memang le harga minyak tak naik lagi, tetapi dengan krisis, kegawatan dan kemelut ekonomi yang sedang dihadapai oleh kerajaan 1Malaysia sekarang dan ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia yang kini semakin menghampiri paras US 100 setong mampukah kerajaan 1Malaysia bertahan?

Nak tunggu pengumuman rasmi kerajaan 1Malaysia baru nak suruh rakyat percaya tentang kenaikan harga barang? Adakah hari ini para peniaga dan pemborong meminta izin atau menulis surat rasmi untuk menaikkan harga barang? Begitu juga berapa ramai peniaga di pasar yang meminta izin dari kerajaan 1Malaysia untuk menaikkan harga bahan makanan basah seperti ikan dan sayur-sayuran?

Jadi apabila kita berhadapan dengan peniaga yang menaikkan harga barang, kita tak boleh percaya. Itu cuma spekulasi sahaja. Maka kita hanya perlu membayar ikut harga lama sahaja. Kalau peniaga tersebut marah-marah maka kita kata itu cuma spekulasi...cubaan..bukan betul-betul!

13 March 2010

1MALAYSIA: ADA PELAJAR KELAPARAN...


Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kalau tak silap saya , Dato Seri Najib telah melakukan kunjungan ke beberapa IPTA. Antaranya UM, UIA dan terkini semalam di UKM. Setiap pertemuan itu digambarkan berlangsung dengan penuh kemesraan untuk mengetahui sendiri kehidupan dan masalah pelajar di kampus. Media menggambarkan Najib duduk semeja beramah mesra dengan pelajar dalam suasana santai dengan mengenepikan protokol.Dalam tujuan lain untuk menggambarkan idea 1Malaysia itu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan benar-benar dizahirkan.

Sepanjang pertemuan itu adakah Najib benar-benar cuba menyelami kehidupan pelajar atau sekadar untuk propaganda media dan mengaburi masyarakat di luar sana? Adakah Najib tidak dimaklumkan bahawa terdapat pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana kos hidup di IPT yang tidak tertanggung? Ini sebagaimana didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Adakah pimpinan pelajar yang pro aspirasi (pro Umno-BN) yang bersama Najib itu hanya pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri tentang masalah sebenar yang berlaku di kampus?

Sebenarnya isu pelajar terpaksa mengikat perut bukan isu baru. Bukan sesuatu yang luar biasa apabila ramai pelajar terpaksa buat kerja sambilan di sebelah malam atau ketika tidak ada kuliah untuk meneruskan survival kehidupan di kampus. Keadaan diburukkan dengan pembayaran pinjaman PTPN atau agensi tertentu yang tak tentu masa dan sering sangkut-sangkut.

Apabila membuat kerja sambila sudah pasti tumpuan kepada pelajaran terjejas. Tetapi mereka tidak punya pilihan lebih-lebih lagi dalam suasana kos kehidupan dalam negara yang serba serbinya mahal.Saya mempunyai maklumat dan bukti bahawa ada pelajar IPT yang hanya makan dua kali sehari. Namun siapa yang peduli itu semua. Apa yang lebih dirisaukan oleh kerajaan 1Malaysia ialah apabila pelajar IPT menyokong pembangkang atau menyertai program Pakatan Rakyat.

Maka semua usaha dilakukan untuk memastikan pelajar IPT kembali menyokong kerajaan 1Malaysia. Justeru itu pelbagai cara dilakukan sama ada campur tangan pilihanraya kampus sehinggalah mengatur pelbagai program dan peraturan dengan berlindung di sebalik AUKU untuk mengikat dan menjerut pelajar.

12 March 2010

PERINGATAN BUAT YANG SERING MEMPERSENDAKAN MUNAJAT MEREKA YANG DIZALIMI


Hari ini di bumi Kelantan berlaku satu peristiwa yang wajar menjadi renungan mencetuskan keinsafan serta meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT. Solat sunat Istisqa yang diimamkan oleh YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memohon hujan ditunjukkan tentang tanda dan kebesaran Allah SWT.

Seramai kira-kira 2000 jemaah yang turut serta dalam sunat itu mengalami peristiwa yang menakjubkan apabila hujan mula turun sebaik sahaja bacaan surah Al Fatehah dimulakan. Peristiwa ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa doa dan munajat mereka yang ikhlas sentiasa berserah diri mengharapkan pertolongan Allah akan diperkenankan oleh Allah SWT. Cuma masa sahaja yang menentukan.

Sebelum ini seringkali pemimpin Umno mempersendakan apabila puluhan ribu rakyat Kelantan bermunajat seperti dalam isu royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan Pas Kelantan. Malah ada suara-suara sumbang ulama Umno yang memperleceh munajat rakyat Kelantan agar pemimpin Umno yang menafikan hak rakyat Kelantan ditimpa bala.

Pemimpin Umno-BN mungkin boleh mengarahkan pihak polis untuk menghalang program Pas dan Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh berlindung dengan mengarahkan polis untuk menangkap pemimpin PR seperti yang dialami oleh Mazlan Aliman. Mereka juga boleh menggunakan semua institusi yang di bawah telunjuk mereka daripada polis, SPRM dan mahkamah untuk mereka cerita dan bukti untuk memalukan pemimpin PR. Mereka juga boleh menggunakan segala bentuk media untuk menghalalkan segala tindak tanduk mereka. Tetapi mampukah Umno-BN menghalang kekuasaan Allah SWT?

Peristiwa yang berlaku di Kelantan hari ini memberi ingatan kepada bekas ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang melompat seperti YB Bagan Serai,Mohsin Fadzli Samsuri yang telah tamat tempoh meletak jawatan yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Awang untuk berhadapan solat hajat selama dua minggu. Datuk Jamil Khair dan ustaz dan Tan Sri Harussani mufti Perak boleh mempertikaikan solat hajat berkenaan tetapi mampukah mereka berdua menghalang jika Allah SWT memperkenankan munajat berkenaan?

Maka kepada semua pemimpin Umno-BN yang sering mempersendakan munajat mereka yang tertindas dan dizalimi....tunggulah masa dan ketikanya. Lambat atau cepat balasannya pasti tiba...

11 March 2010

ISU DEBAT ZULKIFLI NORDIN-KHALID SAMAD : HANYA BUDAK HINGUSAN YANG TAKUT BERDEBAT

Kalau tak silap saya sudah dua tiga hari YB Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam mencabar YB Zulkifli Nordin untuk berdebat isu kalimah Allah. Isu yang mencetuskan konflik mereka berdua sehingga membawa kepada pemecatan Zulkifli Nordin dari PKR.


Tetapi sehingga hari ini belum terdengar sebarang jawapan dari Zulkifli Nordin yang cukup lantang di depan media sehari dua ini. Sebelum ini pelbagai istilah diberi kepada pemimpin Pakatan Rakyat dari anak firaun sehinggalah ke budak hingusan semua terpacul dari mulut beliau. Beliau sebelum ini cuba menggambarkan bahawa dirinya seorang yang berprinsip dan tidak akan menggadaikan prinsipnya. Jadi gelanggang debat adalah medan yang terbaik untuk membuktikan keberanian dan prinsip yang dipertahankan.

Sudah pasti ramai yang menunggu kehadiran dan jawapan beliau dalam sesi debat nanti. Kita tunggu adakah beliau bersedia berdebat atau sebaliknya. Bagi saya hanya budak hingusan sahaja yang tidak berani berdepan dan berdebat di depan khalayak ramai.

10 March 2010

APA KHABAR NASIR SAFAR?


Sudah lebih sebulan kes hasutan melibatkan Datuk Nasir Safar orang kepercayaan Perdana Menteri 1Malaysia terhadap orang cina dan India dalam satu program di Melaka berlalu.Berpuluh laporan polis sudah dibuat. Ketua Polis Melaka sebelum ini mengumumkan polis sudah melengkapkan siasatan.

Tetapi yang peliknya kes itu kini seolah-olah cuba disenyapkan. Sehingga hari ini tidak ada perkembangan susulan kes berkenaan. Boleh jadi Jabatan Peguam Negara sangat sibuk dengan kes liwat Dato seri Anwar Ibrahim sehingga tak sempat untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah. Berbeza dengan kes Blogger Aduka Taruna sepantas kilat semua pihak terlibat dari polis sehingalah Jabatan Peguam Negara membawa kes berkenaan ke mahkamah. Apakah istimewanya Nasir Safar? Adakah mereka bimbang kes berkenaan akan memberi kesan kepada Umno atau lebih tepat lagi kepada bekas bos Nasir Safar? Semua ini menguatkan dakwaan bahawa institusi undang-undang di negara ini hanya mengikut telunjuk pemerintah. Jika begitu situasinya maka kita tidak boleh menyalahkan rakyat jika mereka hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman di negara ini. Jadi apa pilihan yang ada untuk menegakkan keadilan dan undang-undang? Pilihanraya? Jalanraya?

07 March 2010

PECAT ZULKIFLI NORDIN BUKTI PKR DAN PR KUAT


Akhirnya skrip Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru ditamatkan dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Maka berakhirlah episod cerita ' Firaun Kecil' di dalam PKR. Tindakan memecat Zulkifli Nordin merupakan tindakan tepat dan wajar kerana tindakan sumbang beliau yang bertentangan dengan prinsip organisasi.

Pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa tidak ada kompromi kepada mereka yang mengkhianati perjuangan serta bertindak melampaui batas serta tidak memahami etika perjuangan.

Apa yang lebih penting pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa PKR khasnya dan PR amnya jauh lebih kuat berbanding dengan Umno-BN. Umno tidak berani memecat Datuk Seri Ali Rustam dan Khairy Jamaludin walaupun mereka berdua bergelumang dengan rasuah.Umno bimbang sokongan dan pengaruh Ali Rutsam dan Khairy akan menyebabkan perpecahan dan pergolakan dalam Umno.

Umno juga tidak berani memecat malah hanya memekakkan telinga, membutakan mata serta membatukan diri apabila Tengku Razaleigh berada di pentas kerajaan Pas Kelantan memperjuangkan isu royalti minyak. Begitu juga Umno tidak berani bertindak apabila semua Adun Umno Kelantan menyokong usul membawa royalti minyak ke mahkamah yang bertentangan dengan pendirian Umno Kelantan berhubung isu ini.

Umno juga tidak berani bertindak apabila Datuk Idris Jusoh dan kuncu-kuncunya di Terangganu secara terbuka dan tersembunyi menunjukkan sikap penentangan terhadap kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terangganu.ganu.Maka hari ini Umno terpaksa menyimpan 'biawak hidup' serta membiarkan api dalam sekam terus membakar dari dalam Umno.

Dalam situasi yang lain dalam kompoenen BN seperti MCA dan PPP mereka tidak mampu melakukan apa-apa walaupun berlaku penentangan dan pergolakan secara terbuka dalam parti.

Maka dengan keberanian dan ketegasan PKR memecat Zulkifli Nordin membuktikan siapa yang lebih kuat dan berprinsip?

06 March 2010

KEMARUK 2/3 SEHINGGA TERLUPA UMNO-BN SEDANG CACA MARBA

Pemimpin Umno-BN dan mereka yang sewaktu dengannya pastinya cukup seronok dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Sudah ada tiga ahli parlimen yang melompat jadi 'wakil bebas'. Bermakna Umno-BN mendapat 3 kerusi parlimen tanpa perlu pilihanraya kecil. Kemungkinan dalam tempoh terdekat parlimen Kulim Bandar Baru akan masuk dalam senarai berkenaan.

Stituasi ini menyebabkan Umno-BN semakin kemaruk dengan misi untuk kembali mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Adakah semudah itu? Dalam sibuk-sibuk mencari atau mengenal pasti serta mencari mana lagi ahli parlimen yang goyah dan tidak bermoral serta diselubungi masasalah peribadi atau kewangan untuk diajak dalam pesta lompat melompat ini, Umno-BN terlupa bahawa mereka kini semakin parah dan kronik.

Pergolakan dan MCA dan PPP sudah tidak boleh diselamatkan. Budaya tikam belakang dalam Umno serta komponennya terus berlaku dan berluasa.

Melihat sokongan kepada program Dato Seri Anwar Ibrahim di dua tempat berbeza di Melaka malam tadi yang dihadiri oleh lautan manusia cukup memberikan gambaran bahawa pengaruh dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak tergugat malah semakin semakin mendapat sokongan.

Dalam masa yang sama program lain Pakatan Rakyat seperti di Melaka melalui program ceramah, program sambutan Tahun Baru Cina memberi isyarat yang cukup jelas yang menggerunkan Umno-BN bahawa mereka bakal tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Jadi biarkanlah mereka bergembira dan berseronok seketika menjaga tepi kain orang sehingga mereka lupa apa yang berlaku dalam kain sendiri. Kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat lipat gandakan usaha untuk misi yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.

03 March 2010

UMNO -BN SEBENARNYA YANG TERDESAK!

Sehari dua ini mungkin pemimpin Umno bersorak dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya biarkanlah mereka bertepuk tangan, berkeroncong dan berdondang sayang.

Biarkan mereka bergembira seketika supaya mereka terlupa porak peranda dan tsunami yang bakal melanda mereka. Mereka fikir dengan cara itu rakyat akan memaafkan 'dosa-dosa' mereka selama memerintah negara.

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa kegawatan politik ciptaan mereka di Perak? Apakah mereka fikir pengundi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor akan kembali untuk mengundi Umno-BN kembali? Apakah mereka fikir rakyat akan lupa apa yang berlaku pada Altantuya? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang misteri kehilangan enjin pesawat? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang tragedi kapal selam yang tak boleh tenggelam?Apakah mereka fikir rakyat terhibur dengan berita propaganda media ketika rakyat sedang mengikat perut? Adakah mereka fikir rakyat akan percaya bulat-bulat Dato Seri Anwar meliwat si Saiful yang lebih gagah daripadanya?

Jika itu yang mereka percayakan silalah buat pilihanraya sekarang. Berdasarkan perkembangan sekarang saya cukup yakin rakyat semakin tidak sabar untuk menumbangkan Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Saya melihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat terutama daripada pengundi cina di seluruh negara. Saya yakin Umno-BN menyedarinya, sokongan pengundi cina kepada Umno-BN semakin merudum. Hakikat itu cukup digeruni oleh Umno-BN.

Maka terdapat teori mengatakan Umno-BN amat terdesak untuk mendapat undi 2/3 di parlimen. Hanya undi 2/3 di parlimen sahaja yang membolehkan Umno-BN membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika persempadanan semula dibuat sudah pasti ada pertambahan kawasan parlimen yang majoriti Melayu kerana mereka tidak yakin di parlimen yang mempunyai ramai pengundi cina. Andaiannya, pengundi Melayu umpama tunggul kayu yang mudah ditipu yang diangggap secara tradisi menyokong parti penipu dan pengampu.

Maka berdasarkan perkembangan yang berlaku, Umno-BN yang sebenarnya yang terdesak dan bukannya PAS,PKR dan DAP atau Pakatan Rakyat. Kepada Pakatan Rakyat buatlah yang terbaik untuk memastikan cita-cita Umno-BN mendapat undi 2/3 di parlimen tidak kesampaian. Terjemahkan perpaduan dan kekuatan supaya kemaraan ke Putrajaya selepas PRU ke 12 akan menjadi kenyataan.

AHLI PKR YANG MELOMPAT UMPAMA ANAI-ANAI

Hari ini seorang lagi ahli parlimen PKR melompat menjadi ahli parlimen bebas ( Umno le tu ). Kali ini ahli parlimen dari Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri. Kemungkinan selepas ini ada lagi ahli parlimen PKR yang 'gelap mata' bakal melompat untuk melaksanakan teori BN 2/3 di parlimen sebelum PRU umum menjadi kenyataan. Apa yang pasti ada 'projek khas' yang bakal dilaksanakan jika BN dapat sokongan 2/3 di parlimen.

Mohd. Fairuz Khairudin bekas adun Penanti yang melompat memberi amaran agar menghentikan segala serangan peribadi kepada beliau. Menurutnya sarang tebuan jangan dijolok. Bagi saya Fairus dan mereka yang sewaktu dengannya yang telah melompat dari Pakatan Rakyat bukannya sarang tebuan tetapi sarang anai-anai yang wajib dibinasa dan dimusnahkan. Jika anai-anai ini dibiarkan membuat dan membesarkan sarangnya lambat laun ia boleh menyebabkan bangunan pencakar langit pun boleh menyembah bumi.

Maka tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat dan PKR perlu dibiarkan dan dilihat secara positif sebagai langkah pembersihan anasir-anasir yang boleh merosakkan Pakatan Rakyat pada masa kini dan akan datang. Tindakan mereka keluar sama ada ke dalam Umno atau 'bebas' sebenarnya akan lebih memantapkan Pakatan rakyat pada masa depan apa yang penting rakyat akan menterjemahkan sokongan mereka kepada Pakatan rakyat melalui kertas undi pada pilihanraya umum akan datang. Jika Umno-BN merasa mereka cukup kuat dan mendabik dada dapat 'membeli' atau 'memujuk' Adun atau ahli parlimen menyertai mereka beranikah mereka untuk membubarkan DUN atau parlimen?

BATAL LALUAN LTDL DI NEGERI PAKATAN RAKYAT ATAU...

Pelumbaan Le Tour D Langkawi yang dikatakan berprestij di rantau Asia mengundang kontroversi baru-baru ini. Ini berpunca tindakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr.Awang Adek Hussin melanggar protokol dan bertindak di luar kebiasaan apabila melepaskan pelumba walaupun pihak penganjur sebelum ini telah bersetuju dan dimaklumkan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melepaskan pelumba.

Ada pihak seperti pihak penganjur meminta agar isu ini tidak diperbesarkan dan diterima dengan semangat kesukanan. Hujah dan alasan dangkal yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan soal semangat kesukanan tetapi soal maruah dan tindakan serta cubaaan untuk mengaibkan seorang ketua kerajaan negeri di khalayak umum.

Umpama kita bertandang ke rumah orang, kena jaga adab-adabnya. Tuan rumah perlu dihormati dan tetamu perlu diraikan. Tetapi dalam isu pelepasan pelumba LTDL di Kota Bharu, tetamu cuba belagak menjadi tuan rumah!

Siapa yang sebenarnya mempolitikkan isu ini? Jika begitu sikap biadab penganjur dan pemimpin politik kerajaan 1Malaysia dalam isu ini apa kata saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat membatalkan semua laluan dan sama ada tempat pelepasan dan penamatan pelumbaan LTDL ini? Biarkanlah LTDL berlegar-legar di negeri yang dikuasai Umno-BN.

Oleh itu saya menggesa Awang Adek dan penganjur perlu memohon maaaf secara terbuka ataupun bersedia menerima kesan penganjuran pertandingan ini pada masa ini atau akan datang. Ini bukan tindakan kebudak-budakan tetapi ia pendekatan terbaik untuk mereka yang kurang ajar dan biadab serta tidak tahu mengormati orang lain.

01 March 2010

PEMIMPIN UMNO YANG TAK CERDIK, SOMBONG DAN BIADAB


Umno boleh terus melupakan untuk menawan Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang. Ini bukan sahaja disebabkan sokongan padu majoriti rakyat Kelantan kepada kepimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tetapi juga disebabkan Umno Kelantan kini dipimpin oleh mereka yang kurang cerdik,sombong dan biadab.

Tak cerdik kerana tak dapat membezakan di antara nilai RM 2 bilion dan RM 20 juta duit royalti minyak yang sepatutnya menjadi hak rakyat Kelantan. Selain itu juga Umno Kelantan juga tidak cerdik kerana mereka cuba memburukkkan imej Tok Guru sebagai perasuah seperti Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Ali Rustam dan Tok Guru umpama langit dan bumi!Dakwa dan cubalah penjarakan Tok Guru atau burukkan imej Tok Guru sebagai makan rasuah kalau Umno rasa itu tindakan dan idea yang paling cerdik yang ada dalam pemikiran pemimpin Umno.

Umno hari ini bukan sahaja tidak cerdik tetapi juga sombong. Tindakan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang duduk di pentas utama ketika pemimpin VIP lain berdiri ketika kehadiran Tok Guru di pentas utama program pelepasan peserta Le Tua D langkawi menunjukkan tahap kesombongan terlampau pemimpin Umno ini. Tok Guru memang tidak meminta disanjung atau dihormati tetapi untuk jadi pemimpin orang Kelantan cukup peka dengan budi bahasa dan adab sopan pemimpin mereka.Jauh sekali untuk memilih pemimpin yang bukan sahaja biadab tetapi kurang ajar.

Sikap berkenaan bukan sahaja meunjukkan kesombongan tetapi menunjukkan betapa Umno gagal mendidik pemimpinnya tentang adab dan budi bahasa. Kebiadapan Awang Adek terus terserlah apabila melanggar protokol dengan melepaskan pelumba Le Tua D Langkawi di Kota Bharu hari ini. Boleh jadi Awang Adek dah pula perasan atau dah terlalu gian nak jadi Menteri Besar. Jika begitu keadaannya kepada Umno lupakalah Kelantan tunggu hukuman rakyat Kelantan dalam pilihanraya akan datang.