24 January 2009

SIAPA LAGI BERANI LAWAN SAMY VELLU?



Jika ada anugerah pemimpin politik yang dianggap mempunyai 'daulat', Samy Vellu layak menggondolnya. Siapa pun tak boleh kacau dan lawan presiden MIC ini. Siapa-siapa yang berani buka mulut nak cabar Samy Vellu seperti mencari penyakit.

Itulah kehebatan Samy Vellu, walaupun sebelum ini kata tak kisah biarpun 100 orang nak bertanding jawatan presiden MIC. Tapi ternyata MIC cakap tak serupa bikin!Bikin tidak serupa cakap!

Terbaru bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan yang mengumumkan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu dalam pemilihan Presiden Mac ini telah dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu dipecat atas beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa telah memudaratkan parti itu.

Muthuppalaniappan mengesahkan yang beliau telah menerima surat pemecatan itu daripada Jawatankuasa Disiplin MIC hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Sri G. Vadiveloo juga mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan surat bertarikh 21 Januari lalu berhubung pemecatan kepada Muthuppalaniappan.

Bagus juga Samy Vellu bersikap macam tu, biar lebih ramai orang India menyertai Pakatan Rakyat. Samy Vellu seperti tidak pernah belajar gelombang 'Makhal Sakhti' yang melanda MIC dalam pilihanraya umum lalu. Apa-apapun tahniah dan syabas kepada Samy Vellu yang berani mempertahankan kedudukannya tidak seperti ada sebuah parti di dunia ini, presidennya baru kena gempak sikit dengan timbalannya terpaksa mengalah!

NAJIB AKAN JADI PM KE 6,TETAPI...

Jika tidak adal aral melintang selepas Perhimpunan Agung Umno Mac ini Dato Seri Najib akan menjadi PM Malaysia ke 6. Hanya sesuatu yang luar biasa sahaja yang mampu menghalang Najib untuk mengisi jawatan nombor satu negara.

Kes Altantuya yang sebelum ini diramalkan bakal memaksa Najib melupakan jawatan presiden Umno dan PM juga tidak menampakkan sebarang tanda-tanda bahawa Najib akan dikaitkan dengan tragedi pembunuhan itu. Namun, perbicaraan ini masih terlalu awal.

Walaupun Pak Lah dilihat agak kurang senang dengan prestasi Najib akhir-akhir ini, itu tidak bermakna pula Pak Lah akan menangguhkan pelan peralihan kuasa yang telah 'dipersetujui' bersama. Jika Pak Lah mengubah proses peralihan kuasa, Pak Lah seperti sengaja mengundang penyakit.

Pandangan saya agak kontra dengan andaian dan pandangan Dato Kamaruddin Jaafar, Setiausaha Agong Pas yang meramalkan Pak Lah akan menangguhkan buat seketika pelan peralihan kuasa atas perkembangan muktahir yang berlaku. Dipercayai berkait rapan dengan masalah ekonomi global, sisasatan kes rasuah dan paling penting prestasi Najib semasa mengetuai jentera BN di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu.

Walau bagaimanapun Najib bagi saya bakal menjadi PM yang paling singkat dalam sejarah! Rakyat jelas menunjukkan sikap menolak BN dalam erti kata lain menolak kepimpinan Najib. Walaupun Najib agak 'kebal' dengan pelbagai dakwaan dan skandal yang dikemukakan ini tidak bermakna Najib akan berhadapan laluan yang selesa di kerusi nombor satu negara.

Paling lewat saya meramalkan BN hanya mampu bertahan selewatnya-lewatnya sehingga pilihanraya umum ke 13. Ini bakal berlaku jika BN dan UMNO terus dengan lagak dan gaya sekarang yang menafikan kuasa dan pengaruh rakyat yang semakin muak dengan BN. tetapi pemimpin Umno seperti tidak mengakui hakikat ini dan seperti masih selesa dengan kedudukan sekarang.

Namun saya menjangkakan apabila Najib menjadi PM, PR akan berhadapan dengan ranjau apabila dasar pemerintahan yang lebih menekan dan menghimpit PR akan dilaksanakan oleh Najib. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukan apabila semua yang dilakukan oleh BN dan UMNO untuk menambat hati rakyat dan memulihkan keyakinan masyarakat serba serbi tidak menjadi.

Dalam hal ini PR perlu bersedia dengan segala macam persiapan dan penerangan kepada semua ahli dan penyokong tentang kemungkinan yang bakal berlaku. Apa-apapun sama-sama kita tunggu sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya.