13 January 2009

PAK LAH KECEWA LAGI DENGAN MUHYIDDIN

Rasanya tidak keterlaluan jika saya mengucapkan syabas kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana menghentikan semua rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika sebagai tanda kekesalan tindakan Amerika yang membisu dan merestui tindakan menzalimi rakyat Palestin di Gaza.

Tindakan ini selaras dengan gesaan daripada ramai umat Islam yang mendesak agar menghentikan semua bentuk urusan dan memboikot produk Yahudi dan sekutu rapatnya,Amerika.

Tetapi tindakan Muhyiddin ini dilihat kurang disenangi oleh Pak Lah kerana Muhyiddin seperti tunjuk pandai dan bertindak sendirian tanpa merujuk kepada Pak Lah dan diputuskan dalam mesyuarat kabinet dalam tindakan yang diambil.

Perdana Menteri berkata Muhyiddin perlu memaklumkan berhubung tindakan itu serta implikasinya kepada Kabinet secara rasmi.

“"Tan Sri Muhyiddin mesti maklum kepada Kabinet dan apakah implikasi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini hari ini.

Ini merupakan kali kedua Pak Lah meluahkan rasa terkilan dan kurang senang kepada Muhyiddin. Sebelum ini Pak Lah dilihat begitu kecewa dengan Muhyiddin yang secara terbuka mendesak Pak Lah mempercepatkan pelan peralihan kuasa.

Apakah luahan rasa kecewa Pak Lah kali kedua kepada Muhyiddin yang sebelum ini dilihat sebagai sekutu rapatnya dalam Umno akan membuka ruang kepada dua lagi calon timbalan presiden untuk mengajar Muhyiddin?

Penganalisis politik sebelum ini berpendapat sokongan kem Pak Lah kepada Ali Rustam dan Md. Taib telah membantu kedua-dua calon berkenaan dapat melepasi kuota pencalonan dengan begitu bergaya pada saat-saat akhir.

Adakah ini juga memberi isyarat bahawa akan berlaku kejutan dalam pemilihan Umno Mac depan? Sama-sama kita tunggu.

KENAPA NAJIB BIMBANG PAS MENANG DI KUALA TERANGGANU?

Dalam satu majlis ceramah malam tadi Najib mengingatkan pengundi agar memilih calon BN untuk menutup segala peluang Pas untuk memerintah Malaysia.

Tanpa disedari akhirnya Najib mengakui Pas memiliki potensi dalam arena politik dalam negara ini. Tidak mustahil Pas mampu memerintah Malaysia secara bersendirian atau melalui pemuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

Apa Pasal Najib risau sangat kalau BN tewas di Kuala Terangganu? Mungkin ramai yang telah terlupa, perbicaraan kes Altantuya akan bersambung Isnin depan. Peringkat pembelaan yang ditunggu-tunggu oleh ramai pihak.

Kedua-dua tertuduh dijangka akan bermati-matian mempertahankan diri dari hukuman mati dengan mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya. Apa motif dan arahan daripada siapa? Sehingga hari ini tidak ada sebarang motif pembunuhan dibacakan kepada tertuduh oleh pendakwaraya dalam perbicaraan lepas. Sama ada dendam, cemburu atau rompakan? Kalau tidak ada motif tuduhan kena dipinda kepada membunuh secara tidak sengaja atau membunuh tanpa niat yang hukumannya tidak lebih dari 10 tahun penjara.

Tetapi hairan pulak, kalau tak ada motif apa perlu diletupkan sampai berkecai-kecai? Apa perlu guna bom C4? Apa pasal polis tindakan khas unit komondo elit polis tak pasal-pasal bunuh dan letup orang tanpa sebab? Apa perlu P Balasumbramaniam penyiasat persendirian menghilangkan diri? Apa punca sehingga rekod imigresen Altantuya di negara ini yang dikawal oleh sistem keselamatan elektonik yang canggih dan sofistikated boleh ghaib begitu sahaja?

Sehingga hari ini, Najib belum lagi secara rasmi jadi presiden Umno dan juga perdana menteri. Hanya baru atas kertas! Macam -macam boleh berlaku.

Dalam erti kata lain walaupun poster gambar Najib jauh lebih banyak berkali ganda berbanding dengan poster Pak Lah di Kuala Terangganu, Pak Lah masih tetap lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia dan juga presiden Umno.

Jadi apa sebenarnya yang cukup dibimbangi Najib dalam pilihanraya ini? Hilang kerusi parlimen kepada Pas atau hilang pengaruh dan kuasa? Senario yang berlaku hari ini dalam pilihanraya di Kuala Terangganu dengan Najib dan kuncu-kuncunya berkampung siang malam memungkinkan kita ada jawapannya.