24 May 2008

CABARAN INSTITUSI PERKAHWINAN….

















PERKAHWINAN dibina disebabkan pelbagai alasan. Apa pun alasan tersebut, tujuannya adalah untuk mencapai sebahagian daripada kesempurnaan hidup.

Perkahwinan yang dibina secara terpaksa, biasanya tidak kekal kerana tiadanya kesediaan untuk bertolak ansur atau saling memberi dan menerima.

Apabila pihak-pihak bersetuju untuk membina perkongsian hidup, setiap pihak akan menentukan sejauh mana kesediaan masing-masing untuk berkongsi dan bertasamuh.

Kesediaan ini bergantung kepada beberapa asas antaranya, tahap ilmu kekeluargaan, keimanan, sikap semula jadi, pengalaman hidup sebelum (termasuk pengalaman orang lain yang dijadikan panduan) dan tidak kurang juga penerimaan nasihat dan pengaruh orang di sekeliling dan dipercayai.


 

Perubahan gaya hidup semasa sangat memberi kesan kepada persepsi kebanyakan orang mengenai perkongsian hidup. Hakikat kehidupan masa kini sangat mencabar garis panduan yang dikemukakan syariah dalam menyusun kehidupan berkeluarga.

Contoh yang paling mudah apabila pengenalan tanggungjawab dan hak suami isteri secara tradisi dicabar dengan hakikat hari ini yang memperlihatkan kaum Hawa juga bekerja seperti kaum Adam. Kaum lelaki mula mempertikai secara akli tanggungjawab yang terpikul di atas bahu mereka selama berabad-abad.

Mereka bertanya, "Apakah adil dalam keadaan suami isteri bekerja bersama-sama, tetapi pendapatan yang diraih oleh kaum suami perlu diagih kepada pelbagai bentuk nafkah, tetapi sebaliknya, kaum isteri boleh menikmati pendapatan mereka secara mutlak? Kesediaan isteri untuk memberi sumbangan hanyalah atas dasar sukarela (tabarru'), tidak wajib walaupun sememangnya berpahala."

Sebaliknya, apabila isteri bekerja maka tugas-tugas yang secara tradisi dilakukan oleh kaum ibu telah berpindah tangan. Penyediaan keperluan rumah yang biasanya dilakukan secara manual oleh isteri telah diganti dengan pelbagai bentuk pilihan, antaranya oleh pembantu rumah, pembelian dari kedai, perkhidmatan secara bergerak, taman asuhan dan sebagainya.

Fenomena ini menimbulkan rungutan oleh kaum bapa yang sangat merindui hasil tangan isterinya. Sehingga sumbangan material atau kos lepas yang diberikan isteri daripada hasil titik peluhnya bekerja tidak mampu menyaingi hasil tangan isteri tersebut.

Fenomena ini secara zahir seolah-olah bertentangan dengan maksud Hadis riwayat al-Bukhari yang menyatakan bahawa kaum lelaki penjaga kepada ahli keluarganya dan isteri pula penjaga rumah tangganya.

Dalam kita mencari tokoh-tokoh wanita Muslim yang dijamin masuk ke dalam syurga, antaranya adalah dari kalangan mereka yang sangat patuh dan setia terhadap suami masing-masing.

TercabarDunia perkahwinan pada hari ini mungkin tercabar dengan kisah-kisah tradisi Islami yang kebanyakannya memperlihatkan tentang sifat wanita yang lembut atau naif, berbanding dengan sifat wanita hari ini yang jauh lebih canggih atau sofistikated.

Malah pandangan kaum lelaki semasa tentang wanita juga begitu ketara bezanya. Rata-rata lelaki pada hari ini lebih bangga sekiranya memiliki pasangan yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi mempunyai kedudukan dari segi sosial yang baik, berpendidikan tinggi, memiliki kerjaya yang mantap dan dipandang tinggi masyarakat.

Dari satu sudut yang lain pula dikatakan surirumah sepenuh masa mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mengalami kemurungan (depression) berbanding wanita yang mempunyai pekerjaan tertentu.

Sebaliknya, memiliki pekerjaan boleh dikatakan bahawa seseorang itu dapat meluaskan 'dunia hidupnya'; ada cabaran yang harus diselesaikan dan ia memberi kepuasan dan kebahagiaan selain imbuhan daripada penyelesaian terhadap masalah (tugas) tersebut.

Pekerjaan yang dimiliki memberikannya dunia perhubungan yang lebih luas dan hebat; pelbagai ragam manusia menjadi sebahagian daripada pengisian diari hidup dengan pelbagai corak dan warna.

Kemuncak kepada pekerjaan itu ialah pengiktirafan terhadap kewujudannya dalam dunia kerjaya yang diceburi dan ia metafora kepada kepuasan dan keceriaan minda dan emosi.

Malangnya, wanita yang sudah memiliki keluarga, cantik dan berjaya juga turut berdepan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Tidak sedikit wanita yang memiliki kelebihan-kelebihan ini sering didatangi dan didampingi lelaki-lelaki yang teruja terhadap wanita sebegini.

Ruang semakin besar untuk mendampinginya sekiranya rumah tangga mempunyai masalah, dan tentunya jati diri wanita tersebut semakin tercabar. Maka tidak hairan jika kajian menunjukkan bahawa sebahagian sebab, yang harus diberi perhatian, daripada perceraian yang berlaku antara pasangan adalah kerana pertelingkahan berlaku dalam rumah tangga tetapi perbincangan untuk mencari penyelesaian gagal untuk dilakukan. Dan pada masa yang sama orang ketiga menjadi pemangkin yang hebat dalam membesarkan belenggu rumah tangga.

Puteri Rasulullah SAW, Fatimah az-Zahrah bertanya kepada ayahandanya tentang wanita yang dijamin masuk syurga dan Baginda menunjukkan seorang wanita tanpa menceritakan ciri-ciri yang dimiliki oleh wanita tersebut. Demi mendapatkan jawapan, Fatimah menziarahi wanita itu dan melalui beberapa detik pengalaman.

Apa yang beliau dapati sebenarnya sangat mudah bagi seorang wanita yang menjadi isteri untuk memasuki syurga; menunggu kepulangan suami dari bekerja dengan penuh sabar dan bercantik-cantik untuk suami, mendapatkan izin daripada suami untuk membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan hak suami dan menawarkan diri untuk dihukum sekiranya pada anggapan suami, dia telah berbuat salah.

TradisiMalangnya, keadaan ini sangat dicabar oleh perubahan masa. Antara persoalan yang timbul, adakah disebabkan wanita mempunyai kebebasan untuk bekerja maka ia mengundang kepada kemungkinan yang besar untuk menjadikan wanita sebagai isteri yang tidak taatkan suami, dan yang jauh lebih buruk mengundang secara senyap kepada gejala sosial?

Adakah masyarakat akan menjadi lebih tenteram sekiranya wanita pada hari ini lebih digalakkan untuk memainkan semula peranan tradisi mereka? Dan kisah-kisah silam wanita yang bekerja atau menjadi usahawan juga kurang kita dapati dan ia tidaklah popular.

Bagaimana pula sekiranya negara memerlukan sumbangan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu sekiranya kepakaran itu hanya dimiliki oleh orang tertentu dan mereka dari kalangan wanita?

Sehubungan dengan persoalan ini juga, bagaimana halnya bagi wanita yang memiliki kebijaksanaan yang tinggi untuk menyempurnakan kebijaksanaan mereka sekiranya kita bersetuju bahawa negara akan menjadi lebih aman apabila unit keluarga yang menjadi teras negara berada dalam bentuk institusi keluarga Islami secara tradisi?

Tidak dinafikan wujudnya wanita sebagaimana yang ditemui oleh Fatimah az-Zahrah dan rela dihukum oleh suami demi mendapatkan keredaan Allah SWT dalam hidupnya.

Namun, rata-ratanya kita pada hari ini lebih memilih prinsip hidup saling percaya-mempercayai dan hormat-menghormati kerana kita mempunyai ilmu tentang kebebasan asasi dan hak sama rata dan ia juga dilindungi oleh syariah.

Wanita hari ini sangat berharap agar kaum lelaki menghormati mereka dan harapan yang sangat tinggi itu lahir daripada keadaan yang kita lihat pada hari ini; begitu banyak perdayaan dan penganiayaan yang berlaku terhadap kaum wanita termasuk di kalangan isteri.

Semakin naif atau lurus wanita itu, maka semakin banyak penganiayaan yang diterimanya. Kenyataan ini tidaklah menafikan tentang wujudnya suami yang cedera parah kerana kezaliman secara jasmani oleh pihak wanita/isteri, tetapi kajian lebih banyak menunjukkan penganiayaan yang berlaku adalah di pihak yang satu lagi.

Saranan yang disediakan oleh agama Islam adalah seawal mencari pasangan hidup. Apabila Baginda Rasulullah SAW menyarankan kepada pemuda Muslim supaya mengutamakan agama sebagai syarat utama dalam mencari pasangan hidup, ia juga seharusnya dijadikan sebagai saranan yang popular kepada gadis Muslim.

Kini sudah tidak sesuai bagi kaum Hawa hanya menjadi penurut dengan anggapan keredaan itu adalah jambatan mutlak untuk meraih pahala di dunia.

Suami yang salih sebenarnya adalah wadah yang paling mudah bagi golongan wanita untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Dan ia disokong oleh faham kufu yang dijelaskan secara terperinci oleh para ulama supaya kesaksamaan berlaku kepada kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.

Sebenarnya, ada sesetengah perkara yang disyariatkan oleh Allah melalui Kitab-Nya yang harus diterima dengan penuh keimanan dan ketundukan. Apabila lelaki dipertanggungjawab oleh Allah sebagai ketua keluarga dengan beban tanggungjawab yang besar, seharusnya ia diterima tanpa sebarang pertikaian.

Hikmah yang tersembunyi di sebalik pertanggungjawaban tersebut melalui wahyu yang diturunkan tidak terjangkau oleh sifat munasabah akal manusia. Begitu juga sebaliknya bagi kaum Hawa pula, setinggi mana pangkat yang dikecapi, tinggi lagi makam syurga untuk dicapai

KAUNSELING SECARA ON LINE

Tidak dapat dinafikan teknologi maklumat melalui internet mencorak senario politik di negara ini.

Internet juga boleh mencorak budaya masyarakat di negara ini. Masyarakat dewasa ini dilanda dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya masalah sosial, penagihan dadah, konflik rumah tangga, dan masalah akidah.

Internet juga digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan. Yang kerap menjadi mangsa golongan yang lemah dan mudah terpedaya terutamanya para remaja dan golongan wanita.

Tidak dapat dinafikan pihak jabatan agama Islam serta majlis agama Islam telah pun mempunyai khidmat kaunseling secara konvensional.

Akan tetapi dengan perkembangan teknologi terkini serta cabaran masa kini yang menyebabkan ramai remaja hanyut dengan kelekaan dan kealpaan, tidak dapat tidak, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama Islam negeri serta jabatan agama Islam negeri haruslah mengambil inisiatif untuk mengadakan perkhidmatan kaunseling dalam talian (online) secara percuma.

Perkhidmatan kaunseling maya ini penting kerana, budaya masa kini, kita dapati golongan remaja kurang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada para ustaz dan ustazah di masjid, surau atau pejabat agama.

Mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat daripada kawan-kawan mereka secara dalam talian melalui ruang sembang di alam siber, e-mel dan sebagainya.

Jakim, dan jabatan-jabatan agama Islam tidak seharusnya menumpukan usaha dakwah dan khidmat nasihat di masjid semata-mata.

Mereka haruslah keluar daripada kepompong pendekatan konvensional dengan mengikuti perkembangan teknologi masa kini, demi menyelamatkan generasi umat Islam ketika ini yang hanyut dibawa arus pemodenan, hedonisma, hiburan melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.

Apa yang menyedihkan terdapat laman web jabatan agama yang tidak dikemaskini dari masa ke semasa seperti laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (http://www.ns.gov.my/jabatan/jheins/).

Kegagalan ini menunjukkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini tidak begitu bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan umat Islam.

Jakim bawah kepimpinan menteri yang baru iaitu Datuk Ahmad Zahid Hamidi haruslah mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan untuk kepentingan umat Islam agar umat Islam dapat dijadikan contoh kepada penganut agama lain di negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.


 

    Dalam menyahut cabaran perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat saya turut menyediakan sesi kaunseling secara online ( melalui yahoo messeger atau hotmail messenger – boleh dilaksanakan melalui sidang video ) anda boleh membuat temu janji untuk mengadakan sesi secara on line. Para pelawat blog ini boleh emailkan sebarang masalah dan kemuskilan melalui email : khairul_ippm@hotmail.com atau khairulippm@gmail.com .

ISU UNIFORM SEKOLAH...IPPM MACAM MANA ?










Cadangan dan gesaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) terhadap Kementerian Pelajaran agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna agar tidak menarik perhatian mata lelaki yang mengundang jenayah seksual adalah suatu yang sangat baik dan wajar .  Saya menyokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan berharap agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghela ke arah jenayah dan mungkar .

Peningkatan jenayah dan gangguan seksual dikalangan pelajar sekolah semakin parah dan membarah. Pihak Kementerian tidak sewajarnya memandang sebelah mata dan hanya mengeluh setiap kali kes baru membabitkan jenayah seksual pelajar sekolah dilaporkan.  Islam telah menggariskan etika berpakaian dan imej penampilan bagi mengurang dan mengelakkan jenayah seksual ini berlaku secara berleluasa.  Menutup aurat dan berpakaian sopan serta sesuai agar tidak menampakkan bentuk tubuh dan bayang pakaian dalam , adalah suatu yang asas dalam Islam bagi menjamin ketenangan dan keselamatan kaum wanita itu sendiri .  saya merasa sangat yakin bahawa apa yang telah dicadangkan oleh PKPIM itu bukan sahaja telah didahului oleh kajian dan penelitian terhadap kes yang berlaku tetapi juga mewakili keresahan dan kegelisahan ibubapa berkait dengan peningkatan kes cabul , zina ,salah laku dan rogol yang melibatkan pelajar sekolah .  

Uniform Baju putih sememangnya perlu dinilai semula kerana kini menjadi trend oleh sebahagian pelajar perempuan mengenakan pakaian dalam berwarna dan menyerlahkan bayang pakaian dalam mereka dan ia menarik perhatian lelaki yang rosak akhlak, bahkan terdedah kepada risiko berlakunya jenayah seksual ke atas diri mereka. Perkara seperti tidak boleh dianggap remeh dan dipandang kecil kerana ia boleh mengundang musibah .  Pihak Kementerian Pelajaran digesa membuat kajian semula terhadap uniform pelajar sekolah dengan mengambil kira cadangan dan pandangan dari pelbagai pihak . Saya mencadangkan agar Kementerian merujuk kepada para mufti atau ulama' untuk mendapatkan nasihat dalam perkara ini.  Bukan sahaja melibatkan soal pakaian tetapi sebaliknya turut menggesa agar satu langkah berkesan diambil oleh pihak Kementerian secara menyeluruh bagi menangani peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual dikalangan pelajar sekolah.  Ianya pasti sahaja melibatkan soal pendidikan agama dan penghayatan serius terhadap amal Islami mesti diterapkan kepada pelajar sekolah disamping menyediakan persekitaran yang selamat dan aman dari anasir maksiat dan mungkar dikalangan pelajar.



Saya juga merasakan telah tiba masanya uniform kuning air pelajar IPPM turut ditukar..hal ini kerana isunya sama seperti di atas..walaupun guru pelatih golongan dewasa dan boleh berfikir bagaimana untuk mengelakkan agar pakaian mereka itu tidak kelihatan jarang...tetapi ada antaranya seperti sengaja seolah - olah ingin menayangkan koleksi baju dalam yang mereka miliki....Sebagai seorang bakal guru semestinya menunjukkan bukan sahaja tingkah laku dan akhlak yang mulia tetapi juga pakaian yang turut mencerminkan peribadi dan kualiti seorang bakal guru. Malah dari pemerhatian saya masih ada guru pelatih yang memakai 'baju adik' masa di dalam dan luar kampus IPPM walaupun tidak sampai peringkat nampak 'pusat bandar' dan 'Alor Gajah'.

NIPISNYA IMAN KENEGARAAN KITA….





 


MUNGKIN tidak ada seorang pun dari kira-kira 26 juta rakyat Malaysia menangis setelah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih kini sudah menjadi milik Singapura.


 

Bahkan mungkin ada rakyat Malaysia yang tidak menahu mengenai apa yang belaku di The Hague di Belanda hari ini. Apa itu Batu Puith atau Perda Blanca, atau di mana terletaknya South Ledge (Terumbu Karang Selatan) dan Middle Rock (Terumbu Karang Tengah).

Sebaliknya mungkin ada di kalangan rakyat negara ini yang tumpang bergembira dengan keputusan ICJ yang memberi hak kedaulatan Batu Putih kepada Singapura itu?

Rakyat negara kita bagaikan tidak peduli berhubung pertikaian ke atas pulau berkenaan yang berlaku sejak 28 tahun lalu. Generasi muda maupun generasi tua seakan membiarkan saja pertikaian itu kepada pihak kerajaan bersendirian tanpa ada usaha dan komitmen bersepadu daripada seluruh rakyat.

Misalnya kita tidak pernah terdengar rakyat negara ini bangkit menyatakan keprihatian mereka ke atas pulau berkenaan baik menerusi aksi fizikal maupun secara berdoa. Tidak ada apa-apa reaksi dalam hal ini.

Untuk sama-sama ke The Hague bagi mendengar perbicaraan tidak mungkin. Orang kita bukan saja miskin kewangan tetapi juga miskin semangat. Adakah mana-mana NGO kita yang kononnya kuat berjuang untuk nusa dan wangsa menghantar wakil ke Belanda?

Saya terkesan keimanan kita dalam menjaga watan ini sangat nipis dan naif. Bukan saja dari kalangan rakyat, tetapi pihak Kerajaan sendiri juga. Misalnya sebelum keputusan dibuat di Belanda petang tadi umat Islam yang baligh dan mukalaf ke masjid untuk sembahyang Jumaat tidak pun digerakkan untuk memberi sedikit perhatian kepada isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih itu.


 

Sepatutnya khutbah hari ini menyentuh mengenai apa yang bakal berlaku di Belanda itu. Para khatib patut membaca khutbah mengenai kedaulatan negara dan kasih kita kepada watan tujuannya memberi semangat dan rangsangan.


 



 

Tajuk khutbah di hari ini ialah "Cinta Terlarang" menghuraikan bahaya dan jijiknya cinta terlarang. Teks itu tidak sedikitpun menyentuh apa yang berlaku di Belanda. Khatib juga di dalam doanya sebelum mengakhiri khutbah tidak sedikitpun mendoakan meminta agar keputusan berpihak kepada kita.


 

Inilah yang saya katakan bangsa kita terlalu miskin iman terhadap negara baik di kalangan mat rempit maupun yang menjadi penunggu masjid. Keimanan masing-masing senipis kulit bawang? Apa salahnya kalau masjid mengajurkan solat hajat memohon agar keputusan ICJ berpihak kepada kita. Namun ini tidak pernah berlaku dan lupa untuk dilakukan. Apakah kita semua sudah tidak percaya kepada doa dan usaha secara kerohanian?