08 June 2009

KERAJAAN NAK WAJIBKAN BAHASA INGGERIS SUBJEK WAJIB DALAM SPM?

Isu PPSMI masih lagi belum selesai. Walaupun dikritik hebat oleh hampir semua tokoh bahasa kerajaan masih berdolak dalik tentang pelaksanaan PPSMI. Kononnya nak buat kajian dulu. Maklumlah dah lebih RM 5 billion duit rakyat lebur. Hari ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mendapat pandangan orang ramai sebelum cadangan menjadikan subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus dalam SPM. Pulak dah….

Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab pelaksanaan PPSMI awal-awal lagi menyatakan persetujuannya. Sama seperti PPSMI, jika Bahasa Inggeris menjadi subjek lulus yang menjadi mangsa adalah orang Melayu yang masih lagi ketinggalan dalam penguasaan subjek berkenaan. Kenapa kerajaan begitu kemaruk sangat dengan bahasa Inggeris ini ?Walhal bahasa kebangsaan yang termaktub dalam pelembagaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar terus dipinggirkan. Mencadangkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus ketika isu PPSMI masih belum selesai menunjukkan kerajaan tidak peka dengan suara pelbagai pihak agar kerajaan memberi perhatian dan mendaulatkan bahasa kebangsaan. Adakah negara maju seperti Jepun, Jerman, Peranchis, Korea Selatan dan kini gergasi baru ekonomi China maju dan membangun disebabkan bahasa Inggeris?

Kepada pihak Kementerian Pelajaran selesaikan dahulu kemelut kekurangan guru bahasa Inggeris di sekolah terutama di luar Bandar dan pedalaman. Bagaimana Muhyiddin boleh terfikir untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus sedangkan masih banyak lagi kelemahan dari segi prasarana dan kekurangan guru subjek bahasa Inggeris di sekolah hari ini terdiri daripada guru yang bukan opsyen subjek berkenaan? Ini menyebabkan ada guru bahasa Inggeris yang mengajar subjek bahasa berkenaan dalam bahasa Melayu atau bahasa rojak+pasembur.

LCD dan laptop yang dibekalkan oleh kerajaan kepada guru bahasa Inggeris, guru PPSMI subjek Sains dan Matematik lebih banyak berfungsi bila ada pemantauan sahaja. Selebihnya digunakan untuk kegunaan peribadi atau urusan lain tidak berkaitan dan lebih malang lagi hanya terperap di dalam stor dan almari di sekolah. Malah banyak peralatan seperti laptop dan LCD yang tidak dapat digunakan kerana rosak dan tidak diselenggara dengan baik. Ini kerana peralatan yang dibekalkan walaupun mahal tetapi berkualiti rendah.Saya menulis berdasarkan realiti pengalaman isteri saya sendiri yang menjadi Ketua Bidang Sains dan Matematik di sebuah sekolah yang pernah mendapat anugerah sekolah cemerlang peringkat kebangsaan dan salah sebuah sekolah kluster di negara ini.

Saya melihat cadangan terbaru ini akan membawa implikasi besar kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman. Bayangkan jika ramai yang tidak mendapat sijil SPM akibat tidak lulus dalam subjek Bahasa Inggeris secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah lebih ramai mereka yang tercicir dalam pelajaran.Begitu juga, gagal SPM bermakna peluang melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke tingkatan enam juga tertutup. Kecuali di kolej-kolej swasta untuk golongan yang berada. Nak jadi operator kilang yang gaji empat lima ratus pun tetapkan syarat lulus SPM maklumlah hari ini graduan pun berebut-rebut nak kerja kilang kerana kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan. Bayangkan kalau yang tak lulus SPM, pengangguran meningkat, bila pengangguran meningkat masalah sosial seperti samseng jalanan (dulu mat rempit), lepak, pecah rumah dan salah guna dadah juga akan meningkat. Adakah ini semua yang kita inginkan?

UMNO UMPAMA PESAKIT H1N1?

Seluruh dunia gempar dengan wabak H1N1 (demam selsema babi) yang melibatkan ratusan kematian setakat ini.Di Malaysia sahaja tujuh kes telah direkodkan dan disahkan positif. Semasa di airport baru-baru ni anak saya yang berumur 5 tahun bila melihat ramai yang memakai penutup mulut berkata 'ramai kena penyakit babi ye bah?' Saya dan isteri hanya tersenyum sendiri.

Sehingga hari ini belum ada vaksin atau penawar untuk penyakit ini walaupun semalam saintis dari Jepun mendakwa telah menemui penawar H1N1. Sejauh mana keberkesanannya tidak benar-benar teruji sehingga hari ini.

Apabila seseorang itu mengidap H1N1, pesakit berkenaan perlu dikurantin dan diasingkan dari berinteraksi dengan orang lain. Malah jika ada sesiapa yang pernah bercampur atau duduk dekat dengan orang berkenaan dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor, bimbang takut dijangkiti.

Dalam hal ini sama lah seperti penyakit yang sedang melanda dalam Umno. Umno umpama seorang yang berpenyakit kronik yang menurut doktor hanya menunggu masa untuk menemui ajalnya. Tak salah untuk bercakap atau melawat orang yang sedang uzur dan sakit tenat. Dalam Islam pun menggalakkan menziarahi mereka yang sakit dan sedang nazak. Tetapi cakap orang yang sedang sakit ni, dengar boleh boleh tapi nak percaya faham-faham sendirilah. Maklumlah orang tengah sakit sedang nazak, biasanya cakap pun merapu je.

Hari ini kita perhatikan pemimpin-pemimpin Umno terus merapu dengan isu kerajaan perpaduan. Dari Memanda Menteri sehinggalah menteri berempat, menteri berlapan dan juak-juak yang bawah-bawah. Tak salah nak bercakap dan berunding....Tetapi sesiapapun yang ingin melawat, bercakap atau berunding dengan pesakit ini dinasihatkan agar memakai penutup mulut bimbang penyakit yang berbahaya ini berjangkit.