01 February 2009

DUA ADUN PKR LETAK JAWATAN: MARI-MARI KITA LIHAT SIAPA YANG KENAAA...

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar hari ini mengumumkan, beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya, kata beliau.

Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.
"Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi Dun Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihan raya kecil akan diadakan tidak lama lagi.

Setelah tewas teruk di Permatang Pauh dan tewas mengejut di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kecil sebelum ini Umno dijangka akan menerima sekali lagi tekanan untuk berhadapan dengan dua lagi siri pilihanraya kecil.

Pihak PR dijangka tidak berdepan dengan masalah yang rumit dari segi kerjasama dan perpaduan dalam pakatan berbeza dengan Umno yang pastinya berdepan dengan tekanan hebat akibat pergeseran, pergolakan dan perbalahan yang berlaku dalam Umno sekarang.

Tindakan kedua-dua Adun yang sebelum ini dikatakan akan melompat ke BN tidak menjadi kenyataan sebaliknya Umno menerima tamparan akibat perletakan jawatan tersebut. Surat perletakan jawatan itu telah ditanda tangani pada bulan Mac lalu sebagai 'aku janji' untuk setia bersama kerajaan PR. Mana-mana Adun PR yang melompat parti telah bersetuju untuk meletak jawatan dalam surat yang telah ditanda tangani. Jadi terbongkarlah punca kenapa pada peringkat awal Jamaluddin Mat Radzi ingin menjadi calon bebas. Kini mereka mereka yang bercita-cita merampas kerajaan PR terperangkap dalam permainan mereka sendiri.


Untuk babak dan aksi seterusnya mari kita tunggu dan saksikan...Jom mari-mari kita lihat siapa yang kenaaaaa....Tuan Nobisha...panadol active fast ada stock lagi tak di Perak???

APA RESPON SPRM DALAM KEMELUT POLITIK DI PERAK?

Secara tidak rasmi kita dapat menduga apa yang telah berlaku di Perak. Dalam kes Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota yang menyertai PKR ,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu cepat memberi respon bahawa satu siasatan akan dijalankan sama ada wujud atau tidak unsur rasuah. Datuk Nasarudin pula menyatakan kesediaannya bila-bila masa untuk disiasat.

Dalam kes dua orang Adun Perak yang masih disembunyikan oleh 'nenek kebayan' di Gunung Semanggol iatu Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu kita menunggu respon SPRM dalam dua perkara :

1. Adakah tuduhan rasuah kepada kedua-duanya akan digugurkan dalam perbicaraan 10 Febuari ini sebagai 'habuan' kerana melompat ke BN atau perbicaraan akan diteruskan?

2. Adakah SPRM akan menyiasat tentang dakwaan wujud unsur rasuah dan peras ugut serta penculikan yang dilakukan kepada dua adun berkenaan?

Jika SPRM menutup sebelah mata atau menutup mata dalam isu ini bermakna nama BPR yang ditukar kepada SPRM hanyalah kosmetik yang tidak membawa apa-apa makna. Bermakna dakwaan SPRM juga terlibat sebagai watak utama di sebalik semua konspirasi politik di Perak benar-benar wujud dan berasas.

CONFIRM !!! KERAJAAN PR PERAK TINGGAL MAJORITI 1 KERUSI


Segala spekulasi dan teka-teki tentang kehilangan 2 adun dari PKR Perak akhirnya terjawab pada hari ini apabila Pak Lah tidak menolak kemungkinan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengesahkan identiti serta bilangan wakil rakyat pembangkang yang dijangka berbuat demikian.

``Insya-Allah betul,’’ katanya ketika menjawab soalan pemberita yang meminta beliau mengesahkan laporan terdapat dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak akan menyertai BN.

Tapi yang peliknya, awal-awal lagi pak Lah sebut adun dari pembangkang. Maknanya pak Lah masih lagi bermimpi atau berangan bahawa Umno menjadi kerajaan di Perak.

Saya petik kata YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa pilihanraya kecil Permatang Pasir di Kelantan yang lalu, walaupun tinggal setengah kerusi pas akan tetap memerintah di Kelantan.

Walau bagaimanapun senario ini berbeza. Di Kelantan, walaupun tinggal 1 kerusi majoriti ketika itu, Adun Pas adalah ahli yang ditarbiyyah dan begitu wala' kepada pimpinan walaupun ditawar dengan nilai yang lebih lebih lumayan yang didakwa diterima oleh 2 adun PKR yang bakal melompat.

Di Perak, Pas tidak ada masalah dan saya yakin mereka akan taat walaupun apapun berlaku. Di sinilah kita akan dapat melihat sama ada PKR dan DAP dapat mempertahankan kesetiaan ahli mereka yang menjadi adun di Perak.

Opsyen yang ada untuk pakatan Rakyat jika terus digugat ialah dengan mengadakan pilihanraya semula dengan membubarkan sidang dewan undangan negeri Perak. Dalam keadaan BN dan Umno sedang teruk bergolak, mereka bakal menerima pengajaran yang paling pahit jika pilihanraya diadakan semula di Perak dalam tempoh terdekat.

Walau bagaimanapun saya cukup yakin dengan persediaan dan strategi yang dimiliki oleh PR untuk memastikan momentum sokongan dan kemenangan dapat dikekalkan.

Kepada semua penyokong PR khususnya di Perak diharap bertenang dan sentiasa mengikuti perkembangan dan arahan daripada pimpinan. Bagi saya sedikit ujian yang berlaku ini akan lebih menguatkan kerjasama dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang berlaku di Perak sebenarnya merupakan percaturan dalam politik. Mana-mana pihak yang silap langkah akan terus 'Check mate' .

KERAJAAN PERAK BERTUKAR TANGAN HARI INI?

Berita yang sedang panas sekarang ini di Perak. Masing-masing sedang mengikuti perkembangan terkini di Perak berikutan ada usaha BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Bagi saya semua penyokong PR tidak perlu bimbang. Menukar kerajaan tidak semudah seperti yang disangkakan bukan seperti nak tukar pakaian. Nak tukar kereta baru pun ada proses dan prosedurnya bukannya mudah-mudah macam tu je dapat kunci, start enjin terus jalan.

Bagi saya PR hari ini cukup kuat dan mantap sama ada di peringkat negeri dan nasional. Sokongan rakyat juga cukup padu di semua peringkat lapisan masyarakat dan bangsa. BN melakukan kesilapan besar jika cuba menggunakan teknik 'silap mata' atau taktik kotor untuk menggugat kerajaan PR Perak. Jika itu dilakukan BN dan Umno sebenarnya mempercepatkan lagi proses kejatuhannya di peringkat nasional.

DYM Sultan Perak dan Raja Muda adalah raja yang terdidik dan tegas serta akan melaksanakan keadilan mengikut lunas undang-undang dan pelembagaan dalam memastikan kerajaan yang mendapat mandat rakyat dipertahankan. Saya cukup yakin kerajaan PR di peringkat nasional dan negeri mempunyai opsyen yang tidak terduga oleh pemimpin Umno dan BN jika mereka terus bermimpi untuk menumbangkan kerajaan PR di Perak dan negeri-negeri lain.

Kepada semua teruskan doa dan sokongan Insyallah kerajaan yang ada akan dapat dipertahankan.