
Harga minyak turun juga akhirnya.  15 sen bagi petrol dan 8 sen untuk diesel. Ini bermakna harga petrol  ( RO97 )turun dari RM 2.70 kepada RM 2.55 dan harga diesel dari RM 2.58 kepada RM 2.50.
Namun, penurunan ini masih dianggap masih  kecil  dan  tidak setimpal dengan beban  kenaikan harga minyak yang ditanggung oleh pengguna bermula pada bulan Jun lalu. Sebelum ini kerajaan menaikkan harga minyak petrol  dari RM 1.92 kepada  RM 2.70 dan harga diesel dari RM 1.58  kepada RM 2.58.
Dari segi peratus penurunan  harga yang diumumkan   hanya  19.23 % bagi  petrol dan 8 % sahaja   bagi diesel   dari jumlah kenaikan yang berlaku pada bulan Jun lalu.
Penurunan ini dijangka hanya memberi  kesan yang sangat sedikit kepada   kadar inflasi dan kos sara hidup pada jangka masa pendek atau panjang.  Semasa harga minyak dinaikkan pada Jun lalu, kita  sendiri dapat menyaksikan 'pesta' kenaikan harga barang yang tidak terkawal dan dapat dibendung. Berita terbaru, pengusaha bas sekolah akan menaikkan tambang bas sebanyak 50 % dalam masa terdekat.
Begitu juga dengan harga barangan pengguna lain yang menunjukkan 'trend'  peningkatan  harga dari  semasa ke semasa. Saya mengakui tidak dapat mengemukakan fakta yang tepat tentang kenaikan harga barangan  ekoran kenaikan harga minyak . Namun, secara umumnya berdasarkan pengalaman setiap minggu membeli barangan keperluan dapur dan barang keperluan lain sama ada di pasar awam, pasar borong  atau di hyper Market dan kedai runcit biasa, hakikat kenaikan harga barang  ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
Kenaikan yang paling ketara ialah kenaikan harga beras, barang basah seperti ikan, ayam dan daging  serta sayur – sayuran dan minyak masak. Begitu juga dengan harga susu  tepung untuk bayi dan kanak – kanak.  
Misalnya, harga beras wangi yang dulunya boleh diperolehi di bawah harga RM 30 untuk sekampit kapasiti 10 kilogram, kini hanya mampu dibeli dengan harga sekurang – kurangnya RM 40 ke atas. Harga ayam dari RM 5.20 / RM 5.40 sebelum ini telah meningkat kepada RM 6. Begitu juga dengan harga minyak masak seberat 5 Kilogram  sebelum kenaikan harga minyak dapat dibeli di bawah harga RM 12 kini mencecah sehingga RM 13.50 ke RM 14.50.
Persoalannya  di sini, adakah kita dapat memastikan pihak pengeluar dan pengimport barangan keperluan akan menurunkan harga  bila harga minyak diturunkan  15 sen dan 8 sen ? Saya yakin, anda ada jawapannya. 
Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan penurunan harga  minyak ini sedikit sebanyak akan dapat mengubat kegelisahan dan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kita berharap, kerajaan dapat menurunkan harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah pada masa  terdekat sesuai dengan kejatuhan harga minyak di peringkat global dan slogan kerajaan menjaga dan membela kebajikan rakyat.  
Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan jika  rakyat  terpesona dengan janji Dato' Seri  Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak serta merta sebanyak 70 sen sekiranya peralihan kuasa benar – benar berlaku kepada Pakatan Rakyat  sebelum 16 september 2008 seperti yang diwar-warkan. Sama – sama kita tunggu,  hanya kira – kira 25 hari dari sekarang. 
 
 
 
 
 
 
 
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
