23 March 2009

DATO' SERI IR NIZAR JAMALUDIN CALON PAS BUKIT GANTANG

Menteri Besar Perak Ir Dato' Seri Nizar Jamaluddin telah diumumkan sebagai calon untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan.

Pengumuman itu dibuat di Padang Kota, Taiping sebentar tadi di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Adun Pasir Panjang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta manakala di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland dan Miano Italy.
Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).

Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).
Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu.

SEKAT HARAKAH DAN SUARA KEADILAN BUKTI UMNO@BN TAKUT PADA BAYANG-BAYANG SENDIRI..


Hari ini Harakah dan Suara Keadilan (SK) digantung permit selama 3 bulan oleh Umno@BN. Saya tak kata kerajaan, sebab UMNO@BN dan kerajaan adalah dua kali lima.

Saya rasa tujuan sekatan ini adalah kerana untuk menyekat penyampaian maklumat daripada Pakatan Rakyat kepada orang ramai di negara ini.

Apakah langkah ini akan berjaya? Kalau hendak sekat maklumat, yakin dan percayalah tujuan itu akan gagal. Buktinya sekatan kepada Harakah dari diterbitkan seminggu dua kali ke sebulan hanya dua kali dalam tempoh yang lama selepas pilihanraya 2004 yang lalu telah berjaya memberi 'hasil' kepada Umno@BN hari ini dengan kehilangan 5 negeri kepada Pakatan Rakyat.

Selain itu, sekatan tersebut telah berjaya mencetuskan revolusi celik ICT di kalangan mereka yang menyokong dan bersimpati kepada Pakatan Rakyat dengan wujudnya ribuan blog dan portal untuk rakyat mengakses maklumat di hujung jari walaupun jauh di pedalaman dari sumber selain dari UMNO@BN.

Saya menjangkakan sekatan terbaru ini akan mencetuskan 'gelombang kedua' kebangkitan celik ICT di kalangan mereka yang sudah muak dan meluat kepada Umno@BN.

Sekatan ini dipercayai berkait rapat dengan pendedahan terbaru skandal yang membabitkan Najib dalam isu Altantuya yang didedahkan oleh media antarabangsa dan pemilihan Umno yang bermula esok. Selain itu ia juga berkait rapat dengan pilihanraya kecil serentak yang bakal berlangsung di tiga tempat tidak lama lagi.

Saya juga merasakan ada sesuatu yang ingin dilakukan oleh UMNO@BN bagi memastikan laluan Najib untuk menjadi Presiden Umno tidak terhalang.

Tetapi percayalah usaha UMNO@BN menyekat Harakah dan SK ibarat seperti usaha UMNO@BN menutup bangkai gajah dengan daun lalang!

MEDIA LUAR NEGARA TERUS MENGAITKAN NAJIB DENGAN PEMBUNUHAN ALTANTUYA



Datuk seri Najib Tun Razak yang merasakan dirinya bakal perdana Menteri Malaysia keenam terus dikaitkan dengan pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Sharibu.Selepas akhbar Liberation dari Peranchis dua media luar negara turut mengaitkan Najib dengan pembunuhan tersebut.


Terkini akhbar British, Times pula menerbitkan cerita sensasi itu.Turut menyiarkan cerita ini adalah TV Australia, ABC, sebelum ini.Semalam, 22 Mac, Timesonline menyiarkan semula cerita itu dengan tambahan maklumat dari wartawannya di Kuala Lumpur.


Menurut laporannya itu, selain pembunuhan Altantuya, pusat kepada laporan ini adalah pemberian komisyen sebanyak RM155 juta kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda.Menurut laporan Times, pembangkang mendakwa RM155 juta itu adalah komisyen pembelian kapal selam dari Perancis, manakala menteri Pertahanan waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata ia bukan komisyen tetapi bayaran perkhidmatan projek.

Adakah kita hendak mendakwa bahawa akhbar luar negara terbabit turut disogok dengan sejumlah wang yang besar serta terlibat dalam konspirasi untuk menajtuhkan Najib?


Justeru itu, adalah amat wajar sekali Pak Lah memikirkan semula sekiranya berhasrat untuk menyerahkan jawatan Perdana menteri Malaysia ke 6 kepada Najib. Jika tidak pun menangguhkan sekurang-kurangnya sehingga Najib didapati benar-benar bersih dan tidak terlibat dengan jenayah yang dimaksudkan.

Dakwaan dan laporan akhbar tersebut merupakan tuduhan serius yang mencemarkan imej Malaysia di seluruh dunia kerana ia melibatkan soal maruah dan kepimpinan negara.

Adakah kita sebagai rakyat Malaysia tidak merasa apa-apa dengan pendedahan ini dengan hanya membisu dan memekakkan telinga?


Najib perlu disiasat untuk memastikan beliau benar-benar tidak terlibat dengan kejadian jenayah itu. Adalah sesuatu yang pelik dan janggal, Najib hanya mendiamkan diri dengan tuduhan dan dakwaan yang sangat berat ini.

Justeru itu adalah amat wajar gesaan daripada pelbagai pihak agar DYMM Agong menggunakan kuasa dan budi bicara baginda untuk tidak memperkenankan nama Najib sebagai Perdana Menteri untuk memastikan hanya pemimpin yang amanah, bermoral, berakhlak serta bertanggungjawab untuk menerajui negara ini.

ALI RUSTAM DAN ILMU GHAIB


Melaka cukup tekenal satu ketika dahulu dengan pahlawan yang gagah perkasa. Mereka bukan sahaja cukup gagah dan terbilang tetapi mereka juga memiliki ilmu ghaib. Boleh muncul dan hilang dengan tiba-tiba! Malah Melaka cukup terkenal dengan keris Taming Sari yang terkenal kini ghaib entah ke mana. Alkisahnya ghaib di Hulu sungai Melaka.

Hari ini ilmu ghaib yang dimiliki oleh pahlawan-pahlawan Melaka dahulukala turut diwarisi oleh pemimpin Umno Melaka hari ini.

Semasa Datuk Seri Ali Rustam mendapat pencalonan yang cukup menggalakkan daripada bahagian-bahagian Umno untuk jawatan Timbalan Presiden Umno tidak lama dahulu, ada pihak dalam Umno sendiri mendakwa bahawa wujud tangan-tangan ghaib yang membantu beliau.

Hari ini apabila Ali Rustam dihalang bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno, maka wujud pula cakap-cakap dalam Umno lagi bahawa wujud tangan-tangan ghaib yang menjadi perancang kepada membawa 'konspirasi' untuk menyekat Ali Rustam bertanding.

Sehingga hari ini mana-mana bomoh dan pawang masih gagal mencari jawapan 'kuasa ghaib' yang dikaitkan dengan Ali Rustam. Adakah warisan turun temurun kegemilangan pahlawan Melaka juga masih tidak dapat dipastikan.

Mungkin juga ia berkait rapat dengan tangkal yang dijumpai di bawah meja Pak Lah di bilik mesyuarat Umno di PWTC.

Saya mencadangkan agar SPRM di bawah Datuk Seri Hamdan Said menghantar pegawai-pegawainya bertapa di mana-mana gua untuk mempelajari ilmu-ilmu ghaib untuk menangkis pelbagai ilmu dan jampi serapah yang sedang melanda Umno sekarang. Sekaligus ia akan membantu SPRM menyelesaikan pelbagai kes rasuah dalam Umno yang sukar diselesaikan oleh SPRM.