05 September 2008

SATU LAGI PEMBAZIRAN BN


 

Langkah BNBBC ( Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional ) mewajibkan semua ahli parlimen BN menyertai 'lawatan' atau Retreat dari 7 hingga 19 September di luar Negara menunjukkan satu lagi bukti pembaziran yang dilakukan oleh BN dengan menggunakan wang rakyat.

Arahan yang dikeluarkan oleh BNBBC secara tergesa –gesa ini menunjukkan bahawa BN tidak peka dengan masalah ekonomi dan langkah berjimat cermat yang kononnya selama ini mereka perjuangkan.

Mengapa perlu ke luar Negara ? Adakah di dalam negara sudah tidak lagi mempunyai hotel bertaraf 5 @ 6 bintang serta tempat –tempat yang menarik untuk diadakan 'retreat' ?

Bayangkan berapa kos yang terpaksa ditanggung untuk seramai semua ahli parlimen BN meliputi kos tambang kapal terbang, sewa hotel, makan minum dan perbelanjaan lain sepanjang 'lawatan' tersebut. Ini belum termasuk duit poket dan pelbagai tuntutan lain.

Alangkah baiknya, kos yang dijangka mencecah jutaan ringgit itu digunakan untuk membantu golongan fakir miskin atau mereka yang kurang bernasib baik di bulan Ramadhan ini.


 

DEBARAN MENUNGGU DETIK 16 SEPTEMBER


Pada hari ini sekali lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan ‘Peristiwa 16 September’ berlaku. Ini merupakan, amaran kedua selepas peringatan tegas semasa akhir pembentangan Belanjawan 2009 di parlimen minggu lepas.

Beliau juga memaklumkan taklimat perkembangan semasa telah dimaklumkan kepada DYMM Dipertuan Agong. Dalam taklimat tersebut, beliau memaklumkan kepada Tuanku bahawa kerajaan yang ada masih stabil dan kerajaan yang ada akan meneruskan agenda ekonomi dan pentadbiran yang telah dirancang.


Perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa Pak Lah secara tidak langsung meyakini bahawa tanggapan, desas desus serta berita yang sebelum ini dianggap ‘tidak masuk akal’ adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian.

Kebimbangan beliau ini jelas walaupun cuba disembunyikan seolah-olah ingin menunjukkan tidak ada apa –apa yang bakal berlaku pada 16 September nanti. Kalau tidak, tidak perlulah beliau sehingga perlu mengadap DYMM Agong dan mengeluarkan amaran demi amaran.

Apa yang tersurat dan tersirat daripada peringatan bernada tegas ini menunjukkan beliau akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kerajaan BN yang ada kekal berkuasa.

Beliau mempunyai beberapa opsyen yang boleh dilaksanakan sekiranya lebih 30 ahli parlimen BN ‘beralih angin’ ke Pakatan Rakyat. Antaranya, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya semula, mengistiharkan MAGERAN, menggunakan ISA atau apa sahaja institusi kerajaan yang ada seperti polis, BPR dan badan kehakiman untuk mengekalkan kuasa yang ada.

Namun, perkembangan muktahir menunjukkan apa yang berlaku semakin sukar dibendung. Terbaru, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon hari ini berkata Parti Gerakan akan mengkaji kedudukan parti itu dalam BN.

Malah tindakan BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen ) untuk mewajibkan semua ahli parlimen BN mengikuti Retreat ( Lawatan ) keluar Negara bermula 7 hingga 19 September merupakan suatu usaha menghalang pembentukan kerajaan baru berlaku pada 16 September.

Walau bagaimanapun, kita berdoa dan berharap apa –apa yang berlaku pada 16 September ini tidak membawa apa-apa peristiwa hitam kepada sejarah Negara.

35 % GURU MATEMATIK DAN SAINS TIDAK KUASAI BAHASA INGGERIS


Kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran bahawa 35 % guru yang terlibat dalam Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menguasai bahasa Inggeris merupakan sesuatu yang telah dijangka.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail program yang telah menelan RM 5 Bilion ini menghadapi masalah dari sudut melatih guru terbabit dalam menguasai bahasa inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Beliau menyalahkan sikap segelintir guru yang menyalahgunakan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk kepentingan peribadi sebagai antara punca masalah ini berlaku.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, situasi ‘paksa rela’ dalam pelaksanaan PPSMI sebagai punca mengapa terdapat sebilangan guru terbabit tidak menguasai bahasa inggeris. Katanya, keadaan itu merupakan 'hasil' daripada dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru tidak lama dahulu.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah pelajar. Terutamanya pelajar melayu di luar bandar yang lemah dari sudut penguasaan bahasa inggeris. Bayangkan apa yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran bila pelajar diajar dalam subjek sains dan matematik oleh guru yang tak pandai bahasa Inggeris. Sedangkan semua bahan pembelajaran seperti buku teks, buku kerja,soalan ujian dan peperiksaan semuanya dalam bahasa inggeris.
Sebagai seorang ayah yang ada tiga orang anak yang bersekolah rendah, saya dapat merasakan betapa sukarnya masalah yang dihadapi oleh anak-anak saya untuk menguasai bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains disebabkan guru yang mengajar mereka menggunakan bahasa inggeris rojak dalam pengajaran.

Kita tidak boleh menyalahkan guru terlibat sebagai punca kegagalan. Sebaliknya masalah ini berpunca dari sikap kementerian pelajaran dan kerajaan yang tergesa –gesa melaksanakan program ini tanpa kajian terperinci dari sudut keberkesanan, prasarana serta kesan baik buruknya.

Cerita tentang kelemahan program ini bukan perkara baru. Sumber maklumat dari Lembaga Peperiksaan memberitahu graf / markah lulus bagi subjek matematik dan sains diturunkan untuk memastikan lebih ramai pelajar yang lulus dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

Oleh itu, masyarakat akan dapat ‘ditipu’ bahawa walaupun matematik dan sains diajar dalam bahasa inggeris,pelajar yang lulus dan cemerlang meningkat. Sedangkan dari segi kualiti sebenarnya menurun.

Program ini bukan sahaja membazir wang rakyat tetapi turut menyebabkan bahasa Melayu sebagai ibunda dan bahasa kebangsaan semakin terpinggir. Oleh itu, langkah yang terbaik ialah kembali semula kepada keadaan asal dengan mengajar subjek Matematik dan sains dalam Bahasa Melayu.

Manakala peruntukkan yang ada boleh digunakan untuk memantapkan lagi dari segi prasarana dan latihan guru yang mengajar subjek bahasa inggeris di sekolah.