05 September 2008

35 % GURU MATEMATIK DAN SAINS TIDAK KUASAI BAHASA INGGERIS


Kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran bahawa 35 % guru yang terlibat dalam Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menguasai bahasa Inggeris merupakan sesuatu yang telah dijangka.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail program yang telah menelan RM 5 Bilion ini menghadapi masalah dari sudut melatih guru terbabit dalam menguasai bahasa inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Beliau menyalahkan sikap segelintir guru yang menyalahgunakan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk kepentingan peribadi sebagai antara punca masalah ini berlaku.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, situasi ‘paksa rela’ dalam pelaksanaan PPSMI sebagai punca mengapa terdapat sebilangan guru terbabit tidak menguasai bahasa inggeris. Katanya, keadaan itu merupakan 'hasil' daripada dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru tidak lama dahulu.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah pelajar. Terutamanya pelajar melayu di luar bandar yang lemah dari sudut penguasaan bahasa inggeris. Bayangkan apa yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran bila pelajar diajar dalam subjek sains dan matematik oleh guru yang tak pandai bahasa Inggeris. Sedangkan semua bahan pembelajaran seperti buku teks, buku kerja,soalan ujian dan peperiksaan semuanya dalam bahasa inggeris.
Sebagai seorang ayah yang ada tiga orang anak yang bersekolah rendah, saya dapat merasakan betapa sukarnya masalah yang dihadapi oleh anak-anak saya untuk menguasai bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains disebabkan guru yang mengajar mereka menggunakan bahasa inggeris rojak dalam pengajaran.

Kita tidak boleh menyalahkan guru terlibat sebagai punca kegagalan. Sebaliknya masalah ini berpunca dari sikap kementerian pelajaran dan kerajaan yang tergesa –gesa melaksanakan program ini tanpa kajian terperinci dari sudut keberkesanan, prasarana serta kesan baik buruknya.

Cerita tentang kelemahan program ini bukan perkara baru. Sumber maklumat dari Lembaga Peperiksaan memberitahu graf / markah lulus bagi subjek matematik dan sains diturunkan untuk memastikan lebih ramai pelajar yang lulus dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

Oleh itu, masyarakat akan dapat ‘ditipu’ bahawa walaupun matematik dan sains diajar dalam bahasa inggeris,pelajar yang lulus dan cemerlang meningkat. Sedangkan dari segi kualiti sebenarnya menurun.

Program ini bukan sahaja membazir wang rakyat tetapi turut menyebabkan bahasa Melayu sebagai ibunda dan bahasa kebangsaan semakin terpinggir. Oleh itu, langkah yang terbaik ialah kembali semula kepada keadaan asal dengan mengajar subjek Matematik dan sains dalam Bahasa Melayu.

Manakala peruntukkan yang ada boleh digunakan untuk memantapkan lagi dari segi prasarana dan latihan guru yang mengajar subjek bahasa inggeris di sekolah.

No comments: