30 August 2008

‘Umpan’ Bonus Sebulan Gaji Tidak Mampu Menyelesaikan Kemelut Ekonomi Negara

Saya menyambut baik langkah kerajaan memberi bonus sebulan gaji atau minimum RM 1000 kepada kakitangan awam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan budget 2009 semalam. Pemberian bonus ini sudah pasti dapat membantu meringankan beban kakitangan kerajaan menghadapi tekanan ekonomi implikasi daripada kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang melambung.

Namun, langkah pemberian bonus ini hanya memberi faedah kepada kira –kira 1.2 juta kakitangan kerajaan sahaja. Bagaimana dengan nasib pekerja sektor swasta dan penduduk kampung ? Walhal mereka turut mengalami keperitan ekonomi kesan kenaikan harga minyak dan peningkatan kadar inflasi yang paling tinggi dalam sejarah seperti yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara.

Sementara itu, pemberian bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan tanpa mengia gred jawatan adalah sesuatu yang kurang bijak.Misalnya bagi mereka yang bergaji lebih RM 10 ribu seperti pegawai Jusa C, Jusa B dan Jusa A, kenaikan harga minyak dan inflasi kurang memberi kesan kepada mereka. Ke mana –mana atas nama tugas rasmi, mereka boleh menggunakan kereta jabatan. Jika mereka guna kenderaan sendiri mereka boleh buat tuntutan perjalanan lebih daripada cukup.

Dalam hal ini, saya berpendapatan kerajaan sepatutnya memikirkan satu mekanisme dalam budget 2009 yang boleh memberi manafaat kepada semua rakyat. Misalnya, daripada memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangan kerajaan adalah lebih wajar wang yang berbilion ringgit untuk membayar bonus ini digunakan untuk menampung subsidi minyak. Justeru itu, kerajaan dapat menurunkan harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah.

Mungkin juga, wang berkenaan boleh digunakan untuk memberi subsidi untuk mengurangkan harga barang keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan gula. Langkah ini sudah pasti akan lebih adil dan dapat dinikmati oleh semua rakyat.

Apa yang pasti, pemberian bonus ini satu berita gembira kepada kakitangan kerajaan tetapi menyebabkan pekerja sektor swasta dan penduduk kampung terus ' melopong' dan terus mengalami kesan ekonomi yang berlaku dalam Negara.

Apa –apa pun terima kasihlah kepada kerajaan, kerana saya salah seorang yang bakal mendapat bonus…he..he..he…