14 May 2009

MAHKAMAH RAYUAN TIDAK BUAT PENGHAKIMAN BERTULIS KES RAYUAN ZAMBRY


Peguam Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin berhadapan kesukaran apabila Hakim Mahkamah Rayuan Dato Ramly Ali yang membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi Rayuan Khas yang mengesahkan Nizar sebagai Menteri Besar tidak menyediakan penghakiman secara bertulis.

Ini menyebabkan peguam Nizar berhadapan masalah untuk mengkaji alasan penghakiman yang di buat Hakim Mahkamah Rayuan Dato Ramly Ali yang membenarkan rayuan Datuk Zambry Abdul Kadir untuk mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan 18 Mei ini.

Pendedahan ini membuktikan ada sesuatu yang tidak kena berkaitan kes rayuan Zambry yang sebelum ini begitu efisen, cekap dan pantas dalam membuat keputusan hanya 2-3 jam sahaja. Berbeza dengan prosedur yang diambil oleh Mahkamah Rayuan dalam langkah Nizar mencabar keputusan menangguhkan keputusan mahkamah Tinggi yang hanya akan didengar pada minggu hadapan.

Patutlah keputusan tempohari dapat dilakukan oleh begitu pantas, rupa-rupanya hakim tak perlu buat alasan bertulis penghakiman. Semua ini menambah kemusykilan dan menjadikan keadaan di Perak semakin bersimpul-simpul.

MENTOR NAJIB KATA JANGAN BUBAR DUN PERAK


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menolak diadakan pilihanraya semula di Perak kerana ia akan memberi kemenangan kepada Paktan Rakyat. Ohhh...Itu puncanya...Patut le payah sangat nak bubar Dun...Kata habis duit rakyatlah...Buang masalah...rupa-rupanya takut kalah!

Ini semua membuktikan bahawa Umno@Bn tidak mampu berhadapan dengan rakyat melalui pilihanraya yang adil dan telus mengikut lunas demokrasi sebenar. Umno@BN sanggup mendera rakyat Perak dan membiarkan keadaan di Perak berada dalam suasana tidak stabil asalkan pilihanraya semula tidak diadakan.

KALAU BENAR BAGAI DIKATA....


Perdana Menteri 1 Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak memberitahu media hari ini bahawa Umno@BN tidak takut berhadapan dengan pilihanraya.

Jadi ini berita baik untuk semua khususnya di Perak yang keadaannya semakin bersimpul-simpul. Jika begitu bagai dikata, apa lagi nak ditunggu dan dinanti marilah bersama Umno@BN dan Pakatan Rakyat memohon perkenan Sultan untuk membubarkan Dun Perak. Selama ini Umno@BN yang menjadi batu penghalang, berdolak dalih dan cuba mencari 1001 alasan agar pilihanraya semula tidak diadakan.

Ramai pihak dari pakar undang-undang, ahli politik, penganalisis politik, pakar ekonomi malah pimpinan dari dalam lubuk Umno dan komponen BN sendiri menjurus kepada gesaan agar pilihanraya diadakan semula di Perak. Saya cukup yakin majoriti rakyat Perak inginkan penyelesaian segera krisis politik dengan mengadakan pilihanraya semula.

Jadi apa tunggu lagi...

CERITA PELIK DARI DUN SARAWAK PULA


Kebiasaanya dalam mana-mana sidang Dewan Rakyat dan DUN di negara ini pihak pembangkang yang akan keluar dewan apabila merasakan keadilan dan hak mereka dinafikan di dalam persidangan.

Tetapi yang berlaku di Sarawak adalah terbalik, Barisan Nasional yang mempunyai 60 Adun bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan hujah pembangkang yang hanya mempunyai 7 orang wakil!

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan kemudiannya memberitahu pemberita bahawa tindakan keluar Dewan itu bagi memberitahu pembangkang "siapa sebenarnya bos" di dalam Dewan. "Jika kami mahu bertindak nakal, setiap kali pembangkang mahu membangkitkan isu, kami akan keluar dan mereka tidak boleh bercakap. Tetapi kami tidak pernah melakukannya.

"Ini pertama kali Adun BN bertindak keluar Dewan. Hari ini kami mahu menunjukkan kepada mereka, siapa bos," katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata usul yang cuba dibentangkan Chong mempunyai kepentingan politik.

Tindakan BN di DUN Sarawak mendedahkan betapa goyah dan rapuhnya BN yang tidak mampu lawan berhujah dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Apa peranan 60 wakil rakyat BN dalam dewan? Adakah mereka hanya sebagai 'tunggul kayu mati' yang hanya mampu berdiam diri apabila sesuatu isu yang berkaitan kepentingan rakyat dibangkitkan oleh pembangkang?
Maka sia-sialah pengundi BN mengundi mereka dalam pilihanraya lalu kerana bukan sahaja menampakkan sifat kebudak-budakkan tetapi juga hanya membazirkan duit rakyat untuk membayar elaun mereka.

Kalau dengan tujuh orang wakil pun mereka dah kecut dan gentar tak peliklah UMNO@BN seluruh negara berada dalam keadaan goyah dalam DUN sama ada yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat atau Pakatan Rakyat menjadi pembangkang dalam Dun berkenaan.

Agaknya sebab itulah Perdana Menteri 1 Malaysia cukup fobia dengan pilihanraya kerana menyedari Umno@BN dalam keadaan yang begitu nazak pada hari ini yang hanya menunggu masa untuk menerima hukuman daripada rakyat yang semakin meluat dengan gaya dan cara pemerintahan Umno@BN yang ketinggalan zaman serta mengenepikan aspirasi rakyat yang menuntut perubahan menyeluruh bukan bersifat retorik atau kosmetik.