12 November 2008

NAJIB AKAN GAGAL: KATA DR MAHATHIR-MALAYSIAKINI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai kemampuan yang secukupnya untuk menghadapi kemelesetan ekonomi global.

Dunia, kata beliau, sedang berada di ambang kemelesetan ekonomi.

"Saya tidak yakin (bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama, dan bagaimana pula Najib? Kerana ini terlalu besar untuk Najib. Terlalu besar untuk Obama," Malaysiakini memetik beliau berkata.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, krisis ekonomi global memerlukan tindakan antarabangsa untuk menangani sistem kewangan global yang boleh disalahgunakan.

"Melainkan kita menukar sistem, (penyalahgunaan) tidak akan berhenti. Untuk merubah sistem kita memerlukan kerjasama. Bukan hanya perintah dari Washington," katanya.

Sebelum ini, Dr. Mahathir menyifatkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengulas prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tertarik.

Malaysiakini 21 April lalu melaporkan Dr Mahathir menganggap Najib "lemah dan pengecut".

APABILA NAJIB BERCAKAP BAB IKHLAS-MALAYSIAKINI


Datuk Seri Najib Razak meminta semua pasar raya besar agar secara ikhlas melakukan penurunan harga dan bukan kerana sekadar mengikut arahan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penurunan harga yang dilakukan dengan tulen akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat selepas mereka terbeban oleh krisis ekonomi global kebelakangan ini.

“Penurunan harga oleh pasar raya besar seperti Mydin, Giant dan Carrefour dapat dilakukan dan rakyat boleh menikmati penurunan harga ini serta memperoleh manfaat darinya,” katanya ketika melancarkan Kempen Penurunan Harga Carrefour Malaysia di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama adakah Najib juga turut ikhlas dalam menggurangkan bebanan yang ditanggung rakyat selama ini? Harga minyak sudah berada di bawah paras $US 60, jika Najib selaku Menteri Kewangan yang dicanang bakal PM ikhlas membantu dan membela nasib rakyat sudah lama rakyat dapat menikmati harga yang lebih rendah sekarang.

Selain itu, adakah Najib sewaktu menjadi Menteri pertahanan benar-benar ikhlas dalam soal keselamatan anggota tentera dan keselamtan negara semasa memutuskan tender pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan Nuri? Harga yang mencurigakan sehingga dua kali ganda menyebabkan pembelian tersebut ditangguhkan dengan menjadikan kegawatan ekonomi sebagai alasan.Jika keselamatan negara dan anggota tentera adalah mengatasi segala-galanya kerajaan tidak sepatutnya menangguhkan pembelian ini.

Begitu juga adakah Najib benar-benar tulus ikhlas bahawa tidak ada sebarang komisyen ditawarkan kepada mana-mana pihak dalam pembelian kapal selam Scorpene seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah pensyiasat persendirian P Balasundram dan Raja Petra Kamarudin sehingga membawa kepada pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Sharibu? Jika Najib benar-benar ikhlas beliau tidak perlu gentar jika nama disebut dalam perbicaraan atau diminta hadir sebagai saksi pada Januari nanti. Mahkamah adalah tempat terbaik untuk menguji dan mengukur sejauh mana keikhlasan beliau dalam kes ini.

Dalam masa yang sama adakah Najib layak bercakap bab keikhlasan jika semasa pembentangan peruntukan tambahan di Parlimen dengan jumlah RM 7 Bilion beliau tidak mahu sebarang sesi soal jawab semasa pembentangan? Akhirnya Najib terpaksa menanggung malu apabila peruntukan tambahan tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mematuhi peraturan dewan.

Bukan bermakna saya tahu membaca apa di dalam hati orang lain sama ada ikhlas ataupun tidak. Tetapi, kalau kita bercakap cermin-cerminlah diri sendiri. Adakah kita buat apa yang kita cakap atau bercakap tidak serupa bikin?

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. ( Surah Ass-Shoff: 2-3 )

RAKYAT TERKEJUT JIKA HARGA MINYAK TURUN MENDADAK?-MALAYSIAKINI


Itulah alasan yang diberikan oleh Datuk Sharil Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna kenapa kerajaan tidak mahu menurunkan harga minyak secara mendadak walaupun harga minyak di pasaran global telah turun di bawah $US 60 terendah dalam tempoh 20 bulan. Alasannya cukup mudah dan melucukan, tak nak beri rakyat terkejut!

Shahrir berkata, penetapan harga minyak, baik naik atau turun tidak akan dibuat secara mendadak.

“Dulu kita guna kaedah penurunan dua kali sebulan supaya pengguna tidak rasa terkejut. Begitu juga sekiranya keputusan kenaikan harga minyak dilakukan.

“Kalau harga nak diturun mendadak, kaedah yang sama juga mungkin digunakan apabila harga naik semula,”

Saya nak bertanya kepada pembaca, adakah anda akan terkejut atau gembira jika harga minyak turun mendadak? Sudah pasti sebagai pengguna kita akan merasa gembira apabila harga minyak rendah. Bila harga minyak rendah akan mendorong peniaga untuk menurunkan harga barang. Bila Harga barang turun maka kuasa beli akan meningkat. Siapa yang tidak suka bila harga barang rendah?

Sharil turut menegaskan,kerajaan tidak bercadang meneruskan penurunan itu sehingga di bawah RM1.92 seliter.

selain itu menurut beliau, kerajaan mungkin menetapkan paras minimum bagi harga runcit petrol dan diesel walaupun harga di pasaran dunia terus merudum.

Kepada Pak Menteri carilah alasan lain yang lebih logik dan munasabah agar rakyat boleh terima walaupun sepatutnya harga minyak sudah lama berada di bawah paras RM 1.80 jika benar-benar kerajaan prihatin dengan masalah rakyat.

PATUTLAH DISIPLIN PELAJAR SEMAKIN PARAH-MALAYSIAKINI


Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai masalah salah laku dan disiplin pelajar. Jika 10 tahun dulu isu disiplin pelajar hanya melibatkan isu-isu biasa seperti ponteng, tak siap kerja rumah, pakaian kurang sopan dan paling serius pun kes seperti merokok dan bergaduh sesama sendiri.

Hari ini, isu yang dinyatakan telah dianggap sebagai isu kecil dan remeh temeh. Pelajar hari ini terlibat dengan pelbagai gejala yang semakin membimbangkan. Di antaranya kes berzina,rakaman klip video lucah, memukul guru, peras ugut dan mengedar dadah dalam usia yang masih muda dan mentah.

Menyedari masalah disiplin yang semakin serius ,pelbagai usaha dan program dijalankan untuk mencari penyelesaian dan membendung perlakuan jenayah ini untuk membangkitkan kesedaran dan memberi keinsafan kepada pelajar.

Program sajak kematian yang diiringi dengan pentomen merupakan salah satu pendekatan yang diambil untuk mengatasi masalah ini.Malangnya, usaha murni ini mendapat reaksi kurang menyenangkan daripada segelintir pihak di kalangan Ibu bapa dan NGO.

Terbaru Menteri Pelajaran turut tidak bersetuju dengan program sajak kematian yang diadakan.Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan kaedah penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah memandangkan ia tidak sesuai dengan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda.

"Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat," katanya selepas
merasmikan Program Pertukaran Pelajar ASEAN (ASEP) 2008 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur hari ini.

Kepada menteri pelajaran hayatilah satu maksud Hadis Nabi SAW :

'Orang yang paling cerdik, adalah mereka yang banyak mengingati mati'

Lantaran itu tidak hairanlah pelajar hari ini semakin teruk dan rosak akhlaknnya. Apabila program yang baik seumpama ini turut tidak disetujui oleh Menteri Pelajaran. Saya ingin bertanya kepada Hishamuddin apa langkah yang diambil oleh Kementerian di bawah beliau mengatasi masalah pelajar hari ini yang semakin membimbangkan?Mungkin Hishamudin terlalu sibuk berkempen untuk jawatan Naib Presiden Umno sehingga terlupa tentang masalah pelajar semakin kronik dan parah.

STATUS BEKAS HAKIM:KERAJAAN DIDESAK BERI PENJELASAN-MALASYIAKINI


Ingatkan apabila kerajaan beri Ex Gratia kepada 6 bekas hakim kanan sebayak RM 10.5 juta segala-galanya dah berakhir rupa-rupanya masih ada isu lain pula timbul.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Mohamed Nazri Aziz berkata hakim-hakim berkenaan bukan dipecat sebaliknya diminta bersara awal. Namun kenyataan Nazri disanggah oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bahawa semua hakim berkenaan memang dipecat.

Dalam perkara ini, rakyat perlu diberi penjelasan tentang perkara yang sebenarnya. Terdapat dua isu besar tentang isu ini. Pertama,siapa yang bercakap benar dan siapa yang dusta.Kedua, jika dipecat apa perlu diberi ex-gratia dan bayaran pencen?

Kerajaan perlu sedar nilai RM 10.5 juta tidak termasuk bayaran faedah persaraan lain yang diberi adalah satu jumlah yang sangat besar. Ini merupakan duit rakyat sebagai pembayar cukai. Apa yang lebih penting, rakyat perlu tahu apa sebabnya mereka dipecat atau diminta bersara awal? Isu ini melibatkan jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara. Malah jika pihak yang terlibat ialah pengerusi JKKK sekalipun orang ramai perlu diberi penjelasan untuk memberi keadilan kepada semua pihak

Apa yang berlaku seolah-olah ada sesuatu misteri yang cuba disembunyikan oleh kerajaan dalam isu ini.Namun,ibarat seperti cuba menutup bangkai gajah lambat laun kebenaran dan kebatilan akan terdedah akhirnya.