22 July 2008

KENAPA ‘GOYANG GERUDI’ HARAM ?

Alhamdulillah buat masa ini konsert goyang gerudi Inul Daratista tidak berjaya diadakan di Johor Bahru melainkan mungkin ditunda ataupun digantikan di Stadium Bukit Jalil hujung minggu ini.

Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya.

Yang peliknya disini Inul berkata "Saya merasakan usaha saya hanya sia-sia. Apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini? Mungkin dugaan Tuhan untuk menguji keimanan saya. Pun begitu, saya tetap ingin mendengar penjelasan sebenar. Saya tidak pasti sama ada akan menerus konsert melainkan mampu berkata Insya Allah," kata Inul lagi.

Inul terpaksa pulang ke Jakarta dan berjanji akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminatnya di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Apa yang kita lihat sekarang ini ialah manusia begitu ghairah berhibur sehinggakan lupa persoalan dan batas halal haram sesuatu perbuatan itu. Menurut Pengarah Urusan IMS Prima, Nasir Abu Bakar beliau sendiri kerugian kira-kira RM 300,000 gara-gara Majlis Bandaraya Johor Bahru yang tidak mengeluarkan permit.

Selepas ini rakyat negeri Selangor mesti bertindak, apa logiknya memindahkan sesuatu kemungkaran itu dari satu negeri ke negeri yang lain? Adakah itu akan menunjukkan orang Selangor lebih liberal dari Johor?

Perkataan InsyaAllah begitu mudah keluar dari ahli maksiat dan tidak mustahil perogol dan perompak sendiri dengan mudahnya akan mengucapkan InsyaAllah dalam melakukan maksiat dan mungkar.

Inul pernah dikecam di Indonesia gara-gara kenyataan beliau yang ingin bergambar untuk majalah Playboy dan pernah ditegur oleh penyanyi dangdut veteran Indonesia, Rhoma Irama yang mengganggap aksi goyang pinggul Inul erotik dan berbaur pornografi.

Akhirnya, perbuatan manusia lambat laun semakin jauh dari rahmat Allah lantaran kealpaan manusia dalam mencegah kemungkaran.


 

GURU DISIPLIN DIPUKUL DI KL : SALAH SIAPA ?

Saya bersimpati dengan nasib seorang guru disipilin di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang dilaporkan ditampar oleh seorang bapa murid. Kejadian berlaku adalah lanjutan dari seorang guru wanita yang cuba melaksanakan peraturan sekolah yang telah ditetapkan kepada semua murid termasuklah anak-anak kepada bapa tersebut.

Tindakan guru disiplin yang cuba mempertahankan guru wanita tersebut atas alasan menguatkuasakan peraturan sekolah akhirnya menjadi mangsa 'libasan tangan' bapa murid bertindak samseng. Kesan kecederaan yang dialami, guru disiplin tersebut membuat laporan polis selanjutnya.

Guru disiplin seumpama ketua penguatkuasa dalam sebuah sekolah. Beliau dibantu oleh guru-guru lain yang berada dalam jawatankuasa disiplin yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar.

Tugas guru disiplin cukup mencabar dan cukup memeningkan kepala untuk dipikul. Saya yakin, tidak semua guru yang sanggup dan bersedia untuk menjadi guru disiplin melainkan atas amanah dan kepercayaan yang diberi oleh pihak sekolah.

Lebih-lebih lagi jika bilangan murid yang terlalu ramai dan berbagai bangsa serta latar belakang, tentunya mengundang banyak masalah yang sukar diatasi.

Tapi sayangnya, pengorbanan guru dalam mendisiplin anak-anak tidak pula dihargai. Selain guru disiplin ditampar atau dicederakan, mereka juga turut dicemuh dan kenderaan mereka dibakar, dirosak, digores dan macam-macam lagi.

Siapa yang perlu disalahkan?

Adakah kurikulum yang masih tak menepati kerana gagal membentuk insan yang berilmu dan berakhlak ?

Adakah kerana masyarakat yang mengamal hidup bebas dan tidak lagi menggunakan 'social control' sebagai kaedah membentuk akhlak anak-anak.

Adakah media-massa atau dunia terlalu global dalam meneroka maklumat sehingga sukar dibendung kesannya terutama kepada anak-anak remaja?

Adakah guru-guru yang diamanahkan dalam mendidik murid gagal memainkan peranannya yang sebenar?

Adakah ibubapa/penjaga murid sememangnya belum bersedia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka?