02 October 2008

CAKAP-CAKAP POLITIK SAMBIL MAKAN KETUPAT DAN KUIH RAYA...

Sepanjang berhari raya di Rompin, antara cerita yang cukup hangat diperkatakan ialah tentang Dato' Jamaludin Jarjis ( JJ ) bekas Menteri merangkap ketua UMNO dan Ahli Parlimen Rompin.

Setelah diketepikan oleh Pak Lah dalam kabinet baru yang caca marba dan isu meraba yang dikaitkan dengan beliau tak lama dulu, nama JJ kini agak tenggelam sama ada di persada politik negara atau di parlimen beliau sendiri. Berbeza sewaktu negara sibuk dengan Syed Muzaffar yang pergi buat experimen makan rendang dengan baju batik dengan roket Soyuz di ISS. Boleh kata hari-hari muka beliau keluar kat TV dan surat khabar.

Jika dulu sepanjang Ramadhan dan Syawal JJ merupakan orang yang paling sibuk dan 'pemurah'. Boleh katakan setiap masjid di parlimen Rompin beliau sponsor dengan menghantar imam hafiz. Warga tua dan golongan miskin turut mendapat habuan dari beliau.Jutawan le katakan... Boleh kata seminggu sekali, bila dengar enjin helikopter, orang Rompin tahu JJ datang melawat kawasan.Kalau hari Raya macam ni, sudah pasti beliau akan buat rumah terbuka paling kurang di dua tiga tempat. Sama ada di rumah beliau di Muadzam Shah atau di dewan orang ramai di bandar Rompin dan Felda Keratong.

Kini...bukan sekadar bunyi enjin helikopter, kipas helikopter pun tak nampak. Menurut sumber saya, jika datang pun secara senyap-senyap dan kemudian ghaib begitu aja. Tak ada lagi majlis-majlis penyerahan 'bantuan' dan 'zakat' serta lawatan ke kawasan-kawasan macam tahun-tahun sebelumnya.

Menjelang pemilihan bahagian UMNO, JJ sudah mula mengambil pendekatan 'berdamai' dengan musuh politiknya sebelum ini iaitu Dato Hassan Ariffin, bekas ketua Bahagian Rompin dan mantan Timbalan MB Pahang.Pendekatan ini dikatakan tidak disenangi oleh penyokong beliau dan penyokong Hassan Ariffin.

Menurut sumber saya lagi, beliau sudah mula menasihatkan orang-orang yang rapat dengannya agar bersikap berbaik-baik dengan orang PAS di Rompin. Entah apa tujuannya, saya tak pasti. Tetapi apa yang saya tahu, beliau agak rapat dengan salah seorang pimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat.

Para pengampu beliau sebelum ini semakin menjauhkan diri apabila merasakan beliau semakin hilang pengaruh. Mereka yang sebelum ini mendapat kuasa dan limpahan kekayaan dari beliau sudah mula menikam dari belakang.

Semua ini cukup menarik untuk melihat UMNO bertelagah sesama sendiri menjelang pemilihan bahagian tak lama lagi. Mungkin sebab itulah Pak Lah terpaksa menangguhkan pemilihan UMNO apabila beliau sudah dapat merasakan betapa gawatnya UMNO hari ini seperti yang berlaku di Rompin.

Kepada Dato JJ dan Dato Hassan Ariffin pintu Pakatan Rakyat sentiasa terbuka untuk kalian berdua walaupun ramai ahli dan penyokong PAS dan PKR di Rompin yang sukar melupakan 'dosa-dosa' dilakukan sebelum ini.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan di Rompin dan seluruh negara, kita jangan le seronok sangat dengan apa yang berlaku dan UMNO dan mereka yang sewaktu dengannya yang sedang bergolak dan berperang sesama sendiri.Hindari sikap hanya semata-mata bergantung kepada kelemahan musuh untuk menjadi kuat sehingga melupakan tugas,amanah dan tanggungjawab yang belum dan tak akan selesai. Sebaliknya kita perlu membina dan membentuk kekuatan sendiri. Bagi saya kelemahan musuh hanya bersifat sementara dan mungkin akan menjadi 'parasit' dan wabak bahaya kepada perjuangan jika kita terlalai.

Keadaan ini mungkin akan menjadikan kita leka dan alpa untuk memantapkan perjuangan sehingga merasakan tidak perlu lagi program tarbiyyah atau hadir ke program-program ilmu dan ceramah. Percayalah jika kita leka lambat laun kita juga akan luput dan pupus dari sejarah politik tanah air seperti yang bakal berlaku kepada UMNO dan mereka yang sama waktu dengannya.