27 May 2009

SISTEM KESELAMATAN DI TERMINAL TAMBANG MURAH LONGGAR.


Tidak lama dulu sebuah akhbar dalam muka depannya pernah menyiarkan betapa rapuh dan longgarnya sistem keselamatan dan keluar masuk dalam terminal tambang murah dalam negara. Pengalaman terbaru saya menggunakan terminal ini dari LCCT -Tawau-Kota Kinabalu-Tawau-LCCT mengesahkan bahawa pihak berkenaan masih mengambil mudah perkara ini tanpa langkah penambahbaikan yang perlu.

Misalnya, walaupun beg yang hendak dibawa masuk ke bagasi pesawat telah melalui mesin pengimbas untuk mengelakkan penumpang membawa masuk barang terlarang, beg yang sudah diimbas masih boleh dibawa ke merata-rata di dalam kawasan terminal tanpa perlu didaftar masuk ke pesawat. Saya yakin ramai di kalangan kita melalui pengalaman ini

Saya terfikir jika ada perancangan untuk memasukkan senjata, bahan peledak atau bom jangka ke dalam beg bagasi ia boleh dilakukan dengan mudah. Cuba bayangkan apa yang berlaku? Memanglah negara kita aman dari ancaman pengganas dan sebagainya, tetapi mana kita tahu kalau ada yang berniat demikian?

Oleh itu sesuatu yang konkrit wajar dilakukan oleh pihak keselamatan dan pengurusan terminal agar sesuatu yang buruk tidak berlaku pada masa hadapan. Pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau....