30 January 2010

DUA HOTEL DI MELAKA DAPAT ANUGERAH HOTEL TERKOTOR DI ASIA


Apakah malangnya rakyat Melaka. Rakyat melaka dimalukan sekali lagi! Selepas Eye On Malaysia disita hari ini rakyat Melaka diaibkan sekali lagi apabila dua buah hotel terkemuka di negeri ini mendapat anugerah hotel terkotor di Asia. Dua hotel berkenaan diletakkan kedudukan ke 4 dan ke 9 paling kotor di Asia berdasarkan satu kajian antarabangsa melalui maklum balas mereka yang pernah menginap di hotel berkenaan.

Perkara ini dinyatakan oleh Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee.

Kini imej Melaka semakin merudum di kalangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita wajar berterima kasih kepada pihak hotel dan kerajaan negeri yang bekerja keras serta berganding bahu sehingga melayakkan Melaka mendapat anugerah yang cukup berprestij ini. Maka benarlah slogan yang terpampang apabila memasuki negeri Melaka ' Melawat Melaka bermakna melawat Malaysia'.

Jika Hotel Water City sebelum ini diarah tutup oleh kerajaan negeri kerana tunggakan hutang bil air kepada Syarikat Air Melaka dan hutang lain kita tunggu apakah tindakan kerajaan negeri dalam hal ini. Adakah kerajaan negeri akan bertindak terhadap hotel berkenaan yang salah sebuah daripadanya dimiliki oleh bekas pemimpin kanan Umno negeri ini.

PILIHANRAYA KAMPUS BAYANGAN APA YANG BAKAL BERLAKU DALAM PILIHANRAYA UMUM

Pilihanraya kampus yang sedang hangat sekarang dicemari dengan pelbagai insiden yang cukup memalukan. Belum pernah dalah sejarah, golongan terpelajar ini bangun menyatakan hak mereka secara beramai-ramai apabila demokrasi kampus cuba dicabuli dan dikhianati.

Kemenangan beberapa calon Pro Mahasiswa di UPM dibatalkan kerana didakwa berkempen dalam Facebook. Kemenangan Pro Aspirasi di UM dan UKM dibantah secara besar-besaran kerana dakwaan penyelewengan yang berlaku. Di UM bantahan secara luar biasa pelajar memaksa pihak Universiti menangguhkan keputusan yang diumumkan sebelum ini.

Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Khaled Nordin bahawa pelajar yang membantah pilihanraya kampus sebagai tidak matang sebenarnya kena pada batang hidung beliau sendiri.Bercakap dan mengeluarkan kenyataan tanpa berdasarkan fakta dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan dilakukan oleh pelajar. Adakah menteri ini fikir mereka yang membantah ini budak tadika atau pra sekolah? Mereka adalah golongan yang cukup cemerlang dalam pendidikan lebih-lebih lagi kejayaan mereka memasuki antara IPT yang terelit di negara ini.

Khalid Nordin mungkin cukup tertekan dengan apa yang berlaku di kampus sekarang kerana sudah pasti beliau akan terpaksa menjawab kepada orang atas kenapa berlaku kegawatan yang mencemar imej negara yang sebelum sudah cukup banyak dipalit aib.

Dalam hal ini saya memuji naib cancelor UM yang bersedia berunding dan mendengar serta akan menyiasat semua dakwaan yang dilakukan oleh pelajar.

Sebagai bekas pimpinan pelajar di IPTA di negara ini, diskiriminasi, penyelewengan dan manipulasi serta ugutan kepada pelajar yang tidak pro HEP (Umno-BN) bukan perkara baru. Pelbagai peraturan pelik akan dibuat untuk memastikan gelombang pelajar yang menyokong suara mahasiswa yang menjadi cerminan suara rakyat tidak berlaku di kampus. Pelajar akan diugut dengan pelbagai taktik seperti disingkirkan dari kolej kediaman dan dikenakan tindakan tidak masuk akal. Bagi kami bekas pelajar yang pernah memperjuangkan suara mahasiswa di kampus kalah menang adalah perkara biasa. Kami boleh menerima dengan terbuka apa juga keputusan jika proses pilihanraya dilaksanakan secara adil dan telus.

Apa yang berlaku dalam pilihanraya kampus sekarang memberi isyarat kepada Pakatan Rakyat untuk bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai taktik dan strategi yang lebih kotor yang bakal dilakukan untuk pihak Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Maka dalam hal ini pimpinan dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan. Isu remeh temeh, perselisihan pendapat dan kenyataan yang memberi gambaran negatif kepada Pakatan Rakyat perlu dielakkan. Agenda rakyat dan nasional perlu diberi keutamaan. Ini kerana penyertaan dalam pilihanraya akan datang adalah sebagai 'kerajaan dalam penantian' dan bukan lagi sebagai pembangkang.

29 January 2010

PROGRAM GEGAU 1 MALAYSIA: UMNO-BN TIRU PAS MELAKA

Banner GEGAU ANJURAN Umno-BN

PAS Melaka gegau lama dah...

Pada 4 Febuari ini dijadualkan akan dilancarkan program GEGAU 1MALAYSIA. Majlis itu akan dirasmikan oleh Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak di Dataran Klebang. Katanya kehadiran dijangkakan 50 ribu orang. Saya dimaklumkan pihak sekolah, IPTA dan jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta di Melaka telah diberikan arahan untuk hadir ke program berkenaan.

Apa yang saya nak utarakan ialah Umno-BN Melaka seperti sudah tandus idea dengan meniru PAS Melaka yang telah melancarkan program GEGAU MELAKA pada 16 Disember 2007. Apa-apapun kita ucap terima kasih kepada kerajaan Melaka yang meniru idea PAS Melaka yang terbukti cukup berkesan 'mengegau' Melaka dalam pilihanraya umum lalu walaupun masih belum memenangi sebarang kerusi.

Kita tunggu siapa yang bakal 'bergegau' dalam pilihanraya umum akan datang. Apa yang pasti Umno-BN cukup 'bergegau' dengan sambutan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Melaka

UMNO GELABAH BILA AHLINYA DIKAITKAN SERANGAN GEREJA


Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali secara terbuka mendedahkan bahawa beliau mempunyai maklumat tentang serangan terhadap gereja yang dilakukan berkaitan isu kalimah Allah turut didalangi oleh ahli Umno.

Jika sebelum ini, pihak polis begitu mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mendapat maklumat agar mereka yang terlibat diburu sehingga ke lubang cacing. Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mendedahkan bahawa pihaknya akan meneliti semua maklumat termasuk yang disiarkan di dalam blog.

Tetapi apa yang menghairankan, apabila Azmin mendedahkan dia mempunyai maklumat pihak yang terlibat dengan serangan gereja itu pihak polis hanya mendiamkan diri. Menteri Dalam Negeri, Datuk seri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis tidak memerlukan maklumat yang didakwa dimiliki oleh Azmin. Malah pemimpin Umno senada seirama menyifatkan kenyataan Azmin adalah kenyataan politik.

Belum lihat hujung pangkal dah kata kenyataan politik. Kalau ya pun, siasat le dulu baru keluar kenyataan sama ada ia berasas atau sebaliknya.Kata nak siasat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Kenapa Hishamudin tidak mengarahkan polis untuk siasat atau dakwa Azmin jika tuduhan Azmin adalah palsu dan berunsur fitnah?Kengganan dan sikap berdolah dalih Hishamudin dan pemimpin Umno dalam hal ini akan menguatkan spekulasi bahawa Umno memang terlibat dalam serangan gereja!

27 January 2010

NIZAR USAH BERMIMPI JADI MB


Setelah beberapa bulan ditangguh, akhirnya Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan pada 9 Febuari ini untuk memuktamadkan siapa Menteri Besar Perak sama ada Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin atau Dato Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Bagi saya Nizar tidak perlu bermimpi untuk jadi Menteri Besar kerana beliau memang sudah jadi Menteri Besar Perak yang sah.Biasanya orang bermimpi kerana terlalu memikirkan atau teringinkan sesuatu. Mimpi juga dikatakan mainan dalam tidur.

Apa perlu Nizar bermimpi kerana sememangnya beliau Menteri Besar Perak yang sah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya berdasarkan prinsip demokrasi. Mana ada sejarah mana-mana tamadun dan negara era moden ketua sesebuah negara atau negeri dipilih oleh mahkamah. Kalau macam tu lebih baik tak payah buat pilihanraya. Bukan sahaja buang duit rakyat tetapi juga membazir masa.

Lagipun yang bakal membuat keputusan nanti ialah mahkamah Malaysia yang diselubungi dan dikaitkan dengan pelbagai isu serta skandal yang tak selesai-selesai. Apapun keputusan mahkamah nanti pada 9 Febuari ini tidak mampu menyelesaikan konflik politik di Perak. Ini kerana pemilihan Menteri Besar kali ini telah mengikut lunas di luar tabie.

Jika Nizar menang, adakah orang Umno@BN akan berdiam diri? Begitulah sebaliknya jika Zambry menang. Inilah padahnya bila sistem demokrasi dalam negara dikhianati dan dicabuli.

Tetapi sekurang-kurangnya apabila Nizar menang akan mengembalikan semula hak rakyat untuk memilih siapa Menteri Besar mereka yang sah kerana Nizar dan Pakatan Rakyat Perak cukup konsisten dengan pendirian untuk memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN.

26 January 2010

ZULKIFLI NORDIN TERUS MENDEDAHKAN TEMBELANG SEBENARNYA


Sejak awal-awal lagi saya mendapati ada yang tidak kena di sebalik perwatakan sebenar Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru yang semakin kerap beritanya dalam media-media milik Umno@BN.Akhir-akhir ini nada beliau senada dan seirama dengan pemimpin Umno, malah kadang-kadang bercakap seperti juru cakap Umno.

Beliau cuba menampil imej seorang pejuang Islam tetapi hakikatnya sikap yang ditunjukkan tidak mencerminkan akhlak yang sebenar. Isu kalimah Allah isu yang sengaja dipolemik untuk kepentingan politik dan bukan dalam erti kata memperjuangkan Islam yang sebenar. Bila berhujah gunakan hujah berdasarkan Al Quran dan hadis dan pandangan ulama muktabar. Kalau sekadar hujah dengan terjemahan yang tidak betul bersandarkan akal serta ditambah dengan pandangan ulama terompah kayu dan ulama upahan dalam Umno baik tak payah.

Bagi saya kehadiran Zulkifli Nordin dalam Pakatan Rakyat ibarat barah yang jika terus dibiarkan akan menyebabkan penyakit yang lebih kronik kepada Pakatan Rakyat. Biar hilang satu kerusi parlimen daripada menyimpan seorang wakil rakyat yang tidak faham konsep musyawarah dan berorganisasi serta tidak menghormati ketua. Saya cadangkan beliau masuk sahaja Umno atau menjadi ahli parlimen bebas seperti Ibrahim Ali yang tidak mempunyai maruah dan harga diri.

Dalam isu ini Zulkifli Nordin kena jelaskan benarkah wujud 'perjanjian' selepas Datuk Aziz Kadir Syeikh Kadir, calon Umno parlimen Kulim Bandar Baru yang 'bersetuju' tidak meneruskan petisyen di mahkamah selepas pilihannraya umum ke 12 kerana kegagalan Zulkifli Nordin menyediakan laporan kewangan kepada SPR semasa bertanding dalam pilihanraya 2004 yang menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimen berkenaan?

24 January 2010

TAHNIAH KERAJAAN PR KEDAH

Tahniah dan syabas kepada kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Razak kerana telah berjaya memenuhi 80 % janji dalam manifesto yang dijanjikan dalam pilihanraya umum 2008.

Walaupun belum 24 bulan mengambil alih pemerintahan Kedah dari Umno-BN kejayaan mencapai 80% janji manifesto adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih lagi kerajaan PR Kedah sering diasak dan diserang dari pelbagai penjuru oleh pihak Umno-BN. Kalau markah periksa di sekolah atau universiti kerajaan PR Kedah sudah dapat A! Perkara itu diumumkan oleh exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali semasa berucap merasmikan Pasti Al Munnawarah Taman Lagenda Padang Serai Kedah.

Di antara janji dalam manifesto yang telah ditunaikan ialah :

1. Memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

2.Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain

3. Pada tahun 2009 yang lalu peruntukan sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

Semoga kecemerlangan kerajaan PR Kedah akan turut menjadi contoh kepada kerajaan PR di negeri lain untuk membuktikan kepada pengundi dan rakyat di negara ini PR boleh menerajui dan mentadbir negara dengan baik seterusnya membuka langkah dalam persiapan mengambil alih Putrajaya selepas pilihanraya umum akan datang.

22 January 2010

SURAU DIBAKAR DI MUAR BAKAL DAPAT SETENGAH JUTA?


Selepas reda sekejap isu bakar gereja, semalam dua buah surau di Muar pula dibakar pada awal pagi. Dalam kejadian bakar gereja yang pertama di ibu kota, Perdana Menteri Dato Seri Najib yang membuat lawatan ke gerejaMetro Tabernacle Church Taman Malawati mengumumkan bantuan sebanyak RM 500,000 untuk memindahkan gereja berkenaan ke tapak baru.

Bagi saya tindakan bakar gereja dan bakar surau mempunyai agenda yang sama. Membuat khianat untuk mewujudkan suasana panik dan huru hara dalam negara. Cuma saya berharap kerajaan 1Malaysia tidak bersikap double standard dalam menyalurkan bantuan. Jika gereja diberi setengah juta maka surau juga boleh mendapat bantuan yang sama. Kalau tak RM setengah juta RM 50 ribu pun ok juga. Kalau tak boleh juga RM 5 ribu pun boleh untuk tabung surau. Lebih-lebih lagi surau yang dibakar dan dikhianati itu terletak dalam kawasan parlimen Timbalan Perdana Menteri.

21 January 2010

KEBAKARAN YANG TERUS MENIMBULKAN MISTERI




Kapal pengangkut terbesar Malaysia KD Inderapura telah pun 'bersemadi' di perairan Selat Melaka. Kapal ini terpaksa ditenggelamkan kerana kebakaran yang hampir memusnahkan kapal itu sama sekali. Kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit.

Dalam Lima 2009 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengumumkan hasil siasatan menunjukkan kebakaran kapal itu berpunca dari litar pintas. Bila sebut litar pintas ia boleh berlaku tanpa dijangka. Lebih-lebih lagi bagi kapal yang telah lanjut usia seperti KD Inderapura. Aspek penyelenggaraan dan pendawaian juga boleh menjadi punca litar pintas. Hal-hal pendawaian dan penyelenggaraan kapal pastinya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh kerajaan. Pegawai Pemerintah kapal tidak ada kuasa untuk menentukan siapa yang diberi tender untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Tetapi hari ini Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengumumkan bahawa Pegawai Pemerintah KD Inderapura akan dihadapkan ke mahkamah tentera atas kebakaran yang berlaku. Memanglah pegawai pemerintah bertanggungjawab penuh terhadap kapalnya tetapi dalam kes ini timbul kesangsian kerana Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa faktor fizikal kapal yang menjadi punca kebakaran dan bukan faktor kecuaian.

Sepatutnya yang disiasat ialah siapa yang melantik kontraktor terbabit. Adakah berlaku penyelewengan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan ? Saya bukan hendak membela pegawai pemerintah terbabit, tetapi apa yang dibimbangi pegawai itu sekadar menjadi 'kambing hitam' di sebalik kejadian yang berlaku. Dalam hal ini Panglima TLDM dan Menteri Pertahanan mempunyai tanggungjawab penuh atas segala yang berlaku.

BERSEDIA UNTUK NAIK MINYAK


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan 1Malaysia akan memperkenalkan mekanisme harga baru petrol sebelum bulan Mei ini. Menurut beliau Majlis Ekonomi Negara akan menentukan sama ada harga petrol akan naik atau sebaliknya. Berdasarkan perkembangan harga semasa di pasaran dunia, harga petrol terus menunjukkan peningkatan. Jadi pengumuman kerajaan sebelum Mei nanti sudah boleh dijangka, harga minyak akan naik! Kecualilah, kalau betul-betul rakyat didahulukan dan gimik menjadi juara rakyat diutamakan maka harga minyak akan turun. Bila harga minyak naik maka faham-fahamlah, harga barang akan melambung dan seterusnya inflasi akan meningkat. Tetapi yang peliknya, menteri yang sama kelmarin berkata harga barang dijangka tidak naik lagi selepas ini. Tak tahulah siapa penasihat ekonomi menteri ini atau menteri ini memang tak belajar bab ekonomi. Bila harga minyak naik, kita wajar beterima kasih kepada kerajaan 1Malaysia kerana berterusan menjaga kebajikan rakyat agar kita terus berterima kasih dan mengundi parti juara rakyat ini pada pilihanraya umum akan datang. Maka semua rakyat di negara ini perlu bersiap sedia untuk naik minyak!

19 January 2010

INDIA BELI LAGI JET MIG 29N, MALAYSIA NAK LUPUS...


Rusia akan membekalkan 29 buah pesawat tempur jenis MiG-29 kepada tentera laut India menerusi perjanjian yang dicapai minggu ini bernilai AS$1.2 bilion (RM3.96 bilion).India sebelum ini telah menggunakan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) sejak tahun 1980-an lagi lebih awal daripada pembelian yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.

Tentera udara India berjaya membangunkan program R&D dan pemindahan teknologi hasil daripada pembeliaan dan penggunaan pelbagai pesawat pejuang dari Russia. Oleh itu, pesawat keluaran negara bekas Komunis itu berjaya dioperasikan dengan baik sehingga hari ini.

Malangnya, negara ini yang turut memiliki 17 buah MIG 29N sehingga kini tidak mampu untuk terus menggunakan jet pejuang berkenaan atas alasan kos penyelenggaraan yang tinggi. Maka Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa pesawat berkenaan akan dilupuskan pada penghujung tahun ini. Langkah kerajaan ini mengundang kritikan termasuk daripada bekas PM Tun Dr. Mahathir yang menyifatkan sebagai satu pembaziran dan membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Keputusan kerajaan untuk melupuskan pesawat berkenaan saya kira kena pada masanya kerana dibimbangi jika pesawat berkenaan terus di simpan di pengkalan TUDM ada kemungkinan enjin jet itu akan dilarikan ke luar negara!

18 January 2010

SEJARAH PASTI TERCIPTA JIKA NAJIB MELAWAT MONGGOLIA


Esok akan membuka sejarah baru hubungan diplomatik Malaysia-Chennai ibu kota negeri Tamil Nadu di selatan India. Dato Seri Najib Tun Razak akan mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri pertama negara yang melawat negeri berkenaan.

Bagi peminat filem Tamil kira-kira sedekad lalu pasti mengenali pelakon MGR ( M.G.Ramachandran) yang juga pernah menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu. Sebut MGR, pasti akan terbayang kehebatannya berlakon yang dapat menewaskan musuh yang berpuluh mungkin beratus bilangannya dengan sorang diri. Terkenal kerana tembak tak lut dan paling istimewa menjadi pujaan ramai wanita.

Tidak dapat dipastikan apa motif utama lawatan Najib ke Chennai. Boleh jadi ingin mengambil aura MGR yang cukup terkenal satu ketika dulu.

Memang lawatan berkenaan mencipta sejarah bukan sahaja seorang perdana menteri Malaysia yang melawat negeri berkenaan tetapi mungkin lepas ini ada MOU dan peluang perniagaan dan pelaburan akan terbuka di antara kedua-dua pihak.

Tetapi bagi saya lawatan Najib ke Monggolia adalah lebih bermakna jika dibandingkan melawat Chennai. Ini kerana sehingga hari ini di Malaysia belum wujud kedutaan di antara Malaysia - Monggolia. Monggolia cukup terkenal dengan nilai sejarah dan mempunyai pelbagai tarikan serta destinasi menarik.

Malangnya akhir-akhir ini hubungan Malaysia agak renggang berikutan tragedi menimpa Altantuya. Jadi jika Najib melawat Monggolia sedikit sebanyak akan mengubah persepsi negatif rakyat Monggolia kepada negara ini dan akan menjernihkan kembali hubungan Malaysia-Monggolia. Persoalannya bersediakah Najib melawat Monggolia ?

17 January 2010

LAIN KALI LANTIKLAH MENTERI YANG CERDIK SIKIT...


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Ismail Sabri meminta rakyat negara ini bersikap positif dengan mengurangkan mengambil gula berikutan kenaikan harga gula 20 sen baru-baru ini. Betullah tu dengan mengurangkan mengambil gula dapat meningkatkan kesihatan. Isu yang dibangkitkan ialah harga gula mahal bukannya kempen kurangkan mengambil gula. Menteri kena belajar bab ekonomi, bila harga gula naik maka semua produk berasaskan gula akan naik juga. Bagi peniaga gerai bawah pokok ketapang tak ada masalah untuk mengekalkan harga teh 0 atau kuih donat walaupun harga gula naik tetapi bagaimana peniaga atau pengusaha produk berskala besar?

Kalau macam tu cara menteri berfikir maka secara logiknya bila harga makanan naik, rakyat kena kurangkan makan, bila harga air naik rakyat kena kurangkan minum air, bila harga beras naik rakyat kurangkan makan nasi dan bila harga pakaian naik rakyat kena kurang berpakaian?

Inikah cara menteri Umno yang ingin menjadi juara rakyat?Lain kali lantiklah menteri yang cerdik sikit...

16 January 2010

CIKGU TAK ADA KERJA KERANA MENTERI BERGASAK SESAMA SENDIRI.

Isu ini bukan isu baru, cuma kini dibangkitkan semula apabila bertambah kritikal. Semalam timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi menyalahkan IPTA yang terus menawarkan program ijazah pendidikan di negara ini sehingga menyebabkan 'lambakan' guru.Apabila Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi diasingkan maka wujud masalah kerana tidak ada keselarasan. Mungkin setiap menteri yang mewakili kementerian terbabit mempunyai agenda politik tersendiri.

28 Institut Pendidikan Guru kekal di bawah KP yang kini dinaik taraf untuk melahirkan graduan dalam ijazah pendidikan untuk ditempatkan di sekolah rendah .Penempatan guru,sekolah rendah dan menengah juga terletak di bawah KP. Dalam masa yang sama IPTA,IPTS termasuk UPSI yang terletak di bawah KPT terus menawarkan program ijazah pendidikan.

Memandangkan IPG merupakan produk KP, sudah pasti keutamaan diberikan dalam urusan penempatan. Lebihan atau saki baki kekosongan baru ditawarkan kepada KPT. Maka berlakulah hari ini apa yang diistilahkan lambakan graduan IPTA/IPTS dalam bidang pendidikan. Jika dulu bidang pendidikan adalah 'pasport' untuk menjadi guru kini tidak lagi.

Sepatutnya masalah tak berlaku, KP atau KPT dua-dua di bawah kabinet 1Malaysia. Apa yang mereka buat dan bincang masa mesyuarat kabinet? lainlah kalau KP di bawah kerajaan Umno@BN dan KPT di bawah Pakatan Rakyat. Sudah pasti wujud diskriminasi. Nama je kabinet 1Malaysia tetapi masalah ini pun tak boleh selesaikan. Menjadi mangsa adalah ribuan graduan pendidikan yang sehingga hari ini menjadi penganggur. Adakah kerajaan nak suruh mereka jual burger? Jika tidak pun minta mereka jangan pilih kerja, kerajaan 1Malaysia syorkan buatlah apa yang patut tanam kangkung atau jual kacang putih?

Timbalan Perdana Menteri yang juga MP turut bertanggungjawab terhadap KPT. Kalau KPT tak penting atau tidak sehaluan dengan dasar, mansuhkan terus pos kabinet ini tak perlu diadakan. Hari ini kedua-dua menteri KP dan KPT dari parti 'juara rakyat' yang bangga dengan slogan rakyat didahulukan terus mempersendakan rakyat di negara ini. Selesaikan dulu masalah dari parti dan kabinet dari sibuk-sibuk nak jadi juara rakyat.

14 January 2010

TERGAMAK NAJIB DAN MUHYIDDIN KE LUAR NEGERI

Negara hari ini berada dalam situasi yang tidak stabil. Isu nama Allah boleh mengundang suasana konflik dalam negara.Buktinya sudah wujud cubaan untuk menimbulkan api permusuhan di antara agama. Gereja dibakar dan dilontar bom sebagai provokasi pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam situasi ini, saya melihat pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat lebih ramai turun padang berbanding pemimpin Umno@BN untuk meredakan keadaan selain menghulurkan simpati. Langkah ini wajar dipuji kerana jika isu ini gagal ditangani dengan baik maka tidak mustahil boleh mengundang tragedi 13 Mei kedua di negara ini.

Malangnya ketika negara berada dalam suasana tidak menentu, pemimpin nombor satu dan nombor dua boleh berada di luar negara. Seorang ke Jeddah dan seorang lagi di Kota London. Walau atas tujuan apa sekalipun sama ada tugas rasmi atau peribadi, ketiadaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika ini adalah sesuatu yang janggal.Dalam masa yang sama Menteri Dalam Negeri dan beberapa menteri lain juga 'tumpang sekaki' mengiringi PM dan TPM di luar negara.

Apakah yang lebih didahulukan?Tak bolehkah kunjungan tersebut ditangguhkan sehingga suasana dalam negara kembali reda? Pemergian ke luar negara ketika ini juga tidak wajar ketika rakyat dan negara sedang bergelut dengan krisis kewangan. Langkah berkenaan juga tidak selaras dengan dasar penjimatan yang kononnya diamalkan oleh kerajaan ketika ini. Rakyat disuruh berjimat, perbelanjaan kerajaan untuk rakyat disekat tetapi mereka boleh 'senang hati' berada di luar negara.

13 January 2010

TERBUKTI UMNO JUARA TIPU RAKYAT


Minggu lepas mereka melancarkan Kempen Juara Rakyat. Maka bertambah lagilah koleksi slogan Umno untuk rakyat di negara ini.seperti yang saya katakan sebelum ini slogan baru satu lagi koleksi retorik Umno kepada rakyat negara ini.

Bertempat di kawasan parlimen berjiran dengan parlimen Perdana Menteri kira-kira 500 penduduk Kampung Setajam Rompin bangun menyuarakan protes terhadap tindakan Umno menipu mereka berpuluh tahun lamanya.

Setiap kali pilihanraya, Umno di Dun Tioman di bawah parlimen Rompin akan berjanji kosong dengan penduduk di kampung berkenaan untuk memberi geran hak milik tanah kepada pesawah padi yang telah puluhan tahunan mengusahakan bendang di situ. Tetapi pilihanraya silih berlalu pemimpin dari wakil rakyat Umno bertukar ganti tetapi semua janji-janji terbukti palsu.

Kemuncak segala penipuan Umno di Rompin apabila dalam satu majlis penyerahan mangsa ribut yang dihadiri DYMM Sultan Pahang pada 22 April 2009 penduduk Kampung Setajam menyuarakan masalah pada Sultan Pahang. Sultan Pahang mengarahkan agar masalah penduduk di selesaikan dalam tempoh dua bulan dan perkara itu dipersetujui oleh ahli parlimen Rompin dan Pegawai Daerah dan dalam bulan September 2009 Sultan Pahang berkenan untuk menyampaikan hak milik tanah.

Hari ini masa berlalu, bukan kata geran tanah batang hidung pemimpin Umno pun tak kelihatan. Mungkin Dato Jamaludin Jarjis ahli parlimen Rompin yang kini menjadi duta Amerika sedang sibuk dengan majlis bersama Presiden Barrack Obama.

Penipuan dan pengkhianatan Umno kepada rakyat di negara ini membuktikan Umno adalah juara segala juara. Bukan sahaja juara menipu rakyat tetapi juga juara kerana memiliki ramai pemimpin terlibat rasuah dan skandal dan tidak kurang hebatnya juara dalam membazirkan duit rakyat.

12 January 2010

PRU MAKIN HAMPIR , NAJIB SEMAKIN MERAPU...


Entah apa yang tak kena dengan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak yang semakin merapu dalam ucapannya. Minggu lepas, beliau berkata kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana pertubuhan yang ingin mengadakan demontrasi. Walhal sebelum ini beliau cukup fobia dengan demontrasi. Malam tadi dalam ucapan di hadapan kakitangan awam sempena majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) beliau meminta supaya semua sektor perkhidmatan awam berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong oleh kecenderungan politik.

Mungkin kalau cerita kat orang yang duduk di hulu sungai atau tengah hutan mungkin mereka akan angguk menyokong bulat-bulat apa yang dikatakan. Mungkin Najib terlupa 'road show' bertemu kakitangan awam sewaktu menjadi timbalan Perdana Menteri sebelum PRU ke 12 yang lalu dalam ucapannya beliau melaungkan 'Hidup BN' dalam majlis berkenaan.
Adakah 'Hidup BN' itu motto atau slogan baru kerajaan? Mungkin sudah terlalu terdesak sehingga tak dapat beza di antara kerajaan dan parti politik.

Selama ini pemimpin Umno@BN lah yang sering memperalatkan kakitangan kerajaan untuk berkempen terutama sewaktu pilihanraya. Itu dalam majlis dengan kakitangan awam kalau dengan orang kampung perkataan Umno dan BN sudah jadi macam zikir mereka.

10 January 2010

SERANGAN GEREJA BUKAN KERJA ORANG PANGKAT RENDAH

Jika kehilangan enjin pesawat pemintas F5E milik TUDM dikaitkan dengan askar pangkat rendah, saya berangggapan serangan ke atas gereja bukan dilakukan orang pangkat rendah. Pangkat tidak merujuk kepada atau polis semata-mata kerana boleh jadi ia melibatkan samseng, tokoh politik atau boleh jadi juga orang yang cukup berpengaruh dalam negara.

Saya tidak mahu tunding jari secara khusus, tetapi serangan bersiri keatas gereja menunjukkan satu konspirasi dan tindakan yang terancang untuk menimbulkan suasana panik dan kelam kabut dalam negara.

Jika sebuah dua gereja yang diserang kita boleh kata ia tindakan budak-budak nakal tetapi apabila serangan dilakukan secara menyeluruh dan berterusan ia bukan lagi kerja budak nakal tetapi kerja orang jahat yang sanggup buat apa sahaja untuk memenuhi agenda kotor mereka.

Justeru itu semua pihak wajar bertenang dan tidak terperangkap dengan taktik jahat dengan sengaja membuat sabotaj dan provokasi untuk menimbulkan ketakutan serta mencetuskan isu perkauman dan permusuhan di antara agama.

Perumpamaan Melayu ada menyebut siapa makan cili dia akan terasa pedasnya. Hari ini ada pihak yang sudah mula terasa pedasnya. Saya bersetuju dengan pandangan Dato Mahfuz Omar bahawa seolah-olah wujud tangan ghaib di sebalik serangan yang dilakukan. Apa yang pasti saya cukup yakin rakyat negara ini semakin matang dan tidak mudah terperangkap atau dibodohkan oleh pihak yang tidak bertamadun dan tidak mengenal halal haram serta dosa pahala dalam mencapai agenda mereka.

PRORAM UMNO JUARA RAKYAT TAK DAPAT SAMBUTAN?

Kerusi yang masih banyak yang kosong

Semalam Program Umno Juara Rakyat dilancarkan oleh presidennya. Mendengar nama program sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa hari ini Umno bukan lagi juara rakyat. Bila program nak jadi juara dilancarkan bermakna Umno tahu bahawa sebelum ini mereka tewas dalam memenangi hati rakyat. Petunjuknya mudah PRU ke 12 dan kekalahan dalam lima pilihanraya kecil pasca PRU ke 12 membuktikan Umno hanya menunggu masa untuk berkubur.

Umno kelihatan cukup terdesak untuk menambat hati rakyat dalam masa yang semakin singkat menjelang PRU ke 13. Proram 1 Malaysia dilihat masih gagal memikat hati rakyat yang lebih kepada retorik. Walaupun program 1Malaysia jenama baru kerajaan tetapi hakikatnya ia merupakan program untuk meneruskan survival Umno pada masa akan datang. Jika 1Malaysia dah berjaya apa perlu lagi melancarkan program baru Umno Juara Rakyat.

Malang terus menimpa Umno yang masih terkial-kial mengembalikan sokongan orang Melayu. Setelah isu kalimah Allah dimanipulasikan tetapi rakyat tetap sedar watak sebenar Umno. Program yang dilancarkan semalam pula tidak menampakkan Umno Juara Rakyat tetapi lebih kepada kempen politik untuk menghadapi pilihanraya. Tetapi program yang dirancang turut dikatakan gagal menarik kehadiran orang ramai. Banyak kerusi yang kosong walaupun kerahan dibuat....Mungkin selepas ini Umno kena mewajibkan budak-budak sekolah dan kakitangan kerajaan seperti kebiasaannya.Saya yakin kerusi bukan sahaja penuh tetapi orang ramai akan melimpah. Lebih-lebih lagi bila dapat nasi lemak sebungkus, air mineral sebotol dan dapat naik bas percuma.

09 January 2010

EYE ON MALAYSIA DISITA: EPISOD MALANG BUAT RAKYAT MELAKA


Hari ini rakyat Melaka dan pelancong dari luar hanya mampu melihat roda gergasi Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka berdiri kaku. Tidak seperti sebelumnya berputar-putar membawa pelancong melihat permandangan di sekitarnya. Roda gergasi ini tidak lagi bercahaya pada waktu malam seperti kebiasaannya.

Kalau sebelumnya pelancong yang datang ke Melaka merasa tidak lengkap kalau tak menaiki roda Eye On Malaysia ini. Begitu juga roda gergasi ini dijadikan disitinasi utama kepada tetamu kerajaan negeri yang melawat Melaka. Maka ketika itu Ketua Menteri hanya mampu menahan kembang kerana dipuji oleh pemimpin dan tetamu luar. Datuk Shah Rukh Khan juga pastinya tidak dapat melupakan pengalaman manis berpusing dalam gendola VIP yang dilengkapi TV LCD di situ.

Walaupun telah sekian lama, Eye On Malaysia berada di situ saya masih belum terbuka untuk merasai pengalaman menaikinya. Walaupun anak-anak mengajak untuk menaikinya...Saya kata nantilah dulu....Tak sanggup saya menaiki roda gergasi yang saya sifatkan sebagai simbol pembaziran kerajaan Melaka.

Ternyata telahan saya berasas, hari ini pelaburan RM 8 juta yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri tidak termasuk jutaan ringgit lagi menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti jalan khas dan lot meletak kereta kini lebur dan tenggelam di muara Sungai Melaka tempat terletaknya Eye On Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Muhd. Ali Rustam tidak boleh lepas tangan dengan menunding jari menyalahkan syarikat yang terlibat membawa Eye On Malaysia ke Melaka. Adakah kerajaan Melaka tidak mengkaji semua implikasi atau menyiasat tentang semua aspek semasa membawa Eye on Malaysia ke Melaka? Tindakan cuba lepas tangan Ali Rustam merupakan satu perbuatan terdesak yang amat tidak bertanggungjawab. Adakah beliau fikir membeli roda Eye On Malaysia sama seperti membeli roda basikal?

Ini melibatkan jutaan ringgit duit rakyat dan bukan duit poket Ali Rustam atau dari tabung Umno! Melaka yang diwar-warkan negeri Maju Menjelang 2010 masih mempunyai rakyat yang tidak mendapat kemudahan bekalan letrik dan air bersih di daerah Alor Gajah dan Jasin. Masih ramai rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan. Masih banyak infrastruktur seperti wad hospital yang lebih diperlukan oleh rakyat Melaka bukannya bepusing-pusing di roda Eye On Malaysia ini.

08 January 2010

UMNO PERTAHANKAN KALIMAH ALLAH TETAPI KHIANAT RUMAH ALLAH

Hari ini isu perkataan Allah dalam The Herald sedang hangat dipolemikkan. Hari ini rakyat di negara ini dikejutkan dengan tindakan provokasi membakar gereja oleh pihak tidak bertamadun dan bertanggungjawab.

Isu perkataan Allah menjadikan Umno seperti juara yang kononnya bangun mempertahankan Islam. Tetapi itu propaganda media dan politik murahan Umno. Di Selatan tanah air di bumi Melaka yang dikatakan tempat bermulanya penyebaran Islam di negara ini, Umno terus bermaharajalela mengkhianati rumah Allah.

Bertempat di surau An Najihin di Taman Merdeka tempat ribuan penduduk mengerjakan solat Jumaat masih lagi dalam konflik yang tidak berkesudahan. Akibat politik rakus Umno di situ memaksa seluruh jawatankuasa syarak terdiri daripada imam, bilal, noja dan lainnya meletak jawatan secara mengejut. Walaupun genap dua minggu berlalu masih belum nampak jalan penyelesaian masalah terutamanya dalam mencari imam yang berkelayakan.

Jika minggu lalu imam 2 dari dari Masjid bersebelahan terpaksa diimport untuk membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat hari ini Ustaz Arif, Timbalan Ketua penolong pengarah bahagian surau dan masjid Jabatan Agama Islam Negeri Melaka terpaksa turut padang.

Walaupun ada pengganti, jemaah terus tertanya-tanya kesudahan krisis yang berlaku. Apa yang pasti jemaah hari ini merasa kehilangan dengan kepetahan dan kelantangan bekas Imam 1 dan 2 yang menyampaikan khutbah.

Bukan hendak merendahkan kewibawaan ilmu, tetapi penyampaian khutbah oleh Imam import ternyata tidak dapat menandingi imam sebelumnya. Walaupun hari ini saya perkena kopi Radix sebelum bersolat Jumaat ternyata ia tidak dapat membantu untuk menyebabkan saya ' khusyuk' dan 'tawadhuk' sewaktu mendengar khutbah tadi.

Jadi kepada semua berhati-hati dengan tembelang Umno yang kononnya membela Islam tetapi hakikatnya mereka telah sekian lain menjadikan dasar perjuangan menjadikan Islam sebagai aksesori dan kosmetik sahaja.

07 January 2010

NAJIB SOKONG RAKYAT DEMONTRASI


Berita baik untuk semua, Perdana Menteri hari ini berkata Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.

Dilaporkan selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara, sebuah lagi persatuan berpengaruh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Harap-harap kerajaan 1Malaysia tidak akan bersikap double standard terhadap mana-mana kumpulan, parti politik atau pertubuhan yang ingin mengadakan demontasi aman. Dijadualkan esok satu demontrasi anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat akan diadakan esok di hadapan kedutaan Mesir membantah tindakan kerajaan Mesir menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Demontrasi anjuran Pemuda Pas Pusat dijadualkan akan berlangsung serentak dengan demontrasi membantah kalimah Allah.

Adakah pihak polis dan FRU akan memberi layanan adil kepada kedua-dua demontasi esok? Apa yang pasti tuduhan yang dilemparkan oleh Khairy Jamaludin yang menggelar peserta demontrasi BERSIH sebelum ini sebagai beruk kini kena atas batang hidung mereka sendiri. Rasanya Umno dan mereka yang sewaktu dengannya sekarang yang paling banyak mengadakan demontrasi berbanding dengan Pakatan Rakyat.

Saya juga berharap layanan yang adil akan diberi kepada mana-mana demontasi aman di negara ini kerana demontasi merupakan satu kaedah yang dibenarkan kepada negara yang menjunjung prinsip demokrasi.

06 January 2010

BUKAN PREBET, SARJAN YANG LARIKAN ENJIN JET


Teka teki siapa yang disyaki terlibat melarikan enjin jet pesawat pemintas F5E TUDM terjawab hari ini apabila Seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang pengarah syarikat didakwqa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Sarjan berkenaan N. Tharmendran 42 dan ahli perniagaan Rajandran Prasad 37 tidak mengaku salah dalam dakwaan yang dikemukakan di mahkamah seksyen hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail malam tadi berkata siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur hasil persuhabatan sarjan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin pesawat itu yang diketahuinya merupakan harta curi.

Abdul Gani berkata jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Isu di sini bukan pangkat askar yang melarikan enjin jet itu tetapi isu yang lebih besar adalah berkaitan dengan isu keselamatan, ketelusan dan apa yang lebih penting adalah maruah negara ini. Walaupun kemungkinan sarjan dan pengarah syarikat berkenaan yang akan didakwa hari ini dan dihukum ia masih tidak meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan negara pada hari ini. Lebih-lebih lagi seolah-olah ada agenda tersembunyi apabila rahsia kehilangan enjin jet berkenaan disembunyikan oleh Kementerian Pertahanan dan kerajaan lebih dari dua tahun.

Apa yang berlaku memungkinkan bahawa wujud lebih banyak penyelewengan yang berlaku berkaitan soal pentadbiran dan pengunaan duit rakyat yang dilakukan oleh kerajaan. Justeru itu, satu suruhanjaya diraja perlu diwujudkan untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya yang berlaku.




05 January 2010

DULU BANTAH PERKATAAN ISLAM SEKARANG SOKONG KALIMAH ALLAH

Sehari dua ini negara ini cukup meriah dengan demontrasi di sana sini. Semua ini kerana perasaan tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar The Herald gereja Khatolik di negara ini menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan mereka.

Dalam isu penggunaan Allah ini saya menyerahkan kepada mereka yang ahli dalam menyelesai dan menjawab segala polemik yang timbul. Tetapi apa yang berlaku, isu ini seperti sengaja dijadikan kontroversi dan provokasi tanpa nas serta hujah dan kadang kala secara membuta tuli.

Nasihat saya kalau kita kurang jelas dan tidak cukup ilmu dalam membincangkan isu ini lebih baik kita diam. Itu lebih baik daripada bila kita bercakap dan menulis tanpa hujah, bukti dan nas yang akan menyerlahkan kebodohan dan kebangangan diri sendiri. Itu tak apa lagi, silap hari bulan boleh jejas akidah tak pasal-pasal nanti kena mengucap syahadah semula.

Tetapi kalau tak silap saya ada ramai di kalangan mereka yang kini bersinsing lengan, bertakbir macam nak gempa bumi mempertahankan kalimah Allah adalah mereka yang sama bersungguh-sungguh mendesak nama Islam digugurkan dari mana-mana persatuan dan pertubuhan. tidak lama dulu Tak ke pelik tu? Sokong pertahankan kalimah Allah tapi benci kepada perkataan Islam?

Harap-harap kita tak lupa tentang demontrasi dan memorandum yang mereka hantar untuk mendesak kerajaan ketika itu mengharamkan perkataan Islam. Jadi kita jangan terperangkap atau diperangkap dengan sentimen dan isu yang sengaja diperbesarkan untuk agenda politik tertentu. Mereka hari ini bangkit kononnya mempertahankan Islam tetapi mereka jugalah yang paling kuat mempersenda dan menentang hukum Islam. Mereka jugalah yang menarik bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang banyak melahirkan ulama dan generasi ilmuan yang mengimarahkan rumah Allah.

Mereka ini jugalah yang memecat ulama dan mufti apabila golongan ini mempertahankan Islam. Mereka jugalah yang menggunakan pelbagai peraturan dan undang-undang yang sengaja direka untuk menghalang tokoh-tokoh agama yang tak sehaluan dengan mereka menyampaikan ilmu di surau dan masjid. Mereka juga yang 'merampas' surau dan masjid dengan menafikan hak khariah melantik jawatankuasa pilihan mereka. Akhirnya banyak masjid dan surau kini lesu kerana campur tangan politik yang akhirnya mengundang perpecahan umat Islam.

Kes Kartika yang terkini menjelaskan watak sebenar mereka yang sebenarnya benci dan anti Islam. Isu penggunaan nama Allah dijadikan batu loncatan untuk meraih sokongan dan populariti kononnya merekalah juara umat Islam di negara ini tetapi hakikatnya mereka juga dua kali lima bukan sekadar menangguk di air keroh tetapi turut mencampak lumpur!

03 January 2010

TANDA KEJATUHAN UMNO?

Papan tanda ibu pejabat Umno tinggal NO je bila jatuh dari PWTC...adakah ini merupakan tanda kejatuhan UMNO? Katakan "NO" kepada UMNO.

02 January 2010

JASA -JASA AGUSTINE PAUL


1. Jasa terbesar Augustine Paul ialah telah menjatuhkan hukuman bersalah kepada Datuk Seri Anwar pada 14 April 1999 dalam satu perbicaraan yang mencipta rekod dunia perkataan 'tak relevan' paling banyak diucapkan di mana-mana mahkamah dunia. Hukuman itu berhubung tuduhan Anwar menyalahguna kuasanya untuk mengganggu siasatan polis dalam kes liwat yang menyebabkan Anwar merengkok di penjara Sungai Buloh selama 6 tahun.

2. Satu-satunya hakim dalam dunia yang membenarkan tilam bertompok-tompok dijadikan bahan bukti DNA Anwar walaupun dalam keterangan di mahkamah, seorang pakar DNA berkata 10 daripada 13 kesan air mani menyamai DNA Anwar. Peguambela pula berhujah bahawa contoh DNA Anwar telah diletak pada tilam tersebut.Augustine bagaimanapun menerima keterangan DNA tersebut.

3. Augustine juga dikritik kerana berulangkali enggan menerima pengemukaan bukti oleh peguambela dan menolaknya sebagai 'tidak relevan' dalam kes tersebut sambil batuk-batuk ala iklan gula Hacks.

4. Penghakiman Augustine setebal 320 halaman untuk kes tersebut, dianggap sebagai yang terpanjang dalam sejarah negara ini dan mungkin terpanjang di dunia.

5. Mengenang jasa-jasanya maka Agustine menerima kenaikan pangkat dari Pesuruhjaya kehakiman ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi 1998, Hakim Mahkamah Rayuan 2003 dan Mahkamah Persekutuan 2005.


HAKIM AGUSTINE PAUL MENINGGAL DUNIA...


Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul yang menjadi perhatian dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun yang lalu meninggal dunia hari ini pada jam 3.15 petang tadi di Hospital Selayang pada usia 64 tahun.Punca kematian tidak diketahui tetapi mendiang telah terlantar sakit untuk tempoh yang lama.

Bermakna ramai yang terlibat dalam konspirasi tahun 1998 itu ditimpa pelbagai misteri dan bala serta musibah. Masih ingat lagi apa yang berlaku kepada Tan Sri Mohtar Abdullah, Dr. Qistina, Azizan (bekas pemandu Anwar) dan Datuk Aziz Shamsudin. Masihkah lagi ada yang beranggapan semua ini secara kebetulan? Tak relevan?

Ingatlah mereka yang kini merancang konspirasi kedua dalam kes liwat terhadap Anwar tentang doa orang yang dizalimi. Wallahualam.

KRISIS BERLARUTAN: IMPORT IMAM UNTUK SOLAT JUMAAT

Isu perletakan jawatan semua pegawai syarak Surau an Najihin Taman Merdeka yang digunakan untuk solat Jumaat minggu lepas secara mengejut dan serentak terus berlarutan. Walaupun mereka yang meletak jawatan dipanggil berbincang dengan Majlis Agama Islam Melaka minggu lepas itu tetap tidak mengubah pendirian mereka untuk terus meletak jawatan kerana tidak menyenangi campur tangan politik Umno di surau berkenaan walaupun mereka tidak menyebelahi mana-mana parti poltik.

Natijahnya, dalam solat Jumaat semalam imam 2 dari Masjid Taman Merdeka terpaksa diimport untuk mengimamkan solat Jumaat dan membaca khutbah. Itu semua tidak pelik memandangkan Bilal 2 yang juga Pengerusi Surau yang gila kuasa dan disokong kuat oleh Umno tidak mempunyai kelayakan langsung untuk mengimamkan solat Jumaat apa lagi membaca khutbah. Itu belum lagi nak disuruh berkhutbah. Kalau nak suruh Pengerusi JKKK, yang dikenali sebagai Md. Zin jauh panggang dari api. Tetapi kalau nak bagi projek besar surau atau untuk buat longkang surau itu dah memang kerja dia sebagai kontraktor yang bernaung di bawah Umno.

Malah di khariah berkenaan memang tidak ada mereka yang dalam puak Umno di situ yang berkelayakan untuk menjadi imam di surau berkenaan. Jadi sampai bila perkara ini akan dibiarkan berlarutan? Adakah sepanjang masa surau berkenaan kena mengimport imam setiap kali Jumaat. Mungkin dengan cara ini sahaja dapat memuaskan hati puak Umno di tempat berkenaan yang sering kali campur tangan dalam pengurusan suara di tempat berkenaan.

Untuk makluman khariah dari surau An Najihin terdiri daripada penduduk Taman Merdeka, Taman Merdeka Jaya, Taman Datuk Tambi Chik Karim dan Taman Angkasanuri mewakili ribuan rumah penduduk beragama Islam di situ. Gugusan perumahan ini adalah yang terbesar di Melaka. Dalam pilihanraya umum yang lalu dalam tahun 2008, Dun Ayer Keroh di situ dimenangi oleh DAP dan Parlimen Bukit Katil, PKR hanya tewas tak sampai 1800 undi berbanding lebih 20 ribu majoriti berbanding pilihanraya 2004.

Situasi yang berlaku di Surau An Najihin yang melibatkan campur tangan Umno akan menjadi titik tolak kemungkinan besar Parlimen Bukit Katil akan dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang kerana khariah di sekitar surau berkenaan mewakili lebih daripada 10 ribu pengundi. Apa yang ingin digambarkan ahli khariah yang sebelum ini menjadi penyokong Umno dan atas pagar dalam pilihanraya lalu mungkin akan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat kerana sudah cukup meluat dengan tindak tanduk Umno di kawasan berkenaan.

artikel sebelum ini :

http://angkasanuri.blogspot.com/2009/12/gempar-kerana-politik-umno-seluruh-ajk.html

01 January 2010

YDP MAINPP BARU PENYOKONG PERJUANGAN PAS


Ustaz Ellias Zakaria nama yang tidak asing bagi pelajar USM Minden Pulau Pinang. Kuliah dan giliran berkhutbah Jumaat di Masjid Al Malik Khalid USM memang sentiasa dinantikan oleh warga kampus. Walaupun telah lebih 18 tahun meninggalkan bumi Minden tazkirah dan ceramah beliau masih tergiang-giang sehingga hari ini. Beliau juga seorang 'low profile' dan begitu dihormati oleh warga USM. Sebagai bekas pelajar beliau saya cukup mengkagumi ketokohan dan kelimuan yang ada padanya.

Pelantikan Ustaz Ellias sebagai YDP MAINPP yang baru saya kira memang kena pada tempatnya. Ustaz Salleh Man, Adun Pengkalan Pasir yang sebelum ini dijanjikan jawatan itu tidak dilantik ke jawatan berkenaan tetapi tetap dilantik sebagai timbalan YDP MAINPP. Namun pemilihan Ustaz Ellias saya yakini akan diterima baik oleh semua pihak terutama ahli dan penyokong Pas di Pulau Pinang.

Ini kerana bagi mereka yang mengenali latar belakang Ustaz Ellias mengetahui bahawa beliau merupakan seorang yang menyokong perjuangan Pas walaupun jarang dizahirkan secara terbuka. Namun bagi yang lama mengenalinya mengetahui dalam pilihanraya umum era 1980-an dan awal 1990-an van Toyota Delicanya penuh dengan poster bulan.Sudah pasti jawatannya sebagai pensyarah dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam USM tidak mengizinkan beliau menyatakan politik kepartian secara terbuka.

Justeru itu saya mendoakan pelantikan beliau sebagai YDP MAINPP akan meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang dalam memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat maklumat dan gambaran lebih jelas tentang keindahan dan kesyumulan Islam berbanding sewaktu era Umno-BN di Pulau Pinang.