11 March 2009

SPRM MEMBEBASKAN MUSA DAN GHANI DARI MEMALSUKAN BUKTI

Dato Seri Anwar Ibrahim kini berhadapan dengan pertarungan dan percaturan politik semakin sengit apabila SPRM 'membersihkan' Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Ghani Patail dari salah guna kuasa dengan memalsu bukti isu 'mata lebam' DSAI.

Perkara ini diumumkan oleh Datuk Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di parlimen hari ini.

"Setelah mengkaji dengan teliti dan mendalam, majoriti ahli-ahli panel memperakukan bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara dan Tan Sri Musa Datuk Haji Hassan, Ketua Polis Negara tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sepertimana yang didakwa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim," kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga berpendapat tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-duanya.

Menurut SPRM, panel tersebut terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya oleh Peguamcara Negara.

Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan Dato' Abdul Kadir Sulaiman dan Dato' Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Wira Mohd Noor Ahmad.

Ini bermakna kedua-duanya terutama Ghani kini 'bebas' dalam mengendalikan kes Liwat 2 yang melibatkan DSAI. sebelum ini Pak Lah telah mengarahkan Musa dan Ghani tidak terlibat dalam perbicaraan tersebut berikutan laporan salah laku keduanya yang dikemukakan oleh DSAI kepada SPRM.

Namun begitu, pada pandangan saya keputusan 'panel bebas' masih belum mampu mengikis tanggapan bahawa Musa dan Ghani tidak terlibat dalam memalsukan bukti isu 'mata lebam' DSAI.

Pertama panel ini dilantik oleh Peguam Cara Negara yang merupakan 'orang bawahan' kepada Peguam Negara. Walhal dalam kes ini yang sedang disiasat ialah Peguam Negara. Beranikah orang bawahan 'lawan tokey'? Sepatutnya dalam kes berprofil tinggi satu suruhanjaya diraja ditubuhkan dan bukannya 'panel bebas' ini.

Kedua, dalam situasi SPRM kebelakangan ini didakwa bersekongkol dengan BN dan UMNO seperti kes MB Selangor dan di Perak serta mewujudkan penyiasatan dan pendakwaan 'terpilih'maka pengumuman SPRM 'membebaskan' Ghani dan Musa sebenarnya akan menguatkan teori bahawa SPRM turut terlibat dalam konspirasi untuk memburukan dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.