23 December 2009

DR YUSOF QARADAWI SEDIA PERTAHANKAN ANWAR


Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini akan membawa isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum lagi dijalankan ke peringkat antarabangsa.

Kesediaan Dr. Yusuf Al-Qaradawi mempertahankan Anwar dinyatakan semasa berada di negara ini baru-baru ini kerana menyesali kelewatan Mahkamah Syariah di negara ini membicarakan pendakwaan qazaf berkaitan tuduhan liwat terhadap Anwar. Sebaliknya Mahkamah Syariah dikatakan hanya akan memulakan perbicaraan selepas kes liwat berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil. Walhal menurut ulama berkenaan persoalan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti si penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kata Sheikh Yusuf, persaksian si penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana ia termasuk golongan fasiq.

Beliau dikatakan bersedia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia untuk membawa isu itu ke peringkat antarabangsa dengan mendapatkan pandangan tokoh-tokoh ulama sedunia.

Secara logiknya perbicaraan di mahkamah sivil akan mengambil masa yang lama sekiranya diambil kira segala proses sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Apa yang dibimbangi jika perbicaraan qazaf dibuat di mahkamah syariah?

Semua ini menunjukkan bahawa berlaku kepincangan dalam dwisistem perundangan di Malaysia yang seolah-olah mengikut telunjuk serta diperalatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej serta mengaibkan saingan politik mereka.

MENGAPA KEHILANGAN ENJIN JET 'HILANG' DALAM LAPORAN AUDIT NEGARA?


Laporan Audit Negara 2008 yang diumumkan baru-baru mendedahkan pelbagai kepincangan dan penyelewengan aset milik kerajaan. Ketika itu kredit wajar diberi kerana laporan audit yang dikemukakan berjaya mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sehingga 'ikan bilis' dan 'jerung' yang terlibat tidak senang duduk. Laporan audit itu disifatkan telus dan memenuhi tanggungjawab serta menampakkan usaha untuk membendung salah laku dan salah guna kuasa.

Namun bila pendedahan kehilangan dua enjin pesawat pejuang F5E dan pelbagai alat ganti termasuk sistem avionik pesawat yang mencecah ratusan juta ringgit 'hilang' dalam laporan Audit 2007 dan 2008 pelbagai persoalan timbul. Adakah isu kehilangan ini sengaja ditutup dari pengetahuan umum atau memang pihak jawatankuasa audit gagal mengesan kehilangan tersebut?

Apa pun jawapannya, semua ini menunjukkan bahawa mungkin banyak lagi penyelewengan yang berlaku yang tidak dapat dikesan atau sengaja ditutup dari pengetahuan umum. Motifnya hanya mereka yang terlibat sahaja tahu. Sama ada melibatkan maruah dan keselamatan negara atau sengaja disembunyikan untuk melindungi pihak dan pemimpin tertentu daripada diheret ke muka pengadilan.

Apa yang berlaku akan melenyapkan keyakinan rakyat kepada kesungguhan dalam menangani rasuah dan ketelusan dalam pentadbiran negara. Semua ini menunjukkan bahawa dasar KPI, NKRA dan idea 1Malaysia hanyalah slogan dan retorik untuk mengkaburi mata rakyat daripada kerakusan dan sikap tamak pemimpin kerajaan yang ada untuk terus berkuasa.

Jika laporan Audit Negara pun tidak boleh dipercayai apa lagi yang boleh dipercayai di negara ini? SPRM, SPR, Polis, hakim dan mahkamah?