20 May 2010

SPR KATA BOLEH SOGOK MASA PILIHANRAYA!


SPR nampaknya makan bercelaru dan haru biru di era 1Malaysia. Mereka bermati-matian mempertahankan tindakan pemimpin Umno-BN memberi rasuah dan sogokan sewaktu pilihanraya. Paling ketara apabila PM secara terbuka merasuah pengundi seperti yang berlaku dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar , di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.

Bagi saya satu kenyataan yang sangat merbahaya yang akan menjadikan pilihanraya di Malaysia akan menjadi pesta rasuah kerana ternyata kini SPR sendiri telah menafsir undang-undang mengikut nafsu dan telunjuk pemimpin Umno-BN bagi memastikan mereka akan membuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab dan amat memalukan. Malah SPR cuba tutup sebelah mata dengan mengatakan “Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya... kami tiada kuasa (menyiasat).

Kenyataan ini ternyata sebagai satu penghinaan kepada amalan demokrasi di negara ini kerana suruhanjaya ini dilantik untuk mengendali, mengurus dan memastikan perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan telus.

Maka amat wajar semua ahli SPR meletak jawatan kerana ternyata mereka sendiri selama ini terang-terang mencabuli dan mengkhianati amanah dan tanggungjawab sebagai sebuah badan bebas seperti yang termaktub apabila dilantik oleh DYMM Agong.

Di samping itu amat wajar BERSIH kembali aktif dan proaktif untuk memastikan drama dan wayang SPR memihak kepada calon Umno-BN tidak lagi berlaku dalam pilihanraya akan datang.

Bagi saya dalam pilihanraya akan datang dalam suasana sokongan rakyat yang sekarang ini semakin melonjak kepada Pakatan Rakyat faktor penghalang utama kemaraan ke Putrajaya ialah SPR. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Umno-BN kekal berkuasa. Mereka sama sekali telah menghakis kepercayaan rakyat kepada amalan demokrasi di negara ini.