14 March 2009

ORANG UMNO SEMAKIN PERCAYA PERALIHAN KUASA PAK LAH NAJIB TIDAK AKAN BERLAKU





Sesekali bila melayari blog-blog Umno membuat saya berfikir sendiri, apa yang sedang berlaku dalam Umno sekarang? Kemelut ekonomi negara melalui pakej rangsangan RM 60 billion kurang dibincangkan. Mereka kebanyakannya lebih sibuk membicarakan kemelut dan pergolakan politik yang melanda Umno sekarang.

Perasaan curiga dan syak wasangka semakin menebal menjelang pemilihan Umno penghujung bulan ini.

Paling menarik, apabila terdapat di kalangan mereka mula mempercayai bahawa peralihan kuasa Pak Lah -Najib mungkin tidak akan berlaku. Walaupun difahamkan Pak Lah telah menandatangani surat penyerahan kuasa kepada Najib bertarikh 3 April 2009. Misalnya apa yang dinukilankan oleh Datuk Ruhanie Ahmad dalam blog Kuda Kepangnya di

Bagi Pakatan Rakyat, jika peralihan kuasa tidak berlaku maka ia seperti tidak cukup tapak tangan nyiru ditadahkan. Tindakan Najib mengetuai rampasan kuasa di Perak, pendedahan terbaru isu pembunuhan Altantuya oleh akhbar Liberation Peranchis menyebabkan Najib semakin tidak layak menduduki kerusi nombor satu negara. Sehingga hari ini tidak ada sebarang penafian Najib berdasarkan penyiaran akhbar dari Peranchis itu.Strategi politik dengan mendiamkan diri? Jika ada jiran menuduh kita membunuh kucing mereka pun, saya fikirkan kita akan pertahankan jika kita benar-benar tidak melakukannya!

Perkembangan terkini dalam Umno sekarang membayangkan akan wujud kejutan yang bakal berlaku sebelum perhimpunan dijadualkan berlangsung. Mungkinkah mahkamah akan membuat keputusan minggu depan dengan menerima injuksi untuk menghalang mesyuarat agong Umno yang difailkan oleh Datuk Mazlan Harun? Adakah ada sesuatu perkembangan terkini akan diumumkan oleh polis berkaitan kes Altantuya?

Malah ramai pihak mula mempercayai pertemuan Pak Lah dan DSAI di Hulu Langat tempohari mempunyai agenda dan implikasi besar kepada politik Malaysia. Ringkasnya, pertemuan itu tidak berlaku secara kebetulan!

Begitu juga hari ini telah wujud desas desus akan wujud 'kerajaan perpaduan' di antara BN dan Pakatan Rakyat.

Namun, nasihat saya kepada semua di dalam Pakatan Rakyat agar tidak terperangkap dengan apa yang berlaku dalam Umno hari ini. Sebaliknya perlu fokus kepada gerak kerja dalam menghadapi pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Apa yang paling penting adalah mendapat maklumat dari sumber 'primier' tentang apa-apa perkembangan yang berlaku iaitu daripada pimpinan atasan Pakatan Rakyat sendiri melalui saluran dan lidah rasmi parti.