09 June 2009

WUJUDKAN PERPADUAN UNTUK TUMBANGKAN UMNO@BN...

Isu kerajaan perpaduan saya kira tamat dan tidak perlu diperbesar dan diheboh-hebohkan lagi. Biarlah media Umno@BN meneruskan kerja mereka untuk melaga-lagakan Pas dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan pimpinan tertinggi Pas hari ini saya rasa cukup jelas tentang isu yang cuba digembar-gemburkan oleh media Umno@BN. Usahlah kita termasuk dalam golongan keliru, terkeliru atau buat-buat keliru dalam isu yang sengaja diperbesarkan ini oleh Umno@BN yang mempunyai agenda jahat untuk menghancurkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bersetuju dengan saranan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali agar seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menghentikan segala kenyataan yang boleh mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat khususnya mengenai Kerajaan Perpaduan.

"Apa yang dimaksudkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah PAS tidak menutup ruang perbincangan dengan sesiapa dan tidak pula menyebut hendak membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Jadi, akibat daripada kekeliruan kenyataan ini, saya ingin menyebut sebagaimana saya nyatakan dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS, PAS tidak pernah mempunyai hasrat untuk membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional," tegasnya.

Saya pun tak faham kenapa masih ada pimpinan dan perwakilan yang berada di dalam Muktamar di Stadium Malawati masih lagi keliru atau terus membangkitkan isu kerajaan perpaduan dengan pelbagai versi yang berbeza. Adakah mereka tertidur atau bersembang semasa pimpinan tertinggi menyampaikan amanatnya?Sepatutnya pimpinan dan perwakilan apabila pulang dari muktamar dapat memberi penjelasan kepada ahli di peringkat bawahan dan bukan mengeruhkan keadaan.

Adakah menjadi kesalahan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak musuh? Walhal satu ketika dulu mereka jugalah sibuk-sibuk mencabar dan mengajak Umno bermuzakarah.

Mungkin cara berbeza tetapi matlamat tetap sama iaitu untuk memastikan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.

Justeru itu sekali lagi saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong Pas khasnya dan Pakatan Rakyat amnya agar berwaspada dan tidak terperangkap strategi pihak musuh serta anasir yang tidak sihat yang wujud dari dalam untuk memfokuskan kepada matlamat untuk menumbangkan Umno@BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai dan Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

SETELAH TERSEPIT DAN TERDESAK UMNO SIBUK DENGAN KERAJAAN PERPADUAN

Hari ini isu kerajaan Perpaduan terus menguasai tajuk-tajuk utama media milik Umno@BN. Apabila Umno@BN memberi liputan yang meluas idea yang dikemukakan oleh Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang menunjukkan bahawa Umno@BN merasakan akan mendapat manafaat daripada isu ini. Jika tidak jangan mimpi media milik Umno@BN memberi publisiti kepada sebarang berita dan ucapan pimpinan sama ada dalam Pas atau Pakatan Rakyat.

Kepada semua ahli dan penyokong Pas nasihat saya apa-apa perkembangan berkaitan isu ini sila dapatkan maklumat daripada pimpinan dan lidah rasmi parti. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh pimpinan dan jemaah kita wajib taat selagi tidak menyuruh kepada perkara kemungkaran dan kemaksiatan. Apa yang kita rasa baik belum tentu baik untuk jemaah. Yakinlah keputusan yang dibuat secara amal Jamie jauh lebih baik, afdal dan berkat berbanding dengan keputusan secara individu atau kumpulan tertentu. Lebih-lebih mereka yang tak ada kena mengena dan bersangkut paut sebagai ahli Pas. Jadi mereka tidak faham konsep amal jamaie, konsep ketaatan atau wala' dalam Pas. Mereka akan tulis dan bercakap berdasarkan apa yang bersarang dalam akal dan pemikiran mereka yang sempit dan terhad.

Usah kita mudah melatah dan terbawa-bawa pemikiran kita dengan propaganda media Umno@BN. Itu memang sudah kerja mereka dulu kini dan selamanya. Malah tidak pelik pun, kerana Umno@BN kini berada dalam situasi tersepit dan terdesak. Pergolakan dalaman Umno , kemelut dalam parti komponen, isu ketelusan dalam pemerintahan dan sistem kehakiman, kegawatan politik dicetuskan Umno di Perak menyebabkan Umno@BN sanggup membuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Sokongan padu dan berterusan majoriti rakyat secara konsisten dalam pilihanraya Umum ke 13 dan pilihanraya kecil pasca pilihanraya begitu mencemaskan UmnO@BN. Begitu juga kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat begitu dicemburi oleh Umno. Sambutan dan sokongan golongan bukan Islam kepada Pas menyebabkan Umno bertambah panik dan terpaksa menekan butang kecemasan untuk terus bertahan dalam politik negara.

Justeru itu tidak hairanlah pemimpin Umno@BN merasakan isu kerajaan Perpaduan boleh menjadi tali hayat untuk terus berkuasa. Namun yakinlah dengan kebijaksanaan pimpinan Pas dan hidayah serta petunjuk dari Allah SWT isu ini akan menjadi perangkap kepada Umno@BN. Saya tidak ragu-ragu akan hal ini, sejarah 55 tahun dalam arus politik negara cukup mematangkan Pas dalam menangani isu ini. Apa yang pasti, hanya orang yang bodoh sahaja akan dipatuk ular kali kedua dalam lubang yang sama.