25 September 2008

MENCADANGKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO SEUMUR HIDUP


Satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan esok. Perkara ini turut disahkan oleh Datuk Seri Najib selaku timbalan Presiden UMNO.

Agenda utama yang dijangka akan dibincangkan ialah untuk menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO pada persidangan Agung UMNO pada Disember nanti.

Sekiranya penangguhan pemilihan ini ditangguhkan dengan mendapat 'restu' dari MT UMNO maka jelas menunjukkan betapa gawatnya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini. Perebutan secara terbuka dengan politik wang berluasa yang turut disulami dengan pelbagai taktik kotor sudaya sebati dalam UMNO kelihatan tidak mampu dibendung lagi.

Namun, penangguhan ini dikatakan terpaksa dilakukan kerana Pak Lah yang menjadi Presiden UMNO sekarang ditolak oleh kebanyakan bahagian -bahagian UMNO yang akan bermesyurat tidak lama lagi. Ini jelas seperti yang berlaku di beberapa bahagian UMNO di Lembah Kelang yang menyokong regu Najib-Muhyiddin sebagai Presiden dan timbalan presiden UMNO.Pak Lah dijangka tidak mendapat pencalonan yang cukup dari bahagian-bahagian untuk mengekalkan jawatannya.

Alasan keadaaan negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi terutama 'UMNO' yang semakin nazak diasak oleh Pakatan Rakyat dan demi menjaga perpaduan UMNO mungkin dijadikan alasan penangguhan pemilihan akan datang.

Saya kira, sekiranya pemilihan ini ditangguhkan akan mewujudkan lebih banyak masalah kepada UMNO yang memang bermasalah sekarang. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat pemimpin dalam UMNO yang mengkritik dan menempelak Presiden UMNO secara terbuka seperti yang berlaku sekarang.

Justeru itu, Pak Lah dan kumpulannya merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Langkah yang dikira selamat ialah menangguhkan pemilihan dalam UMNO. Sudah pasti mereka yang sebelum ini telah 'bermimpi' dan 'berangan-angan' untuk menduduki kerusi empuk pimpinan tertinggi UMNO akan 'melopong' kerana cita-cita mereka tidak kesampaian atau hajat mereka tertangguh pada satu masa yang tidak pasti.

Jelas di sini, UMNO semakin takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Sekiranya ramalan ini benar-benar berlaku esok, jelas menunjukkan bahawa memang benarlah seperti tanggapan sesetengah pihak sudah tidak berlaku keterbukaan dan demokrasi dalam UMNO.

Jika begini keadaannya saya mencadangkan agar jawatan Presiden UMNO ditetapkan sebagai presiden seumur hidup, tetap tidak berpencen. Langkah ini sahaja yang dilihat mampu memastikan tidak ada sesiapapun yang berani mencabar jawatan presiden UMNO.

PECUTAN TERAKHIR

Hari ini kita telah berada pada tanggal 25 Ramadhan, hanya tinggal kira -kira lima hari sahaja lagi Ramadhan akan meninggalkan kita semua. Tempoh lima hari ini merupakan peluang terakhir pada kita semua untuk meraih seberapa banyak anugerah dan tawaran yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk meningkatkan ketaqwaan dan rasa diri hamba kepada-Nya. Jangka waktu ini merupakan saat-saat penting dan getir sebelum kita menuju ke garisan penamat. Sama ada kita muncul sebagai pemenang atau tersungkur sebelum tiba ke garisan. Ibarat seorang pelari pecut, saat -saat inilah kita perlu meningkatkan stamina dan mengerah segala kudrat yang ada sebelum kita layak untuk diistiharkan sebagai pemenang. Semoga kita menggunakan kesempatan yang masih ada pada penghujung Ramadhan ini untuk membentuk karektor seorang muslim sejati. Kita tidak pasti sama ada kita sempat dipertemukan pada Ramadhan akan datang kerana kematian boleh datang pada bila -bila masa. Hayatilah klip video di bawah tentang detik-detik kematian yang pasti akan menjemput kita.
video

MISI MENAWAN MELAKA DALAM PRU KE 13


Bukit Katil Melaka, 24 September Naib Presiden Pas Tn Hj. Mohd. Sabu menggariskan beberapa perkara penting bagi memastikan kubu terakhir Barisan Nasional di Melaka dan Johor dapat dirobohkan bagi memastikan kemenangan dan kemaraan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya akan datang.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Ceramah Umum sempena sambutan Badar al Kubra anjuran Badan Perhubungan Pas Melaka semalam. Di antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Menurut beliau dalam PRU lalu, kerjasama dalam Pakatan Rakyat dibuat agak lewat berbanding pada kali ini. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan agar semua penyokong dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak terperangkap dengan isu perkauman yang cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Di samping itu tidak leka dengan hanya menunggu kerajaan baru terbentuk sehingga meninggalkan gerak kerja yang mesti dilakukan bagi mengekalkan momentum kebangkitan rakyat dan kemenangan yang dicapai baru-baru ini.

Program majlis berbuka puasa semalam turut dihadiri oleh ahli Parlimen Kota Melaka dan semua wakil rakyat DUN DAP Melaka kecuali, YB Betty Chew. Di samping turut dihadiri pimpinan PKR Melaka yang diketuai S/U Perhubungannya Kolonel ( B ) Hashim Puteh.