25 September 2008

MENCADANGKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO SEUMUR HIDUP


Satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan esok. Perkara ini turut disahkan oleh Datuk Seri Najib selaku timbalan Presiden UMNO.

Agenda utama yang dijangka akan dibincangkan ialah untuk menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO pada persidangan Agung UMNO pada Disember nanti.

Sekiranya penangguhan pemilihan ini ditangguhkan dengan mendapat 'restu' dari MT UMNO maka jelas menunjukkan betapa gawatnya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini. Perebutan secara terbuka dengan politik wang berluasa yang turut disulami dengan pelbagai taktik kotor sudaya sebati dalam UMNO kelihatan tidak mampu dibendung lagi.

Namun, penangguhan ini dikatakan terpaksa dilakukan kerana Pak Lah yang menjadi Presiden UMNO sekarang ditolak oleh kebanyakan bahagian -bahagian UMNO yang akan bermesyurat tidak lama lagi. Ini jelas seperti yang berlaku di beberapa bahagian UMNO di Lembah Kelang yang menyokong regu Najib-Muhyiddin sebagai Presiden dan timbalan presiden UMNO.Pak Lah dijangka tidak mendapat pencalonan yang cukup dari bahagian-bahagian untuk mengekalkan jawatannya.

Alasan keadaaan negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi terutama 'UMNO' yang semakin nazak diasak oleh Pakatan Rakyat dan demi menjaga perpaduan UMNO mungkin dijadikan alasan penangguhan pemilihan akan datang.

Saya kira, sekiranya pemilihan ini ditangguhkan akan mewujudkan lebih banyak masalah kepada UMNO yang memang bermasalah sekarang. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat pemimpin dalam UMNO yang mengkritik dan menempelak Presiden UMNO secara terbuka seperti yang berlaku sekarang.

Justeru itu, Pak Lah dan kumpulannya merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Langkah yang dikira selamat ialah menangguhkan pemilihan dalam UMNO. Sudah pasti mereka yang sebelum ini telah 'bermimpi' dan 'berangan-angan' untuk menduduki kerusi empuk pimpinan tertinggi UMNO akan 'melopong' kerana cita-cita mereka tidak kesampaian atau hajat mereka tertangguh pada satu masa yang tidak pasti.

Jelas di sini, UMNO semakin takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Sekiranya ramalan ini benar-benar berlaku esok, jelas menunjukkan bahawa memang benarlah seperti tanggapan sesetengah pihak sudah tidak berlaku keterbukaan dan demokrasi dalam UMNO.

Jika begini keadaannya saya mencadangkan agar jawatan Presiden UMNO ditetapkan sebagai presiden seumur hidup, tetap tidak berpencen. Langkah ini sahaja yang dilihat mampu memastikan tidak ada sesiapapun yang berani mencabar jawatan presiden UMNO.

No comments: