11 October 2008

ALI RUSTAM PERTAHAN BERI GELARAN DATUK PADA SHAH RUKH KHAN

Setelah teruk dikritik kerana memberi gelaran "Datuk' kepada pelakon sensasi Bollywood Shah Rukh Khan, hari ini Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam mempertahankan langkah kerajaan negeri menganugerahkan gelaran tersebut.

Menurut beliau Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk "One Two Ka Four" di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka," katanya.

Saya memuji langkah Ali Rustam kerana kesan daripada filem tersebut yang ditayangkan di seluruh dunia tak lama dulu maka ramai 'pelancong' dari seluruh dunia tertarik untuk datang ke Melaka terutama mat bangla, mat dan minah Indon dan tidak ketinggalan dari Myanmar dan Vietnam yang semakin ramai berkunjung ke Melaka. Tahniah sekali lagi kepada Ali Rustam.

        

MALUNYA JADI ANAK MELAKA….

Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia, terpampang di pintu gerbang di Ayer Keroh pintu masuk ke Melaka selepas plaza tol Ayer Keroh. Sepintas lalu menunjukkan kehebatan dan kemasyuran yang terdapat di Melaka. Hakikatnya indah khabar dari rupa. Lebih-lebih lagi bila dapat pemimpin yang menerajui negeri sekarang yang tidak cerdik. Tak habis-habis memalukan anak Melaka dengan tindakan dan ucapan yang kontraversi dan tak masuk akal.

Selepas ini orang akan mengingati Melaka bukan kerana tinggalan sejarahnya. Tetapi orang akan ingat Melaka kerana pemimpin kerajaannya yang diterajui oleh Datuk Seri Ali Rustam yang sepatutnya telah lama 'dimuziumkan' sebagai tinggalan dan pengajaran kepada generasi akan datang supaya mengambil ikhtibar tidak melakukan perkara yang sama.

Dalam kesibukan dunia menganugerahkan Hadiah Nobel kepada tokoh dunia yang berjasa, Melaka mengambil langkah pelik memberi gelaran 'Datuk' kepada Shah Rukh Khan. Artis Bollywood yang banyak membawa budaya negatif kepada masyarakat yang kini semakin dilupakan.

Semasa negeri lain khususnya diterajui Pakatan Rakyat menolak menganjurkan Program Jom Heboh yang melalaikan golongan muda-muda, Ali Rustam mencadangkan agar program Jom Heboh kalau boleh dibuat tiap-tiap minggu di Melaka semasa berucap merasmikan program Jom Heboh beberapa bulan lalu.

Sebelum ini, Ali Rustam mengkritik YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana tak pandai memerintah sebab tu selalu berlaku banjir di Kelantan. Hari ini, orang Kelantan tersenyum sinis apabila banjir di Melaka berlaku hampir setiap bulan tanpa mengikut musim akibat 'kepandaian' ketua menteri dan pemimpinnnya yang lain memerintah negeri.

Minggu ini Ali Rustam menawarkan diri untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan bakal Timbalan Perdana Menteri. Bercakap pada akhbar 'Melaka Hari Ini' kelmarin. Misinya jika menang ialah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Tetapi orang Melaka tahu…siapa yang menyebabkan golongan nelayan miskin di Limbungan dan Klebang yang hampir seratus peratusnya Melayu hilang mata pencarian ? Orang Melaka juga tahu siapa yang menghalau dan merobohkan gerai dan kedai milik peniaga –peniaga Melayu di tengah-tengah kepesatan Bandar Melaka ? Tak perlu tipu orang Melaka berapa ramai peniaga Melayu yang mendapat lesen dan premis perniagaan di Pasar Besar Melaka dan Melaka Sentral ?

Malah banyak lagi kisah dan peristiwa yang 'menconteng arang' ke muka anak Melaka dilakukan oleh pemimpinnya hari ini.Kepada Ali Rustam dan mereka yang sewaktu dengannya, cermin-cerminkanlah diri dulu, jangan hanya asyik memalukan orang Melaka aje…