19 September 2008

MATEMATIK DAN SAINS DIAJAR DALAM BAHASA MELAYU TAHUN DEPAN ?

Setelah enam tahun diselubungi dengan pelbagai desakan dan kontraversi, Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) dijangka akan kembali semula kepada Bahasa Melayu mulai tahun depan.

Menurut sumber dari Kementerian Pelajaran proses kembali semula menggunakan bahasa kebangsaan sedang berjalan. Di antaranya, buku teks matematik dan Sains telah siap dicetak dalam bahasa Melayu. Di samping itu, semua Institut Perguruan seluruh Malaysia tidak lagi menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran di dalam kelas bagi guru pelatih yang mengambil opsyen matematik dan sains mulai tahun 2009.

Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk kembali menggunakan bahasa kebangsaan. Walaupun bagaimanapun sudah pasti ramai pihak yang terkilan kerana projek PPSMI yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Tun Dr. Mahathir telah menelan kos lebih RM 5 bilion.

Inilah natijahnya apabila sesuatu pelaksanaan dasar tidak dibuat secara teliti tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan. Malah pihak berkenaan hanya 'melihat sebelah mata' dan memekakkan telinga walaupun mengetahui wujud pelbagai masalah sepanjang dasar tersebut diperkenalkan seperti yang didedahkan oleh tokoh-tokoh akademik dan politik.

Bayangkan dengan jumlah wang sebanyak itu, saya yakin tidak ada rakyat di Malaysia ini yang hidup merempat tidak mempunyai rumah. Mungkin juga dengan wang sebanyak itu kerajaan boleh memberi pendidikan yang 'betul-betul' percuma kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak pun duit itu digunakan untuk menampung subsidi minyak untuk memastikan harga minyak tidak membebankan seperti sekarang.

AHLI PARLIMEN SEPUTEH DIBEBASKAN DARI ISA


Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Pembebasan ini menunjukkan kerajaan mengalami tekanan ekoran desakan pelbagai pihak yang menuntut ISA tidak dijadikan alat kepentingan pihak tertentu.

Walau bagaimanapun tidak ada sebarang maklumat tentang nasib yang menimpa Raja Petra Kamarudin yang masih ditahan di bawah ISA.