30 March 2010

HULU SELANGOR: PAKAR NEUOROLOGI VS PAKAR PIKUL DUIT?

Bahang pilihanraya kecil Hulu Selangor makin kuat dirasai. Ketika muafakat jelas terbentuk dalam Pakatan Rakyat bahawa kerusi parlimen berkenaan milik PKR sebaliknya berlaku dalam BN yang masih bermain tarik tali calon parti mana yang bakal bertanding.

Bagi MIC itu adalah kuota atau kerusi mereka dulu kini dan selamanya. Ini ditegaskan oleh oleh Datuk Seri Samy Vellu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Bahagian MIC Hulu Selangor kelmarin. Tanpa berahsia, Samy Vellu menyebut kerusi itu akan ditandingi oleh G.Palanivel yang juga timbalan presiden MIC. Kenyataan Samy Vellu juga disokong oleh Dato Seri Muhd. Khir Toyo.

Walau bagaimanapun wujud desakan kuat agar kerusi itu ditandingi oleh calon Umno. Pengaruh MIC yang makin terhakis dan semangat Melayu yang sedang meluap-luap sekarang dalam Umno menjadi hujah agar Umno diberikan kerusi berkenaan.

Parti mana pun yang bertanding mewakili BN dijangka akan mencetuskan konflik terbaru di dalam BN setelah pergolakan hebat dalam MCA.

PKR kelihatan tidak ketandusan tokoh untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Antara nama yang menjadi pilihan ialah Datuk Dr Halili Rahmat pakar neurologi/bedah saraf anak tempatan yang juga Bendahari PKR bahagian.

Jika Umno bertanding maka calon pilihan mereka pula ialah Tan Sri Muhd. Taib. Siapa yang tak kenal Md. Taib? Beliau merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan tidak dilupakan jasanya melarikan anakanda Almarhum Sultan Selangor satu ketika dulu. Tak kurang masyurnya, kehebatan Md. Taib memikul duit bernilai jutaan ringgit yang dianggarkan berat melebihi 10 kilogram sewaktu cuba meninggalkan Australia. Sehingga hari ini belum ada mana-mana individu dalam negara yang berjaya memecahkan rekod berkenaan.

Jika spekulasi ini menjadi kenyataan maka pertarungan di Hulu Selangor bakal menyaksikan pertarungan di antara pakar Neurologi dan pakar pikul duit. Sudah tentu banyak yang menarik jika telahan ini menjadi kenyataan.