17 December 2009

ADUN TIOMAN PAHANG KEMALANGAN


Rakan saya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, 36, cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 16, Jalan Pekan-Rompin, dekat Pekan, semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam tadi.

Saya difahamkan sejurus beliau sekeluarga keluar dari kenderaan yang terbabas, kenderaan berkenaan terbakar dan meletup sebanyak lima kali.

Isterinya, Zurina Yosof, 34, dan empat anaknya, Mohd Jibrail,9, Amirah Balqis,7, Mohd Mikail,6, dan Mohd Atid sembilan bulan serta anak saudaranya, Mohd Harun Hamili, lapan tahun turut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin selepas pulang ke kampung isterinya di Kelantan.

"Mohd Johari yang sedang memandu kenderaan itu terlelap menyebabkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu terbabas dan terbalik sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini saya bersembang panjang dengan beliau tentang senario politik semasa di Rompin khususnya di Dun Tioman walaupun kami dari parti politik yang berbeza. Saya mendoakan semoga beliau sekeluarga cepat sembuh dan dipermudahkan Allah SWT. Semoga apa berlaku menjadi muhasabah dan diambil sebagai peringatan dari Allah SWT.