12 November 2009

1MALAYSIA: LAGI BUKTI RAKYAT DIBODOHKAN

Selama ini rakyat miskin pastinya merasa sedikit lega kerana pengumuman Skim Baucar Subsidi Beras (SUBUR) seperti yang diumumkan oleh Kerajaan 1Malaysia. Maka bermacam-macam pujian bahawa ini bukti kerajaan mengutamakan dan mendahulukan rakyat.

Tetapi semua itu rupa-rupanya hanya retorik dan satu lagi agenda membodohkan rakyat. Tembelang itu pecah apabila wakil Rakyat Pas Titiwangsa Dr. Lo'Lo Ghazali mempertikaikan keperluan mendapatkan tanda tangan Ketua Bahagian Umno dalam borang SUBUR.

Pendedahan ini menyebabkan berlaku perang mulut di antara Datuk Noh Omar Kementerian yang bertanggungjawab program Subur dengan wakil dari Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) turut mempertikaikan syarat berkenaan dengan bangun menunjukkan borang dan mendakwa di kawasan Taiping, permohonan baucer Subur hanya akan diluluskan kepada orang Umno sahaja.

Apakah Umno sudah terlalu mabuk kuasa atau takut hilang kuasa dan sokongan rakyat sehingga terpaksa guna kaedah ini untuk memaksa rakyat menyokong mereka? Apakah Umno tak tahu nak beza duit kerajaan daripada pembayar cukai dengan duit Umno?

Awal-awal lagi saya menjangkakan bahawa idea 1Malaysia cuma retorik dan idea terdesak untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno@BN. Lihatlah apa yang Datuk seri Najib beritahu pada Cuepacs bila kerajaan tak nak beri bonus. Ekonomi gawat, kerajaan perlu berjimat cermat...Untuk berbilion ringgit untuk Pasukan Formula 1Malaysia ada pulak duit...Oh ya lupa...1Malaysia....Rakyat didahulukan....

MUHYIDDIN ARAH LAWAN SPEAKER


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif supaya menghadiri sidang DUN Kedah yang dijadualkan Selasa ini.

Katanya walaupun Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail menganggap Abu Hasan hilang kelayakan sebagai ADUN, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu,"

Arahan ini jelas satu penghinaan kepada sistem demokrasi di negara ini. Setelah mencemar sistem demokrasi di Perak, Umno kini cuba mengalih serangan dan cuba mencabul kuasa speaker di Kedah pula. Adakah pemimpin Umno fikir kuasa speaker sama macam Pengerusi Tetap Umno? Adakah mereka tak dapat beza antara jawatan speaker dan pengerusi JKKK?

Saya melihat arahan terbaru daripada Muhyiddin ini sekali lagi satu usaha untuk mengalih isu dan usaha untuk mencemar imej kerajaan Pakatan Rakyat. Apa yang menghairankan kenapa Muhyiddin gelojoh sangat? Bukankah Mahkamah sedang bersidang untuk menentukan status adun Kota Seputeh? Tindakan Muhyiddin ini menunjukkan beliau seolah-olah sudah mengetahui keputusan Mahkamah dan lebih berkuasa daripada mana-mana hakim di negara ini berkaitan persoalan undang-undang dan pelembagaan.

Kickdefella : SEPERTI MELEPASKAN ANJING YANG TERSEPIT...

Saya melihat ada usaha berterusan dan terancang untuk memburukkan imej kepimpinan dan Pas secara keseluruhan menjelang pilihanraya umum ke 13. Pihak tertentu cuba menggambarkan imej Pas yang bertelagah sesama sendiri, menyimpang dari landasan Islam dan lebih jelik lagi kononnya terlibat dengan makan rasuah, skandal dan penyelewengan.

Dalam menjayakan misi ini mereka menggunakan pelbagai sumber misalnya maklumat 'orang dalam' untuk meyakinkan masyarakat.

Serangan ini cuba dilakukan bertubi-tubi setelah usaha memecah belah dan melaga-lagakan kepimpinan Pas menemui kegagalan.

Terkini, selang sehari dengan mendakwa Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat mendapat 'rasuah haji' dari VVIP tertentu perhatian dialihkan pula kepada menantu beliau Mohd Ariffahmi Abd Rahman yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Perbadanan Menteri Besar.

Kali ini tindakan itu dilakukan oleh senior saya masa di USM dulu Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella. Semalam beliau mengancam dan mengugut untuk mendedahkan segala 'penyelewengan' yang berlaku dalam PMBK. Kenyataan itu keluar setelah beliau dipecat dari jawatannya Pegawai perhubungan korporat di situ.

Tindakan pemecatan itu adalah wajar kerana tindakan untuk memburukkan imej PMBK yang dinaungi oleh Kerajaan Negeri Pas Kelantan di bawah anak syarikatnya. Tindakan yang saya sifatkan lebih kepada didorong oleh pihak tertentu dan mempunyai agenda peribadi untuk membalas dendam dan umpama melepaskan anjing yang tersepit.

Sebelum ini ketika beliau ditahan reman dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dengan isu kempen kibar bendera Malaysia terbalik, Kerajaan Negeri yang bersusah payah dalam urusan jaminan dan menyediakan khidmat guaman terbaik untuk beliau.

Isu penyelewengan ini sengaja dicipta untuk memburukkan imej Pas dan pimpinan mereka khususnya Tuan Guru Nik Aziz agar rakyat hilang kepercayaan kepada Pas dalam pilihanraya umum akan datang. Cerita ini samalah dengan cubaan memburukkan EXCO dan ADUN Pas di Kelantan sebelum ini seperti yang dialami oleh Datuk Husam Musa yang akhirnya wakil rakyat Umno terlibat terpaksa memohon kemaafan kepada Husam kerana keceluparan mulut mereka yang menuduh tanpa asas dan bukti yang jelas.

Akhirnya saya ingin mengingatkan semua pihak dalam Pas di semua peringkat agar berhati-hati dengan agenda musuh ini untuk memberi imej negatif dalam usaha untuk menewaskan Pas dan pakatan rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.Apa yang dilakukan ini tidak lebih dari usaha untuk mengalih pandangan dan perhatian masyarakat tentang skandal, perpecahan dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Umno@BN semakin gawat dan kronik.