23 January 2009

IMEJ POLIS TERUS MERUDUM!



(Gambar keluarga mangsa A.Kugan)

Semalam Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bertegas menafikan sebarang unsur jenayah dan kekerasan dalam kes kematian seorang tahanan polis, A Kugan. Kematian itu menurut beliau sebagai kematian mengejut atau mati secara tiba-tiba ketika siasatan polis.

Beliau mengemukakan hasil bedah siasat menunjukkan bahawa tahanan tersebut mati keranan mengidapi paru-paru berair! Eh tadi kata mati mengejut masa siasatan sedang dijalankan?

Hari ini segala syak wasangka keluarga mangsa dan orang ramai bahawa ada unsur jenayah dalam kematian A.Kugan berasas apabila Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasfikasikan kematian itu sebagai kes bunuh, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T. Murugiah.

Beliau (Abdul Gani) telah mengarahkan pihak polis untuk membuat siasatan rapi dan sekiranya proses siasatan berjalan lancar, kemungkinan besar orang yang terlibat akan didakwa di mahkamah minggu depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pihak polis seperti tidak mengambil ikhtibar dari imej institusi ini yang teruk tercemar sebelum ini. Pihak polis sepatutnya berusaha untuk memulihkan maruah dan kembali berusaha untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat. Apa yang berlaku amat dikesali kerana rakyat menjadi pembayar cukai untuk polis menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan tetapi kini polis telah bertindak melebihi batas tugas dan tidak keterlaluan polis yang terlibat telah mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan.