30 September 2008

DUIT RAYA KERAJAAN PAKATAN RAKYAT VS DUIT RAYA KERAJAAN BN


Orang ramai semalam menyerbu Wisma Darul Aman di Alor Star Kedah apabila tersebar risalah dan SMS pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri akan memberi duit raya kepada penduduk di negeri ini.

Dalam risalah berkenaan dikatakan kerajaan akan memberi sebanyak RM 50. Kerajaan negeri menafikan mengeluarkan risalah dan menyebarkan SMS berkenaan. Walau bagaimanapun orang ramai yang berkumpul sejak awal pagi tidak pulang hampa kerana kerajaan negeri memberi duit raya RM 20 seorang. Menteri Besar, Datuk seri Azizan Razak menyifatkan penyebaran risalah dan sms itu sebagai perbuatan ‘nakal’ seperti April Fool.

Saya memuji langkah kerajaan negeri yang tetap memberi ‘duit raya‘walaupun berita yang disebarkan adalah palsu. Bagi saya tindakan mereka yang tidak bertanggunjawab ini bertujuan mencemarkan imej kerajaan negeri telah gagal sebaliknya rakyat semakin menghormati dan mengkagumi tindakan berhemah kerajaan negeri menghadapi situasi ini.

Tak mengapalah, sekurang –kurangnya duit itu dapat kepada rakyat sendiri daripada dihabiskan tak tentu pasal seperti yang berlaku kepada negeri yang dipimpin oleh kerajaan BN. Misalnya apa yang berlaku kepada kerajaan negeri Pahang yang memberi ‘ duit raya’ sebayak RM 60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan iaitu Syarikat Seruan Gemilang Makmur.

Jumlah wang sebanyak itu diperintahkan oleh Mahkmah Persekutuan baru-baru ini kerana melanggar kontrak yang dimeterai antara kerajaan negeri dengan syarikat terbabit. Apa yang lebih menghairankan masalah itu melibatkan tanah milik UMNO di Pekan Pahang tetapi kerajaan negeri yang terpaksa membayarnya. Apa yang lebih menghairankan bagaimana UMNO begitu mudah-mudah mendapat tanah yang begitu luas dan kemudian dijual kepada syarikat berkenaan.Bayangkan berapa ramai rakyat miskin yang dapat duit raya dengan nilai RM 60 juta ? Bayangkan juga berapa banyak rakyat yang tidak mempunyai tanah akan mendapat sekurang-kurangnya sebuah tapak rumah dengan keluasan ribuan hektar yang ‘dianugerahkan’ kepada UMNO ? Kenapa BPR tak siasat ?

Inilah masalahnya apabila kepentingan rakyat diketepikan. Pemimpin yang dilantik hanya sibuk mengumpul kekayaan. Tahniah kepada rakyat Pahang yang telah memilih kerajaan yang “ Selamat, Aman dan Makmur”. Takziah pula kepada rakyat Kedah yang telah memilih kerajaan yang menjaga amanah dan kebajikan rakyat.

SEPERTI YANG DIJANGKA...


Beberapa stesen minyak sekitar Lembah Kelang dan Johor Bharu kelmarin mengalami kehabisan bekalan minyak. Menteri Perdagagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sharil Samad menafikan ia berpunca daripada perbuatan sabotaj para pengusaha stesen minyak.Sebaliknya mendakwa berpunca daripada permintaan tinggi dan cuti hujung minggu.

Beliau seolah –olah menafikan bahawa kerajaan tidak ada kena mengena dalam hal ini. Dalam posting yang lepas saya sudah menjangkakan sikap kerajaan yang sebelum ini berteka teki tentang harga minyak menyebabkan pengusaha stesen minyak berada dalam dilema untuk menambah bekalan menjelang musim perayaan untuk mengelakkan kerugian.

Ternyata ramalan itu berlaku, dalam hal ini kerajaan tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku. Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah para pengguna terutama pada saat yang sangat memerlukan untuk pulang bercuti dan berhari raya.

Inilah padahnya apabila isu berkaitan kehidupan harian dan keperluan rakyat dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu yang telah lama memerintah negara. Sering kali rakyat yang tidak bersalah menjadi mangsa dan menanggung kesusahan

29 September 2008

MASIH RAMAI TAK SAYANG NYAWA...


Dalam perjalanan dari Melaka ke Pahang semalam saya dapat melihat gelagat mereka di jalan raya yang seolah-olah tak nak pulang beraya. Seolah-olah jalan raya itu mak bapak dia yang punya.Bawa kereta seperti pemandu Formula One seperti dialah Michael Schumacher. Kalau dia seorang sahaja yang kena tak mengapa tapi masalahnya mereka ini membahayakan penumpang yang dibawa dan para pengguna lain.

Dalam masa yang sama saya perhatikan OPS SIKAP yang digembar-gemburkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak lebih dari lawak jenaka alaf baru. Semasa berada di jalan raya, saya seperti berada di Litar Singtel Singapura, gelanggang Formula One yang sedang rancak berlangsung sekarang.Ramai yang bawa kereta seperti berlumba.

Kenderaan berat yang dilarang menggunakan jalan raya semasa musim perayaan ini begitu bermaharajalela. Apabila saya menelefon Balai Polis Segamat melaporkan hal ini, mereka seolah-olah tutup sebelah mata.Apabila berlaku kemalangan maut barulah masing-masing terpinga-pinga.

Nasihat saya sekali lagi, berhati-hatilah di jalan raya. Maut bila-bila masa sahaja boleh menjemput walaupun kecuaian di jalan raya bukan dilakukan oleh kita. SELAMAT BERHARI RAYA...

DALAM KEGEMBIRAAN MENYAMBUT SYAWAL ADA YANG BERGELUMANG DERITA AIR MATA


Dalam tempoh kurang 48 jam umat Islam di negara ini akan menyambut dan meraikan Aidilfitri. Bulan kemenangan dari tunduk kepada segala bentuk godaan dan dugaan untuk meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah SWT.

Terdapat juga mereka yang merasa sedih dan sayu apabila madrasah Ramadhan akan berlalu pergi. Kesempatan ini marilah kita bermuhasabah sejauh mana Ramadhan yang kita lalui telah menepati standard dan kualiti iaitu menjana dan membentuk sifat taqwa di sisi Allah SWT.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
( Al Baqarah : 183 )

Dalam kegembiraan dan keghairahan kita menyambut kedatangan Syawal terdapat mereka yang berduka dan berlinangan air mata terutama apabila bergema takbir Syawal nanti . Di antaranya mereka yang terpisah dari yang tersayang gara-gara undang –undang rimba ISA, yang memisahkan tali persaudaraan tanpa perasaan belas dan simpati.

Bayangkan perasaan seorang anak dan isteri yang dipisahkan bertahun –tahun tanpa mengetahui bila berakhirnya derita. Hanya kesabaran dan ketabahan serta sokongan dan doa mereka yang simpati menjadi azimat menghadapi saat-saat sukar begini.

Di samping itu tidak kurang mereka yang bakal menghadapi Adilfitri dengan seribu macam kesusahan dan kepayahan. Terutamanya mereka yang tinggal di kampung dan golongan berpendapatan rendah yang terkena tempias kemelut ekonomi yang melanda negara.

Persiapan Aidilfitri hanya dibuat ala kadar atau seolah-olah kehadiran Syawal tidak dirasai. Semuanya kesan daripada peningkatan kos sara hidup dan keperluan harian berlipat kali ganda berikutan melambungnya kadar inflasi akibat ‘kecerdikan’ pihak tertentu yang menaikkan harga minyak secara terlampau. Syawal bagi mereka hanya setahun sekali, tetapi meneruskan kehidupan perlu diberi keutamaan daripada persiapan hari raya. Lebih memeritkan apabila penggal persekolahan akan bermula segala-galanya memerlukan wang yang bukan sedikit.

Sebaliknya mereka yang berada dipuncak kuasa hidup bermewah-mewah, mungkin sedang sibuk merancang persiapan rumah terbuka dan membelek –belek persiapan raya yang pasti semuanya berjenama.

Hari raya tahun ini mungkin lebih berrmakna jika kerajaan baru terbentuk lebih awal bagi meringankan dan mengubat kesempitan yang dirasai. Walau bagaimanapun harapan majoriti rakyat Malaysia terutama mereka yang telah lama menderita masih membara dan berkobar melihat perubahan yang bakal berlaku. Semoga Hari Raya tahun hadapan lebih bermakna bagi kita semua. SELAMAT HARI RAYA…

27 September 2008

KOLEKSI TEKS KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI 1429 H

  1. Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri Tn. Guru Hj. Abd. Hadi Awang


     

    http://www.terengganukini.net/tekskhutbah/khutbah1429.pdf


 

  1. Teks Khutbah Hari Raya AidilFitri Ust. Nashrudin Tantawi : sila klik link di bawah :


     

    http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/


 

  1. Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri Dewan Ulamak Pas Kelantan


     

    http://ulamak.pas.org.my/dmdocuments/Khutbah%20Eidulfitri%201429%20-%20DUPN%20Kelantan.pdf


 

  1. Teks Khutbah Hari Raya AidilFitri Dewan Ulamak Pas Terangganu


     

    http://ulamak.pas.org.my/dmdocuments/Khutbah%20Eidulfitri%201429%20-%20DUPN%20Kelantan.pdf


 

  1. Teks Khutbah Hari Raya AidilFitri Dewan Ulamak Pas Perak


     

    http://ulamak.pas.org.my/dmdocuments/Khutbah%20Eidulfitri%201429%20-%20DUPN%20Perak.pdf


 


 


 

ISU PERKAUMAN 'SENJATA LAPUK' PIHAK TERDESAK

Dalam sehari dua ini terdapat pihak tertentu yang cuba memainkan semula dan memanipulasi isu perkauman untuk mewujudkan pemusuhan dan perasaan benci membenci antara kaum.

Isu berkaitan Kuil Sri Maha Kaliamman di Sri Ampang Selangor yang didakwa akan dirobohkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat disensasikan untuk mewujudkan perasaan kebencian kepada kerajaan negeri.Hakikatnya kuil tersebut dirobohkan bagi tujuan pengubahsuaian dan dukumentasi setelah 19 tahun bergelumang dengan pelbagai masalah dan diabaikan sejak zaman Mad Taib dan Khir Toyo semasa menjadi menteri besar lagi.

Awal pagi ini, rumah ibu bapa YB Teresa Kok ahli Parlimen Seputeh yang baru dibebaskan ISA dilontar dengan bom petrol. Dipercayai rentetan dari isu azan dan tulisan jawi serta komennya yang telah disilap tafsir tentang makanan semasa beliau ditahan dalam ISA seperti 'makanan anjing'.

Saya ingin menasihatkan pihak berkenaan yang cuba menggunakan isu perkauman untuk kepentingan politik sempit carilah isu atau pendekatan lain. Rakyat Malaysia semakin bijak dan matang dalam menilai dan menangani sesuatu isu.

Satu ketika dulu, isu perkauman mungkin senjata ampuh untuk membuat provokasi dan 'menghalalkan' sesuatu tindakan mereka kini rakyat Malaysia semakin bijak menilai kebenaran dan kepalsuan.

Apa yang berlaku dalam isu Datuk Ahmad Ismail, Ketua Umno Bukit Bendera yang 'direhatkan' dengan isu orang cina sebagai penumpang membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak termakan 'umpan' yang mereka hulurkan.

Keadaannya sama apabila isu tuduhan liwat terbaru pada DSAI dan tangkapan terpilih BPR, rakyat sudah tahun skrip dan jalan cerita serta kesudahannya. Malah watak-watak pelakon utama tak perlu diperkenalkan. Rakyat dah dapat menilai yang mana kaca yang mana permata.

Dalam tempoh penghujung Ramadhan ini sepatutnya mereka merebut peluang ini untuk membanyakkan diri dengan beribadat dan memohon keampunan dari Allah dengan meninggalkan kerja sia-sia dan tak berfaedah ini.

26 September 2008

BERHATI-HATI DI JALAN RAYA

Bermula malam ini, warga Malaysia terutamanya umat Islam dari seluruh pelusuk negara akan menuju ke pelbagai distinasi untuk menyambut Hari Raya serta berjumpa yang tersayang.

Doa dari saya semoga selamat sampai ke distinasi dan pulang kembali dengan selamat. Biar lambat asal selamat sampai...Dari cepat tapi tak sampai..Insyaallah saya akan bertolak ke Kuala Rompin Pahang pada hari Ahad ini. blog ini akan diupdate seperti biasa walaupun pada 1 syawal nanti,Insyaallah.

SELAMAT BERCUTI, SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN.

KEMARAAN PAKATAN RAKYAT KE PUTRA JAYA AKAN DISEKAT


Keputusan yang sudah dijangka MT UMNO hari ini menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi UMNO yang dijadualkan pada Disember ini ke Mac tahun depan membuktikan kata-kata DSAI untuk mengambil alih kerajaan bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Pak Lah terpaksa menggunakan MT UMNO untuk meredakan tekanan yang beliau hadapi dengan menangguhkan pemilihan UMNO untuk memfokuskan usaha untuk menghalang Pakatan Rakyat daripada mengambil alih kerajaan selewat-lewatnya menjelang sidang parlimen 13Oktober nanti.

Dalam sidang akhbar tengahari tadi, Pak Lah memberi tempoh sehingga 9 Oktober ini untuk membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak jawatan presiden UMNO. Saya dapat merasakan dalam tempoh dua minggu ini akan berlaku sesuatu yang 'besar' dalam negara.Sama ada kepada Pakatan Rakyat atau pun dalam UMNO.

Langkah pak Lah lebih dilihat mempunyai kepentingan tertentu bagi memastikan beliau kekal berpengaruh dan berkuasa sama ada dalam kerajaan ataupun UMNO.

Bagi saya, Pak Lah mempunyai agenda serampang dua mata apabila menangguhkan pemilihan UMNO ini.

25 September 2008

MENCADANGKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO SEUMUR HIDUP


Satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO akan diadakan esok. Perkara ini turut disahkan oleh Datuk Seri Najib selaku timbalan Presiden UMNO.

Agenda utama yang dijangka akan dibincangkan ialah untuk menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO pada persidangan Agung UMNO pada Disember nanti.

Sekiranya penangguhan pemilihan ini ditangguhkan dengan mendapat 'restu' dari MT UMNO maka jelas menunjukkan betapa gawatnya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini. Perebutan secara terbuka dengan politik wang berluasa yang turut disulami dengan pelbagai taktik kotor sudaya sebati dalam UMNO kelihatan tidak mampu dibendung lagi.

Namun, penangguhan ini dikatakan terpaksa dilakukan kerana Pak Lah yang menjadi Presiden UMNO sekarang ditolak oleh kebanyakan bahagian -bahagian UMNO yang akan bermesyurat tidak lama lagi. Ini jelas seperti yang berlaku di beberapa bahagian UMNO di Lembah Kelang yang menyokong regu Najib-Muhyiddin sebagai Presiden dan timbalan presiden UMNO.Pak Lah dijangka tidak mendapat pencalonan yang cukup dari bahagian-bahagian untuk mengekalkan jawatannya.

Alasan keadaaan negara yang tidak stabil dari segi politik dan ekonomi terutama 'UMNO' yang semakin nazak diasak oleh Pakatan Rakyat dan demi menjaga perpaduan UMNO mungkin dijadikan alasan penangguhan pemilihan akan datang.

Saya kira, sekiranya pemilihan ini ditangguhkan akan mewujudkan lebih banyak masalah kepada UMNO yang memang bermasalah sekarang. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat pemimpin dalam UMNO yang mengkritik dan menempelak Presiden UMNO secara terbuka seperti yang berlaku sekarang.

Justeru itu, Pak Lah dan kumpulannya merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Langkah yang dikira selamat ialah menangguhkan pemilihan dalam UMNO. Sudah pasti mereka yang sebelum ini telah 'bermimpi' dan 'berangan-angan' untuk menduduki kerusi empuk pimpinan tertinggi UMNO akan 'melopong' kerana cita-cita mereka tidak kesampaian atau hajat mereka tertangguh pada satu masa yang tidak pasti.

Jelas di sini, UMNO semakin takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Sekiranya ramalan ini benar-benar berlaku esok, jelas menunjukkan bahawa memang benarlah seperti tanggapan sesetengah pihak sudah tidak berlaku keterbukaan dan demokrasi dalam UMNO.

Jika begini keadaannya saya mencadangkan agar jawatan Presiden UMNO ditetapkan sebagai presiden seumur hidup, tetap tidak berpencen. Langkah ini sahaja yang dilihat mampu memastikan tidak ada sesiapapun yang berani mencabar jawatan presiden UMNO.

PECUTAN TERAKHIR

Hari ini kita telah berada pada tanggal 25 Ramadhan, hanya tinggal kira -kira lima hari sahaja lagi Ramadhan akan meninggalkan kita semua. Tempoh lima hari ini merupakan peluang terakhir pada kita semua untuk meraih seberapa banyak anugerah dan tawaran yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk meningkatkan ketaqwaan dan rasa diri hamba kepada-Nya. Jangka waktu ini merupakan saat-saat penting dan getir sebelum kita menuju ke garisan penamat. Sama ada kita muncul sebagai pemenang atau tersungkur sebelum tiba ke garisan. Ibarat seorang pelari pecut, saat -saat inilah kita perlu meningkatkan stamina dan mengerah segala kudrat yang ada sebelum kita layak untuk diistiharkan sebagai pemenang. Semoga kita menggunakan kesempatan yang masih ada pada penghujung Ramadhan ini untuk membentuk karektor seorang muslim sejati. Kita tidak pasti sama ada kita sempat dipertemukan pada Ramadhan akan datang kerana kematian boleh datang pada bila -bila masa. Hayatilah klip video di bawah tentang detik-detik kematian yang pasti akan menjemput kita.

MISI MENAWAN MELAKA DALAM PRU KE 13


Bukit Katil Melaka, 24 September Naib Presiden Pas Tn Hj. Mohd. Sabu menggariskan beberapa perkara penting bagi memastikan kubu terakhir Barisan Nasional di Melaka dan Johor dapat dirobohkan bagi memastikan kemenangan dan kemaraan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya akan datang.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Ceramah Umum sempena sambutan Badar al Kubra anjuran Badan Perhubungan Pas Melaka semalam. Di antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Menurut beliau dalam PRU lalu, kerjasama dalam Pakatan Rakyat dibuat agak lewat berbanding pada kali ini. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan agar semua penyokong dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak terperangkap dengan isu perkauman yang cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Di samping itu tidak leka dengan hanya menunggu kerajaan baru terbentuk sehingga meninggalkan gerak kerja yang mesti dilakukan bagi mengekalkan momentum kebangkitan rakyat dan kemenangan yang dicapai baru-baru ini.

Program majlis berbuka puasa semalam turut dihadiri oleh ahli Parlimen Kota Melaka dan semua wakil rakyat DUN DAP Melaka kecuali, YB Betty Chew. Di samping turut dihadiri pimpinan PKR Melaka yang diketuai S/U Perhubungannya Kolonel ( B ) Hashim Puteh.

24 September 2008

KERAJAAN 'BERMURAH HATI' TURUNKAN HARGA MINYAK 10 SEN

Kerajaan dijangka menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen petang ni. Apa pasal banyak sangat ? Sepatutnya kerajaan hanya turunkan harga minyak 1 sen atau setengah sen saja. Itu baru dikatakan langkah berjimat cermat.

Penurunan harga minyak sebegini banyak sudah pasti menyebabkan perasaan 'kasih sayang' majoriti rakyat kepada kerajaan semakin meluap-luap dan membara.

Sebagai tanda 'kasih sayang' kepada kemurahan hati kerajaan ini mari sama -sama kita memastikan agar kerajaan baru terbentuk dan kerajaan yang ada 'disejuk bekukan' sebagai tanda 'kasih sayang' yang kekal abadi.

23 September 2008

STESEN MINYAK ESOK DIJANGKA LENGANG


Saya menjangkakan esok seluruh stesen minyak seluruh negara akan lengang berikutan harapan jutaan rakyat Malaysia yang menunggu keputusan mesyuarat Kabinet esok tentang pengumuman baru harga minyak yang diramalkan akan diturunkan oleh kerajaan.

Cuma saya meminta orang ramai tidak terlalu optimis harga minyak akan diturunkan hari berikutnya ekoran pasaran harga minyak yang tidak menentu sekarang akibat tindakan spekulasi dan kelemahan ekonomi serta dollar Amerika.

Lebih malang lagi, jika esok terdapat adegan menolak kereta gara-gara kehabisan minyak kerana menunggu harga minyak murah yang tidak pasti lagi akan berlaku.

SUDAH TERDAPAT MEREKA YANG HILANG SABAR...


Proses peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat semakin penuh dengan teka -teki. Malah sudah terdapat tanda -tanda mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar menulis dan mengulas isu pembentukan kerajaan baru sudah mula hilang sabar. Mereka seolah -olah sudah hilang harapan dan semangat akan terbentuk kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.

Dalam posting sebelumnya, saya ada menulis pembentukan dan peralihan kuasa yang sama -sama kita harapkan sesuatu yang penuh dengan teknikal dan taktikal. Perlu berhati -hati ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Kita perlu menyedari nak ubah kerajaan tidak semudah seperti nak ubah perabut di rumah menjelang raya ini. Mengubah perabut di rumah sempena perayaan adalah semata-mata untuk menyeri dan meraikan Aidilfitri dalam tempoh beberapa hari. Tetapi..mengubah kerajaan adalah menentukan harapan dan masa depan seluruh rakyat Malaysia dari generasi ke generasi. Silap perhitungan dan pecaturan mungkin akan membawa sesalan selama-lamanya. sekiranya kesempatan dan peluang ini tidak dimanafaatkan sebaiknya mungkin ini adalah ruang dan peluang terakhir yang ada untuk membentuk sebuah kerajaan yang amanah dan berkebajikan.

Justeru, sempena fasa terakhir bulan yang mulia ini hayati konsep sabar yang tersirat dan tersurat dalam falsafah Ramadhan. Semoga kita sama -sama termasuk dalam golongan yang mendapat naungan dari Arasy Allah SWT.

22 September 2008

DI ANTARA DUA PERALIHAN KUASA


Sehari dua ini isu peralihan kuasa di antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak agak hangat diperkatakan. Terutamanya oleh media milik kerajaan. Isu Peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional ( BN ) ke Pakatan Rakyat( PR ) agak sedikit 'tenggelam'.Walau bagaimanapun kedua-dua peralihan kuasa ini membawa makna yang tersendiri.

Walau bagaimanapun persamaannya kedua -duanya membawa mesej yang jelas, menolak kepimpinan Pak Lah sama ada dari menerajui kerajaan atau BN.

Peralihan kuasa di antara Pak Lah kepada Najib lebih kepada 'survival' BN dan UMNO yang diasak hebat oleh PR yang berazam dan berkeyakinan tinggi untuk membentuk kerajaan. Maka idea ini dicetuskan bagi menyelamatkan UMNO dan BN serta kerajaan yang ada di samping satu cubaan terdesak untuk memujuk ahli parlimen BN yang bercadang melompat ke PR agar membatalkan hasrat mereka.

Peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib dilihat tidak mampu memulihkan keyakinan ramai bagi menyelamatkan suasana ekonomi dan politik dalam negara yang kian gawat. Malah langkah ini kemungkinan akan mewujudkan pertarungan yang lebih sengit di antara kem Pak Lah dan Najib. Misalnya, Khairy Jamaludin menantu kesayangan Pak Lah sudah pasti tidak akan berdiam diri dengan cita -cita kem najib untuk melihat Najib menjadi PM. Sekiranya, Najib menjadi PM laluan Khairy merebut jawatan Ketua Pemuda Umno sudah pasti berliku. Di samping banyak 'keistimewaan' yang diperolehi semasa Pak lah menjadi PM akan hilang.

kesimpulannya peralihan kuasa di antara Pak Lah dan Najib sudah terlewat dan tidak membawa apa apa makna.

Justeru itu, Pakatan Rakyat mesti fokus kepada usaha berterusan bagi memastikan pembentukan kerajaan baru akan dapat diterjemahkan seberapa segera.Majoriti rakyat menaruh harapan besar perubahan secara menyeluruh daripada pelbagai masalah yang bertimpa-timpa kepada negara selagi negara diperintah pemimpin yang ada. Begitu juga kepada semua pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat agar menghentikan polemik isu peralihan kuasa Pak Lah dan Najib yang mungkin hanya sebagai 'retorik' untuk mengalihkan isu sebenar.

21 September 2008

BERSEDIA MENGHADAPI KRISIS KEKURANGAN MINYAK DI MUSIM PERAYAAN


Di musim perayaan ini pengguna kenderaan di negara dijangka berhadapan krisis kekurangan minyak berikutan keengganan para pengusaha stesen minyak menambah bekalan minyak sedia ada menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Langkah pengusaha stesen minyak menghentikan pengambilan stok baru kerana menunggu pengumuman kerajaan menurunkan harga minyak yang diramalkan akan dibuat dalam tempoh terdekat selewat-lewatnya selepas mesyuarat mingguan kabinet Rabu depan.

Mereka tidak mahu menanggung kerugian sekiranya mereka menambah bekalan baru di stesen mereka pada masa sekarang.

Sekiranya kerajaan masih berteka teki sama ada menurunkan atau pun tidak harga minyak ini mungkin akan menyebabkan krisis minyak kepada negara terutama menjelang musim perayaan nanti.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah para pengguna. Kerajaan sepatutnya mengumumkan kadar baru harga minyak lebih awal supaya para pengusaha stesen minyak tidak mengalami kerugian dan para pengguna tidak menghadapi kesulitan nanti.

Adalah sesuatu yang menghairankan kenapa kerajaan masih melewatkan kadar baru minyak sedangkan harga minyak di pasaran dunia telah berada di bawah paras US $ 100 setong sejak minggu lepas lagi.

Justeru itu, kerajaan perlu mengambil tindakan perlu bagi menangani sebarang kemungkinan. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

PAK LAH AKAN BERUNDUR OKTOBER INI ?


Umum mengetahui bahawa wujud pelbagai saranan dan desakan agar Pak Lah berundur secara terhormat dari jawatannya sama ada sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Umno. Desakan ini bertambah kuat apabila BN mendapat 'pukulan maut' dalam Pilihanraya Umum lalu yang menyaksikan BN kehilangan lima buah negeri tidak termasuk Wilayah persekutuan.

Bermula dari PRU ke 12 yang lalu banyak pihak menunding jari kepada Pak Lah agar mengambil tanggungjawab daripada aib yang menimpa BN. Nasihat secara baik dan desakan dibuat sama ada melalui anggota Majlis Tertinggi, Bahagian –bahagian UMNO dan komponen BN yang lain meminta agar Pak Lah berundur sama ada secara terbuka atau berkias. Malah desakan agar Pak Lah berundur turut datang dari 'otai' UMNO yang sudah tidak sanggup lagi melihat apa yang berlaku. Wujud desakan agar dilakukan peralihan kuasa dengan segera agar Pak Lah tidak menjadi liabaliti / beban kepada BN dan UMNO.

Senario ini tidak pernah berlaku dalam sejarah penubuhan BN dan UMNO serta kerajaan seorang pemimpin tertinggi diminta melepaskan jawatannya. Misalnya, walaupun berlaku 'gelombang reformasi' pada tahun 1998 ekoran pemecatan Datuk seri Anwar, Dr. Mahathir yang merupakan PM dan Presiden BN serta UMNO ketika itu , Dr Mahathir dianggap sebagai penyelamat serta diminta terus menerajui kerajaan dan UMNO. Ini jelas apabila berlakunya 'adegan air mata' apabila Dr. Mahathir menyuarakan hasratnya untuk berundur dalam Persidangan Agung UMNO satu ketika dulu. Ramai pihak dalam Umno dan BN yang menghalangnya.

Apabila Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DSAI mengumumkan pelan peralihan kuasa pada 16 September lalu yang kini sedikit tersasar akibat masalah teknikal, desakan kepada Pak Lah supaya berundur semakin kuat. Lebih –lebih lagi dengan peningkatan kadar inflasi kerana kenaikan harga minyak yang 'terlampau' di bawah regim Pak Lah, kejatuhan berterusan indeks Komposit BSKL dan keenggan pelabur menanam modal di negara ini.

Terbaru, dalam mesyuarat MT UMNO pada Rabu lalu wujud lagi saranan dan desakan supaya Pak Lah berundur. Khabarnya di antara orang yang lantang dalam mesyuarat tersebut yang mendesak Pak Lah berundur ialah dari Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Rafidah Aziz, Menteri, Datuk Rais Yatim dan Datuk Shafei Apdal. Dikatakan terdapat beberapa orang lagi pemimpin UMNO yang turut mendesak agar Pak Lah berundur.langkah ini dilihat wajar untuk meredakan apa yang berlaku dalam UMNO dan Negara.

Berikutan mesyuarat tersebut, wujud desas-desus Pak Lah menyatakan kesediaannya untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan pada bulan Oktober ini. Walau bagaimanapun menurut sumber dalaman UMNO, hasrat Pak Lah dihalang keras oleh menantu kesayangannya, Khairy Jamaludin dan Setiausaha politiknya Datuk Md Alwi Che Ahmad dan pembantu khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid. Berikutan desakan itu, Pak Lah dikatakan telah menarik semula cadangannya untuk berundur pada Oktober depan.

Maka memang benarlah seperti kata Dr. Mahathir satu ketika dulu bahawa nampaknya 'tingkat 4' lebih berkuasa dari 'tingkat lima'. Apa yang berlaku dalam negara sebenarnya banyak dipengaruhi orang kepercayaan yang berada di sekeliling Pak Lah. Golongan inilah sebenarnya nanti yang akan membawa musibah dan bencana kepada UMNO dan negara.

Walau bagaimanapun, hasrat Pak Lah untuk mengekalkan jawatannya akan memberi laluan yang agak selesa kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda peralihan kuasa berbanding laluan yang sedikit sukar sekiranya benar –benar wujud peralihan kuasa antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib pada Oktober depan.


 

20 September 2008

KEMELUT EKONOMI DAN POLITIK : KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB

Masalah ekonomi dan politik Negara berada dalam situasi yang semakin membimbangkan. Indeks Komposit di BSKL berada di bawah paras 1000 mata. Kedudukan terendah selepas negara mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997 lalu. Sementara itu, pelabur luar beralih atau menangguhkan pelaburan mereka ke negara ini. Mereka bersikap tunggu dan lihat perkembangan yang berlaku dalam Negara.

Suasana politik pula semakin tidak menentu dengan kedudukan kerajaan semakin goyah berikutan desakan demi desakan supaya kerajaan yang ada mengadakan sidang tergempar parlimen seperti yang didesak oleh Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, hasrat ini buntu apabila Perdana Menteri berkeras tidak mahu adakan sidang tersebut. Langkah susulan telah diambil dengan mengutus surat kepada DYMM Agung untuk Pimpinan Pakatan Rakyat memohon mengadap untuk melaporkan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

Semalam, Menteri Kesenian dan Pelancongan Datuk Rais Yatim berkata DSAI mempunyai agenda dan hubungan dengan Amerika berhubung usaha untuk membentuk kerajaan baru. Kenyataan ini tidak membantu sebaliknya hanya satu tohmahan tanpa bukti dan hanya mengeruhkan lagi suasana dalam negara. Langkah menukar portfolio Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan di antara PM dan TPM tidak banyak membantu. Malah makin memburukan keadaan ekonomi Negara. Ini jelas apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Datuk Seri Najib tidak mampu mengurus dan menyelesaikan masalah ekonomi Negara.

Pada pandangan saya, selagi kerajaan melambatkan sidang parlimen yang dituntut oleh Pakatan Rakyat masalah ekonomi dan politik Negara tidak akan berkesudahan. Kerajaan di bawah Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu bimbang untuk mengadakan sidang tergempar parlimen ini sekiranya Pak Lah benar-benar yakin bahawa dakwaan DSAI bahawa terdapat 35 ahli parlimen BN untuk menyertati Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang karut dan tidak masuk akal. Inilah masanya mereka ingin membuktikan serta menanam keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa kerajaan yang ada adalah kukuh dan stabil.

Kebimbangan suasana politik dan ekonomi menyebabkan terdapat sebilangan penduduk di negara ini yang membuat 'belian panik' kerana wujud kebimbangan senario politik negara yang tidak menentu. Ini berdasarkan sembang –sembang dengan rakan yang terdiri dari golongan professional. Malah suasana ini wujud di kalangan golongan bawahan dan penduduk kampung.

Sekiranya rakyat Negara sendiri tidak yakin dengan keadaan dalam negara, bagaimana kita hendak mengharapkan orang luar meyakini keadaan negara kita ? Tindakan ISA dan akta Hasutan kepada pihak tertentu akan semakin menghakis keyakinan pelabur dan pelancong asing untuk datang ke Negara ini. Justeru itu, bagi saya kerajaan yang ada tidak mempunyai banyak pilihan selain mempercepatkan sidang parlimen untuk membuktikan kerajaan yang ada benar-benar mantap dan stabil.


 

19 September 2008

MATEMATIK DAN SAINS DIAJAR DALAM BAHASA MELAYU TAHUN DEPAN ?

Setelah enam tahun diselubungi dengan pelbagai desakan dan kontraversi, Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) dijangka akan kembali semula kepada Bahasa Melayu mulai tahun depan.

Menurut sumber dari Kementerian Pelajaran proses kembali semula menggunakan bahasa kebangsaan sedang berjalan. Di antaranya, buku teks matematik dan Sains telah siap dicetak dalam bahasa Melayu. Di samping itu, semua Institut Perguruan seluruh Malaysia tidak lagi menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran di dalam kelas bagi guru pelatih yang mengambil opsyen matematik dan sains mulai tahun 2009.

Saya menyambut baik langkah kerajaan untuk kembali menggunakan bahasa kebangsaan. Walaupun bagaimanapun sudah pasti ramai pihak yang terkilan kerana projek PPSMI yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Tun Dr. Mahathir telah menelan kos lebih RM 5 bilion.

Inilah natijahnya apabila sesuatu pelaksanaan dasar tidak dibuat secara teliti tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan. Malah pihak berkenaan hanya 'melihat sebelah mata' dan memekakkan telinga walaupun mengetahui wujud pelbagai masalah sepanjang dasar tersebut diperkenalkan seperti yang didedahkan oleh tokoh-tokoh akademik dan politik.

Bayangkan dengan jumlah wang sebanyak itu, saya yakin tidak ada rakyat di Malaysia ini yang hidup merempat tidak mempunyai rumah. Mungkin juga dengan wang sebanyak itu kerajaan boleh memberi pendidikan yang 'betul-betul' percuma kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak pun duit itu digunakan untuk menampung subsidi minyak untuk memastikan harga minyak tidak membebankan seperti sekarang.

AHLI PARLIMEN SEPUTEH DIBEBASKAN DARI ISA


Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini selepas disiasat selama seminggu.

Beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur jam 1 petang.

DAP memaklumkan satu sidang media berhubung pembebasan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya jam 3.30 petang.

Pembebasan ini menunjukkan kerajaan mengalami tekanan ekoran desakan pelbagai pihak yang menuntut ISA tidak dijadikan alat kepentingan pihak tertentu.

Walau bagaimanapun tidak ada sebarang maklumat tentang nasib yang menimpa Raja Petra Kamarudin yang masih ditahan di bawah ISA.

18 September 2008

PAS KOMITMEN PADA PERUBAHAN KERAJAAN


Kota Sarang Semut, Alor Star Kedah. Presiden Pas, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS bersetuju menyertai kerajaan baru yang bakal terbentuk sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.
Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

Ini merupakan kenyataan pertama presiden PAS secara terbuka berhubung pembentukan kerajaan baru. Semasa Muktamar lalu, Tuan Guru Hj. Hadi telah membayangkan kesediaan PAS menyertai kerajaan yang ingin dibentuk asalkan Islam mesti dominan.
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat di Negara ini tidak perlu bimbang dengan propaganda sesetengah pihak bahawa orang Melayu dan Islam akan terpinggir dengan pembentukan kerajaan baru.

Pengumuman ini sudah pasti dapat melenyapkan tanda –tanya tentang pendirian PAS berhubung peralihan kuasa kerajaan baru. Sebelum ini PAS banyak bersikap tunggu dan lihat dengan isu yang berlaku.

Kenyataan ini semakin menguatkan keyakinan bahawa kerajaan baru akan terbentuk dalam masa terdekat. Apa –apa pun sama –samalah kita nantikan sama ada ia benar –benar dapat diterjemahkan.

MAKNA HARI RAYA


Hari ini kebanyakan orang semakin sibuk cerita tentang raya. Masing -masing sibuk dengan kuih raya, baju raya, langsir raya, tiket balik beraya dan nak beraya di mana. Segala -galanya tentang raya.

Walhal, hari ini umat Islam di negara ini baru berada pada 18 Ramadhan. Hendak masuk Fasa ketiga Ramadhan yang dikatakan, pembebasan dari api neraka.

Sepatutnya, masjid dan surau semakin berduyun -duyun orang datang untuk solat waktu dan tarawikh berjemaah. Sepatutnya juga masing-masing sibuk mengira berapa juzuk Al Quran yang tinggal untukk khatam pada Ramadhan kali ini. Bertanya sejauh mana bangun untuk berqiamullail. Setidak -tidaknya pun bertanya adakah Ramadhan kali ini lebih baik berbanding Ramadhan sebelumnya.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, orang lebih ramai berduyun -duyun di kompleks membeli belah atau bazar untuk membuat persiapan raya berbanding berbanding untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan amalan yang dituntut. Buktinya, masjid dan surau semakin lenggang. Pada awal-awal Ramadhan masjid dan surau melimpah hingga ke luar. Hari ini senario itu tidak berlaku lagi. Jumlah saff yang bersembahyang Tarawikh semakin 'meningkat' ke depan.

Memandangkan kebanyakan orang dalam 'mood raya', hari ini saya nak berkongsi tentang makna raya.

Sempena menyambut hari raya ini, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala


Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

SELAMAT 'BERHARI RAYA'.

17 September 2008

SELEPAS NI ROSMAH 'SHOPPING' SAKAN

Hari ini berlaku 'peralihan kuasa' antara Najib dan Pak Lah. Tukar suka sama suka. Pak Lah ambil Kementerian Pertahanan dan Najib ambil Kementerian Kewangan. Saya tak mahu mengulas tentang sebab serta agenda petukaran 2 portfolio penting ini. Banyak blog lain dah mengulasnya. Dalam keresahan dan kerisauan senario politik terkini, saya kira orang yang paling seronok apabila berlakunya perubahan pos ini sudah pastilah isteri TPM, Datin Rosmah Mansor. Selepas ini boleh le shopping puas-puas. Suami tercinta dah pegang 'peti duit' negara. Sebelum ini semasa bercuti di luar negeri, Datin Rosmah hanya sempat shopping barang-barang peribadi 6 kereta je...selepas ni boleh le borong sehingga 6 trailer pulak. Tak tahulah apa akan berlaku pada nasib rakyat dan negara ini jika golongan seperti ini berkuasa. Harta negara 'difaraid' macam milik mereka sendiri. Mungkin macam klip cerita Nujum Pak Belalang di bawah.

ANWAR AKAN DITAHAN ISA ?

Seribu satu kemungkinan akan berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan wujud desakan dan kebimbangan di kalangan pemimpin BN berikutan kenyataan DSAI yang semakin mengancam kuasa dan pengaruh kerajaan BN. Mengulas sidang akhbar dan desakan DSAI semalam, Perdana menyifatkan DSAI sebagai ancaman kepada Negara.

Beliau juga menyifatkan Anwar sebagai  "satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara".

"Saya tidak akan nyatakan apakah rancangan saya," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Anwar.

Mungkinkah alasan keselamatan Negara digunakan untuk menahan DSAI di bawah ISA. Apa –apa kemungkinan, sama-sama kita nantikan. Tempoh 24 jam ini semakin mendebarkan.

16 September 2008

BN MENANTI UNTUK DITALKINKAN


Kebimbangan jelas tergambar dari riak semua pemimpin BN terutamanya dari UMNO hari ini selepas sidang akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.. Masing –masing sudah mula 'kecut' dengan penumuman DSAI yang mengulangi dan menegaskan beliau sudah cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Walaupun, masing –masing cuba menyembunyikannya tetapi kegelisahan itu tidak dapat mereka sembunyikan dari pengetahuan umum. Apa perlu mereka melatah dan 'meraban' yang bukan –bukan kalau isu lebih 31 ahli parlimen BN akan menyertai Pakataran Rakyat tidak berasas. Buat tak tahu sudah lah ! DSAI berkata media yang bersekongkol dengan kerajaan seperti Utusan Malaysia, RTM dan TV 3 tak payahlah menuduh dan buat cerita yang bukan-bukan kerana beliau sudah cukup kekuatan untuk membentuk kerajaan baru.

Keenganan Pak Lah berjumpa dengan DSAI menunjukkan bahawa tidak mungkin peralihan kuasa akan berlaku secara rundingan atau secara diplomasi. Jika dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu pelbagai taktik jahat dan kotor digunakan untuk mengekalkan kuasa mana mungkin BN akan menyerah 'mudah-mudah' kepada Pakatan Rakyat.

Sebagai alternatif, DSAI berkata rombongan pimpinan Pakatan Rakyat akan memohon perkenan mengadap DYMM Agong secepat mungkin untuk membentuk kerajaan baru.

Pilihan lain yang ada ialah membawa usul tergempar tidak percaya kepada kerajaan yang ada. Seperti dalam posting sebelum ini, saya mengharapkan BN menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum mendapat 'malu besar' pada sidang parlimen nanti. Bayangkan usul kelulusan belanjawan yang dibentangkan baru baru ini tidak mendapat 'majoriti mudah' dari Dewan Rakyat. Bagaimana kerajaan hendak meneruskan kuasa tanpa ada suara majoriti di parlimen.

Pada hari ini, kerajaan yang ada hanya kelihatan 'gagah' di dada akhbar dan rangkaian telivesyen yang dimiliki oleh mereka tetapi hakikatnya mereka sedang menunggu untuk ditalkinkan.

PERALIHAN KUASA PASTI BERLAKU


Datuk Seri Anwar sebentar tadi baru selesai mengadakan sidang akhbar di Pejabat Keadilan di Petaling Jaya.

Beliau mengumumkan 31 orang ahli parlimen BN dari Semenajung, Sabah dan sarawak bersedia menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam satu soalan wartawan tentang kemungkinan peralihan kuasa tidak akan berlaku beliau menegaskan bahawa ia sesuatu yang pasti berlaku.

DSAI sedang menunggu jawapan dari Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan tentang proses peralihan kuasa supaya berlaku dengan aman tanpa sebarang masalah.

Pada pandangan saya, ini merupakan satu tindakan bijak. Sasaran 16 September tidak penting yang paling utama adalah perubahan dalam kerajaan. Penubuhan kerajaan merupakan satu perkara yang serius tanpa perlu melayan sebarang provokasi dan suara -suara sumbang yang menyatakan pelan peralihan kuasa hanya omomg -omong kosong.

Beliau juga menggesa BN tidak menggunakan ISA untuk menangkap ahli parlimen BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dan juga kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain

Walau bagaimanapun saya percaya BN di bawah Pak Lah akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan proses peralihan kuasa ini.

USTAZ HASHIM JASIN DIISTIHAR MENANG DI SANGLANG


Ustaz Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.

Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ustaz Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.
Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.

Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Ustaz Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.

Ustaz Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.

ISU SERBAN ? KENAPA ISA TAK DIGUNAKAN ?



Seorang pelajar pondok yang disaman kerana menunggang motosikal dengan memakai serban diperintahkan Mahkamah Majistret di sini semalam untuk membela diri terhadap tuduhan itu.

Majistret Tengku Amalin Ais'shah Putri Sultan Ismail Petra memutuskan demikian setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Nasir Darus (gambar), 27, dan menetapkan 24 November ini untuk perbicaraan.
Semasa dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 lalu, pelajar Pondok Pasir Tumboh itu tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan atas kesalahan yang dilakukan pada 20 September 2007 di Jalan Pasir Tumboh dekat sini.

Ahmad Nasir disaman kerana menyalahi Kaedah 4 Motosikal (topi keledar) 1973 dan dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Kes ini menarik perhatian kerana ia menyentuh tentang sensitiviti agama Islam . Seolah –olah wujud diskriminasi dalam soal agama. Hal ini kerana dalam masa yang sama lelaki sinkh yang ‘berserban’ tidak dikenakan sebarang tindakan jika tidak memakai topi kaledar. Alasan polis yang menahan bahawa pelajar berkenaan belum ‘lebai’ sama sekali tidak boleh diterima.Pemakaian serban adalah sunnah nabi SAW bukan soal ‘lebai’ atau tidak lebai.

Saya tidak berniat untuk mempertikaikan pemakaian ‘serban’ oleh lelaki sinkh yang tidak perlu memakai topi kaledar sewaktu menaiki motorsikal kerana itu pakaian dan kepercayaan agama mereka. Namun dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu meyedari bahawa pemakaian serban adalah salah satu amalan yang digalakkan dan menjadi sunnah Nabi SAW.

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang perlu dipersalahkan kerana tidak peka dengan isu dan hal yang berkaitan dengan ajaran Islam.sekiranya Taresa Kok EXCO Kanan Selangor dikenakan ISA kerana didakwa terlibat dalam petisyen isu azan yang menyentuh isu agama Islam di masjid Kinrara Puchong, bagaimana pula mereka yang mempertikaikan pemakaian serban yang menjadi simbol agama yang merupakan sunah Nabi SAW ?

Tindakan ini sebenarnya menggambarkan bahawa isu penahanan ISA kerana menggugat dan menyentuh isu agama merupakan satu alasan kerajaan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka. Apa yang berlaku menunjukkan kerajaan tidak konsisten dalam mempertahankan kesucian dan status Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

IDEA PERALIHAN KUASA BERLAKU APABILA PEMIMPIN TIDAK MENGIKUT PETUNJUK AL QURAN

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).            ( Al –Baqarah : 185 )


 

Hari ini semua tertumpu kepada pengumuman yang bakal dibuat oleh Datuk seri Anwar Ibrahim berkaitan pembentukan kerajaan baru. Tengku Razaliegh Hamzah dijadualkan akan membuat sidang akhbar berasingan berkaitan dengan peralihan kuasa.

Media massa hari ini pula semakin sibuk mengentam dan memanipulasi isu peralihan kuasa. Semalam utusan DSAI ke Putrajaya mengutus surat kepada Perdana Menteri. Di antara kandungan suarat tersebut meminta agar peralihan kuasa dilakukan secara aman tanpa wujud sebarang ketidakstabilan dan implikasi negatif kepada Negara.

Semua ini tidak akan berlaku jika pemimpin yang diberi kuasa dan amanah melaksanakan tanggungjawab mengikut petunjuk Al Quran. Malangnya ini tidak berlaku. Ayat Al Quran sering dijadikan sebagai alunan di majlis rasmi kerajaan atau upacara kebesaran Islam. Malangnya, petunjuk Al Quran tidak dijadikan panduan dan ikutan dalam pemerintahan.

Natijahnya berlaku amalan rasuah berluasa, penyelewengan wang rakyat, pembaziran ( contoh makan angin di Taiwan ), penindasan dan segala macam bentuk salah guna kuasa. Akhirnya, rakyat sudah tidak mampu berdiam diri dan bangkit menyatakan suara hati yang diterjemahkan dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac lalu.

Hari ini sekali lagi majoriti rakyat menunggu untuk melihat pembentukan kerajaan baru dapat direalisasikan. Sekiranya pemimpin kerajaan yang ada benar –benar mengikut petunjuk Al Quran idea peralihan kuasa pasti tidak akan berlaku.

Semoga kerajaan baru yang terbentuk nanti akan benar –benar menjadikan Al Quran sebagai petunjuk dan panduan. Selamat Menyambut Nuzul Al Quran dan Selamat Hari Malaysia 16 September 2008.

15 September 2008

SAMA -SAMA LEKEH !


Kedua -duanya sama -sama lekeh. Berita TV 9 malam ini terpaksa memetik dari laman Web Malaysiakini berhubung berita peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi saya sesuatu yang memalukan TV 9 yang merupakan 'suka sakat' TV 3 dan NTV 7 terpaksa 'memetik' dan 'meminjam' berita dari laman web Malaysiakini untuk melaporkan berita peletakan jawatan Zaid Ibrahim. Walhal berita peletakan jawatan ini sudah 'heboh' satu negara.

Sementara itu kenyataan timbalan ketua polis negara hari ini juga lekeh. Beliau berkata, Polis tidak pilihan selain menggunakan ISA bertindak kepada mereka yang menjejaskan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Apakah negara ini sudah tandus dari segi akta dan peraturan untuk menjaga ketenteraman awam ? Kalau macam tu, saya mencadangkan jika polis sudah tidak ada pilihan gunakanlah juga ISA kepada pesalah trafik di jalan raya seperti memandu melebihi had laju, tidak pakai tali pinggang kaledar atau meletakkan kereta sehingga menghalang laluan. Saya yakin masalah kemalangan di musim perayaan ini akan dapat diatasi. Itu pun jika polis sudah tak ada pilihan lain !

MUNGKINKAH ZAID IBRAHIM AKAN MENYERTAI PAKATAN RAKYAT ?


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri ke pejabat Perdana Menteri kira -kira jam 2 petang tadi. Langkah ini diambil sebagai tanda protes penggunaan ISA baru-baru ini oleh kerajaan.Kepada Datuk Zaid, syabas diucapkan atas prinsip kebebasan dan kedaulatan undang-undang yang dipertahankan.

Ada kemungkinan, ISA akan digunakan secara lebih meluas untuk membendung berlakunya peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Perletakan jawatan ini dibuat kerana dipercayai beliau tidak mahu bersekongkol dengan tindak -tanduk kerajaan di bawah Menteri Dalam Negeri.

Keadaan ini menimbulkan teka -teki tentang keputusan Zaid Ibrahim seterusnya. Wujud desas-desus bahawa beliau akan membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat. sejauh mana kesahihan berita ini, sama-samalah kita nantikan.

TAKTIK KOTOR TELAH BERMULA


Poster yang mendakwa kononnya berlaku perarakan oleh Datuk seri Anwar Ibrahim ke Istana Negara telah ditampal di tempat -tempat strategik di ibu kota. Tindakan ini merupakan satu provakasi dan tindakan terdesak mereka yang tidak bertanggungjawab. Setiausaha Agung PKR Datuk Salehudin Saidin menafikan PKR terlibat dengan perarakan tersebut. Beliau meminta supaya orang ramai berhati-hati.

BERUNDUR SECARA TERHORMAT


Sehingga semalam, pelan peralihan kuasa masih berada di landasan. Mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menunjukkan keyakinan berlaku peralihan kuasa seperti yang dijadualkan. DSAI dalam kenyataan akhbarnya semalam mengulangi kenyataan bahawa beliau mempunyai bilangan ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Satu pengumuman penting dijangka akan dibuat oleh DSAI sekiranya pertemuan DSAI dan Pak Lah menjadi kenyataan. Mungkin juga ada sesuatu berita penting akan diumumkan pada Himpunan Membantah ISA malam ini di Stadium MPPJ. Sesuatu yang menarik, polis telah meluluskan permit himpunan tersebut.

Dalam keaadaan sekarang, Pak Lah yang diserang dari pelbagai penjuru sama ada dari Pakatan Rakyat atau dalam BN dan UMNO sendiri seolah –olah tidak mempunyai pilihan. Walaupun dijangkakan beliau belum menggunakan ‘senjata rahsia’ berhadapan dengan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Kebangkitan kuasa rakyat yang berlaku menunjukkan bahawa hayat BN sudah sampai ke penghujung. Sama ada esok, lusa, minggu depan dan hari –hari yang seterusnya petanda –pentanda yang ada menunjukkan lambat laun BN akan diturunkan.

BN yang diterajui oleh Pak Lah hanya mempunyai dua cara sahaja sama ada dipaksa turun atau berundur secara terhormat. Dalam keadaan ini lebih baik berundur secara terhormat tanpa mewujudkan sebarang ketidaktentuan dan kegelisahan sama ada sosial, politik dan ekonomi.

Sekiranya menggunakan cara yang pertama, saya menjangkakan apa juga yang berlaku akan menjadi satu lagi peristiwa hitam dalam sejarah negara yang mungkin akan dikenang sehingga tujuh keturunan.

14 September 2008

MENGHITUNG HARI...



Kira –kira enam bulan lalu ramai tak percaya, kerajaan yang ada bakal ditumbangkan. Malah dilihat sesuatu yang mustahil. Slogan “ Anwar Perdana Menteri Dalam Penantian” ketika itu dianggap hanya omong –omong kosong dan lawak alaf baru.

Hari ini ramai yang terpaksa menelan semula kata -kata itu.Masing -masing berdebar –debar menunggu hari -hari esok. Sama ada pemimpin dan pengikut kerajaan atau Pakatan Rakyat. Masing –masing sibuk membilang hari. Saat –saat hilang kuasa atau mendapat kuasa.

Sebagai rakyat biasa, saya tidak terkecuali. Menghitung hari apa yang bakal berlaku pada hari –hari esok.

Suara –suara protes sudah semakin jelas dan lantang. Jika dulu hanya datang dari ‘ayam sabung’ PAS, DAP dan PKR serta golongan serpihan dalam BN. Tetapi hari ini suara yang agak vokal datang dari Komponen BN sendiri khususnya dari teraju utamanya, UMNO.

Suara –suara yang mendesak agar diwujudkan ‘reformasi’ besar –besaran ini datang dari sayap yang paling kanan hinggalah kepada golongan yang dulunya dikenali ‘pak turut’ atau ‘ tukang angguk’ dalam UMNO.

Membaca apa yang tersirat dari kenyataan dua orang kuat UMNO iaitu Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kritikan ‘pelan peralihan kuasa’ dan Menteri Di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang secara terbuka mengecam pengunaan ISA mengundang seribu persoalan dan kemungkinan apa yang sebenarnya yang bermain di minda mereka.

Perang saraf dari Pakatan Rakyat yang diterajui Datuk seri Anwar Ibrahim pula semakin hebat penuh taktikal dan strategi yang semakin mencemaskan kerajaan BN. BN yang diterajui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin terhimpit. Semua yang dilakukan serba tak menjadi.

Dari risik –risik yang dibuat, dalam tempoh sehari dua ini, banyak kejutan dijangka bakal berlaku. Sama ada dari BN atau Pakatan Rakyat. Apa –apa pun kita sama –sama tunggu dan lihat bentuk peralihan kuasa yang berlaku.

Apa yang berlaku di antara BN dan Pakatan Rakyat seolah-olah ibarat perlawanan sengit di antara Machester United dan Liverpool semalam. Masing –masing bertahan dan merancang strategi di samping menunggu peluang membuat ‘counter attack’. Kesilapan kecil boleh membawa padah. Itulah yang berlaku kepada Machester United yang tewas gara-gara ‘gol sendiri’ dan ‘pertahanan’ yang tidak kemas. Di samping mensia –siakan ‘peluang keemasan’yang terhidang dan kadang –kadang ‘gopoh’ bila menyerang. Padahnya, tewas dalam perlawanan dan lebih teruk lagi ada ‘pemain’ yang dilayangkan ‘kad merah’ di hujung perlawanan.

Justeru itu, peralihan kuasa yang dijangka berlaku ibarat seperti menarik rambut di dalam tepung. rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Di sinilah sifat ketenangan dan kepimpinan dari pimpinan Pakatan Rakyat begitu diharapkan dalam mengemudi dan melayari bahtera menuju ke pelabuhan. Semoga tidak karam dan tenggelam di tengah pelayaran.

MAKNA KEBEBASAN BAGI PEMIMPIN KERAJAAN


Kebelakangan ini ramai pemimpin dalam kerajaan menyentuh dan mengulas tentang isu kebebasan bersuara. Ini berkaitan dengan penahanan tiga orang di bawah ISA kelmarin.
Bagi mereka, kebebasan bersuara ada had dan batasannya. Tidak boleh digunakan menyentuh isu sensitif, lebih –lebih lagi mengkritik kerajaan. Bebas apa namanya tu ?

Cuma saya ingin bertanya pada para pemimpin yang hanya pandai bercakap tentang kebebasan bersuara ? Apa hukumnya menahan orang di bawah ISA ? Tahan tanpa bicara, dinafikan hak membela diri, ditahan ala ‘gestapo’, tidak dibenarkan berjumpa peguam serta disembunyikan dari pengetahuan keluarga selepas ditahan ? Adakah itu dinamakan kebebasan ?

Membaca kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik semalam, menunjukkan contoh bahawa beliau tidak faham atau buat –buat tak faham makna kebebasaan. Beliau meminta ISA dilihat dari sudut positif. Dipisahkan dari keluarga, tahanan didera secara mental dan fizikal ala ‘Kem Gustanamao’ dan ditelanjangkan seperti yang diceritakan olah mangsa ISA sebelum ini semua perlu dilihat secara positif. Bukan begitu Datuk ?

Sebenarnya banyak lagi bentuk penderaan dan penganiayaan yang berlaku kepada tahanan ISA tetapi tidak didedahkan kepada umum sama ada tidak tahan dengan pelbagai ugutan atau mereka yang ditahan sebelum ini telah berjaya di ‘brain wash’.

Terbaru, apa yang berlaku kepada Sharizal Sirin tahanan ISA yang dibebaskan secara bersyarat baru –baru ini yang tidak dibenarkan melawat anak sulungnya, Aina Mardiah yang nazak ketika itu semasa berada dalam tahanan ISA sehinggalah saat anak kesayangannya itu menghembuskan nafas yang terakhir.

SHAHRIZAL HANYA SEMPAT BERJUMPA ANAK KESAYANGAN YANG TERBUJUR KAKU

TANGISAN SEORANG ANAK YANG DIPISAHKAN DARI AYAH TERCINTA

Inilah kebebasan dan ISA yang dipertahankan oleh pemimpin kerajaan yang ada.

Di Malaysia merupakan di antara negara yang mempunyai banyak akta dan peraturan yang menyekat kebebasan selain ISA terdapat AUKU, OSA, Akta Mesin Cetak, Akta multimedia dan Komunikasi dan AKUJANJI kakitangan awam.

Justeru itu, kepada pemimpin berkenaan disyorkan supaya pergi mengaji semula dan membaca serta meneliti kamus untuk mendalami makna kebebasan.
BEBASKAN MEREKA DARI ISA ! HAPUSKAN ISA !

13 September 2008

TAUFAN MELANDA TAIWAN

KUALA LUMPUR 13 Sept. — Malaysia Airlines (MAS) membatalkan penerbangan pergi dan balik dari Taiwan berikutan Taufan Sinlaku yang kini melanda pulau itu.

Pengarah Operasi MAS Datuk Tajuden Abu Bakar berkata penerbangan yang dibatalkan hari ini adalah MH94 Kuala Lumpur/Taipeh/Los Angeles; MH68 Kuala Lumpur/Kota Kinabalu/ Taipeh dan MH69 Taipeh/ Kota Kinabalu/ Kuala Lumpur.

Beliau berkata penerbangan MH69 Taipeh/Kota Kinabalu/ Kuala Lumpur yang dijadualkan esok turut dibatalkan.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, CNN, Taufan Sinlaku pada Sabtu bergerak perlahan ke arah perairan utara Taiwan dan membawa hujat lebat.

Taufan tersebut dijangka bergerak ke Asia Tenggara dan dijangka melanda Malaysia pada 16 September nanti.

Justeru itu, justeru itu semua penduduk Malaysia diminta bersedia untuk berhadapan dengan taufan tersebut.

Kepada 49 ahli parlimen di Taiwan, baliklah! sebelum dilanda taufan. He.He.He..

SIAPA LAGI SELEPAS INI ?

Kerajaan sudah mula panik apabila menggunakan ISA untuk menangkap tiga orang semalam iaitu dua orang wartawan dan seorang EXCO kerajaan Negeri Selangor lewat malam tadi.

Langkah ini dipercayai berkait rapat dengan tanggal 16 September.

BEBASKAN MEREKA ! DAKWA DI MAHKAMAH TERBUKA ! SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT !

12 September 2008

Ini Baru Bermula….

Petang tadi Raja Petra Kamarudin ditahan di bahawa ISA atas tuduhan mengancam keselamatan Negra dan sebentar tadi wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan di rumahnya pada jam 8.30 malam di Bukit Mertajam berkaitan tulisannya menyentuh isu perkauman tentang Ketua Umno Bukit Bendera yang 'direhatkan' Datuk Ahmad Ismail. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan turut ditahan di bawah ISA

Selepas ini kemungkinan ada lagi siri tangkapan yang dibuat atas alasan 'keselamatan negara' dan menjaga 'keharmonian' dan 'perpaduan kaum'.

Siri penangkapan ini menunjukkan bahawa terdapat usaha terdesak dengan tempoh masa yang ada untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Kenyataan bersama yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat hari ini tentang keyakinan pembentukan kerajaan baru dalam tempoh terdekat sudah pasti merunsingkan kepimpinan kerajaan yang ada.

Mereka merasa semakin terancam apabila 5 orang ahli parlimen PKR turut berminat mempelajari kaedah pertanian terkini di Taiwan.

Kenyataan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa lawatan itu tidak akan berjaya walaupun sehingga ke Antartika lebih merupakan satu kenyaataan untuk menyembunyikan kebimbangan bahawa hayat BN sudah sampai penghujung senja.

Justeru itu, sudah pasti mereka yang berkuasa akan berhabis –habisan menggunakan apa sahaja yang ada untuk menggagalkan usaha pembentukan kerajaan baru menjelang fajar 16 September nanti.

PENGGUNAAN ISA SUDAH BERMULA


Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA )telah bermula. Sebentar tadi, Bloggers terkenal Raja Petra Kamarudin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri . Beliau ditahan pada pukul 1.10 tadi sewaktu umat Islam sedang bersiap untuk bersembahayang Jumaat.
Pengumuman Datuk Shaziman Mansor, Menteri Tenaga dan Komunikasi untuk menarik sekatan kepada semua blog dan laman termasuk laman Malaysia Today sebelum ini tidak membawa apa –apa makna dengan berita penangkapan ini.

Penangkapan ini kemungkinan berkaitan dengan artikel dalam Malaysia Today yang dikatakan menyentuh sensitiviti dan menghina umat Islam serta laporan –laporan polis yang berkaitan dengannya.

Walaupun saya turut tidak bersetuju dengan artikel yang ditulis, penggunaan ISA adalah sesuatu yang tidak wajar dan ditentang. Sekiranya RPK didapati bersalah, beliau perlu didakwa di mahkamah terbuka. Biar mahkamah yang menentukan bentuk hukuman sekiranya beliau benar –benar bersalah.

Langkah ini dilihat satu usaha untuk mengugut penulis –penulis blog dan laman web yang kini menjadi media alternatif yang menenggelamkan media arus perdana terutamanya yang dimiliki atau dikawal oleh kerajaan.

Di samping itu, penggunaan ISA dilihat sebagai satu ‘isyarat’ kepada mereka yang berhasrat mewujudkan kerajaan baru pada atau sekitar 16 September nanti.

Saya tidak terkejut sekiranya “Operasi Lalang” secara besar –besaran akan berlaku dalam tempoh terdekat.

11 September 2008

RETAK MENANTI BELAH


Kemelut yang melanda UMNO bertambah meruncing. Terbaru, Pak Lah meluahkan rasa kesal dan terkejut dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan peralihan kuasa 2010 yang disifatkan terlalu perlahan.

``Saya terkejut kerana dia adalah sebahagian daripada ahli Kabinet saya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.
Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah `tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

Apa tujuan atau motif Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu tidak diketahui. Mungkinkah Muhyiddin merasakan ini waktu yang terbaik untuk menunjukkan taringnya ?
Adakah Muhyiddin termasuk dalam senarai yang akan menyeberang ke Pakatan Rakyat ? Mungkin ini yang dikatakan kejutan yang berlaku pada 16 September nanti.

Apa pun tujuan dan agenda di sebalik kenyataan Muhyiddin in, apa yang pasti masalah yang berlaku dalam UMNO telah memasuki episod baru. Jika sebelum ini wujud suara-suara protes tidak puas hati di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian kini bertambah parah apabila melibatkan orang nombor tiga dalam UMNO.

Senario ini semakin menghakis kepercayaan orang Melayu kepada UMNO yang dilihat sebelum ini begitu dominan kepada kuasa politik orang Melayu. Apa yang berlaku menunjukkan UMNO terpaksa menghitung dan meratapi nasib yang bakal dilalui pada masa akan datang khususnya dalam tempoh beberapa hari dari sekarang

BILA HARGA MINYAK DI MALAYSIA NAK TURUN ?


Harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras AS$100 (RM346) setong buat pertama kali dalam tempoh lima bulan di London apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebulat suara memutuskan untuk menurunkan pengeluaran minyak kepada 520,000 tong sehari.

Walau bagaimanapun harga minyak di Malaysia masih lagi menggunakan harga lapuk yang tidak mengikut pasaran semasa. Cuma Perdana Menteri ada menurunkan 15 sen pada Ogos lalu dan dan berjanji 15 sen lagi penghujung tahun ini.

Tak tahulah…Malaysia guna pasaran atau sistem harga minyak yang mana satu hingga susah sangat nak turunkan harga minyak. Masa naik minyak hari tu, para pemimpin Negara sampai ‘berbuih mulut’ mempertahankan bahawa harga minyak dinaikkan kerana harga minyak pasaran dunia meningkat. ( Ketika dinaikkan RM.70 sen untuk petrol dan RM 1 bagi diesel harga pasaran minyak dunia ketika itu melebihi AS $ 130 setong ).

Tetapi bila harga pasaran dunia turun…tak ikut pula… Mungkin harga minyak tak dapat diturunkan disebabkan dah berhabisan-habisan masa pilihanraya kecil Permatang Pauh lalu. Di samping terpaksa menanggung ‘Program Cuti-cuti di Taiwan’ 49 ahli parlimen di Taipei.

ISU PERKAUMAN DICIPTA SUPAYA KEKAL BERKUASA


 

Akhir –akhir ini begitu kerap akhbar arus perdana seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia dan media elektronik seperti TV 1 dan TV 3 memainkan isu perkauman. Isu perkauman dilihat senjata ampuh untuk mewujudkan satu suasana panik sekaligus dapat 'menghalalkan' tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

Dalam hal ini yang menjadi mangsa bukannnya mereka yang duduk di dalam kerajaan tetapi dihalakan kepada Pakatan Rakyat. Isu perkauman dijadikan sebagai senjata untuk menutup kelemahan dan menyelamatkan kerajaan yang ada bukan perkara baru. Operasi Lalang pada tahun 1987 merupakan bukti jelas apabila ramai pemimpin pembangkang ketika itu ditangkap di bawah ISA. Walhal isu tersebut berpunca daripada perbalahan yang berlaku di antara UMNO dan MCA.

Kebelakangan ini, skrip yang sama seolah-olah wujud. Bermula dengan ucapan Datuk Ahmad Ismail yang 'terlampau' menyentuh sensitiviti kaum sehinggalah respon segera yang berbentuk ugutan dari GERAKAN dan MCA. Wujud desakan agar Ahmad Ismail dikenakan ISA dan sehinggalah Gerakan di Pulau Pinang memutuskan 'tali persaudaraan' dengan UMNO. Seterusnya membawa kepada penggantungan selama 3 tahun keahlian UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam.

Pada pandangan saya dalam isu ini kes Datuk Ahmad Ismail hanyalah ' kambing hitam' untuk survival pihak tertentu.

Terbaru, malam tadi kenyataan tegas Timbalan Ketua Polis Negara yang berkata Polis memberi amaran keras kepada mereka yang mencetuskan konflik perkauman termasuk kepada laman –laman blog. Justeru itu saya menasihatkan rakan-rakan bloggers berhati-hati apabila menyentuh isu perkauman agar kita tidak menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.

10 September 2008

PEGUAM NEGARA WAJAR DIPECAT


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar memecat Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail kerana engkar arahan supaya tidak terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sebutan kes liwat itu hari ini, Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila menandatangani surat agar kes DSAI dipindahkan ke mahkmah tinggi.

Tindakan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah tinggi apabila terdapat pihak tertentu yang merasa kurang senang cara Hakim Mahkamah Seksyen, SM Komathy Suppiah yang bepegang kepada kebebasan dan kedaulatan intitusi kehakiman yang tidak cenderung kepada mana –mana pihak.

Walau bagaimanapun, cubaan ini dicabar oleh Peguam Bela DSAI yang diketuai Datuk Sulaiman Abdullah yang menyebabkan kes ini dipinda pada 24 September untuk didengar semula.

DI SEBALIK PENGGANTUNGAN DATUK AHMAD ISMAIL


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat petang tadi mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera , Datuk Ahmad Ismaill selama 3 tahun.

Pada pandangan saya tindakan yang diambil sebenarnya mempunyai agenda tertentu. Lebih –lebih lagi di tengah kehangatan isu pembentukan kerajaan baru pada 16 September nanti.

Tindakan ini sebenarnya bertujuan untuk memujuk dan ‘melembutkan hati’ komponen Barisan Nasional ( BN ) agar terus kekal dengan pakatan.

Keputusan ini lebih kepada tindakan terdesak apabila wujud suara lantang dari parti Gerakan dan MCA baru –baru ini yang ‘mengertak’ untuk keluar dari BN sekiranya isu yang dianggap menghina orang cina dilakukan Datuk Ahmad Said tidak diambil tindakan tegas. Malah wujud gesaan supaya Ahmad Ismail dikenakan ISA.

Tindakan ini dilihat akan menyebabkan wujud protes di kalangan pimpinan UMNO sendiri terutama UMNO Pulau Pinang yang dilihat sebelum ini ‘bermati-matian’ mempertahankan tindakan Ahmad Ismail.

Langkah ini sebenarnya akan lebih menguatkan keazaman dan tekad ahli parlimen UMNO yang dikatakan sebelum ini hendak ‘beralih angin’ untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat.Apa –apapun sama –samalah kita tunggu nanti.Wallahu’alam.

CUMA SEKEJAP


Hari ini genap 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Bermakna kita akan melepasi Fasa Pertama Ramadhan yang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW… yang ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadhan sebagai rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka.

Marilah sama –sama kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana Fasa Pertama Ramadhan yang kita lalui benar-benar membawa rahmat kepada kita semua.

Adakah amalan dan ibadah kita semakin meningkat atau sebaliknya ? Berapa helai lembaran Al Quran yang kita dah baca ? Adakah masa kita lebih banyak digunakan membaca surat khabar dan bahan bacaan picisan daripada membaca Al Quran ? Bagaimana dengan masa kita ? Adakah lebih banyak dihabiskan dengan ‘shopping raya’ atau mencari ‘pembuka selera’ untuk berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan daripada berikhitkaf di masjid atau duduk di tikar sejadah ?

Mungkin juga ada yang merasakan tak mengapa, di akhir Ramadhan nanti boleh ‘pulun sakan’ mencari malam Lailatul Qadar. Itupun kalau sempat….Mungkin kematian terlebih dahulu menjemput kita. Mana tahu mungkin esok atau lusa.

Berita yang saya terima hari ini seorang rakan sejawat mendapat penyakit kanser tahap 4 membuatkan saya termenung dan terkesima. Beliau sebelum ini agak baik dengan saya dan begitu ceria. Benarlah seperti kata seorang doktor yang pernah menjemput saya semasa satu majlis ceramah tak lama dulu, kanser ini adalah satu ‘anugerah’ yang kadang –kadang datang tanpa disangka-disangka. Tanpa tanda-tanda dan isyarat yang jelas. Begitulah juga dengan kematian…

Justeru itu selagi nadi masih berdetik, gunakalah masa yang ada sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hujah sibuk bukan alasan. Pandai –pandailah ‘curi ‘ masa untuk membaca dan berusaha untuk menghayati Al Quran dan melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita semua.

09 September 2008

BAYARAN COLA DITAMATKAN PADA TAHUN 2009

Saya kira ramai kakitangan awam tidak menyedari dalam keseronokan bakal menerima bonus sebulan gaji iaitu mulai tahun 2009, Cola RM 200 kepada kakitangan awam yang dibayar sebelum ini akan ditamatkan. CUEPACS sedang membuat tuntutan agar bayaran cola ini dikekalkan. Sekiranya keputusan kerajaan kekal,maka bonus sebulan gaji seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan baru –baru ini tidak membawa apa –apa makna.

Keaadaan ini pasti menyukarkan terutama kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ini akan menyebabkan tekanan hidup yang bertambah parah dan meruncing akan lebih dirasai berikutan kenaikan harga minyak, peningkatan kadar inflasi ( 8.5 % ) serta peningkatan kos sara hidup yang lain.

Justeru itu, kita berharap agar kerajaan yang masih berkuasa mengkaji semula langkah untuk memberhentikan pemberian cola ini . Jika kerajaan yang berkuasa tetap dengan keputusannya, besarlah harapan perubahan kerajaan yang diuar-uarkan akan memberi semula bayaran cola yang dinikmati sektor awam sebelum ini. Di samping turut mengkaji tuntutan gaji minimum RM 900 dan bayaran cola untuk pekerja sektor swasta.

08 September 2008

PENDUDUK DAH TAK TAHAN HIDU BAU BUSUK SETIAP HARI


Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam Dalam lawatannya semalam ke tapak Pelupusan Sampah dan Sisa Pepejal di Krubong semalam menutup hidung kerana tidak tahan bau busuk dari tapak berkenaan.

Untuk makluman YAB Datuk, penduduk di taman dan perkampungan berhampiran seperti Taman Merdeka, Taman Datuk Tamby Chik Karim, Taman Angkasanuri dan kampung gangsa dah 12 tahun menghidu bau busuk berkenaan sejak tahun 1996.

Ketua Menteri dalam temuramah dengan pihak TV 9 menyalahkan kelewatan Pihak Kementerian Alam Sekitar sebagai punca kelewatan membina insinerator moden di Sungai Udang bagi menggantikan tapak sedia ada.

Inilah punca apabila pihak kerajaan negeri tidak teliti apabila merancang membina pusat pelupusan sampah di Krubong tahun 1996 dahulu . Pada ketika itu, kawasan di sekitarnya sudah wujud taman perumahan dan kampung tradisional yang hanya kira-kira 1 Kilometer dari tapak berkenaan. Mengapa tetap diluluskan juga ?

Sikap kerajaan negeri yang seolah –olah menyalahkan pihak lain dalam isu ini adalah sesuatu yang amat dikesali. Sepatutnya pihak kerajaan negeri perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya atas masalah yang berlaku.