10 September 2008

CUMA SEKEJAP


Hari ini genap 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Bermakna kita akan melepasi Fasa Pertama Ramadhan yang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW… yang ada menjelaskan bahawa permulaan Ramadhan sebagai rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka.

Marilah sama –sama kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana Fasa Pertama Ramadhan yang kita lalui benar-benar membawa rahmat kepada kita semua.

Adakah amalan dan ibadah kita semakin meningkat atau sebaliknya ? Berapa helai lembaran Al Quran yang kita dah baca ? Adakah masa kita lebih banyak digunakan membaca surat khabar dan bahan bacaan picisan daripada membaca Al Quran ? Bagaimana dengan masa kita ? Adakah lebih banyak dihabiskan dengan ‘shopping raya’ atau mencari ‘pembuka selera’ untuk berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan daripada berikhitkaf di masjid atau duduk di tikar sejadah ?

Mungkin juga ada yang merasakan tak mengapa, di akhir Ramadhan nanti boleh ‘pulun sakan’ mencari malam Lailatul Qadar. Itupun kalau sempat….Mungkin kematian terlebih dahulu menjemput kita. Mana tahu mungkin esok atau lusa.

Berita yang saya terima hari ini seorang rakan sejawat mendapat penyakit kanser tahap 4 membuatkan saya termenung dan terkesima. Beliau sebelum ini agak baik dengan saya dan begitu ceria. Benarlah seperti kata seorang doktor yang pernah menjemput saya semasa satu majlis ceramah tak lama dulu, kanser ini adalah satu ‘anugerah’ yang kadang –kadang datang tanpa disangka-disangka. Tanpa tanda-tanda dan isyarat yang jelas. Begitulah juga dengan kematian…

Justeru itu selagi nadi masih berdetik, gunakalah masa yang ada sebaik-baiknya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Hujah sibuk bukan alasan. Pandai –pandailah ‘curi ‘ masa untuk membaca dan berusaha untuk menghayati Al Quran dan melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik bagi kita semua.

No comments: