14 December 2008

APA ERTI HARGA MINYAK TURUN KALAU RAKYAT TERUS MENDERITA


Hari ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad membayangkan bahawa harga minyak akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.

Berita ini pasti bakal menggembirakan ramai pengguna kenderaan di negara ini. Walau bagaimanapun tidak semua yang merasa gembira dengan penurunan harga minyak yang bakal diumumkan.

Walaupun, ada yang berpendapat politik minyak tidak ke mana tetapi perlu diingat minyak merupakan asas keperluan negara. Malah 35% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung kepada sumber petroleum.Apa-apa berkaitan turun naik minyak atau silap percaturan menaikkan atau menurunkan harga minyak bakal membawa musibah kepada negara.

Dalam kegembiraan harga minyak bakal diturunkan, ramai yang tidak menyedari bahawa negara sedang berhadapan krisis ekonomi yang begitu kritikal.

Selepas solat Isyak tadi saya sempat bersembang dengan seorang jurutera Petronas yang bertugas di Loji Penapisan Petronas Tangga Batu yang merupakan seorang ahli jemaah surau. Katanya, dalam tempoh bulan lepas loji Petronas di Tangga Batu mengalami kerugian lebih RM 1 Bilion.Walau bagaimanapun operasi masih tetap diteruskan walaupun mengalami kerugian teruk.

Menurut beliau, terdapat 7 operasi Petronas seperti pemprosesan kimia di Kertih sudah mula ditutup operasi kerana tidak mampu menampung kerugian.

Secara logiknya, bila harga minyak turun maka hasil kerajaan berkurangan.Apabila hasil berkurangan maka perbelanjaan negara seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2009 Ogos lalu turut terjejas teruk.

Itu tentang minyak, bagaimana pula dengan nasib penoreh getah dan peneroka? Hari ini harga getah beku dan keping jatuh sehingga 90 sen sekilogram! Harga getah yang jatuh mendadak sekarang menyebabkan ramai pekebun kecil dan penoreh getah mengambil keputusan tidak lagi turun menoreh. Tak berbaloi kata mereka. Tapi macam mana pula mereka nak teruskan kehidupan. Anak di rumah perlu diberi makan, kelengkapan sekolah untuk anak-anak perlu disediakan.Semua ini menyebabkan mereka pening kepala. Ada di antaranya terpaksa bergolok bergadai. Lebih malang lagi mereka menjadi mangsa Ah Long disebabkan buntu dengan apa yang berlaku.

Begitu juga dengan harga sawit yang sekarang ini semakin menjunam harganya dan kini sekitar RM 150 - RM 180 setan. Lebih rendah dari harga yang direkodkan semasa kegawatan ekonomi negara pada tahun 1996 -1997 lalu. ketika itu harga sawit masih lagi di atas RM 200.

Seorang rakan yang juga aktivis Pas di Pahang baru-baru ini memberitahu saya, harga sawit yang rendah sekarang menyebabkan beliau tidak mampu lagi menampung kos operasi yang besar untuk ladang sawitnya yang berjumlah kira-kira 60 ekar. Bayangkan katanya, sudahlah harga sawit jatuh tetapi dalam masa yang sama kos baja, racun serta upah terus meningkat.

Di samping itu ramai di kalangan mereka yang bekerja di sektor industri merasa bimbang dan hanya menunggu masa untuk diberhentikan bila-bila masa. Semua ini gara-gara kelembapan ekonomi dunia yang menyebabkan pasaran dan permintaan barangan industri seperti elektronik berkurangan. Permintaan yang berkurangan bermakna, kos operasi perlu dikurangkan. Salah satunya ialah mengurangkan bilangan pekerja.

Dalam masa yang sama harga barang keperluan terus meningkat dan membebankan. Sebagai contoh harga ikan selar kuning saiz sederhana di Pasar Borong Batu Berendam yang saya beli awal pagi tadi RM 12 sekilogram!

Semua ini menggambarkan bahawa berita penurunan harga minyak tidak mampu untuk mengubat derita jutaan rakyat Malaysia yang terus tertekan dan terhimpit dengan krisi ekonomi yang melanda.

Sayangnya dalam tempoh yang sama, pemimpin negara terus hidup bermewah-mewah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini jelas seperti pendedahan baru-baru ini bahawa kos sewa dan penyelenggaraan kediaman PM dan TPM yang menjangkau 6.89 juta setahun!

Kita tunggulah apa yang bakal berlaku di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kecil nanti. Begitu juga menjelang pemilihan Umno Mac depan. Berapa puluh juta lagi duit bakal lebur kerana kerakusan mereka dalam berpolitik di negara ini? Mereka sanggup lakukan apa sahaja kerana sikap gila kuasa dan nama.Apa yang mereka lakukan ibarat beraja di mata bersultan di hati yang menjadi mangsa adalah rakyat jelata yang tidak berdosa yang terus hidup menderita.

LAGI TENTANG 'DOUBLE STANDARD' PEMIMPIN UMNO PADA MANGSA BUKIT ANTARABANGSA

Dah naik meluat bila melihat sikap dan layanan pemimpin Umno terhadap mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Apa yang ingin mereka gambar dan tonjolkan seolah-olah mereka begitu mengambil berat dan prihatin dengan masalah rakyat.

Baguslah jika benar begitu. Tetapi apa yang dizahirkan menunjukkan siapa sebenarnya pemimpin Umno adakah mereka benar-benar membela rakyat atau sebaliknya?

Sebelum ini, Muhyiddin Yassin mencadangkan mangsa tanah runtuh ditempatkan di hotel yang biayanya ditanggung oleh kerajaan.Terbaru, Khir Toyo menyelar kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana tidak membayar sebarang pampasan kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Tindakan yang saya anggap tepat dan adil.

Saya nak bertanya kepada Khir Toyo, berapa pampasan yang kerjaan Selangor bayar semasa pentadbiran beliau sebagai menteri besar kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda? Berapa pampasan yang kerajaan negeri Selangor di bawah beliau bayar kepada rakyat bawahan khususnya golongan setinggan yang diroboh dan dihalau dari kediaman mereka yang telah diteroka puluhan tahun lamanya?

Apakah Khir Toyo lupa dan buta melihat ada anak-anak kecil yang kesejukan apabila rumah mereka di Kampung Berembang dirobohkan secara zalim dan rakus oleh kerajaan pimpinan beliau dulu? Malah lebih menyedihkan, rumah mereka dirobohkan pada saat mereka bakal menyambut Hari Raya lalu. Terdapat juga anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan yang turut menjadi mangsa kerakusan dan tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan Khir Toyo.

Apa istimewanya mangsa di Bukit Antarabangsa dengan mangsa tragedi dan bencana lain? Mereka juga rakyat yang wajar mendapat perhatian dan keadilan dari kerajaan negeri.

Khir Toyo seolah-olah tidak belajar dari kekalahan Umno dan BN dalam pilihanraya lalu. Kepada Khir Toyo sebelum bercakap tentang nasib rakyat, cermin-cerminlah diri anda dahulu.Inikah bakal calon Ketua Pemuda Umno?